Perang Bahaman di Pahang adalah perang yang paling besar dan
luas sekilnya dalam sejarah perjuangan datok nenek kita menentang penjajah
British demi membela tanahair, bangsa dan agama. Secara lahirnya perang ini
telah gagal, Datok Bahaman yang memimpin perang itu dan orang2nya telah dihalau
ke Chiangmai, utara Thailand, namun semangat perang itu tak pernah gagal, perjuangan2
untuk kemerdekaan diteruskan oleh generasi selanjutnya, benih patriotism yang
ditaburkan dari perang itu sentiasa subur menjiwai semangat patariotik rakyat
yang cintakan tanah air.
Selepas Perang Dunia Kedua, semangat itu bercambah lagi
dengan berdirinya pasukan gerila Melayu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan
Nasional Malaya untuk melawan kuasa penjajah British demi kemerdekaan tanan air.
Semangat perang Bahaman telah menjiwai pasukan ini menjadi sebuah pasukan yang
rela berputih tulang dari berputih mata. Kawasan basis Rejimen Ke-10 di sebelah
menyebelah Sungai Pahang telah dinamakan sebagai Bahaman 1 dan Bahaman 2
sebagai simbolik semangat patriotik anak2 Pahang.
Seorang pemimpin Markas Besar Rejimen Ke-10 Abu Samah Mohd
Kassim adalah cicit saudara Datok Bahaman manakala isteri beliau Siti Norkiah
binti Mahmood Baginda juga keturunan pahlawan perang Bahaman. Abu Samah yang
dalam pasukan lebih dikenali sebagai Bong Sibar sentiasa menyampaikan
kisah2 perang ini kepada para perajurit
untuk memperkuat tekad juang dan sumber ilham dalam perjuangan. Abu Samah
banyak mendapat maklumat daripada Mat Lela, anak Datok Bahaman yang pernah
bersama2 dibuang negeri ke utara Thailand. Mat Lela pulang ke Pahang setelah
pemergian Datok Bahaman di utara Thailand.
Di bawah ini adalah tulisan Abu Samah Mohd Kassim yang
dilampirkan dalam bukunya SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN terbitan Nan Dao
Publisher tahun 1996.
PERANG MELAWAN IMPERIALIS BRITISH
YANG HENDAK MENAKLUKI NEGERI PAHANG YANG DIPIMPIN DATOK BAHAMAN
Oleh Abu Samah Mohd Kassim
Perang melawan imperialism British
yang dipimpin oleh Orang Kaya Setia Perkasa atau Orang Kaya Semantan Datok
Bahaman berlangsung dari tahun 1891 hingga 1895. Perang ini merupakan perang
rakyat disokong dan diikutsertai oleh berbagai suku orang Melayu dan Orang
Asli.
Luasnya kawasan perang itu bukan saja meliputi seluruh Negeri
Pahang tetapi juga melibatkan 3 negeri yang bersempadan dengannya iaitu
Terengganu, Kelantan dan Selangor. Menurut strategi perang yang dirangka oleh
Datok Bahaman pada awal tahun 1892, Pahang dibahagikan kepada 5 kawasan perang,
iaitu kawasan perang Datok Bahaman meliputi kawasan Temerloh, Bentong hingga ke
sempadan Selangor; kekuatan Mat Kilau di daerah Ulu Pahang; kekuatan Tok Gajah
di kawasan Pulau Tawar; kekuatan Panglima Muda Jempul di daerah Pekan; dan
kekuatan Sultan Ahmad di daerah Chenor.
Penyebaran penduduk Pahang yang menjadi sandaran perang ialah
pertama di sebelah menyebelah aliran tebing Sungai Pahang; kedua di sepanjang
aliran tebing anak2 sungai yang besar seperti Sungai Semantan, Sungai Bera,
Sungai Teriang, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Jengka, Sungai Kerau dan
lain2. Di sini penduduknya sangat padat. Penduduk Pahang selain daripada orang
Melayu dan Orang Asli terdapat orang Minangkabau, Rawa dan Bugis yang agak
ramai jumlahnya. Datok Bahaman sendiri justeru berasal dari Mengkinan,
Sumatera, manakala Tok Gajah juga berasal dari Sumatera.
Datok Bahaman bin Tok Noh berasal daripada kaum tani biasa.
Kerana kepahlawanan beliau yang telah menegakkan jasa2 besar dalam beberapa
kali peperangan yang membawa Wan Ahmad menjadi Sultan Pahang maka Wan Ahmad
telah memberikan gelaran ORANG KAYA SETIA PERKASA PAHLAWAN kepada Datok Bahaman
dan diserahkan menguasai kawasan Semantan. Kawasan Semantan ketika itu termasuk
sebahagian daerah Temerloh dan sebahagian daerah Bentong.
Besarnya kekuasaan tugas dan pengaruh antara pembesar2 Pahang
ketika itu tidak sama. Walaupun Datok Bahaman adalah Orang Besar Berlapan,
tetapi pengaruhnya melebihi Orang2 Besar Berempat. Namun beliau tidak bersikap
seperti pembesar2 yang lain. Pergaulannya dengan rakyat sangat rapat. Sebab itu
beliau sangat dikasihi dan dihormati rakyat.
