UCAPAN SELAMAT HARI RAYA OLEH DR. BURHANUDDIN


SELAMAT HARI RAYA PUASA

Oleh: Dr. Burhanuddin


Dalam kuasa2 atau kerajaan2 besar diseluroh dunia sekarang memperjuangkan dengan hebatnya ideology masing2 selaku peperangan dingin. Dan disekitar tanah ayer kita dikelubongi dengan mendung dzarurat. Keadaan bangsa dan tanah ayer kita dalam dzarurat dan chemas. Pertarungan faham politik kebangsaan kita diantara kiri dan kanan.

Pertelingkahan dan keributan timbul pula dalam golongan kanan sendiri disebabkan anasir2 mempertopengkan kebangsaan untuk merebut kepentingan diri dan keroni, orang2 yang ta’mempunyai principle atau pendirian ta’kurang terkeliru dan dikelirukan…..

Dalam keadaan yang demikianlah kita menyambut Hari Raya. Sesudah kita berpuasa, melateh diri dan  mempertahankan jiwa sukma kita untok menchapai rasa dan ni’mat “Takwa”, satu bekal yang tulen suchi memberseh menyiram dan memandikan jiwa raga dan memasangkan perhiasan sabar, insaf dan tahan penderitaan, mengalahkan kepahitan angkara durjana nafsu dan shahwat.

Kejayaan  batin yang kita chapai dengan Taqwa itulah sumbar yang menimbulkan dan menjamin chiptaan kejayaan dzahir yang gemilang.

Kita membesarkan Allah dengan ingatan (zikir) takbir dan tahmid gemuroh memenohi suasana mesjid dan menara begitulah jua mestinya memenohi budi dan hati.

Oh! Di sekitar memperbaharui silatulrahim dan lawatan, di sana perajuri dan pemimpin2 bangsa dan agama kita yang telah terkorban, terasing, terusir dan ditahan, anak isteri mereka yang sedeh, pilu, dan rawan…. Mereka jadi begitu untuk menunaikan seruan ibu pertiwi “Hubbul watan minal iman.” Percayalah, iman yang teguh dan chita2 yang suchi saja yang kekal abadi yang dapat diperjuangkan terus menerus. Sabagaimana orang yang beriman itu sanggop menanggong sengit, pahit lapar, dahaga dan deritaan puasa. Kesengitan dan deritaan itu terus ditanggong hingga siap semporna menyambut Hari Raya ini dengan rasa renah hati yang taqwa dan jiwa yang berbahagia.

Tanggongan bangsa, nusa dan agama sedang ada di bahu kita dan  yang maseh menunggu di hadapan untok diselenggarakan, jaya dan selamat diselenggarakan tanggongan itu hanya oleh orang yang berhati suchi dan di atas chita2 suchi. Dengan semangat Hari Raya marilah dengan hati yang ria gembira kita sambut Hari Raya Puasa kita dan dengan sempananya kita  membaharui ‘azam, ketika disuatu pehak rebut perobahan sedang bertiup dan anak bulan di suatu pehak lagi bulan sabit (hilal) sedang berarak terbit, memperingatkan kita supaya bersiap sedia dan bergerak di atas dasar taqwa dan pimpinan dari Ilahi Rabbi menuju chita2 suchi bangsa, nusa dan agama.

Sumber: Majalah Kenchana, August 1949
dipetik dari :Pusat Sejarah Rakyat


AIDILFITRI 2016 DI KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

Hari Raya Aidillfitri di Thailand diisytiharkan jatuh pada 6 Julai 2016, masa yang sama dengan jirannya Malaysia. Di Kampung Perdamaian Sukhirin, yang terletak di wilayah Narathiwat Selatan Thailand hari lebaran ini dirayakan sebagaimana biasanya walaupun terasa sedikit kesepian kerana pemergian beberapa orang pemimpin yang dihormati dan dicintai oleh segenap warga.

Berikut adalah pilihan gambar suasana Aidilfitri di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12.
























SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


KINI DAN SILAM atas nama Abdullah C.D., segenap warga Kampung Perdamaian Sukhirin (Ban Chulabhorn Patana 12) di Wilayah Narathiwat, segenap warga Kampung Perdamaian Balok (Ban Chulabhorn Patana 11) di wilayah Yala dan di mana jua bekas anggota Rejimen Ke-10 yang tinggal di Selatan Thailand mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN kepada seluruh umat Islam di Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina dan di mana jua di muka bumi ini.

Kami juga tak lupa mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,  MAAF ZAHIR BATIN kepada segenap rakan seperjuangan beragama Islam, kepada kaum keluarga bekas perajurit Rejimen Ke-10 dan kaum keluarga para pahlawan yang telah mengorbankan diri di dalam perjuangan bersenjata.

Semoga ketibaan Aidilfitri tahun ini membawa rahmat dan berkat untuk semua.

Categories

Pengikut