KAMARULZAMAN TEH - SUMBANGKAN SEUMUR HIDUP DEMI RAKYAT



- kenangan ini ditulis oleh Peng Ting Chou,
rakan seperjuangan Kamarulzaman yang
sama-sama meringkuk dalam penjara -


“Peng, tengok dagu saya, lebat ditumbuhi janggut!” Kamarulzaman melemparkan senyuman yang penuh erti.

“Biasa saja, orang lelaki tentu tumbuh janggut!” ujar saya.

“Masa kena tangkap, dagu ini belum ada janggut lagi!”

“Ini menunjukkan awak sudah tua kan?” ujar saya sambil membuat gaya orang tua bongkok udang. Kami ketawa. “Bapak sudah tua, rambutnya uban saja......”, saya bernyanyi perlahan-lahan.

“Pandai sungguh awak bergurau.”

“Kalau tak pandai bergurau, hati kita tak akan gembira, orang pun lekas tua.”

Dialog ini berlaku pada tahun 1957. Ketika itu beliau baru saja dilepaskan dari penjara. Seksaan penjara yang kejam telah meninggalkan tanda selar yang nyata di raut mukanya. Dagunya semak dengan janggut, rambut di kiri-kanan kening memutih—gejala yang jarang terjumpa di kalangan remaja Melayu yang baru mencecah usia 37 tahun. Beliau tetap bersemangat optimisme revolusioner, tapi tak terlepas dengan kesan peredaran zaman.

Setelah rakyat Malaya berjaya mengusir fasis Jepun, penjajah British kembali menguasai Malaya. Rakyat hanya dapat mengecap kehidupan damai dalam masa yang amat singkat saja.

Kamarulzaman menceritakan pengalaman hidupnya kepada saya:
“Kita semua maklum bahawa perjuangan bersenjata adalah satu-satunya pilihan bagi kita. Satu hari, saya menyimpan pistol di dalam beg lalu naik bas menuju sebuah kampung tempat perkumpulan pasukan bersenjata. Naik bas tak lama, seorang mata-mata gelap datang ke arah saya. Saya ingat dia seorang saja, maka saya pun meninjunya sampai rebah. Tak sangka-sangka datang pula mata-mata gelap yang lain, beberapa orang. Saya naik angin, bergelut dengan mereka. Dan akhirnya tertangkap!

“Hari itu kebetulan 20 Jun tahun 1948, hari dikuatkuasakannya Undang-undang Darurat. Saya digiring ke Penjara Pudu, Kuala Lumpur dan dijatuhi hukuman mati kerana memiliki senjata api. Pada masa menunggu tarikh pelaksanaan hukuman, bapa saya berikhtiar ke merata tempat, sedaya upaya cuba menyelamatkan saya, termasuk membuat rayuan kepada Sultan Pahang. Sultan telah mengampunkan saya. Hukuman mati diubah menjadi hukuman penjara 20 tahun. Bapa hancur hati kerana saya. Beginilah perasaan semua orang tua!

“Saya ditahan di Penjara Pudu selama 3 tahun. Kemudian dihantar ke Penjara Seremban.”

Pada awal tahun 1956, ketika saya ditahan di Penjara Seremban, Kamarulzaman dan beberapa orang kawan lagi sedang ditahan di sana. Sel mereka terletak di depan klinik penjara. Saya tergolong sebagai banduan yang tak cukup umur. Maka itu, selain daripada bekerja di kilang papan, pihak penjara menugaskan saya menjadi penghantar ubat. Tiap-tiap pagi hari, diekori oleh seorang waran yang bersenjatakan belantan, saya membawa peti ubat membagi-bagikan ubat di kilang-kilang. Sel penjara mereka dilarang masuk. Setiap hari melalui sel mereka, saya curi-curi mengintai, bayang seorang pun tak nampak. Demikianlah mereka menghabiskan masa penjara yang panjang, hari demi hari, tahun demi tahun..... .

Negeri Pahang terletak di bahagian tengah Semenanjung Tanah Melayu. Ia adalah negeri yang terbesar di Malaya. Selatannya bersempadan dengan Negeri Johor, utaranya bersempadan dengan Negeri Terengganu, Negeri Kelantan dan Negeri Perak. Awal tahun 1940-an, penduduk Negeri Pahang tak ramai, lebih kurang 170,000 orang saja. Antaranya Bumiputera 50%, Cina 40% dan India 10%. Orang Cina kebanyakannya tinggal di Pahang Barat, iaitu di Daerah Kuala Lipis, Daerah Raub, Daerah Bentong dan Daerah Temerloh. Orang Melayu tinggal berpencar-pencar di merata negeri.

“Saya dilahirkan di Kampung Tanjung Beroga, Mukim Sanggang, Temerloh, Pahang pada tahun 1920, anak sulung kepada 5 beradik. Zaman kanak-kanak, sama seperti budak-budak lain yang keluarganya agak lumayan, saya bersekolah begitu cukup umur. Kami budak-budak suka main kejar-kejaran, berenang dan mencari ikan di sungai, dan sekali-sekala ‘berlawan’. Masa kanak-kanak dihabiskan dengan selesa, tanpa kerunsingan. Tamat Kelas 5 Sekolah Melayu, saya mengaji di Sekolah Clifford Kuala Lipis sampai tamat sekolah menengah. Dan akhirnya saya mengaji di Maktab Pertanian Serdang, Selangor sampai tamat.

“Tahun 1940-1941, ketika berumur 20 tahun, saya menjadi pegawai pelatih pertanian di Serdang.