Datok Bahaman sentiasa bergaul rapat dengan Orang Asli.
Beliau menjelajahi pedalaman hutan rimba di segenap perkampungan Orang Asli untuk mengetahui dan menyelesaikan
masalah mereka. Batin2 serta anak2 buah Orang Asli sangat menyayanginya. Beliau
fasih berbahasa Orang Asli. Justeru kerana sebab demikianlah dalam perang
melawan British, semua Batin Orang Asli mengerahkan seluruh Orang Asli untuk
memberi sokongan kepada Datok Bahaman. Bahkah 100 orang lebih Orang Asli
diserahkan menjadi perajurit berperang bergandingan bahu bersama2 perajurit
Melayu dalam pasukan Datok Bahaman.
Penjajah British telah mengambil sederetan langkah untuk
menguasai Negeri Pahang. Jauh pada tahun 1880 - 1881, melalui Frederick Weld ia
telah memainkan taktik lunaknya untuk memujuk sultan dan pembesar2 Pahang. Pada
tahun 1885, Gabenor Chechil Clemente Smith pula telah mengirim rombongan yang
diketuai Swettenham ke Pahang. Pada tahun 1887, Frederick Weld menghantar
pegawai tingginya bersama Hugh Clifford bersama2 Wan Mansor, adik Sultan Pahang
yang lari ke Singapura. Clifford telah menjalankan dasar pecah belah,
mempergunakan pertentangan di kalangan pembesar2, mencampurtangani perselisihan
antara saudagar2 dengan Orang Besar di daerah2 serta menghantar ramai orang
British dari Singapura ke Ulu Pahang.
Pada bulan Julai 1887, Gabenor sendiri datang ke Pekan menuduh sultan melanggar
perjanjian. Dengan demikian dia telah mengajukan beberapa syarat kepada sultan
antaranya mendesak sultan meminta maaf, mengakui kekuasaan British ke atas
Pahang serta menghantar Bahaman ke Singapura untuk berunding dan lain2.
Segala tipu helah British tersebut ditolak oleh sultan dan
pembesar2 Pahang. Tapi untuk meneruskan usaha jahatnya, British telah
menggunakan sesetengah kerabat diraja untuk menekan sultan. Ia juga secara
kekerasan membentuk badan pentadbirannya dan melantik orang2 British menjabat
majistrit di Pahang serta mengharamkan orang ramai membawa senjata seperti
keris, lembing, pedang dan lain2. Ini telah menimbulkan kemarahan yang luar
biasa orang2 Pahang kerana senjata2 ini adalah satu2nya simbul keberanian orang
Melayu turun temurun yang tak boleh dicerai tanggalkan.
Sementara itu, Gabenor British di Singapura berusaha
menundukkan Datok Bahaman di meja perundingan. Ia secara licik mengemukakan
konon penjajah British ingin bersahabat dengan orang2 Pahang, membantu
memajukan Pahang dan mahu membayar elaun yang besar kepada Bahaman. Usulan
Gabenor itu secara tegas ditolak oleh beliau.
Datok Bahaman menyedari tentang azab sengsara yang akan
menimpa rakyat dan tanah airnya jika penjajah British dibiarkan menguasai
Pahang. Beliau sentiasa menasihatkan sultan supaya jangan menerima tuntutan
penjajah British itu hatta biar berperang sekalipun. Di hadapan Datok Bahaman
dan Tok Gajah, Sultan dan pembesar2 utama negeri pernah bersumpah menyatakan
sekali2 tidak akan mengingkari janji. Dengan demikian di mata dan hati penjajah
British, Bahaman adalah satu perintang terbesar yang menghalangnya menguasai
Pahang. Oleh itu Bahaman perlu disingkirkan. Oleh yang demikian pada 11 Oktober
tahun 1891, Majlis Mesyuarat Negeri yang dipengerusikan oleh Clifford telah
memecat Datok Bahaman dari jawatannya.
Pegawai penjajah British di Temerloh telah memberitahu
Bahaman tentang keputusan tersebut, tetapi Datok Bahaman telah menulis surat
menyatakan bahawa beliau tidak mengakui keputusan itu dan tidak mahu mematuhi
segala undang2 yang dibuat penjajah British khususnya tidak membenarkan British
mengutip cukai dan hasil tanah kerana Pahang adalah negeri orang Melayu, bukan
negeri orang putih, katanya. Sikap tegas Datok Bahaman telah lebih menaikkan
darah penjajah British tetapi sebaliknya Datok Bahaman telah mendapat sokongan
rakyat yang luas.
Walau bagaimanapun, Datok Bahaman tidak menolak cara
diplomasi. Dia masih mahu berunding secara berhadap2an dengan I.A. Wise dan
Sebaraw di Temerloh untuk menjelaskan perkara2 yang menggelisahkan rakyat. Pada
17 Disember 1891, Datok Bahaman dengan 50 orang rombongannya berangkat ke hilir
menuju Temerloh dengan menaiki beberapa buah perahu.
Pada hari yang pertama, Sebaraw bersama pasukan tentera dan
polisnya mudik ke hulu Sungai Semantan dari Temerloh dan berhenti bermalam di
Batu Hampar, sebelah ulu Mentakab. Rombongan Datok Bahaman tidak tahu Sebaraw
dan pasukannya mudik. Sebagaimana lazimnya, pengiring2 Datok Bahaman selalu
menembak ke udara.
