POLEMIK SUMBANGAN GERAKAN KIRI DALAM SEJARAH PERJUANGAN KEMERDEKAAN


Dalam forum yang bertajuk “Perlukah Kita Mengubah Kandungan Buku Teks Sejarah?”, pihak penganjur telah menampilkan dua orang panel iaitu saudara Fahmi Reza dan saudari Fadiah Nadwa. Saudara Imran Rashid pula ditugaskan selaku moderator. Forum ini merupakan acara penutup kepada program mengenang pengisytiharaan Darurat pada tahun 1948 yang dilangsungkan selama tiga hari pada 27 hingga 29 Julai yang lepas.
Dalam forum yang bertajuk “Perlukah Kita Mengubah Kandungan Buku Teks Sejarah?”, pihak penga

Bermula dengan saudari Fadiah yang memberikan pandangan mengenai pengalamannya semasa mempelajari subjek sejarah di Maktab Mahmud, Alor Setar. Pada awalnya beliau begitu terinspirasi dengan kandungan buku teks yang menceritakan tentang kebangkitan rakyat tempatan dalam perjuangan menentang penjajahan British melalui perjuangan bersenjata di negeri-negeri Melayu. Mungkin saya boleh perincikannya dengan dimulai oleh Dol Said yang mempertahankan kedaulatan kerajaan Naning dalam peperangan selama 18 hari pada tahun 1831, seterusnya penentangan terhadap James Brooke di Sarawak oleh Sharif Masahor pada tahun 1843 dan Rentap pada tahun 1853, Datuk Maharaja Lela yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Residen British di Perak iaitu J.W.W. Birch pada tahun 1875, Yamtuan Antah di Seri Menanti pada tahun 1875, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau yang memimpin kebangkitan rakyat Pahang pada tahun 1891, diikuti Mat Salleh yang menentang Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) di Sabah pada tahun 1897, perjuangan Tok Janggut dalam memimpin rakyat Kelantan menentang dasar cukai dan peraturan tanah pada 1915 dan yang terakhir Haji Abdul Rahman Limbong yang membela pemberontakan bersenjata rakyat Terengganu kerana menentang cukai yang dikenakan oleh pihak penjajah British terhadap tanah yang dibuka untuk pertanian pada tahun 1928.

Semua peristiwa-peristiwa penentangan ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat heroik dan sehingga hari ini kita masih menilai tokoh-tokoh ini sebagai pejuang atau wira. Namun berlaku perkara yang agak pelik apabila perjuangan rakyat tempatan dalam memerangi penjajah British terutama selepas zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan dan keganasan sedangkan ketika itu jarak tempoh masa dengan perjuangan-perjuangan rakyat tempatan terdahulu seperti yang disebut di atas tidaklah terlalu lama. Contohnya pembunuhan Residen British di Perak, J.W.W Birch di Pasir Salak pada tahun 1875 dianggap sesuatu yang wajar, tetapi pembunuhan Sir Duncan Stewart oleh Rosli Dhobi di Sibu, Sarawak pada tahun 1949 dan pembunuhan Sir Henry Gurney di hutan berdekatan Bukit Fraser pada tahun 1951 oleh pasukan gerila PKM pula dilihat sebagai satu keganasan. Malah tokoh penjajah British itu telah diangkat sebagai wira sehingga namanya diabadikan di sebuah sekolah dalam negara kita.

Sebahagian rakyat yang mempunyai sentimen kebencian terhadap penjajah British telah memilih untuk meneruskan usaha penentangan dengan cara mereka sendiri. Maka telah muncul pertubuhan atau parti Melayu yang bersifat anti-kolonial bermula dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada April 1938 dan disusuli dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada Oktober 1945 serta beberapa anggota gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pada Februari 1946, Barisan Tani Malaya (BATAS) pada Julai 1947 dan Hizbul Muslimin pada Mac 1948. Pergerakan kumpulan-kumpulan ini ternyata tidak disenangi oleh pihak penjajah British. Malah mereka juga tidak mendapat sokongan daripada sebahagian besar golongan bangsawan Melayu dan juga sebahagian kakitangan kerajaan yang lebih memihak kepada pihak penjajah. Sejarah juga menyaksikan gerakan-gerakan kiri ini berjaya mendapatkan sokongan rakyat dibuktikan dengan peristiwa Hartal dan pelancaran Perlembagaan Rakyat oleh PUTERA-AMCJA sebagai alternatif kepada Perlembagaan Persekutuan yang dicipta oleh penjajah British yang disokong oleh UMNO pada waktu itu.