“Keadaan ini tak berpanjangan. Perang Pasifik meletus. 31 Disember tahun 1941, tentera Jepun menduduki Kuantan, Pahang. 13 Ogos tahun 1943, Pasukan Merdeka Ke-6 Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya rasmi didirikan di Pahang. Di saat luar biasa ini, saya bertanggungjawab melakukan kerja bawah tanah untuk Tentera Anti Jepun di Temerloh, kampung halaman saya.

“Saya menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1945, setelah Jepun menyerah kalah. Tahun 1946, saya menubuhkan API di Pahang dan menyandang jawatan ketuanya yang pertama. Setelah API diharamkan, saya membentuk PETA pula.

“Bulan Oktober tahun 1947, saya dilantik menjadi salah seorang wakil terbuka Parti Komunis Malaya, yang bertanggungjawab atas pekerjaan di Pantai Timur. Selain itu, saya juga mengikuti Kursus Se-Malaya dan menjabat sebagai ketua platun.”

Pada tahun 1962, ketika berumur 42 tahun, Kamarulzaman dibebaskan secara bersyarat oleh kerajaan. Beliau balik ke kampung halaman dan bekerja di sebuah syarikat bas di Temerloh. Seterusnya beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) dan dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PSRM 9 tahun berturut-turut, dari tahun l981 hingga l989. Pada tahun 1974, PSRM mencalonkan beliau bertanding dalam pilihan raya kawasan Temerloh. Pada tahun 1950-an, ketika masih meringkuk di penjara, beliau dilantik Rejimen Ke-10 sebagai Anggota Markas Besar Kehormat.

Kamarulzaman juga menjadi salah seorang pimpinan utama “Komiti Khas”
organisasi rahsia PKM di penjara. Beliau telah mencurahkan jerih-payahnya baik dalam kerja penerbitan dan pembelajaran kawan-kawan mahupun dalam memperjuangkan perbaikan layanan dan syarat hidup di penjara,......dan lain-lain lagi.

Kesan saya, Kamarulzaman adalah seorang yang ramah, bersahaja, bertutur lambat dan suka berfikir. Sejak umur 20 lagi beliau dengan teguh tak berganjak memilih jalan revolusi yang susah-payah, terus sehingga masa tua. Merempuh ribut taufan memang perjalanan hidup manusia. Tapi berkali-kali timbul-tenggelam di prahara ribut taufan bukan pengalaman yang boleh dialami oleh semua orang. Kamarulzaman adalah salah satu di antaranya. Beliau pernah berselisih bahu dengan malaikat maut, meringkuk di penjara selama 14 tahun, mengalami azab sengsara yang tak terbayangkan dan kehancuran rumah tangga! Setelah keluar penjara, beliau mencari balik posisi beliau dan berkecimpung semula di prahara perjuangan politik yang bergelombang, tanpa menyesal barang sehujung kuku pun!

Kini, ketika karangan ini ditulis, beliau telah pun berusia 82 tahun. Benarkanlah saya menghadap ke bukit-bukau yang nun jauh di utara, mendoakan beliau sihat dan panjang usia!

TAMBAHAN: Karangan ini ditulis sempena hari jadi ke 82 Kamarulzaman Teh. Kesihatan beliau semakin merosot dari hari ke hari. Kedua-dua matanya buta, kakinya lumpuh dan beliau sudah tidak dapat mengurus sendiri kehidupan sehari-hari. Hidup beliau agak mantap setelah dihantar ke sebuah rumah orang tua dekat Kuala Lumpur.

Kemudiannya, beliau ingin balik kampung, mencari kesan-kesan zaman budaknya serta sanak-saudara dan rakan-rakan lama. Selain itu beliau juga berharap dapat ke Kampung Perdamaian di sempadan Thailand-Malaysia melawat rakan-rakan seperjuangan di mana mereka pernah bertempur bahu-membahu di masa perang dulu. Demikianlah, beliau menempuh perjalanan ke kampung halaman dengan kerusi roda. Beberapa hari kemudian, tepatnya pada 2 September tahun 2002, diiringi oleh kawan-kawan Kampung Perdamaian, beliau sampai ke Kampung Perdamaian Sukhirin di sempadan Thailand-Malaysia Di sana beliau telah berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan Rejimen Ke-10 yang dirindukannya. Beliau telah balik “rumah”. Di masa ini, hatinya berasa lega dan selesa. Penyakitnya berubah baik. Tapi, bagaimanapun, usia beliau sudah terlalu lanjut. Penyakitnya sudah terlalu lama. Tak lama kemudian, di tengah-tengah rakan seperjuangan, beliau telah menghembuskan nafas penghabisannya, meninggalkan dunia insan tempat beliau berjuang seumur hidup pada pukul 10.30 pagi 5 hari bulan November tahun 2002. Jenazah beliau selamat dikebumikan pada pukul 4.30 petang hari itu juga di sebuah tanah perkuburan Islam di Wilayah Narathiwat.
Saya berasa amat sedih mendengar berita kewafatan Kamarulzaman. Perbualan dan senda-gurau kami semasa di penjara terkenang kembali di benak saya. Mata saya berkaca-kaca...... .

Pada awal tahun ini, Kawan Peng Kuo Chiang yang penuh keghairahan pernah datang ke Malaysia mencari Kawan Kamarulzaman dengan membawa karangan saya ini. Tapi dia terlambat. Kamarulzaman telah meninggal dunia. Kita sudah tak dapat menemuinya lagi. Akan tetapi, saya yakin, sejarah akan mengenangi beliau buat selama-lamanya!
Bersemadilah Kawan Kamarulzaman Teh!

Categories

Pengikut