Dengan alasan kononnya Datok Bahaman telah mulai mencetuskan
perang di Pahang, Sebaraw segera memerintahkan tenteranya menghujani tembakan
ke arah perahu Datok Bahaman dan rombongannya. Tembakan2 itu telah mencederakan
Mat Lela dan membunuh Ahmad (kedua2nya anak Datok Bahaman).
Dentuman peluru semakin hebat, di bawah keadaan yang tak
menguntungkan, Datok Bahaman memerintahkan semua orang2nya berundur. Tetapi 3
orang panglimanya yang tak dapat lagi menahan kesabaran segera menyerang balas
askar2 musuh itu. Mereka membunuh mati seorang pegawai kulit putih dan 4 orang
polis Sikh manakala seorang pendayung perahu musuh cedera. Peristiwa ini amat
menggemparkan. Ahli2 sejarah menyebutnya sebagai “paristiwa Semantan”.
Peristiwa Semantan dengan cepat membangkitkan rakyat seluruh
negeri menentang penjajah British. Tindakan membunuh orang2 kulit putih dan
askar2 upahannya berlaku di sana sini. Dengan demikian banyaklah orang British
dan tentera upahannya terbunuh.
Di bawah pengaruh peristiwa Semantan, di Jengka Pahang telah
meletus pertempuran2 yang hebat. Panglima Datok Muda Lope bersama pengikut2nya
menyerang askar2 British tak kira siang malam. Peperangan Jengka berlangsung
selama 3 bulan. Mereka bertempur dengan senjata kuno dan membasmi musuh di mana
sahaja mereka jumpai. Tentera penjajah British menderita kemalangan yang teruk.
Mereka terpaksa mendatangkan bantuan yang jumlahnya berlipat kaliganda lebih
banyak daripada kekuatan Panglima Muda Lope.
Tentera penjajah British terus menerus melakukan serangan ke
atas kubu2 pertahanan pejuang2 Jengka yang bertempur bermati2an melawan tentera
British itu. Malangnya Panglima Muda Lope terkena tembakan musuh dan gugur
sebagai pahlawan. Pejuang2 Jengka terpaksa mengundurkan diri dari medan
pertempuran.
Peristiwa Semantan juga bergolak sampai ke Selangor. Di
banyak tempat telah bermunculan gerakan menyokong perang Bahaman. Pada 25
Januari 1892, orang2 Pahang di Selangor dan penduduk tempatan yang bersenjata
telah muncul di Ulu Langat, Semenyih, Ulu Ampang, Batu (di sebelah atas Dusun
Tua) dan tempat2 lain. Baginda Miun (Penghulu Kelang) bernama Raja Lahab
(menantu Datok Bahaman) telah menyusun orang2 Minangkabau di Selangor dan
menjadikan tempatnya sebagai tumpuan gerakan sulit. Banyak ketua daerah ada
hubungan dengan Datok Bahaman melalui gerakan di Bentong. Orang2 Minangkabau
dan Rawa yang menetap di sekitar sempadan Selangor – Pahang yang sudah lama
berhubungan rapat dengan Datok Bahaman semakin aktif memberikan sokongan. Akan
tetapi pada bulan Ogos 1892, kerana kebocoran rahsia, penjajah British telah
membuang negeri Baginda Miun ke tempat asalnya iaitu Padang, Sumatera.
Sebelum peristiwa Semantan, penentangan2 terhadap penjajah
British di Ulu Pahang telahpun meletus silih berganti. Selepas peristiwa itu
penentangan tersebut menjadi lebih hebat lagi.
Waktu didirikan pejabat Daerah Kuala Lipis, Orang Kaya Haji
Wan Daud bersama pengikut2nya telah melawan penjajah British secara kekerasan.
Pegawai British memerintahkan tali barutnya menembak mati Haji Wan Daud secara
rahsia. Pada pertengahan tahun 1891, penduduk2 di daerah Penjum menentang undang2
kerahan penjajah British. Pada 18 Januari 1892, seorang pegawai British telah
ditembak dan seterusnya pada 6 April, 2 orang pegawai British telah dibunuh
oleh orang ramai di Sungai Duri. Pada 14 April, Mat Kilau telah membawa 150
orang pengikutnya dari Budu, kemudian bergabung dengan 300 orang dari Jelai
untuk menyerang Kuala Lipis, tapi rahsia terbocor. Tok Raja Jelai telah
berkhianat bekerjasama dengan Clifford menggagalkan serangan itu.
Untuk menyekat pemberontakan di Ulu Pahang daripada
berkembang luas, penjajah British merancang hendak menangkap dan menghukum Mat
Kilau yang berumur 20 tahun itu. Ia menyuruh talibarutnya membunuh 5 orang
Tionghua rakyat British lalu memfitnah konon Mat Kilau yang melakukan
pembunuhan itu. Kemudian penjajah British menghantar satu pasukan tentera dan
polis untuk menangkapnya. Ini menjadikan Tok Gajah sangat murka.
