ABDULLAH C.D. - TOKOH CEMERLANG DALAM SAYAP KIRI MELAYU



Abdullah C. D. -
Tokoh Cemerlang
 Dalam Sayap Kiri Melayu

-Oleh Afandi-




Abdullah C.D.
Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM), Abdullah C.D. dilahirkan pada 2 Oktober 1923 di Lambor Kiri, Parit. Perak, tempat bermulanya Perang Perak 1875. Beliau menerima pengaruh dari pahlawan anti-penjajah seperti Datuk Maharajarela dan Datuk Sagor. Semasa belajar di Clifford School Kuala Kangsar, beliau berhubungan erat dan menimba sejarah dari pejuang revolusi Indonesia yang juga ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM). Dengan itu keinsafan anti penjajahan dan semangat kemerdekaan bertunas dalam benaknya sehingga menjadi ahli KMM pada 1939. KMM ialah pertubuhan sayap kiri Melayu yang berjuang untuk kemerdekaan Malaya.

Mulanya KMM bekerjasama dengan Jepun kerana tertipu dengan janji memerdekakan Malaya. Tetapi setelah KMM menuntut Jepun mengotakan janji memerdekakan Malaya, Jepun segera mendedahkan sifat fasisnya, memungkiri janji malahan mengharamkan KMM. Maka para kader KMM ramai melarikan diri. Mereka yang tak dapat lari seperti Boestamam dan lain-lain di Taiping, Perak, terpaksa terus berkhidmat dengan Jepun. Sungguhpun begitu mereka bersimpati dengan gerakan anti Jepun yang dipimpin PKM. Di antara mereka Abdullah C.D. merupakan seorang tokoh yang lebih cemerlang atau lebih terserlah dalam kalangan sayap kiri Melayu.

Di Lambor Kiri, Abdullah C.D. mengambil langkah positif mengembangkan KMM dan gerakan Anti-Jepun. Apabila pasukan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dan kader penyusun massa bergerak sampai kawasan Lambor, beliau teruja oleh keikhlasan PKM dalam perjuangan Anti-Jepun, segera menyertai gerakan TAJRM, menggerakkan orang ramai, mendirikan pasukan Lasykar Rakyat, dan Liga Rakyat Anti-Jepun, sehingga kawasan itu dibentuk menjadi basis gerila Anti-Jepun. Lasykar Rakyat di Pasir Salak membantu pasukan TAJRM menyeranghendap dua buah Tongkang Jepun, membasmi 100 orang askar Jepun di Sungai Perak. Beliau menggubal sajak memuji bahawa dahulu di sini membasmi penjajah JWW. Birch, sekarang membasmi seratus fasis Jepun. Pada Mei 1945 Abdullah C.D. dan Seman diterima menjadi anggota PKM. Beliau tertempa dalam perjuangan, tabah harungi segala ujian baik perjuangan damai mahupun perjuangan bersenjata dan menjadi matang dari kader pelbagai peringkat sehingga terpilih menjadi ahli Jawatankuasa Pusat PKM, dan akhirnya terpilih sebagai Pengerusi PKM. Memang, dalam sayap kiri Melayu, banyak kader KMM yang memainkan peranan positif masing-masing. Setelah Jepun menyerah kalah, Boestamam dan lain-lain terus bekerjasama dengan Abdullah C.D. menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), berjuang bahu membahu dengan PKM untuk mencapai kemerdekaan.

Setelah Jepun menyerah kalah, Abdullah C.D. menyertai pasukan propaganda PKM, bergerak ke merata tempat di seluruh Perak, menyebarkan sejarah gemilang PKM dan membangkitkan kesedaran rakyat. Seterusnya beliau bersama Mokhtaruddin Lasso mendirikan Parti Kebangsaan Melayu Malaya, bertugas dalam badan pimpinan parti itu. Dalam PKM pula, beliau bertugas dalam Jabatan Kerja Melayu, mendirikan kesatuan buruh Melayu, memimpin gerakan pekerja Melayu. Masa itu UMNO hanya melaungkan slogan Hidup Melayu, sedangan PKMM melantangkan Merdeka. Setelah PKM dipelopori Chin Peng mendedah dan menyingkirkan ejen dalam selimut Lai Te, memansuhkan garis salah dan menetapkan garis tepat memperjuangkan kemerdekaan, PKMM dan pertubuhan-pertubuhan sayap kiri Melayu membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), bersama dengan Majlis Bergerak Serentak Malaya (AMCJA), melancarkan mogok hartal pada Oktober 1947, gerakan kemerdekaan berkobar-kobar dan meluap-luap. Maka penjajah British bersiap-siap menyediakan tindakan penindasan.

