(Catatan ini adalah tulisan Allahyarham Abu Samah Mohammad Kassim dan pernah dimuatkan dalam buku Sejarah Dan Perjuangan Kemerdekaan)
Nama lengkap beliau adalah Datok Bahaman bin Tok Noh, berasal dari Minangkabau, Sumatera, Indonesia.
Datok Bahaman adalah anak yang ketiga daripda 6 orang adik beradik . Yang tua bernama Tok Muda Ishak, yang kedua bernama Tok Musa Usoh, yang keempat bernama Mah, yang kelima bernama Syaayah dan yang keenam bernama Juriah.
Datok Bahaman mempunyai 13 orang anak daripada 5 orang isteri, 8 lelaki dan 5 perempuan. Antara anak lelakinya ialah Tok Muda Darus, Tok Mat Lela (yang ikut serta bersama Datok Bahaman dari mula tercetusnya perang; luka di bahagian lutut terkena tembakan askar penjajah British di Batu Hampar, sebelah hulu Mentakab, kemudian terusir ke Chiangmai, Utara Thailand dan balik ke Semantan pada tahun 1913 sebagai menunaikan amanat bapanya yang berbunyi: Apabila kon (aku) meninggal dunia, awak baliklah ke Semantan, Pahang. Datok Mat Lela meninggal dunia di Semantan sewaktu pendudukan Jepun 1944.
Anak lelakinya yang ketiga bernama Datok Muhamad yang dilantik oleh British menjadi Penghulu Semantan dalam lengkongan tahun 1920. Kemudiannya dibuang negeri ke Selangor oleh British atas kesalahan memelihara grup bersenjata seramai belasan orang yang melakukan berbagai aktiviti anti-British termasuk menyerang balai polis Mempatih dan merampas senjatanya, menampalkan surat-surat anti-British, merampas gudang garam dan dibahagi-bahagikan kepada orang ramai dan lain-lain. Rakannya yang sama-sama memelihara dan merancangkan tindakan grup bersenjata itu ialah Mohammad Kassim bin Haji Osman (ayah Abu Samah). Akhirnya pada penghujung tahun 1931, penjajah British menggunakan tali barutnya meracuni Mohammad Kassim dan meninggal dunia pada awal 1932.