KAWAN TUAH ANAK TEMERLOH BERSEMANGAT BAHAMAN


Kawan Tuah telah pergi menemui penciptanya pada pukul 3.00 am (waktu Thailand) tanggal 24 Jun 2017 di kediamannya Kampung Perdamaian Balok @ Ban Chulabhorn Patana 11, Daerah Kabang, Wilayah Yala, Selatan Thailand dalam usia 76 tahun. Beliau pergi dengan meninggalkan seorang isteri yang pernah sama2 berjuang suatu ketika dahulu dan seorang anak perempuan.

Nama sebenar Kawan Tuah ialah Mat Amin bin Awang Chik, lahir di Kampung Tualang, Temerloh Pahang pada tahun 1941. 

Tuah @ Mat Amin Awang Chik
Jun 1948 kaum kolonial Inggeris yang menguasai Malaya (kini Malaysia) telah memberlakukan undang-undang darurat di seluruh negara. Temerloh dan kawasan lembah Sungai Pahang yang subur dengan benih perjuangan menentang Inggeris pimpinan Datok Bahaman sekali lagi bergelora dengan perjuangan menentang Inggeris demi kemerdekaan tanah air. Abangnya Sulaiman Awang Chik telah menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10 pada tahun tersebut. Kerana semangat kebencian yang amat sangat terhadap penjajah British beliau ikut serta dalam perjuangan bersenjata menentang Inggeris pada pada tahun 1950 walaupun beliau masih kanak2. Beliau berkhidmat dalam Platun 1 di bawah pimpinan Kawan Abdullah C.D. Dalam perjuangan yang susah payah dan kusut masai semasa di Temerloh, beliau telah banyak kali menyertai pertempuran menentang tentera penjajah.

Tahun 1953 beliau ikut serta bersama Rejimen Ke-10 melakukan long march ke kawasan sempadan. Beliau bertugas sebagai penyusun massa. Selepas Sekolah Parti Pertama Utara Malaya yang diadakan pada tahun 1961 beliau ditugaskan membuka kawasan basis baru di kawasan khas di bawah pimpinan Kawan Rahid Maidin. Pekerjaan di kawasan khas mencapai kejayaan yang cemerlang, 1 kompeni darah baru dapat direkrut. Pada tahun 1973 Kawan Rashid Maidin telah membawa kompeni barunya ini bergabung dengan Rejimen Ke-10 di sektor timur kawasan sempadan. Pasukan ini dinamakan Pasukan Penggempur Ke-15 dan kemudiannya diubah pula kepada Kompeni Ke-23 Rejimen Ke-10. Kawan Tuah sebagai salah seorang pengasas kawasan Khas menjadi kader penting di Pasukan Penggempur Ke-15 dan Kompeni Ke-23 Rejimen Ke-10. Tugas kompeni ini ialah menyusun massa di sebelah menyebelah kawasan sempadan Thai Malaysia dan berkoordinasi dengan pasukan induk Rejimen Ke-10 atau Kompeni Ke-21 di pimpinan langsung Kawan Abdullah C.D..

2 Disember 1989 Rejimen Ke-10 memberhentikan perjuangan bersenjata di bawah suatu perjanjian bersama untuk perdamaian antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan PKM. Kepada bekas perajurit Rejimen Ke-10 diberi kebebasan memilih sama ada mahu menetap di Thailand ataupun balik ke Malaysia. Kawan Tuah memilih untuk menetap di Thailand. Beliau tinggal di Kampung Perdamaian Balok bersama Kawan Rashid Maidin manakala abangnya menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin bersama Abdullah C.D..

Kawan Tuah telah memberikan pengorbanan yang besar dalam hidupnya demi kemerdekaan dan kebebasan bangsa  dan tanah airnya. Abadilah Kawan Tuah bersama catatan sejarah perjuangan anti kolonialisme. Semoga perjuangan beliau mendapat restu Allah Taala.  

Categories

Pengikut