Menjelang undang-undang darurat, demi bersiap untuk membalas penindasan penjajah, PKM menyelenggarakan Sekolah Politik-Militer Kem Se-Malaya bagi memupuk kemahiran ketenteraan para kader Malayu. Abdullah C.D. mengikuti latihan itu dan menyandang Komisar Politik barisan pelajar seramai 36 kader Melayu. Setelah Darurat, malangnya beliau tertangkap oleh polis, namun dalam perjalanan beliau bertindak gagah berani melepaskan diri dari tangkapan polis musuh, lalu sampai di Temerloh dan berhubung dengan Chin Peng. Di Temerloh, beliau menyusun pasukan asas 17 orang perajurit, memperlihatkan bakat dan kecekapan ketenteraanya, melancarkan serangan-serangan, berjaya merampas senjata, mendirikan pelatun-pelatun asas sehingga dapat merasmikan pebubuhan Rejimen Ke-10 pada 21 Mei 1949 dengan beliau sebagai Komisar Politiknya.

Selepas penubuhan Rejimen Ke-10, Kompeni A di serang oleh askar Australia di Bukit Cempedak. Dalam keadaan musuh berkedudukan inisiatif, Abdullah C.D. mengarahkan pasukan berundur secara teratur, kemudian menyunsun barisan melancarkan serangan balas ke atas musuh yang menduduki kem itu, berjaya menembak mati 14 orang musuh, sehingga saki bakinya lari keluar dengan meninggalkan rakan-rakan mereka yang mati. Seterusnya beliau mengarah serangan hendap di Jalan Chenor, menewaskan 11 orang musuh termasuk seorang pegawai British, menawan 17 orang, merampas 22 laras senapang termasuk sepucuk breengun. Kejayaan ini mendapat Perintah Pujian dari Markas Agung TPNM.
breengun dirampasan di Jalan Chenor

Pada tahun 1949, Abdullah C.D. memimpin Rejimen Ke-10 menghancurkan kempen kepung basmi seramai 6,000 orang askar penjajah, dalam tempoh itu telah melakukan banyak pertempuran, antara lain yang terserlah ialah: (1) pertempuran Bukit Kuin menghentam sehingga sekompeni Australia dan sekomepeni British menjadi kucar kacir dan lari keluar ke kampung. (2) kompeni A bersama Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6 seramai 300 orang mengalahkan serangan satu Batalion askar Gurkha terdiri dari kira2 700 orang, mematahkan tiga kali serbuan gila-gilaan askar Gurkha yang diarahkan oleh pegawai British, menembak mati lebih 70 orang musuh. Inilah contoh dengan kekuatan kecil menundukkan kekuatan musuh yang besar. Askar Gurkha itu pernah disanjung penjajah sebagai “Pasukan Berani Mati”. Akhirnya Rejimen Ke-10 berjaya menghancurkan kempen kepung basmi itu.

Dalam persidangan yang dipengerusikan oleh Chin Peng menetapkan Adullah C.D. menyandang Setiausaha Jabatan Kerja Melayu, dan juga Komisar Politik merangkap Komander Markas Besar Rejimen Ke-10. Berdasarkan difinis tentang bangsa-bangsa, Abdullah C.D. merumuskan bahawa semua bangsa sama darjat, harus melawan polisi yang mendiskriminasi dan memecah belahkan bangsa-bangsa. Ini adalah kesimpulan yang dibuatnya setelah beliau meneliti karya Stalin berjudul Marxisme dan Masalah Bangsa-Bangsa yang dihadiahkan oleh Chin Peng.

Setelah Jawatankuasa Pusat menetapkan badan pimpinan Pusat dan induk kekuatan Rejimen Ke-10 beredar ke kawasan sempadan Malaya-Thailand, induk pasukan Rejimen Ke-10 memulakan perjalanan pada Mac 1953, Eng Ming Ching diutus menjadi Pegawai Penghubung untuk memudahkan perhubungan Rejimen Ke-10 dengan badan pimpinan kawasan-kawasan yang berkenaan dan menjamin kejayaan peredaran. Abdullah C.D. memimpin Pasukan Hang Jebat sebanyak 56 orang memulakan peredaran. Ketika tiba di Cameron Highlands, tentera penjajah melancarkan Kempen Kepung Basmi selama 3 bulan. Pada penghujung kempen tersebut, Rejimen Ke-10 secara inisiatif meminta penanggungjawab tempatan supaya membenarkan Rejimen Ke-10 melancarkan pertempuran. Serangan hendap di Sungai Sekam berjaya menembak mati 40 orang lebih askar British, dan Kempen Kepung Basmi itupun ditamatkan. Seterusnya Rejimen Ke-10 beredar sampai kawasan Ulu Kinta, setelah bergerak suatu tempoh, musuh melancarkan satu serangan udara besar-besaran yang luar biasa ke atas tempat yang didiami Rejimen Ke-10. Namun pasukan Rejimen Ke-10 secara inisiatif beredar dari tempat itu. Dengan itu Rejimen Ke-10 meneruskan peredaran dan tiba di Kampung Hala di kawasan sempadan pada 7 Oktober 1954.

