KAWAN DAHLAN PERAJURIT KAWASAN SEMPADAN MENINGGAL DUNIA

 


Hari ini, 7/9/2020 Kawan Dahlah telah menghadap Illahi pada kira2 jam 2.30 petang tadi.

Kawan Dahlan atau nama sebenarnya Masae Tasa dilahirkan pada 21 Oktober 1948  di Kampung Teras, Daerah Sungai Padi, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand.

Beliau menyertai pasukan Rejimen Ke-10 pada tahun 1969. Sebelum itu beliau menyertai pasukan lasykar rakyat yang diorganais oleh regu penyusun massa Rejimen Ke10 yang bergerak cergas di kampungnya.

Beliau berkhidmat di pasukan induk Rejimen Ke-10 sepanjang masa, menjadi salah seorang anggota pasukan pengawal kawan2 pimpinan.

Semoga roh beliau diletakkan di kalangan orang2 yang dikasili Allah.

PERISYTIHARAN PENUBUHAN REJIMEN KE-10 TPNM

Hari ini pada 71 tahun yang lalu, tepatnya pada 21 Mei  1949 sebuah pasukan gerila Melayu Rejimen Ke-10 telah dirasmikan oleh Abdullah C.D. di hutan Kerdau, Temerloh, Pahang.

Rejimen Ke-10 terdiri dari anggota PKMM, API, AWAS, Kesatuan Buruh Melayu dan lain2 yang telah diharamkan penjajah British pada bulan Jun 1948.

Dalam Manifesto penubuhannya, Abdullah C.D. menyatakan bahawa:

“Hari ini lembah Sungai Pahang, medan perjuangan Datok Bahaman sekali lagi menyaksikan peristiwa bersejarah, di mana  patriot2 kesuma bangsa berkumpul dan dengan satu tekad berikrar untuk meneruskan tradisi mulia perang patriotik dan perang tani dahulu kala di peringkat sejarah yang baru dan lebih tinggi bagi menyingkirkan penjajah British demi kemerdekaan penuh tanah air dan pembebasan bangsa.”

“Rakyat segala bangsa khasnya kaum tani Melayu sudah pasti gembira tak terhingga menyambut saat yang dinanti2kan ini manakala penjajah British dan boneka2nya  takut dan benci bukan kepalang terhadapnya .”

“Para komander dan perajurit Rejimen Ke-10 harus mematuhi parti, hangat mencintai tanah air, sepenuh hati berkhidmat kepada rakyat, keras menaati disiplin,  bertempur dengan berani lagi bijak, pantang tunduk di depan musuh, bersedia berkorban serta berjuang terus sampai akhir."

"Dengan ini saya dengan rasminya mengisytiharkan berdirinya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya".





Dikir Revolusioner: SENANDUNGKAN PARTI NAN MILITAN

Dikir ini dinyanyikan oleh team kesenian Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10 TRM pada tahun 1980-an.

SELAMAT 90 TAHUN PKM

90 tahun yang lalu, iaitu pada 30 April 1930 Parti  Komunis Malaya (PKM) telah dirasmikan di Kuala Pilah Negeri Sembilan. Kongres yang bersejarah itu telah dirasmikan oleh Ho Chi Minh. Ia adalah parti politik yang julung kali ditububuhkan di Malaya. Titik sejarah penubuhan ini telah menandakan bahawa kesedaran masyarakat Malaya telah mencapai suatu kesedaran yang baru.

Suara Revolusi Malaya (SRM) dalam rencana pengarangnya bertajuk 50 TAHUN PKM pada bulan Jun  1981 menyebut: 