Kemuncaknya, melihat kepada peningkatan sokongan rakyat tempatan terhadap gerakan-gerakan kiri ini, PKMM dan seluruh anggota gabungan di bawahnya serta pertubuhan-pertubuhan lain yang berjuang menuntut kemerdekaan secara mutlak telah diharamkan apabila pihak British mengisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948. Keadaan ini kononnya berpunca daripada pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa British iaitu Aurthur Walker, John Allison dan Ian Christian di Ladang Elphile, Sungai Siput pada 16 Jun 1948. Berlaku juga pembunuhan seorang pekerja di Ladang Senai, Johor dan seorang kontraktor berbangsa Cina di Taiping, Perak. Kejadian-kejadian ini membolehkan pihak penjajah British menggunakan pihak polis untuk menangkap, memenjara dan menghukum sesiapa sahaja yang terlibat dengan sebarang pertubuhan yang menentang mereka. Malah lebih dahsyat lagi, antara mereka yang ditangkap itu telah dijatuhkan hukuman mati. Keadaan panik tersebut telah menyebabkan sebahagian daripada aktivis-aktivis gerakan kiri terpaksa membuat pilihan sama ada ditangkap kemudian dihukum oleh pihak penjajah British ataupun melarikan diri ke dalam hutan. Pada saat dan ketika itu, satu-satunya pergerakan yang menawarkan kerjasama untuk membantu pejuang-pejuang berhaluan kiri ini adalah Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempunyai pengalaman dalam perjuangan menentang pendudukan British dan Jepun di Tanah Melayu sejak awal penubuhannya sekitar tahun 1930.

Saudari Fadiah memfokuskan bicara beliau kepada gerakan nasionalis kiri Melayu yang dibawa oleh Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai oleh Ahmad Boestamam serta intipati perjuangan politiknya dan mengakhiri perkongsiannya dengan berpendapat kandungan buku teks perlu bersifat lebih adil dalam menampilkan peranan pertubuhan atau gerakan kiri dalam perjuangan menentang penjajahan. Ya betul PKM juga mempunyai peranan dalam perjuangan gerakan kiri namun saudari Fadiah sama sekali tidak menyentuh secara langsung mengenai PKM dan jauh sekali mahu mengatakan beliau mengagungkan ‘komunis’ dalam forum tersebut.

Saudara Fahmi Reza pula memulakan bicaranya dengan melontarkan satu persoalan iaitu adakah wajar buku teks sejarah di sekolah dijadikan alat propaganda oleh parti pemerintah. Melalui paparan skrin, beliau menunjukkan isi kandungan buku teks sejarah tingkatan 3 yang telah menceritakan tentang UMNO sebanyak 10 muka surat dan tidak ditampilkan sama sekali peranan pertubuhan-pertubuhan lain. Cerita mengenai PKMM ditulis sedikit sahaja di dalam satu perenggan dan fakta mengenainya pula adalah salah. Menurut saudara Fahmi, peristiwa Hartal pernah dimasukkan dalam kandungan buku teks sejarah semasa beliau bersekolah dahulu sebelum dibuang pada versi yang seterusnya. Dalam teks tersebut dinyatakan Hartal yang dilancarkan telah gagal dan ianya berbeza dengan sumber-sumber lain yang mengatakan gerakan tersebut telah berjaya di mana di seluruh Malaya telah berlaku tindakan protes oleh rakyat yang bertidak menutup perniagaan dan menghentikan aktiviti-aktiviti ekonomi mereka.

Beliau kemudian mendedahkan identiti penulis buku teks tersebut iaitu Dr. Ramlah Adam yang merupakan Ahli UMNO dan baru-baru ini juga telah tampil selaku panel dalam forum anjuran Sinar Harian yang membincangkan tentang masa depan UMNO. Kemudian saudara Fahmi Reza telah berkongsi pengalamannya berforum bersama Dr. Ramlah Adam dalam satu rancangan RTM di mana beliau telah bertanya satu soalan, mengapa dalam buku teks sejarah tidak menulis tentang perjuangan gerakan-gerakan kiri. Menurut saudara Fahmi, Dr. Ramlah Adam telah menjawab bahawa penulisan buku teks perlu mengikut ‘panduan’ daripada pihak atasan iaitu Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Persekutuan. Sehingga akhir bicara, saudara Fahmi juga tidak menyentuh secara langsung mengenai PKM. Beliau berpendapat mana-mana parti politik yang memerintah tidak sewajarnya menjadikan kandungan buku teks sebagai alat propaganda mereka.

