PERKENALAN

KINI DAN SILAM -- penerus blog KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN KINI DAN SILAM

Assalamualaikum,
Dan salam sejahtera,

Blog Kampung Perdamaian Sukhirin – Kini Dan Silam (http://matamin.blogspot.com) tidak dapat dilog masuk. Blog http://matamin02.blogspot.com dengan tajuk Kini Dan Silam diwujudkan untuk meneruskan paparan sejarah. Kami akan berusaha menggali lebih banyak kisah lampau untuk dikongsi dengan semua.

Blog Kini Dan Silam mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas sokongan para pembaca sekalian. Juga tak lupa kepada rakan-rakan blogger yang turut memberikan bantuan sehingga blog ini dapat wujud untuk mencungkil kembali kesan-kesan sejarah lampau, terutamanya perjuangan bersenjata Rejimen Ke-10, dan perjuangan golongan kiri dalam perjuangan kemerdekaan tanah air yang cuba dilupakan.

Perkenalan Dari
Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam

Penandatanganan persetujuan damai 3 pihak di Haadyai sudahpun berlalu hampir 20 tahun. Akan tetapi, kewujudan bekas perajurit pasukan-pasukan Tentera Rakyat Malaya masih disisihkan dari media perdana. Ada pihak yang cuba filemkan sejarah mereka tetapi telah diharamkan penerbitannya.

Justeru itu, blog KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN – KINI DAN SILAM ini perlu diwujudkan untuk memaparkan berita terkini dan sejarah silam para pejuang kemerdekaan agar disimpan untuk tatapan generasi akan datang.

Sejarah bukanlah hanya satu penjelasan. Blog ini tidak ingin mengatakan bahawa sejarah yang dipaparkan di sini adalah satu-satunya versi sejarah yang paling tulen dan benar atau menganggap hanya Rejimen Ke-10 dan TRM di bawah pimpinan PKM saja yang berjuang bertumpah darah demi kemerdekaan tanah air,tapi blog ini ingin semua pihak yang jujur kepada fakta sejarah mengetahui bahawa sumbangan mereka tidak dapat dinafikan.

Mengangkat senjata menentang penjajah bukanlah sesuatu yang salah, juga tidak bermakna menolak berjuang secara aman, tetapi situasi telah mendorong ia harus dilakukan.

Ramai yang merujuk kepada PKM sebagai organisasi keganasan dan zalim kerana melancarkan perjuangan bersenjata, malah PKM dikatakan dimiliki orang Cina yang ingin menjajah Tanah Melayu, pada hal ini semua tidak benar sama sekali. PKM berlandaskan ideologi komunis yang bersifat humanis antarabangsa, menyanjung keadilan sosial, perpaduan kaum dan demokrasi. Ia disertai jua oleh semua kaum, termasuk Melayu, India dan lain-lain.

Kerana itulah blog ini ingin memaparkan segala sejarah silam Rejimen Ke-10 agar persepsi serong ini diperbetulkan.

REJIMEN KE-10 TRM