BERSEMADI UNTUK KAWAN MAUN



Kawan Maun @ Yunus Binza
Innalilllahiwainna Illaihirajiun

Kawan Maun seorang bekas anggota perajurit Rejimen Ke-10 telah pergi menghadap Illahi pada 5 Februari 2020 pada pukul 3.30 di rumahnya di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat dalam usia 72 tahun kerana mengidap kanser.

Nama sebenar beliau ialah Yunus Binza, berasal dari  Tamboon Segor (Sako) Daerah Sungai Padi, wilayah Narathiwat.  Pada tahun 1969 beliau menyertai pasukan setelah beberapa tahun menjadi lasykar rakyat dan membantu pasukan.Selain beliau abang dan adiknya juga menyertai pasukan. Abangnya Kawan Ripin (nama asalnya Mat Diah) gugur kerana terkena periuk api pihak lawan dalam tahun 1970-an ketika melakukan operasi di kawasan Tomok,  Weng.

Di dalam pasukan, Kawan Maun merupakan seorang perajurit yang cergas dan tangkas. Oleh itu beliau banyak menyertai kegiatan ketenteraan termasuk memasang periuk api dan melakukan serangan2 ke atas pihak lawan ketika kempen2 kepung basmi besar2an pihak lawan.

Selepas tandatangan perjanjian damai 3 pihak antara Kerajaan Thailand, Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989, Kawan Maun menjadi salah seorang anggota membersihkan periuk api di kawasan sempadan bersama Tentera Diraja Malaysia dan Tentera Diraja Thailand.

Setelah perdamaian, Kawan Maun menetap di kampung perdamaian dan bersama2 rakan yang lain membangunkan kampung dan kehidupan baru. Perkahwinannya dengan Koson Binza, seorang bekas gerilawati Rejimen Ke-10, telah dikurniakan 2 cahaya mata perempuan dan 3 orang cucu.

Seluruh rakan seperjuangan dan warga kampung Perdamaian menadah tangan memohon semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah Taala.



Categories

Pengikut