Apabila masuk sesi soal jawab, sekumpulan individu yang mendakwa terdiri daripada admin facebook page ketenteraan (tidak pasti rasmi atau tidak. Harap Kementerian Pertahanan boleh siasat) secara tiba-tiba telah bertindak memekik-memekik dan menjerit-jerit dengan mula menyentuh tentang kekejaman PKM. Satu pujian kepada moderator saudara Imran Rashid yang telah berjaya mengawal keadaan dengan baik. Beliau menjelaskan, forum tersebut adalah satu platform untuk semua pihak berbincang dan menyatakan pandangan masing-masing dan bukannya tempat untuk bergaduh. Oleh itu tidak perlu melakukan provokasi dan boleh bertanya dan berdiskusi dengan nada yang tenang tanpa perlu marah-marah. Saudara Imran juga mencadangkan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan forum tersebut dipersilakan untuk membuat forum mereka sendiri yang membolehkan mereka bercakap dan menerangkan pandangan mereka sepuas-puasnya. Selepas ini juga mana-mana pihak boleh menganjurkan forum-forum lanjutan sebagai kesinambungan kepada topik yang dibincangkan. Bukannya dengan cara membuat kacau seperti samseng di majlis anjuran pihak lain hanya kerana tidak bersetuju dengan pendapat seseorang. Malah saya juga boleh katakan keadaan menjadi terkawal kerana tidak ada pihak yang ‘menyambut’ kebiadapan kumpulan ini dan tidak berlaku sebarang pergaduhan mulut mahupun fizikal. Orang ramai yang hadir dalam forum tersebut terdiri daripada pelbagai kaum dan juga orang-orang luar negara hanya bersikap tenang. Tindakan kumpulan tersebut hanya memalukan orang Melayu dan agama Islam yang sepatutnya lebih tahu soal adab dan akhlak yang diajar dalam agama. Saudara Fahmi Reza juga mengatakan kepada kumpulan tersebut sekurang-kurangnya mereka tidak perlu menghadapi ‘penderitaan’ yang beliau pernah alami. Disebabkan mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza, beliau pernah ditangkap, didakwa dan didenda oleh pihak mahkamah semasa zaman pemerintahan rejim terdahulu.

Program tersebut adalah untuk mengenang 70 tahun Darurat 1948 yang merupakan peristiwa hitam buat aktivis-aktivis gerakan kiri. Saudari Fadiah tegas mengatakan dalam peristiwa tersebut, pihak penjajah British dengan sengaja memilih untuk tidak mengisytiharkan perisiwa tersebut sebagai peperangan dan berselindung dengan istilah ‘emergency’ atau ‘darurat’ sedangkan keadaan pada waktu itu bukan sekadar keadaan kacau bilau tetapi adalah satu peperangan kerana berlaku serangan demi serangan termasuk penggunaan pesawat tentera oleh pihak tentera bersekutu yang menggugurkan bom di kampung-kampung yang dipercayai penduduknya membantu pergerakan PKM. Ia dipengaruhi oleh faktor ekonomi kerana mereka tidak mahu menanggung kerugian kerana ladang-ladang dan lombong-lombong bijih timah yang diinsurankan oleh syarikat-syarikat British. Kebanyakan polisi telah memasukkan klausa untuk mengecualikan pembayaran pempasan terhadap kerugian yang dialami disebabkan peperangan (Mukhriz Mat Rus 2018, 4-5).

‘Komunis’ merupakan satu perkataan yang agak sensitif bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Apabila timbul sahaja sebarang isu yang melibatkan penggunaan istilah komunis, maka secara tiba-tiba muncul pelbagai pihak yang membangkitkan isu keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) terutama dalam peristiwa ‘pemerintahan’ selama 14 hari diikuti dengan sejarah panjang perseteruan di antara pasukan gerila PKM dengan pihak penjajah British bermula pada pengisytiharaan darurat pada tahun 1948 dan disambung pula dengan peperangan dalam negeri dengan pihak keselamatan negara selepas Malaya diisytiharkan merdeka pada tahun 1957. Peperangan yang berlanjutan selama 41 tahun ini hanya berakhir setelah selesai perjanjian damai yang dikenali sebagai Perundingan Damai Haadyai yang berlangsung pada 2 Disember 1989. Apabila berlaku peperangan, maka tidak boleh tidak, akan berlaku kematian di kedua-dua belah pihak dan juga mengorbankan orang-orang awam yang tidak berdosa. Ya dalam kebanyakan peperangan, angka korban paling besar adalah melibatkan orang awam.

Orang Melayu di Temerloh, Pahang antara yang paling ramai menganggotai pertubuhan-pertubuhan kiri yang diharamkan oleh pihak penjajah British. Ini disebabkan sentimen anti-penjajah yang telah tersemat dalam diri mereka sejak peristiwa Perang Semantan pada tahun 1892 yang menyaksikan peperangan antara pihak penjajah British dengan orang Melayu yang dipimpin oleh Dato’ Bahaman. Ramai yang diburu, ditangkap dan ada yang dijatuhkan hukuman mati. Perkara ini menyebabkan mereka berdendam dengan penjajah British dan memilih untuk mengangkat senjata dengan menyertai PKM tanpa memikirkan latar belakang pertubuhan itu. Manakala sebahagian besar golongan elitis dan para bangsawan Melayu yang pada ketika itu sedang menikmati pelbagai keistimewaan dan kesenangan sudah tentu bersikap anti kepada pihak komunis yang mahu mewujudkan sebuah negara yang menekankan kepemilikan bersama setiap harta dan kekayaan dalam negara. Mereka lebih sanggup meneruskan sistem yang dibawa oleh pihak penjajah Inggeris untuk memastikan kedudukan mereka tidak tergugat sama sekali.