Apabila pasukan tentera dan polis musuh sampai hendak
menangkap Mat KIlau pada awal bulan Mei 1892, maka Tok Gajahpun bertindak ke
atas musuh itu. Perintah perang melawan penjajah Britishpun diisytiharkan oleh
Tok Gajah. Perintah tersebut segera disambut oleh rakyat Budu dan Pulau Tawar
khasnya dan rakyat Kuala Lipis amnya. Mereka bangkit beramai2 mengangkat
senjata.
Setelah Ulu Pahang menjadi medan perang antara kaum tani yang
dipimpin oleh Tok Gajah dan Mat Kilau melawan penjajah British, maka Tok Gajah
dan Mat Kilaupun menyusun panglima2nya untuk memimpin perang di berbagai tempat. Di antaranya yang terkemuka
ialah Imam Perang Yusof, Tok Muda Ishak, Bilal Deris, Mat Tahjir, Pahlawan
Lawi, Panglima Ali dan Tok Imam Yusof.
Setelsh itu penjajah British pun menghantar askar2nya
menyerang pasukan bersenjata Tok Gajah - Mat Kilau. Akan tetapi di tengah jalan
askar2 itu diserang hendap oleh pasukan Tok Gajah - Mat Kilau. Banyak askar
musuh yang mati. Menurut cerita rakyat, kain serban askar Sikh yang mati itu
berkereta2 lembu banyaknya. Dalam peperangan kali ini isteri Tok Gajah bernama
Che’ Jebah dengan bersenjatakan keris turut bertempur bergandingan bahu dengan
suami dan anak2nya iaitu Mat Kilau, Teh Ibrahim dan Awang Nong.
Perang Tok Gajah – Mat Kilau itu hebat sekali. Kekalahan
teruk yang dialami kekuatan Clifford menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan
Kerajaan British. 300 orang tentera didatangkan British dari Perak dan Selangor
melalui jalan Kuala Kubu. Apabila diketahui oleh Tok Gajah dan Mat Kilau,
mereka pun segera menghantar pasukannya menyerang hendap dipertengahan jalan.
Dalam serangan itu mereka telah berjaya membunuh 60 orang lebih askar British.
Kerana berturut2 menderita kekalahan di Ulu Pahang, penjajah
British telah mengambil langkah untuk menakut2kan rakyat serta mengkebulurkan
pasukan Tok Gajah – Mat Kilau. Pada 18 Mei 1892 Walker dan Clifford bersama 155
orang pegawai dan askarnya melancarkan serangan ke atas Kampung Budu dan
kawasan sekitarnya lalu membakar rumah2
dan harta benda rakyat. Segala tanaman dibinasakan dan binatang ternakan habis
ditembak mati. Keganasan yang luar biasa kejamnya itu telah menimbulkan
kemarahan yang meluap2 kaum tani. Mereka beramai2 berundur ke dalam hutan
menggabungkan diri dalam pasukan Tok Gajah – Mat Kilau.
Setelah meletusnya Peristiwa Semantan pada 17 Disember 1891,
Bahaman telah mengingatkan rakyat bahawa penjajah British tentu akan menyerang
untuk memaksa rakyat menyerah kepadanya. Beliau lalu menyeru rakyat bersiap
sedia membuat kubu dan parit.
Dalam penyusunan semula pasukannya Bahaman telah menaikkan
pangkat 7 orang panglima perangnya yang utama yang sentiasa berada di sisinya.
Mereka itu terdiri daripada pahlawan dan panglima perang yang berpengalaman.
Umpamanya, Panglima Besar Majid ialah panglima lama yang kanan, sangat
terkenal, banyak kali mengikut Bahaman dalam perang dan banyak menegakkan jasa.
Begitu juga panglima2 Raja Awang Ishak, Imam Perang Yaman, Pahlawan Tayor, Tok
Muda Nur, Mat Saleh dan Imam Adam. Selain itu beliau juga telah melantik
beberapa orang panglima lagi untuk kawasan Temerloh, Mentakab, Karak dan
Bentong bagi memimpin perang di sana.
Pada 29 Disember 1891, dengan menggunakan nama sultan,
Clifford membawa Tengku Mahmud dengan 200 orang pengikutnya yang bersenjata
serta 60 orang polis bangsa Sikh menyerang Datok Bahaman di Mempatih. Akan
tetapi serangan itu gagal. Apabila sampai di Kelubi ia telah diserang secara mengejut
oleh pasukan Datok Bahaman. Mengambil
kesempatan itu orang2 bersenjata pengikut Tengku Mahmud telah
memberontak dan membunuh kesemua 60 orang polis Sikh itu. Ketika mereka hendak
membunuh Clifford, mereka segera dilarang oleh Tengku Mahmud dengan berkata
“jangan durhaka kepada sultan”.
