PERGINYA BEKAS PERAJURIT REJIMEN KE-10 KAWAN FAUZIAH

Kawan Fauziah, seorang bekas perajurit wanita Rejimen Ke-10 berasal dari kawasan sempadan telah pergi menghadap Illahi kira-kira pukul 4,00pm 27 Mac 2017 di kediamannya di Kampung Perdamaian Sukhirin @ Ban Chulabhorn Patana 12 dalam usia 69 tahun.

Kawan Fauziah yang nama sebenarnya Selamoh Samoh adalah seorang puteri terpuji Daerah Kabang, Yala menyertai perjuangan bersenjata pada akhir 1960-an. Sepanjang tempoh perjuangan tersebut beliau telah memberikan banyak sumbangan kepada usaha perjuangan Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan terutama dalam kerja menyusun massa dan membangun kawasan basis sempadan. Beliau juga merupakan seorang kader wanita yang memiliki berbagai kemahiran seperti perubatan, menjahit pakaian dan lain2.

Setelah termaterinya penandadatanganan persetujuan damai antara Kerajaan Diraja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya pada tahun 1989 beliau memilih untuk menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin bersama-sama pemimpin dan kawan seperjuangannya yang tercinta.

Bersemadilah dengan tenang dan aman di pangkuan Allah Taala. Perjuangan yang kau lalui akan sentiasa menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya.

Kami sanak saudara dan rakan seperjuangan di Kampung Perdamaian Sukhirin memanjatkan doa semoga Allah Taala meletakkan rohmu di kalangan orang2 yang dikasihiNya.

ALFATIHAH UNTUK KAWAN NOH




Kawan Noh
Hari ini seorang lagi bekas anggota Rejimen Ke-10 dari kawasan sempadan meninggal dunia kerana sakit tua. Beliau ialah Kawan Noh, seorang kader pertengahanan berasal dari Kampung Cabang Dua, Sungai Padi.
Setelah Rejimen Ke-10 menyusun kampung2 Melayu di sekitar Sungai Padi, Kawan Noh telah menyertai pasukan lasykar rakyat di Kampung kemudian menyertai pasukan. Beberapa tahun beliau berkhidmat dalam regu menyusun massa.
Tahun 1973, Ketika Pasukan Penggempur Ke-15 di bawah pimpinan Rashid Maidin ditubuhkan, beliau telah ditugaskan di pasukan itu sehingga perjuangan bersenjata ditamatkan dengan Perjanjian Persetujuan Damai tiga pihak antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya pada 21 Disember 1989.
Setelah kampung perdamaian sukhirin untuk bekas perajurit Rejimen Ke-10 didirikan, beliau berkhidmat sebagai khatib di Masjid Darul Aman.
Beliau meninggal dunia kerana sakit tua pada 2 Februari pukul 1.00 am waktu tempatan di kampung asalnya Kampung Cabang Dua, Daerah Sungai Padi.
Alfatihah buat arwah Kawan Noh, semoga Allah melimpahkan rahmatnya ke atas rohnya juga sedalam takziah untuk seluruh keluarganya.

Categories

Pengikut