Timbul pula persoalan mengapa PKM masih mengangkat senjata selepas kemerdekaan. Saya membuat kesimpulan bahawa punca utama adalah disebabkan gagalnya pemimpin kedua-dua pihak mencapai persetujuan damai dalam Rundingan Baling pada tahun 1955. Pihak kerajaan Malaya berkeras mahu pihak PKM menyerah kalah dan menahan semua anggota yang menyerah diri. Pihak PKM pula bersetuju untuk meletakkan senjata tetapi bertegas mahu pihak PKM dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah, anggotanya tidak ditahan dan sumbangan mereka dalam perjuangan mencapai kemerdekaan melalui perjuangan bersenjata diikitiraf. Satu pihak mendakwa Kerajaan Malaya yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman memang tidak mahu rundingan tersebut berjaya sebagai tekanan untuk pihak British segera memberikan kemerdekaan. Malah Tunku telah memungkiri janjinya mahu berunding sekali lagi dengan pihak PKM selepas beliau pulang dari rundingan dengan pihak British di London. Satu pihak lagi menuduh PKM melalui wakilnya Chin Peng sengaja meletakkan beberapa syarat supaya agenda mereka untuk menyebarkan ideologi komunis dalam kalangan rakyat dapat dicapai. Lalu siapakah yang berada di pihak yang benar?

Perang saudara atau perang dalam negeri ini telah berlaku di banyak tempat di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat, Russia, China, Sepanyol, Vietnam, Kemboja dan sebagainya. Malah perang saudara yang melibatkan pertembungan antara blok kapitalis dan blok komunis ini berlaku di Jerman dan Korea yang menyaksikan wujudnya Jerman Timur dan Jerman Barat serta Korea Utara dan Korea Selatan. Jika semua peperangan saudara perlu disusuli dengan dendam kesumat, adakah masyarakat di sesebuah negara yang pernah berlaku perang saudara di tempat mereka boleh hidup dalam suasana harmoni dan aman pada hari ini? Perang saudara ini memang terlalu menyakitkan dan menyedihkan. Ia adalah peperangan yang menyaksikan perseteruan dua pihak yang mempunyai pendapat, fahaman atau ideologi yang berbeza. Bayangkan bagaimana peritnya untuk berperang dengan satu pihak yang lain di mana adanya ahli keluarga kita di sana.

Jika di satu pihak mengatakan PKM telah banyak menyebabkan kematian di pihak mereka, di pihak PKM juga mereka boleh mengatakan perkara yang sama. Bagaimana secara tiba-tiba pihak British yang pernah membunuh pejuang-pejuang Melayu dalam banyak peperangan satu masa dahulu kemudiannya diangkat sebagai pihak yang baik dan suci? Menurut Mukhriz Mat Rus dalam bukunya Siapa Bukan Teroris?, ini adalah hasil kajayaan propaganda pihak British yang menjajah Tanah Melayu. Pihak PKM telah dipandang sebagai pengganas atau pengkianat disebabkan label 'bandits' (pengkhianat) dan 'terrorist' (pengganas) yang mula digunakan oleh pihak pentadbiran British di London pada tahun 1950. Ini adalah untuk mengelak daripada mana-mana pihak menggunakan istilah lain seperti 'insurgent', 'rebel' (pemberontak) atau 'enemy' (musuh) yang dikhuatitri akan memberi legitemasi kepada PKM, lantas menarik sokongan penduduk Malaya yang lain. Apatah lagi sentimen anti-kolonial dan seruan bagi mendapatkan kemerdekaan ketika itu sedang memuncak. Hasilnya, rakyat Malaya pada waktu itu telah mula termakan dengan momokan pihak penjajah British yang telah mengeluarkan arahan kepada semua dokumen atau warta kerajaan mestilah menggunakan istilah pengganas bagi menggambarkan pergerakan komunis. Tindakan itu semata-mata bertujuan untuk memburukkan PKM dan meragut sebarang legitimasi yang ada pada kumpulan itu (Mukhriz Mat Rus 2018, 16-18). Jika satu pihak mengatakan orang-orang Melayu yang menyertai PKM adalah pengganas dan pengkhianat, bagaimana pula dengan orang-orang Melayu yang menyertai pasukan polis dan tentera dengan berkhidmat untuk penjajah British yang juga mempunyai ‘saham’ dalam penindasan dan pembunuhan orang-orang Melayu satu masa dahulu?