Di Temerloh, Ketua Polis British Sebaraw dengan persetujuan
penguasa tertinggi British telah menawarkan hadiah 1,000 ringgit kepada sesiapa
yang dapat menangkap Bahaman hidup atau mati. Pada awal Januari tahun 1892
Sebaraw memerintahkan satu pasukan seramai tidak kurang 300 orang mudik menuju
Kampung Datok Bahaman di Mempatih. Kedatangan askar2 musuh itu telah diketahui
oleh orang ramai lalu dimaklumkan kepada Datok Bahaman. Beliau segera menghantar sepasukan 50 orang
lebih menghendap di tepi jalan yang akan dilalui musuh itu. Mereka menyamar
tubuh masing2 dengan daun nyiur yang diselitkan dipinggang. Beberapa das
tembakan ke kiri dan ke kanan telah mereka lepaskan. Waktu askar musuh sedang
kucar kacir bertembakan sesama sendiri, pasukan besar yang dipimpin oleh Datok
Bahaman segera menyusul. Mereka menyerbu musuh dari belakang. Banyak askar
musuh mati. Saki bakinya melarikan diri. Dengan demikian serangan pertama
tentera penjajah British telah dikalahkan dan perang permulaan kaum tani
mendapat kemenangan. Datok Bahaman dengan rasminya mengisytiharkan “perang
rakyat melawan Inggeris bermula!”
Kejadian tersebut telah menimbulkan berbagai reaksi. Pada
awal Januari 1892, pegawai2 tinggi
tentera British memutuskan untuk menghantar pasukan2 dari Rejimen Ke-58 askar
British ke Pahang. Maxwell, Setiausaha Tanah Jajahan British telah memberitahu
Graigle mengirim kapal perang Hyacinth dan Plover ke Pahang dan tiba di Pekan
pada 13 April 1892. Pegawai2 British mengakui bahawa askar2nya hanya boleh
berperang di lapangan terbuka sahaja, tapi tak sesuai dengan pertempuran hutan,
lebih2 lagi jika bertempur di kawasan sungai; sedangkan pasukan Datok Bahaman
mempunyai taktik perang yang mengkagumkan. Selepas kemenangan permulaan itu
pasukan Datok Bahaman di Semantan telah berkembang dari 200 orang menjadi 600
orang, termasuk Orang Asli.
Datok Bahaman mempunyai taktik2 perang yang bijak seperti
taktik perang bertahan, perang perkubuan, serang hendap di darat dan sungai,
serang mengejut, serang mengacip, perang medan dan lain2. Inilah cara yang
digunakannya dalam menghadapi penjajah British yang merupakan kuasa penjajah
terkuat di dunia pada zaman itu.
Pada awal bulan Mac 1982, Datok Bahaman telah memimpin 200
orang kekuatan bersenjatanya menawan rumah Pasung Lubuk Terua. Mereka berhasil
membasmi 30 orang polis dan merampas 24 pucuk senapang beserta alat kelengkapan
yang lain. Pada pertengahan bulan yang sama, Clifford dan Wise bersama Tengku
Ali (anak Sultan) membawa 300 orang untuk menghukum penduduk Kampung Bolok dan
Chempaka kerana menyokong Bahaman. Mereka membakar hangus rumah2, harta benda
dan tanaman rakyat. Walau bagaimanapun, pada akhir bulan April tahun itu,
seramai 200 orang askar British yang ditempatkan di Semantan telah mengundurkan
diri. Ini justeru kerana pasukan Bahaman telah menyekat perbekalan mereka yang
dihantar melalui sungai. Dalam pengunduran, askar musuh itu banyak yang mati
kerana diserang hendap oleh pasukan Datok Bahaman. Tak lama kemudian pasukan
Datok Bahaman telah melancarkan pula satu serangan penting ke atas ibu pejabat
polis Temerloh dengan membasmi banyak musuh dan merampas lebih kurang 100 pucuk
senapang.
Untuk menghadapi pasukan Datok Bahaman yang mencapai
kemenangan demi kemenangan itu, penjajah British telah mengubah taktiknya. Pada
7 Mei tahun 1892, ia telah melancarkan apa yang disebut “Gerakan Sultan Ke-2”
di mana Clifford, Sultan Ahmad beserta Orang Kaya Chenor, Orang Kaya Temerloh
bersama seribu pengikut Sultan datang ke
Semantan menjalankan taktik rangkap membujuk dan menyerang Datok Bahaman. Dalam
tindakan ini orang2 Datok Bahaman telah dapat menawan Clifford. Akan tetapi,
sultan berkali2 meminta supaya Clifford jangan dibunuh. Akhirnya ia dibebaskan
oleh orang2 Datok Bahaman.
Pada pertengahan tahun 1892, 30 buah perahu berisi 300 orang
askar British datang dari Temerloh untuk menyerang mempatih. Tetapi di Kuala
Dal, Datok Bahaman sudah menyediakan 50 orang hulu balangnya yang terdiri
daripada perajurit Melayu dan Orang Asli menghadang musuh. Mereka telah
memasang berlapis2 perangkap rantai besi yang direnggang merintangi Sungai
Semantan. Apabila perahu2 musuh itu melintasi saja, maka perangkap2 itupun
dibingkaskan oleh perajurit2 yang berjaga di kubu masing2. Perahu2 mereka habis
terbalik. Banyak musuh yang mati dan lemas, mana yang hidup atau tahu berenang
terkena pula panah dan sumpit Orang Asli yang menunggu di tebing sungai.
