RINGKASAN PERJALANAN HIDUP PAK HASSAN SALLEH KOMANDER VETERAN REJIMEN KE-10


Nama sebenar beliau ialah Hassan bin Salleh. Nama perjuangannya Waiming, Ayub dan Tok Ayah. Beliau dilahirkan pada tahun 1929 di Kampung Sungai Buluh, Mentakab, Pahang.

Beliau belajar Arab dan Quran dan Inggeris semasa sekolah Melayu dan meneruskan pelajaran ke sekolah pondok di Mentakab.

Tahun 1946 beliau terlibat dengan gerakan kemerdekaan yang dianjurkan oleh API. Setelah API diharamkan gerakan ini diteruskan oleh PETA. Beliau ikut serta dalam kerja2 propaganda, mengadakan sandiwara dan lain2 untuk membangkitkan semangat kemerdekaan rakyat.

Jun 1948 kerajaan penjajah yang menguasai Malaya mengisytiharkan Undang2 Darurat.  Ramai rakan2nya dari API, AWAS telah ditangkap dan sebahagian lagi  telah berunudr ke hutan membentuk pasukan gerila.  Beliau juga ingin menyertai perjuangan bersenjata, tetapi pihak organisasi menasihatkannya supaya  meneruskan kerja2 propaganda dan perhubungan di kalangan rakyat. Pada mulanya beliau berundur ke Lubuk Kawah kemudian balik ke Mentakab sesuai dengan kerja2 yang diberikan organisasi.

Julai 1948 kerana aktivitinya sudah diketahui oleh intelijen penjajah, beliau telah menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Keluarganya menyokong penuh perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan. Beliau bersama seorang anak saudaranya  Mohd. Ali (Suti) telah menyertai perjuangan bersenjata. Hanya seorang saja yang bersikap reaksioner menentang perjuangan ini.

Tahun 1952 beliau diterima menjadi anggota Parti Komunis Malaya. Tahun 1953 menjadi anggota pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 melaksanakan tugas perjalanan jauh bersama Bapa Abdullah C.D..
Perjuangan bersenjata di Malaya menghadapi tekanan yang amat berat dari tentera  penjajah. Allahyarham banyak kali bertempur dengan musuh dan telah memperlihatkan semangat yang cekal tak kenal tunduk di depan maut. Antara pertempuran menonjol yang diikursertai oleh beliau ialah pertempuran di Sungai Sekam pada 28 Januari 1954 di mana 40 orang perajurit gerila melawan 160 pasukan Golden British yang diagung-agungkan sebagai pasukan handalan dan berpengalaman dalam Perang Dunia Kedua.

Di awasan sempadan beliau membuat banyak pekerjaan yang diamanahkan seperti menjadi anggota pengawal kawan-kawan pimpinan, memimpin regu2 melakukan berbagai2 jenis pekerjaan dan pertempuran. Akan tetapi banyak usaha ditumpukan kepada memimpin regu penyusun massa (masworker). Boleh dikatakan banyak kampung2 Melayu di kawasan sempadan dari Yala, Patani dan Narathiwat adalah kawasan basis yang pernah disusun oleh belaiu.

Allahyarham juga adalah peminat kesenian tradisional Malayu. Beliau selalu mengajar kawan-kawan berkenaan kesenian tradisional seperti tarian, ronggeng, nyanyian, pantun dan lain2. Selain itu beliau juga ahli silat. Di majlis2 keramaian, beliau selalu mempersembahkan nyanyian, syair, tarian dan pencat silat sebagai hiburan kepada para perajurit.

Kerana semangat dan kecekapannya dalam perjuangan, pada tahun 1953 beliau dilantik menjadi Pembantu Ketua Seksyen dalam Pasukan Hang Jebat, 1958 dilantik menjadi Ketua Seksyen, 1962 dilantik menjadi Ketua Platun, 1970 dilantik menjadi Markas Pengarah, 1976 dilantik menjadi Anggota Area Komiti dan 1989 dilantik sebagai calon State Komiti.

Setelah perdamaian beliau memilih untuk menetap bersama Bapa Abdullah C.D. dan rakan seperjuangan yang lain di Kampung Perdamaian Sukhirin. Bersama kawan2 pimpinan dan rakan2 yang lain beliau membangun kampung halaman, mengusahakan sumber pendapatan keluarga dan lain2. Sebagai seorang anak pondok, beliau juga banyak memberikan sumbangan dalam memajukan Madrasah Darul Aman yang kemudian dinaik taraf menjadi Masjid Darul Aman.

Pada 24 September 2017, beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir kembali ke pangkuan Illahi dalam usia 88 tahun di kediamannya di Kampung Perdamaian Sukhirin.

Seumur hidup Allahyarham Hassan telah diabadikan kepada perjuagan untuk merebut kemerdekaan Malaya daripada cengkaman penjajah British. 

Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah Taala.

Semangat dan sumbangannya akan abadi dalam catatan sejarah perjuangan bangsa ini yang gagah berani melawan penjajahan demi kemerdekaan nasional dan pembebasan abadi.

lihat juga: http://matamin02.blogspot.com/2010/05/puisi-perajurit-pertempuran-di-sungai.html

Categories

Pengikut