Pertikaian-pertikaian seperti ini sedikit pun tidak akan mendatangkan hasil yang baik dan positif. Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989 sepatutnya menjadi titik permulaan baru kepada rakyat Malaysia yang seharusnya menjadikan peristiwa hitam yang pernah berlaku sebagai pengajaran dan bersifat saling memaafkan. Antara perkara penting yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut adalah penamatan aktiviti dan pasukan bersenjata oleh pihak PKM, mana-mana anggota PKM boleh memilih untuk pulang ke Malaysia atau menetap di Thailand sebagai seorang warganegara yang bebas, tidak akan ditahan atau didakwa di atas sebarang tindakan lampau mereka sepanjang perjuangan bersama PKM, berhak menyertai atau menubuhkan parti politik serta pemberian pelbagai bentuk bantuan oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand kepada bekas anggota PKM dalam tempoh tiga tahun pertama selepas perdamaian untuk memulakan kehidupan baru. Pihak PKM menganggap ini adalah satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pihak.

Menyingkap kembali sejarah bagaimana semasa rundingan damai peringkat tinggi pusingan pertama (rundingan berlangsung tiga pusingan pada peringkat rendah dan lima pusingan pada peringkat tinggi) antara pihak kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Tan Sri Rahim Noor dengan pihak jawatankuasa pusat PKM di Phuket pada Februari 1989, perbincangan untuk mencapai perdamaian bertukar kepada pertikaman lidah antara dua pihak yang mengungkit kejadian-kejadian silam. Akhirnya wakil kerajaan Thailand iaitu Pengarah Operasi Bahagian ke-4 Tentera Diraja Thailand, Mejar Jeneral Kitti Rattanachaya yang merupakan pengerusi dan pemerhati telah mencelah dan memberikan nasihat supaya kedua-dua pihak tidak seharusnya berterusan tuduh menuduh dan mencari jalan supaya perundingan mencapai hasil yang diharapkan. Untuk berdamai tidak perlulah membongkar peristiwa pedih masa silam dalam konflik bersenjata yang memakan masa sehingga berpuluh-puluh tahun (Rashid Maidin 2005, 89-90). Mereka yang menyertai pasukan gerila PKM mempunyai sebab tersendiri terutama atas dasar keterdesakan yang berlaku pada waktu itu. Manakala anggota keselamatan negara seperti pihak polis dan tentera juga mempunyai sebab untuk memerangi PKM atas dasar melindungi dan menjunjung kedaulatan negara dan sewajarnya mereka ini terus dijulang sebagai wira negara.

Dalam sejarah umat Islam sendiri, perang saudara telah berlaku hanya beberapa tahun selepas kawafatan Rasulullah saw apabila dalam perang Jamal, sekumpulan umat Islam yang diketuai Saidatina Aishah r.a. telah berperang dengan tentera yang diketuai oleh khalifah ketika itu Saidina Ali r.a. Kemudian berlaku pula pertembungan antara kumpulan yang dipimpin oleh Saidina Ali r.a. dengan Saidina Muawiyah r.a. dalam perang Siffin dan berlanjutan sehingga pembunuhan targis cucu baginda Saidina Hussein r.a. Pertembungan-pertembungan ini telah menyebabkan berlakunya kematian pada kedua-dua belah pihak yang merupakan orang-orang Islam yang antaranya adalah sahabat-sahabat yang pernah hidup sezaman dengan Rasulullah saw. Lalu apakah pendirian kita umat Islam pada hari ini terhadap peristiwa tersebut? Mampukah kita menyalahkan satu pihak dan membenarkan satu pihak yang lain? Malah ulama’-ulama’ muktabar juga telah berpendirian bahawa peristiwa-peristiwa hitam ini adalah akibat daripada penghasut-penghasut yang sengaja mahu melihat perpecahan umat Islam dan umat Islam pada hari ni sewajarnya menjadikannya sebagai pengajaran yang perlu diambil iktibar.

Penglibatan orang Melayu di dalam PKM telah menyebabkan timbulnya polemik tentang akidah mereka disebabkan ideologi komunisme atau sosialisme ini sering dipandang serong oleh kebanyakan rakyat Malaysia sejak dahulu lagi. Jika perkataan komunis lebih dilihat sebagai fahaman yang berbentuk keganasan, sosialis pula ditafsir sebagai ideologi sesat yang terpesong daripada ajaran Islam. Walau apa pun hujah yang diberikan, sebahagian umat Islam di negara kita akan tetap menolak fahaman yang berasaskan pemikiran tokoh-tokoh komunis seperti Karl Marx, Joseph Stalin, Vladimir Lenin, dan Mao Zedong ini. Di negara kita, kesimpulan paling mudah yang diberikan tentang ideologi komunis adalah tidak beragama dan tidak mempercayai kewujudan tuhan. Jadi, apakah benar orang Melayu yang menyertai PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Kamaruzaman Teh, Abu Samah Mohd Kassim, Mat Indera dan ramai lagi telah meninggalkan ajaran Islam?