Setelah semua askar British dibasmi di Kuala Dal, penjajah
British menghantar pula beratus2 askar bantuannya menyerang kubu Datok Bahaman
di Madah. Di sepanjang jalan, barisan hadapan musuh banyak yang mati dan luka
diserang secara mengejut oleh pasukan gerila manakala barisan belakangnya yang
merangkak2 maju dalam keletihan dihentam pula oleh pasukan yang dipimpin Datok
Bahaman sendiri. Dalam perang itu, Tok Bah, isteri Datok Bahaman turut
bertempur manakala Hasan Tahmidz ditugaskan mengetuai pemunggahan barang2
makanan dan mengundurkan kaum wanita,
kanak2 serta orang2 tua ke perkubuan garis belakang di Ulu Teris.
Setelah berperang selama 3 hari 3 malam mempertahankan kubu
Madah, barulah pasukan Bahaman berunndur ke Ulu Teris. Askar2 British ikut di belakang
mereka. Pertempuran Ulu Teris berlangsung selama 1 bulan, hampir 100 orang
askar penjajah mati, manakala di pihak Bahaman 30 orang terkorban. Datok
Bahaman berjaya memukul mundur musuh dan mempertahankan kubunya.
Di satu medan perang di selekoh Sungai Penjuring (sekarang
menjadi estet Bentong), Datok Bahamana telah menghantar 6 orang panglimanya
iaitu Imam Adam, Ali, Jaihati, Awang Hitam, Dali dan Amid melakukan serangan
hendap ke atas 200 orang bala bantuan musuh yang didatangkan dari Selangor ke Raub.
Sebelum musuh sampai, mereka telah mengatur batu2 besar yang dibubuh pesawat di
lereng2 bukit yang curam. Apabila musuh tiba, tembakan dilepaskan 2, 3 das ke
hadapan dan 2,3 das ke belakang. Askar2 musuh menjadi kucar kacir bertembak2an
sesama sendiri. Akibatnya banyak yang mati dan luka2. Dalam pada itu pesawat
ketul2 batu itupun ditarik, sekali lagi banyak musuh yang mati dihempap dan
ditindih oleh batu2 itu. Kemenangan yang sangat cemerlang ini sangat
menggemparkan musuh tetapi menyemangati orang ramai di daerah itu. Datok
Bahaman sendiri telah datang ke Bukit Lengkong mengucapkan tahniah atas
kejayaan pasukan itu. Kekalahan musuh yang sangat teruk itu menyebabkan pegawai
tingginya tepaksa meminta bantuan dari Singapura.
Apabila Datok Bahaman mengetahui penjajah British telah
mendatangkan bantuannya dari Singapura,
beliau telah menghantar pasukan yang dipimpin Panglima Imam Adam menggali kubu
di Bukit Surau bagi menghentam musuh yang datang dari Selangor mengikut Genting
Sempah. Tak berapa lama datanglah Syed Manshor (pengkhianat perang Raja Mahadi)
membawa 500 orang askar musuh yang diketuai oleh Pemangku Residen British untuk
Selangor bersama dengan ketua polis Selangor. Musuh2 betul2 melintasi perkubuan
Bukit Surau. Sejurus kemudian pertempuran berlaku dengan hebatnya. Dalam
pertempuran ini Panglima Imam Adam telah terkena tembakan musuh. Beliau
terkorban dengan mulianya. Dengan demikian perkubuan Bukit Surau dapat ditawan
musuh. Pasukan Imam Adam berundur ke Bukit Sawa.
Kerana mencapai kemenangan, Syed Manshor yang sangat gembira
itu telah membawa askar musuh mara ke Bukit Kepung (sekarang ini menjadi rumah
persinggahan Bentong). Setelah mengetahui musuh berkhemah di sana, Datok
Bahaman segera memerintahkan pasukannya yang terdiri daripada orang Melayu dan
Orang Asli melakukan serangan balas. Semua Orang Asli di sekitar situ
diperintahkan oleh batin2 mereka berkumpul di Bentong untuk membantu serangan
balas itu. Pada hari pertama, perajurit Orang Asli saja telah berjaya membunuh
9 orang musuh dengan sumpit dan panah. Peperangan berlangsung selama 10 hari.
Menurut pihak Bahaman, musuh yang mati berjumlah 200 orang. Pasukan Bahaman
terus menerus menyerang saki baki tentera British hingga mereka hampir2 habis
dibasmi.
Di perkubuan Sungai Pelek, Datok Bahaman telah menyusun
semula pasukannya menjadi 2 bahagian iaitu berperang dan bahagian penyelamat.
Pertempuran membela kubu itu berlangsung dengan sengitnya. Dalam pertempuran
itu 18 orang musuh mati manakala di pihak Datok Bahaman 5 orang terkorban. Dalam
perlawanan ini, Tok Bah, isteri Datok Bahaman dengan bersenjatakan sundang
sekali lagi turut bertempur berhadap2an dengan musuh. Beliau memakai pakaian
lelaki. Manakala Datok Bahaman sentiasa memakai cawat, hampir menyerupai Orang
Asli. Tubuh badan dan kepalanya dipenuhi dengan akar dan daun ribu2, sedangkan
belakangnya menggalas ambung yang penuh berisi lembing.
