KAWAN SUTI – PAHLAWAN ANTI PENJAJAH YANG GAGAH BERANI

Kawan Suti


Pada tanggal 29 Julai 2016, Kawan Suti sorang tokoh penentang penjajah yang gagah berani telah menutup usia kira2 pukul 10:pm waktu Malaysia di kediamannya di Kampung Sungai Buluh, Mentakab, Pahang dalam usia 84 tahun.

Kesedaran nasional Kawan Suti mula berkobar apabila ia mengikuti aktiviti2 API dan kemudian PETA di kawasan Mentakab dan Temerloh. Semboyan2 yang digunakan  API  ketika itu sangat membangkitkan semangat rakyat. Antaranya ialah Merdeka Dengan Darah! Di dalam perarakan besar-besaran yang diadakan di Temerloh sekitar tahun 1946 – 1948 sudah pasti dipelopori oleh angkatan Pemuda API dan angkatan wanita AWAS. Kedua-duanya sayap penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan semboyan MERDEKA. Apabila para pemuda API memekikkan slogan MERDEKA, maka pemudi AWAS pula akan menyahutnya dengan semboyan DARAH.  Gelora ini telah menempa semangat Kawan Suti menjadi seorang tokoh yang bencikan penjajah dan dambakan kemerdekaan penuh tanah air dan rakyat.

Penjajah British sudah pasti tidak rela berpeluk tubuh begitu saja melihat gelombang perjuangan rakyat yang sedang melanda kekuasaannya,  hartal raksasa pada bulan Oktober 1947 sudah memberi isyarat jelas bahawa penjajah Inggeris pasti akan dinyahkan dari  bumi Malaya.

Justeru itu pada Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan darurat dan melakukan penangkapan besar2an ke atas parti dan pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan. Dalam keadaan inilah Kawan Suti bersama sejumlah pemuda Melayu lainnya berundur ke hutan Lubuk Kawah membentuk pasukan gerila. Dan sejak itu rimba raya segenap pelusuk Malaya digenangi asap bedil untuk menghalau kaum penjajah demi kemerdekaan dan pembebasan nasional.

21 Mei 1949, rimba Kerdau, Temerloh Pahang telah menyaksikan penubuhan pasukan gerila Melayu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) di bawah pimpinan Abdullah C.D. @ Cik Dat Anjang Abdullah, anak kelahiran Lambor, Perak yang juga adalah anggota Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan anggota Jawatankuasa Pusat Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Kawan Suti adalah salah seorang perajurit Rejimen Ke-10 yang gagah berani. Tahun-tahun 1948 -53 menyaksikan pertempuran sengit antara pasukan TPNM dengan pasukan2 penjajah British yang didatangkan dari berbagai negara tanah jajahannya ke Malaya.   

Pada 30 September 1949, pasukan Rejimen Ke-10 yang sedang berehat dalam sebuah kebun getah di Bukit Kuin telah diserang secara mengejut oleh sepasukan tentera British. Kawan gard cedera terkena tembakan musuh. Kawan Suti yang menjadi salah seorang pemandu breegun bersama beberapa kawan lain telah melepaskan tembakan balas yang gagah berani sehingga askar2 British itu terpaksa berundur. Seterusnya Kawan Suti dan beberapa kawan mengejar musuh sehingga hari gelap.

Pada 12 Disember 1949, pasukan Rejimen Ke-10 bersama Kompeni Ke-6 Rejimen Ke-6 telah bertempur sengit melawan 1 batalion askar Gurkha (kira-kira 700 orang) di hutan kawasan Jerangsang. Kawan Suti adalah salah satu daripada 14 pemandu breengun yang menghajar teruk askar Gurkha tersebut.

Ini hanyalah beberapa contoh pertempuran penting yang disertai Kawan Suti. Dalam masa beberapa tahun (1949-1953) perang yang menggelora itu tak terhetong banyaknya pertempuran besar dan kecil sekilnya yang disertai beliau. Kadang2 dalam satu hari mereka bertempur beberapa kali dan luka korban menjadi perkara biasa.

Pertengahan tahun 1953, Kawan Suti yang digabungkan dalam pasukan Hang Jebat melakukan perpindahan strategik ke kawasan sempadan. Kawan Suti adalah salah seorang perajurit yang mempelopori di barisan hadapan. Mereka mencari bahan makanan dan lain2 ketika pasukan kesukaran makanan dan menjamin keselamatan pasukan ketika menghadapi bahaya.

Di kawasan sempadan Kawan Suti menyertai berbagai kegiatan pasukan. Ada kalanya beliau menjadi pengawal pasukan, menjadi jurulatih, memimpin regu penyusun massa dan ada kalanya memimpin unit2 tempur melakukan pertempuran melawan musuh.

Di kawasan sempadan juga Kawan Suti telah bertemu jodoh dengan seorang pemudi dari kawasan sempadan bernama Wayah @ Kawan Ribut. Hasil perkongsian hidup ini, mereka dikurniakan seorang cahaya mata wanita.

Pada tahun 1977, angkatan Tentera Malaysia dan Thai melakukan serangan kempen kepung basmi CAHYA BINA dengan kekuatan belasan ribu askar ke atas Pasukan Penggenpur Ke-15 di kawasan Weang, sempadan Thai Malaysia. Ketika itu Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10 berada di hutan kawasan Sukhirin terlepas dari sasaran serangan tersebut. Untuk membantu pasukan sesaudara yang sedang terkepung, Kompeni Ke-21 telah memilih Kawan Suti bersama 2 kawan lagi melakukan pertempuran di luar garis kepungan musuh. Kawan Suti yang cekap dan berani telah  membawa regu kecilnya menyusup ke dalam kawasan musuh dan melakukan imbusying ke atas sebuat trak militer yang dinaiki pegawai tentera Thai dan Malaysia. Kejayaan serangan itu telah menamatkan kempen kepung basmi CAHAYA BINA tersebut.

Disember 1989, PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand telah menandatangani persetujuan bersama untuk menamatkan persengketaan bersenjata dan mewujudkan perdamaian. Di bawasah syarat2 perjanjian inilah, pasukan Rejimen Ke-10 dibubarkan dan semua senjata dimusnahkan. Kawan Suti memilih untuk pulang ke Malaysia dan menetap di kampung asalnya Mentakab, Pahang.

Kini Kawan Suti telah pergi menemui penciptanya, semangat perjuangannya yang heroik akan tercatat dalam sejarah perjuangan bangsa untuk kemerdekaan dan pembebasan nasional. Sesiapa saja yang jujur terhadap sejarahnya pasti akan mengenang Kawan Suti

sebagai pahlawan anti penjajah yang gagah berani.

Semoga Allah meletakkan roh Kawan Suti di kalangan orang-orang yang soleh.


Categories

Pengikut