Abdullah CD ketika menjawab soalan dalam satu temu ramah mengenai anggapan komunis telah keluar dari agama Islam, beliau menerangkan bahawa fikiran anti-komunis sebenarnya ditimbulkan oleh penjajah British sebagai bapa kapitalisme. Pokoknya ideologi komunisme adalah musuh utama kepada kapitalisme. Orang-orang Melayu berhaluan kiri yang mahukan kemerdekaan mutlak dari pihak penjajah British bersikap tidak memusuhi ideologi komunisme secara umumnya. Manakala orang-orang Melayu yang lebih rapat dengan pihak penjajah khususnya UMNO yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, golongan elitis dan bangsawan memilih pendekatan anti-komunis. Dalam sejarah perjuangan untuk kemerdekaan tanah air, golongan nasionalis, komunis dan agama bersatu melawan pihak penjajah. PKMM yang dianggotai tokoh-tokoh nasionalis dan agama bekerjasama rapat dengan tokoh-tokoh komunis dalam PKM. Semua pertubuhan dan gerakan kiri telah membentuk gabungan yang dipanggil PUTERA-AMCJA. Di Indonesia, Presiden Soekarno memperkenalkan konsep NASAKOM iaitu kerjasama antara nasionalis, agama dan komunis. Dalam perjuangan bersenjata menentang penjajah pula, ramai agamawan yang menyokong dan menyertai pasukan Rejimen ke-10 PKM beranggapan perjuangan kumpulan ini merupakan satu jihad untuk membebaskan tanah air mereka dari cengkaman penjajah (Abdullah CD 2005, 13-14).

Dr. Mohamed Salleh Lamry pula dalam bukunya bertajuk Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan telah menulis:

“Satu perkara yang perlu diingati ialah pemimpin gerakan nasionalisme kiri Melayu yang merupakan kader dan pimpinan PKM ini tidak pernah meninggalkan agama Islam, jauh sekali mengatakan bahawa mereka tidak lagi beragama Islam. Mereka percaya terdapat keselarasan faham yang mendasar antara Islam dan komunis dalam beberapa perkara.Meskipun mereka mempelajari materialisme dialetik dan materialisme sejarah yang merupakan teras ajaran Marx, mereka hanya menggunakannya sebagai teori untuk menganalisis sejarah dan perkembangan masyarakat serta sebagai senjata perjuangan dan bukan sebagai akidah yang setaraf dengan agama. Dengan perkataan lain, mereka adalah komunis kerana mereka adalah kader dan pemimpin parti komunis, tetapi mereka terap beragama Islam. Mereka juga berjuang menentang penjajahan kerana berpegang pada faham internasionalisme dan nasionalisme. Walaupun mereka berjuang mengikut jalan komunis, tetapi hakikatnya mereka menggunakan PKM sebagai wadah untuk mencapai matlamat mereka sebagai orang-orang nasionalis yang tetap berpegang pada ajaran Islam. Fahaman Marxis-Leninis dan Mao Tze-Dong digunakan sebagai teori, strategi dan taktik perjuangan politik.”

Hari ini, setelah 28 tahun perjanjian damai berlangsung, adalah amat mengecewakan apabila melihat sebahagian besar masyarakat di negara kita berterusan mengecam bekas anggota PKM terutama anggota Melayu yang beragama Islam. Menuduh mereka sebagai pengkhianat negara, tidak percaya kepada kewujudan tuhan dan telah meninggalkan ajaran Islam ternyata satu fitnah yang maha dahsyat. Tuduhan-tuduhan liar ini begitu mudah disebarkan dan menyebabkan generasi muda hari ini begitu mudah terpengaruh dengan segala fitnah jahat yang sengaja dicipta bagi mewujudkan kebencian. Menjelang Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas, isu ini sekali lagi dimainkan apabila saudari Jamaliah Jamaludin yang merupakan cucu kepada Shamsiah Fakeh diumumkan sebagai calon DAP bagi DUN Bandar Utama. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan perjuangan bersenjata mereka satu masa dahulu, adalah tidak adil untuk mempersoalkan akidah Islam mereka sehingga terdapat tuduhan mereka ini sudah murtad kerana berpegang dengan ideologi komunisme yang didakwa menolak agama dan menafikan kewujudan tuhan.