Musuh yang tak berdaya menawan kubu Sungai Pelek terpaksa
mengundurkan diri. Dalam pengunduran itu ia telah membakar dan membinasakan
segala harta benda dan rumah rakyat. Ini menyebabkan kehidupan rakyat dan
pasukan Datok Bahaman menghadapi kesukaran. Untuk menghindarkan kelaparan Datok
Bahaman telah menghantar sebahagian pasukan penyelamatnya mengangkut perbekalan
dari Selangor.
Dalam keadaan pihak Datok Bahaman menghadapi kesukaran
perbekalan, penjajah British terus melakukan serangan hebat di beberapa tempat
seperti Benus, Ulu Janin, Jerguh, Cheka dan lain2. Walau bagaimanapun pasukan2
Datok Bahaman terus bertempur dengan sengitnya. Di Benus, 200 orang perajurit
yang dipimpin oleh Panglima Tok Muda Nur dan Pahlawan Tayor melawan serangan
500 orang askar musuh. Di Ulu Janin, Pahlawan Mat Saleh (adik ipar Datok
Bahaman) gugur dalam pertempuran perkubuannya. Di anak Sungai Cheka, pasukan
yang dibawa Datok Bahaman sendiri bertempur selama 1 bulan tanpa reda2nya. Pada
20 Julai 1892 beliau telah menyerang pasukan Fleming di Kuala Cheka.
Pertempuran berlaku selama 5 jam dan berhasil membunuh Fleming serta ramai
askarnya. Walauapun ramai musuh yang mati, tetapi bantuannya tak putus2
didatangkan. Oleh yang demikian Datok Bahaman memerintahkan panglima2nya di
berbagai kawasan medan perang agar mengundurkan pasukan masing2 ke suatu tempat
yang ditentukan.
Pada bulan Ogos 1892 kedua2 pasukan bersenjata kaum tani yang
masing2 dipimpin oleh Datok Bahaman dan Tok Gajah – Mat Kilau telah mengadakan
pergabungan di Tembeling. Pasukan2 ini telah disambut oleh orang Tembeling dan
sekitarnya dengan penuh kehormatan. Mereka diberi berbagai alat keperluan serta
ramai pula yang ikut mencampuri pasukan untuk melawan penjajah British.
Penggabungan ini telah menambah kekuatan pasukan Datok Bahaman dan sangat
menakutkan musuh.
Tak lama selepas penggabungan kedua2 pasukan itu tentera
penjajah British yang dipimpin oleh Wise 3 beradik melakukan serangan ke atas
perkubuan angkatan gabungan yang dipimpin Datok Bahaman di Jeram Ampai. Ketika
itu kekuatan beliau 500 orang, tak termasuk perajurit baru dari Tembeling.
Pertempuran yang masyhur itu berlaku selama 3 hari 3 malam. Banyak askar musuh
termasuk pengarahnya telah dibasmi. Pada hari pertama saja, Mat Kilau sendiri
telah membunuh 20 orang lebih askar musuh. Di pihak Bahaman 10 orang telah
terkorban.
Setelah pertempuran Jeram Ampai tamat, pasukan Datok Bahaman
dengan pantas beralih ke Bukit Kor, Batu Balai untuk melakukan serang hendap ke
atas musuh yang lari keluar. Hasilnya
banyak askar musuh yang mati dan luka2. Oleh yang demikian penjajah British
sekali lagi ditimpa kerugian berat.
Walaupun pasukan Datok Bahaman telah berperang dengan gagah
berani dan dapat membunuh ramai musuh di setiap medan pertepuran, akan tetapi
ditilik dari keadaan seluruh medan perang penjajah British lebih unggul. Ia
berupaya menambah bala bantuan dan senjatanya terus menerus serta masih mampu
manawan perkubuan Datok Bahaman. Sedangkan pasukan Datok Bahaman menghadapi
kesukaran perbekalan, penambahan perajurit baru dan pengkhianatan oleh
pembesar2. Dalam keadaan demikian, Imam Perang Yusof telah mengusulkan agar
pasukan berundur keluar dari Pahang. Usulan ini dipersetujui oleh Datok
Bahaman, Tok Gajah dan lain2 panglima. Tak lama kemudian mereka pun berundur ke
sempadan Pahang – Kelantan – Terengganu untuk mendirikan pangkalan perang yang
baru bagi meneruskan peperangan selanjutnya. Ketibaan 500 orang pasukan Datok
Bahaman di Ulu Kelantan telah mendapat sambutan hangat orang Melayu dan Orang
Asli di sana.
Sungguhpun Datok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan pasukan2
mereka telah berundur dari Pahang tetapi penjajah British tetap berpendapat
selagi mereka tidak dibasmi ancaman terhadapnya tetap ada. Maka itu penjajah
British telah menyusupkan ejen2nya ke kawasan tempat pasukan Datok Bahaman
berada. Di Ulu Kelantan, ejen2 British telah menyusun beberapa pertempuran
menyerang pasukan Datok Bahaman, tapi serangan2 tersebut dapat dipatahkan
dengan mudahnya. Dalam pertempuran itu banyak ejen musuh telah ditawan, tetapi
kemudian mereka diampunkan.