Di kawasan sempadan, Abdullah C.D. dengan tepat melaksanakan polisi tidak campurtangan urusan dalam negeri Thailand, tetapi menyusun massa tempatan, mendirikan kawasan basis, menyokong rakyat tempatan mempertahankan hak-hak wajar mereka, dan juga menasihati kekuatan bersenjata tempatan supaya jangan mengambil tindakan yang tidak bermanfaat, dan sebagainya. Namun, Musa Ahmad memutar balikkan banyak arahan Chin Peng, tentang hal kutip tentera baru, bina kubu pertahanan, ambil tindakan terhadap intelijen, bangkitkan kaum tani, kutip derma dan sebagainya, Musa Ahmad menuturkan “tidak boleh” berturut-turut. Sebaliknya Abdullah C.D. mencontohi kawasan Betong, berdaya upaya menyusun massa, mengembangkan kawasan basis, dalam batas yang wajar membalas atau menghancurkan serangan tentera atau kempen kepung basmi pihak lawan, membentuk sektor timur menjadi kawasan basis yang kukuh.

Beberapa hari selepas Rundingan Baling, Chin Peng menugaskan saya bekerja di Rejimen Ke-10, maka saya telah menyaksikan manifastasi cemerlang Abdullah C.D.. Dalam suatu mesyuarat, sesetengah kader yang mengetahui keburukan Musa Ahmad tidak bersetuju dia menyandang Pengerusi PKM, menganggap Abdullah C.D. saja yang layak menyandang jawatan itu. Namun Abdullah C.D. secara inisiatif menjelaskan bahawa kerana ini keputusan parti. Ini telah memperlihatkan sifatnya yang jujur dan terus terang. (Setelah Musa Ahmad bertindak anti-Parti, Rejimen Ke-10 telah melancarkan aktiviti-aktiviti mengkritik kesalahan dan kejahatan Musa Ahmad itu).

Tidak berapa lama saya tiba, Rejimen Ke-10 berpindah ke daerah Banang Star yang berdekatan dengan Kawasan Ke-3 Rejimen Ke-12. Dengan Kampung A (Kuala Kawil, iaitu kawasan Empangan Banglang sekarang) sebagai basis, regu-regu penyusun massa dihantar ke kampung-kampung untuk membentuk tapak organisasi massa, berjaya mendirikan basis dari Kampung Jok di hulu Sungai Hala hingga ke pekan Tebing Tinggi di tepi Sungai Hala. Pelajaran politik, pelbagai mesyuarat, perayaan dan aktiviti yang normal diadakan, maka tidaklah timbul gejala pasif, merosotnya semangat dan bercelarunya fikiran seperti dihinggapi sesetengah kawan di kawasan Betong.

Sebab itulah, pada bulan Jun 1962, Sekolah Parti Pertama Utara Malaya diselenggarakan di tapak kem Rejimen Ke-10, dan diumumkan juga Pedoman Baru berjudul Bertahan Secara Aktif, Berkembang Selangkah Demi Selangkah. Inilah titik penting revolusi bersenjata dipulihkan semula. Selesai Sekolah Parti, Rejimen Ke-10 bergerak kembali ke sektor timur, memulihkan dan mengembangkan lagi tapak basis, memperbesarkan pasukan, menghantar pasukan penggempur mara ke selatan dan menghancurkan banyak kali kempen kepung basmi pihak lawan, membuktikan bahawa tentera kita tidak dapat dihapuskan dengan kekerasan tentera. Di samping itu dalam masa yang sama Rejimen Ke-10 telah menghantar satu pasukan dipimpin Rashid Maidin pergi membuka kampung-kampung Melayu di kawasan Yaha, wilayah Yala. Perkembangan pekerjaan di kawasan ini sangat menggalakkan sehingga akhirnya dapat mendirikan sebuah pasukan Melayu yang baru. Saya ikut serta dalam pasukan ini.
upacara penandatanganan damai 1989

Selepas diketahui pihak kerajaan Thailand mencari jalan berunding dengan PKM untuk menamatkan konflik bersenjata, Perdana Menteri Tun Mahathir melalui Timbalannya Ghafar Baba menghantar pegawai mengadakan perundingan tingkat rendah dengan perwakilan Rejimen Ke-10, lepas itu, Mahathir menghantar You Kong Yew ke Hong Kong mendapatkan hubungan dengan Chin Peng, barulah boleh memasuki perundingan tingkat tinggi, iaitu perundingan tiga pihak di Pulau Phuket, dan akhirnya menandatangani Persetujuan Damai Hadyai pada 2 Disember 1989. Chin Peng dalam ucapannya ketika melawat Rejimen Ke-10, menegaskan bahawa “Perundingan damai ini bermula di Rejimen Ke-10 dan tamat di Rejimen Ke-10.”

Categories

Pengikut