"PKM lahir dalam syarat sejarah berikut: Pada tahun 1917, revolusi sosialis Oktober proletar telah mencapai kemenangan yang gilang gemilang di Russia dan telah membuka zaman baru sejarah umat manusia. Di bawah bimbingan Marxisme-Leninisme, revolusi proletar di negara kapitalis dan revolusi nasional demokratik di tanah jajahan atau setengah jajahan berkembang menggelora, kekuatan imperialis telah sangat diperlemah dan dunia kapitalis mengalami krisis politik dan ekonomi yang sangat teruk. Untuk melepaskan dirinya daripada krisis itu, imperialis British melakukan penindasan dan penghisapan yang lebih kejam ke atas rakyat negara kita, sehingga kehidupan rakyat pekerja memburuk dengan dahsyatnya. Kontradiksi antara rakyat negara kita dengan imperialis British telah bertambah meruncing lagi. Dalam keadaan demikian, proletariat negara kita aktif mencari kebenaran bagi membimbing perjuangan pembebasan dirinya dan akhirnya telah menemui Marxisme-Leninisme dan mendirikan parti komunis – barisan pelopornya sendiri.
PKM adalah hasil pemaduan teori Marxisme-Leninisme dengan gerakan buruh negara kita. Pada pertengahan tahun 20-an, di bawah pengaruh Revolusi Sosialis Oktober Russia yang besar dan Revolusi Demokrasi Baru Tiongkok yang besar, proletariat Malaya secara sedar mulai melancarkan berbagai kegiatan revolusioner. Dengan demikian tersedialah syarat yang diperlukan bagi menubuhkan parti komunis.

Pada 30 April 1930, PKM telah dirasmikan dalam kongres yang diadakan oleh kaum komunis Malaya di sebuah kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sejak itu proletariat dan massa rakyat Malaya telah mempunyai barisan pelopor dan pemimpinnya sendiri, dan mulai saat itu perjuangan revolusioner rakyat Malaya telah memasuki suatu peringkat yang serba baru – peringkat revolusi demokrasi baru."

SELAMAT HARI WANITA PEKERJA ANTARABANGSA




Nyanyian dari perajurit wanita Rejimen Ke-10 sempena merayakan Hari Wanita Pekerja Antarabangsa pada 8 Mac 1989


MARCH GERILA WANITA

Bendera merah berkibaran
Sangkakala berkumandang
Kami gerila wanita
Betapa bangga dan gembira
Kami gerila wanita
Ke medan perang maju jaya

Takluki  gunung harungi taufan
Tak kenal sulit rela berkorban
Sanggup terjun lautan api
Gagah perwira serikandi

Parti yang bijak pimpin kita
Hati merah penuh tenaga
Berani berjuang berani menang
Tertempa dalam kancah perang

Mara maralah
Gerila wanita yang mulia
Basmi musuh durjana
Bertempur di medan sentiasa



BERSEMADI UNTUK KAWAN MAUN



Kawan Maun @ Yunus Binza
Innalilllahiwainna Illaihirajiun

Kawan Maun seorang bekas anggota perajurit Rejimen Ke-10 telah pergi menghadap Illahi pada 5 Februari 2020 pada pukul 3.30 di rumahnya di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat dalam usia 72 tahun kerana mengidap kanser.

Nama sebenar beliau ialah Yunus Binza, berasal dari  Tamboon Segor (Sako) Daerah Sungai Padi, wilayah Narathiwat.  Pada tahun 1969 beliau menyertai pasukan setelah beberapa tahun menjadi lasykar rakyat dan membantu pasukan.Selain beliau abang dan adiknya juga menyertai pasukan. Abangnya Kawan Ripin (nama asalnya Mat Diah) gugur kerana terkena periuk api pihak lawan dalam tahun 1970-an ketika melakukan operasi di kawasan Tomok,  Weng.

Di dalam pasukan, Kawan Maun merupakan seorang perajurit yang cergas dan tangkas. Oleh itu beliau banyak menyertai kegiatan ketenteraan termasuk memasang periuk api dan melakukan serangan2 ke atas pihak lawan ketika kempen2 kepung basmi besar2an pihak lawan.

Selepas tandatangan perjanjian damai 3 pihak antara Kerajaan Thailand, Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989, Kawan Maun menjadi salah seorang anggota membersihkan periuk api di kawasan sempadan bersama Tentera Diraja Malaysia dan Tentera Diraja Thailand.

Setelah perdamaian, Kawan Maun menetap di kampung perdamaian dan bersama2 rakan yang lain membangunkan kampung dan kehidupan baru. Perkahwinannya dengan Koson Binza, seorang bekas gerilawati Rejimen Ke-10, telah dikurniakan 2 cahaya mata perempuan dan 3 orang cucu.

Seluruh rakan seperjuangan dan warga kampung Perdamaian menadah tangan memohon semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah Taala.



Categories

Pengikut