MERAIKAN HARI JADI KE-93 TAHUN BAPA ABDULLAH C.D.

Kampung Perdamaian Sukhirin, 1 Oktober 2016 – Suatu majlis sederhana yang meriah telah diadakan di sini untuk meraikan hari jadi ke-93 tahun Bapa Abdullah C.D. Rakan seperjuangan dari berbagai tempat Thailand yang tergabung dalam Gabungan Persatuan Perdamaian Thailand telah menghantar wakil masing-masing2. Rakan seperjuangan dari luar negeri juga telah hadir dengan 4 buah bas. Mereka terdiri dari Persatuan Persahabatan Abad Ke-2 Malaysia, Kelab Persahabatan Wilayah Selatan Sarawak, Pusat Pengajian Malaysia – Singapura- Hongkong, Persatuan Sahabat2 Lama Perak. Yang paling istimewa lagi ialah satu rombongan rakan seperjuangan sekelas proletar anggota Parti Komunis Thailand juga hadir untuk menyampaikan ucapan selamat hari jadi.

Majlis dimulakan dengan upacara membaca doa semoga Bapa Abdullah C.D.  sentiasa dikurniakan kesihatan sepanjang hayat, panjang umur dan sentiasa mendapat rahmat dan hidayat Allah Taala.

Presiden Persatuan Perdamaian Thailand dalam ucapannya menghimbau perjalanan yang heroik yang ditempuhi oleh Bapa Abdullah C.D. dengan menyerahkan seluruh nyawa dan jiwa raganya yang bernilai demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat.

Bapa Abdullah C.D. yang dilahirkan pada 2 Oktober 1923 di Lambor Kiri, Perak adalah Pengerusi Parti Komunis Malaya, semuah parti yang sangat ditakuti oleh kaum penjajah British. Beliau adalah anggota KMM (Kesatuan Melayu Muda) yang dipimpin Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussein, Dr. Burhanuddin dan lain2.  Setelah Jepun kalah, beliau bersama-sama Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako dan lain2 telah menubuhkan pula PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya).

Di samping itu, dalam masa pendudukan Jepun, Bapa Abdullah C.D. telah menyertai gerakan anti-Jepun dibawah pimpinan PKM. Beliau adalah kader massa di kawasan Parit dengan memimpin Pasukan Lasyar rakyat dan Liga Rakyat Anti-Jepun. Beliau menyertai PKM (Parti Komunis Malaya pada 1 Mei 1945, sempena hari pekerja antarabangsa di Lambor, Perak.

Beliau pernah ditangkap oleh penjajah Inggeris dalam rangka undang2 darurat 1948, tapi dalam pergelutan yang gagah berani, beliau berjaya memecahkan gari dan meluluskan diri dari kepungan musuh. Pada 21 Mei 1949, beliau mendirikan Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya, sebuah pasukan gerila anti-British yang dari komander dan perajuritnya terdiri dari putera puteri terpuji kaum buruh dan tani Melayu untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasn nasional.




Selain itu, ucapan dari setiap wakil juga telah memberikan penghormatan yang tinggi sebagai pejuang kemerdekaan dan pejuang rakyat tertindas. Mereka berharap semoga beliau terus sihat wal afiat, panjang umur, murah rezeki dan sentiasa di jalan kejayaan.

Majlis ditamatkan dengan upacara memotong kek, menyampaikan hadiah dari wakil2 berbagai tempat dan perseorangan dan merakam gambar kenanga-kenangan dengan berbagai persatuan perdamaian. 

Semoga Bapa Abdullah C.D. sihat wal afiat sepanjang hayat dan sentiasa mendapat rahmat dan hidayat dari Allah Taala.



Categories

Pengikut