ALFATIHAH BUAT KAWAN BUSU BEKAS PERAJURIT REJIMEN KE-10

Awang Ngah bin Harun @ Busu
Kawan Busu atau nama sebenarnya Awang Ngah bin Harun telah meninggal dunia dalam usia 93 tahun kerana sakit tua di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Kampung Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat pada 1 April 2016, pukul 3.10 pm waktu tempatan. Jenazahnya selamat disemadikan di tanah perkuburan kampung perdamaian.

Allahyarham Awang Ngah bin Harun dilahirkan di Kampung Pasir Sena, Daerah Temangan, Kelantan pada tahun 1923. Kerana keadaan keluarga dan kewangan masa itu, beliau tidak sempat bersekolah. Selepas kekalahan Jepun, beliau menetap dan berumahtangga di kawasan sempadan Selatan Thailand.

Tahun 60-an, regu penyusun massa Rejimen Ke-10 telah menyusun kampung2 Melayu di kawasan sempadan dan menjadikan kawasan ini sebagai kawasan basis yang baru. Kawan Busu telah menjadi anasir cergas yang aktif membantu pasukan.

Kawan Busu setelah perdamaian
Pada tahun 1966, kerana kedudukannya sebagai anasir cergas telah diketahui oleh pihak polis, beliau segera menyertai pasukan Rejimen Ke-10. Beliau aktif menyertai berbagai kerja dan aktiviti dalam pasukan. Beberapa tahun kemudian, isterinya Ibu Peah juga ikut menyertai pasukan.

Pada tahun 1969, di atas arahan Kawan Abdullah C.D., Rejimen Ke-10 telah membuka ladang  untuk menambah perbekalan pasukan. Kawan Busu ditugaskan ke dalam unit produksi membuka banyak ladang2 yang subur untuk membantu pasukan.

Tahun 1989, setelah persetujuan damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan Parti Komunis Malaya ditandatangani, Kawan Busu bersama bekas perajurit yang lain bertungkus lumus membangun kampung perdamaian, sebuah kampung baru untuk bekas perajurit Rejimen Ke-10. Beliau terus menetap di kampung ini sehinggalah dijemput menghadap Allah yang Maha Esa.


Abadilah Kawan Busu bersama sejarah perjuangannya yang gagah berani. Semogga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Categories

Pengikut