Kerana gagal membasmi pemimpin2 dan pasukan Datok Bahaman
dengan kekerasan, musuh dengan menggunakan ejen2nya telah melakukan siasat yang
lebih keji lagi. Mereka mengadakan jamuan kononnya untuk mengucapkan terima
kasih atas pengampunan dan budi baik Datok Bahaman membebaskan mereka, tapi
sebenarnya mereka bermaksud hendak meracuni Datok Bahaman dan lain2. Akibatnya
Tok Gajah dan Mat Kilau telah terkena racun, Mat Kilau meninggal dunia tetapi
Tok Gajah dapat diselamatkan.
Dari Ulu Kelantan, Datok Bahaman dan orang2nya telah beredar
ke Kuala Terengganu. Di sana Datok Bahaman telah disambut sebagai pahlawan.
Beliau telah mendapat sokongan kuat seorang ulama besar yang luas pengaruhnya
bernama Tuan Syed Abdul Rahman atau Tok Ku Paloh (guru kepada Haji Abdul Rahman
Limbong - pemimpin perang tani Terengganu). Tok Ku tersebut telah mengizinkan
Datok Bahaman menjadikan Paloh sebagai markasnya. Datok Bahaman juga telah
ditawarkan ratusan orang bakal tentera termasuk beberapa orang panglima, di
antaranya Panglima Mat Kelubi untuk menyerang balas ke Pahang. Selain itu
beliau juga mendapat bantuan bekalan, senjata dan peluru daripada Tok Ku Paloh.
Pada bulan Jun 1894, pasukan Datok Bahaman kembali ke Pahang
dan melancarkan serangan ke atas perkubuan musuh di Jeram Ampai, Ulu Tembeling.
Setelah berjaya menduduki Ulu Tembeling pasukan Datok Bahaman mara dan
menduduki pula Kuala Tembeling serta Kedondong dan tempat2 lain. Di bawah situasi yang baik ini banyak
pembesar yang sudah berkhianat itu khasnya Tok Raja Jelai dan Panglima Garang
Yusof di bawah suruhan British telah menjalankan taktik rangkapnya. Di satu
segi mereka berpura2 memberikan kerjasama kepada Bahaman – Tok Gajah; di segi
yang lain, mereka membuat persiapan menunggu ketibaan bantuan British untuk
melancarkan serangan balas secara besar2an.
Kerana penjajah British gagal mengalahkan Datok Bahaman di
medan perang, ia telah menggunakan pujukan dan ancaman memaksa Sultan Ahmad
mengadakan perjumpaan dengan Bahaman. Ketika itu pasukan kaum tani yang
dipimpin Bahaman sudah dapat bertapak semula di kawasan yang luas yang
memungkinkannya mencapai kemenangan di seluruh negeri. Akan tetapi, selepas
perjumpaan dengan Sultan Ahmad itu Datok Bahaman telah mengubah taktiknya.
Beliau telah mengeluarkan perintah kepada pasukan2nya supaya mengundurkan diri
dari kawasan2 yang dikuasainya itu. Beliau kemudian telah membawa pasukan itu
sekali lagi menuju ke Terengganu.
Setelah pasukan Datok Bahaman kembali ke Terengganu, melalui
Kerajaan Siam, penjajah British secara licik telah memaksa sultan Terengganu
mengusir Datok Bahaman dan pasukannya. Pada masa itu Tok Gajah telahpun
meninggal dunia.
Datok Bahaman telah beredar pula ke Kelantan. Sebelum
bertolak ia telah menghimpunkan orang2nya termasuk Orang Asli. Beliau telah
mengizinkan mereka mengambil keputusan masing2 sama ada hendak pulang ke Pahang
atau tinggal terus di Terengganu mengikutinya. 200 orang pengikutnya tidak mahu
berpisah dengan beliau dan telah pergi ke Kelantan bersamanya.
Sesampainya Datok Bahaman di Kelantan, penjajah British
memaksa pula Kerajaan Siam dan Sultan Kelantan supaya membuang negeri Datok
Bahaman ke Siam. Akibatnya, pada bulan November 1895, Datok Bahaman dan kira2
60 orang pengikutnya telah dibuang negeri ke Chiangmai, Siam Utara. Setelah
Datok Bahaman meninggal dunia di sana, pada tahun 1913 barulah Mat Lela, anak
beliau bersama 11 orang lagi kembali ke
Pahang, tanah tumpah darah mereka.
Sungguhpun perang Bahaman yang termasyhur dalam sejarah
perang tani itu telah gagal, tetapi erti penting dan pengaruhnya amat besar.
Lembaran sejarah cemerlang yang ditulis dengan darah perwira2 itu selamanya
menyemangati rakyat Pahang dan rakyat seluruh negara maju dengan gagah berani
demi kemerdekaan tanah air. Semangat dan tindakan mereka yang patriotik itu
menunjukkan watak luhur rakyat negara kita yang lebih rela berputih tulang
daripada menjadi hamba imperialism.
Mengenangi dan mempelajari kisah2 gemilang perjuangan mulia
melawan imperialism British yang hendak menakluki negeri Pahang yang dipimpin
oleh nenek saya Datok Bahaman bin Tok Noh inilah yang telah mengilhamkan saya
mewarisi tradisinya dengan menyambung cita2 wawasannya bangkit berjuang melawan
pendudukan imperialism British demi untuk kemerdekaan dan pembebasan bangsa,
agama dan tanah air kita yang tercinta!