Sangkaan tetap tidak boleh menafikan realiti. Hakikat yang sebenarnya adalah semua anggota pasukan Rejimen ke-10 PKM yang beragama Islam masih mengekalkan akidah mereka sehingga akhir hayat. Sekalipun berhadapan dengan cabaran dan kesusahan terutama sepanjang perjuangan bersenjata mereka di dalam hutan, mereka masih berkesempatan melaksanakan kewajipan mereka sebagai seorang muslim sekalipun ianya agak terbatas dalam suasana darurat. Tiada sebarang larangan untuk anggota menjalankan kewajipan solat lima waktu sehari semalam dan berpuasa. Cuma dalam keadaan tertentu terutama sewaktu tempoh peperangan, sudah tentulah ada waktu dan ketikanya agak sukar bagi mereka untuk menjalankan ibadah dengan sempurna. Adakah umat Islam di Malaysia pada hari ini yang hidup aman damai tanpa halangan dan cabaran ibadahnya lengkap solat lima waktu dan cukup berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan? Tambahan pula, terdapat beberapa orang anggota pasukan Rejimen ke-10 PKM yang bukan beragama Islam telah memeluk agama Islam semasa tempoh tersebut seperti Liau Chin Sun (Rahim @ Mamat), Eng Ming Ching (Suriani Abdullah) & Ramasamy Letchumanan (Halim @ Asi).

Pada hari ini pemimpin Melayu utama dalam PKM yang masih hidup hanya Abdullah CD sahaja. Rakan-rakan beliau yang lain telah pergi menemui Ilahi seorang demi seorang sama ada semasa perjuangan bersenjata di dalam hutan mahupun selepas perdamaian. Kamarulzaman Teh meninggal dunia pada tahun 2002, seterusnya Rashid Maidin (2006), Shamsiah Fakeh (2008), Abu Samah Mohd Kassim (2009), Ibrahim Chik (2011) dan Suriani Abdullah (2013). Sekalipun kita tidak mahu mengiktiraf sumbangan mereka dalam usaha ke arah kemerdekaan negara, buanglah segala tohmahan dan gelaran-gelaran buruk terhadap mereka. Jika kita mendakwa mereka telah berdosa menyebabkan kematian ramai anggota keselamatan negara, di pihak mereka juga telah banyak nyawa yang terkorban akibat pertempuran yang berlaku. Kesimpulannya, kemasukan orang Melayu secara beramai-ramai ke dalam PKM bukanlah disebabkan kesemua mereka bersetuju sepenuhnya dengan ideologi komunis. Jauh sekali mahu mengagungkan tokoh-tokoh komunis, meninggalkan ajaran agama Islam serta menolak kewujudan tuhan. Tetapi keadaan pada waktu itu yang mendesak mereka untuk memilih PKM sebagai platform untuk mengelak dari ditangkap dan dikenakan hukuman oleh pihak British.

Untuk menulis semula buku teks sejarah, urusan tersebut perlu diserahkan kepada tokoh-tokoh akademik yang tidak ada kepentingan politik dan bukannya dilakukan oleh mana-mana pihak yang lebih bersifat emosi. Saya percaya sejarah yang menjadi pertikaian hanyalah beberapa bab yang terdapat dalam buku teks sejarah tingkatan 3 dan bukannya secara kesuluruhan. Mungkin saya boleh mencadangkan beberapa nama seperti Prof. Dr. Abdul Rahman Embong dan Prof. Dr. Mohamed Salleh Lamry yang mempunyai kepakaran dalam menulis beberapa buku dan penulisan mengenai sejarah gerakan-gerakan kiri di negara kita. Penulisan sejarah perlu bersifat jujur tanpa menyembunyikan fakta-fakta yang berlaku. Mengiktiraf sumbangan gerakan kiri dalam perjuangan kemerdekaan bukan bermaksud bersetuju dengan tindakan ganas dilakukan oleh sebahagian anggota PKM. Rakyat berhak untuk mengetahui bahawa perjuangan untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah British bukan hanya diperjuangkan oleh UMNO sahaja. Mengapa perbahasan mengenai sumbangan gerakan kiri dalam perjuangan kemerdekaan ini berterusan difokuskan kepada ‘kekejaman’ PKM tanpa mengira adanya tokoh-tokoh gerakan kiri yang tidak menyertai perjuangan bersenjata bersama PKM seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain yang bergerak melalui parti-parti politik yang sah seperti PAS dan PRM. Malah sebahagian aktivis-aktivis gerakan kiri telah memilih untuk menyertai UMNO sebagai platform untuk meneruskan perjuangan mereka seperti Tan Sri Aishah Ghani dan Tun Ghafar Baba. Jadi wajarkah kerajaan terdahulu cuba untuk menafikan atau memadam sumbangan mereka yang lain dalam sejarah kontemporari? Dr Syed Husin Ali dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Rakyat Malaysia telah menyebut, “Dalam mencapai tujuan untuk menyediakan sebuah buku Sejarah Rakyat Malaysia berkaitan perkembangan nasionalisme atau semangat kebangsaan:

Pertama, mengemukakan terutama sekali peristiwa-peristiwa, gerakan-gerakan, golongan-golongan dan tokoh-tokoh alternatif yang dianggap penting,akan tetapi biasanya tidak termasuk atau tidak diberikan liputan sewajarnya dalam Sejarah Rasmi. Yang lebih banyak diutamakan dalam sejarah rasmi ialah pelbagai peristiwa, gerakan, golongan dan tokoh berkaitan dengan yang menang khususnya daripada golongan atasan.

Kedua mengintegrasikan ke dalam Sejarah Alternatif sebarang peristiwa gerakan, golongan dan tokoh daripada kalangan rakyat ramai yang menyumbang secara beerti kepada sejarah negara. Dengan ini bermakna dipentingkan juga perspektif daripada golongan rakyat bawahan dan tidak mementingkan hanya perspektif dari golongan atasan ataupun elit yang memerintah. Pada umumnya ini lebih sulit dilakukan daripada mengemukakan Sejarah Alternatif. Maklumat mengenainya sangat kurang.”

Semua pihak boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan pendirian saya melalui penulisan ini. Tetapi ia bukanlah lesen untuk kita sebagai rakyat Malaysia bertindak keterlaluan terhadap mana-mana pihak yang berbeza dengan pendirian kita. Saya sendiri bukanlah seorang penyokong tegar ideologi komunis. Jauh sekali mahu mengatakan saya mahu mempertahankan tindakan-tindakan PKM sepanjang perjuangan mereka. Tetapi kita perlu bersifat terbuka dalam membuat pertimbangan dengan melihat, membaca dan mendengar dari sumber-sumber yang lain untuk mengetahui mengapa sesuatu pihak bertindak di luar batasan termasuk melakukan pembunuhan. Kerana berbeza pendapat, manusia boleh bertidak di luar kawalan seperti keji mengeji, label melabel dan seterusnya berlaku pergaduhan yang boleh melibatkan kematian. Dalam zaman serba moden ini, tidak perlu lagi wujud kumpulan-kumpulan ‘samseng’ yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa dan agama. Negara kita ada pihak berkuasa dan undang-undang. Jika ada mana-mana kumpulan tidak kira bangsa dan agama yang melampaui batas, laporkanlah pada pihak berkuasa untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang dan bukan mengambil tindakan sendiri dengan mengapi-apikan sentimen kaum dan agama kepada oarng ramai sehingga menimbulkan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan pandangan dan pendapat ini memerlukan kebijaksanaan untuk diuruskan dengan sebaiknya.

Sebagai penutup saya mengajak pembaca untuk menghayati kesimpulan saudara Mukhriz Mat Rus dalam bukunya Siapa Bukan Teroris?,

“Bukan teroris bukan semestinya bermaksud individu atau kumpulan itu bebas dari kesalahan atau layak dipuji. Kita harus keluar dari melihat sesuatu fenomena sosial secara hitam dan putih. Berwaspada dengan label adalah satu langkah untuk menumpukan kepada kandungan dan substansi sesuatu fenomena. Bahkan sejarah mengajar kita bahawa label teroris itu adakalanya bersifat sementara. Beberapa tokoh perjuangan kemerdekaan dulu dilabel sebagai teroris, tapi kini dijulang sebagai pejuang tanah air. Hakikatnya menafikan label teroris pada seseorang individu atau suatu kumpulan bukanlah bermakna kita menyokong mereka, tapi kita berusaha untuk melihat sesuatu perkara secara objektif dan adil, tanpa membiar diri dirundungi ketakutan tidak berasas”

Sekian.

Nur Hadi Mohamad

Rujukan:

Mukhriz Mat Rus, Siapa Bukan Teroris? (Ilhambooks 2018).
Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan (Penerbit UKM 2016).
Rashid Maidin, Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian (SIRD 2005).
Abdullah CD, Islam, Melayu Komunis (SIRD 2005).
Syed Husin Ali, Sejarah Rakyat Malaysia (SIRD 2017).

1 ulasan:


.

Bismillahir Rahmanir Rahim

https://keep.line.me/s/Lb8uYYKl0c45XfYhErKpES9VipJoa6sXmUwle-HBC7I

Web: almawaddah.info

Salam wa rahmah

Kepada;

Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic". Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan
Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin?
Terima kasih wa 'afwan.

Daripada;
Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
Kuala Lumpur
Malaysia.

Reply

Categories

Pengikut