IBU ZALEHA KETUA AWAS LUBUK KAWAH


IBU ZALEHA KETUA AWAS LUBUK KAWAH


Zaleha Mat Roni
Ibu Zaleha Mat Roni adalah serikandi terpuji puteri Sungai Pahang yang rela bergalang tanah demi kemerdekaan tanah air. Dengan mendapat pengaruh patriotisme dari datuknya yang menjadi angkatan perang Datok Bahaman, Ibu Zaleha membenci penjajah British sejak kecil lagi. Begitu gerakan kemerdekaan berkobar di Temerloh selepas kekalahan Jepun, beliau lantas menyertai AWAS (Angkatan Wanita Sedar) - pertubuhan wanita Melayu yang pertama memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Beliau telah diberi kepercayaan memimpin AWAS Cawangan Lubuk Kawah sehinggalah pertubuhan itu diharamkan pada tahun 1948. Berikut adalah profail ringkas Ibu Zaleha Mat Roni.
Nama: Zaleha binti Mat Roni (1924 – 2004) atau nama samarannya Rosmah@ Wan, dilahirkan di Kampung Bangau Tanjung, Mukim Bangau, Daerah Temerloh, Negeri Pahang.
Pendidikan: Lulus darjah 4 Sekolah Melayu Bangau. Belajar agama dengan guru agama kampung.
Datuknya Mat Ali (sebelah ibu) pejuang angkatan perang Bahaman, selalu menceritakan kisah perang tersebut kepadanya. Semangat patriotisme dan bencikan penjajah mula berputik di benaknya sejak dari kecil.
1940 pindah ke Kampung Lubuk Kawah. Pengaruh patriotisme anti penjajah lebih diperdalam lagi dengan gerakan PKMM, PKM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain yang berkembang pesat di Temerloh.
Tahun 1946 menjadi anggota AWAS, dipilih menjadi Ketua Cawangan Lubuk Kawah hingga AWAS diharamkan pada tahun 1948. Di sekolah API Lubuk Kawah ada kelas politik yang memperkenalkan imperializem, kapitalizem, sosializem, komunizem dan lain-lain. Guru yang mengajar ialah Kamarulzaman Teh dan Pak Da Hamid.
AWAS Cawangan Lubuk Kawah:
Ketua – Zaleha Mat Roni
Pembantu Ketua – Mak Ngah Minah (merangkap bahagian propaganda)
Setiausaha – Zaharah
Bendahari – Zawiah binti Hj Ibrahim
Ahli Jawatankuasa – Siti, Rahmah.
Semasa AWAS didirikan anggotanya seramai 15 orang saja. Tapi menjelang darurat anggotanya bertambah sampai 100 orang.
Oktober 1947, hadir kongres AWAS di Kajang, Selangor. Pahang menghantar 7 orang wakil.
Jun 1948 darurat diisytiharkan, beliau ditugaskan menyusun massa dan membantu pasukan gerila di kampung. Walaupun AWAS sudah diharamkan, beliau masih meneruskan perjuangan AWAS dengan menubuhkan cawangan AWAS di kampung-kampung, menerangkan soal kemerdekaan dan membela nasib wanita.
1949 penjajah mahu menangkapnya, beliau menyertai Rejimen Ke-10 bertugas menyusun massa. Lebih 50 anggota AWAS Kampung Lubuk Kawah menyertai perjuangan bersenjata.
Disember 1949, pertempuran di Jerangsang antara 300 orang Rejimen Ke-10 dan Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6 dengan 1 batalion askar Gurkha. Beliau ditugaskan mengundurkan barang-barang dengan selamat.
1951 ikut bersama rombongan Abdullah C.D. ke Bentong mesyuarat dengan Chen Ping dan bertemu Rashid Maidin yang baru lepas dari tahanan penjajah.
1953 menyertai pasukan Hang Jebat berpindah ke kawasan sempadan, ditugaskan sebagai Ketua Seksyen Wanita.
Di sempadan ditugaskan menyusun massa. Massa sangat menghormati dan menggelarnya Mak Bidan kerana berjaya menyelamatkan ibu yang mendapat masalah ketika bersalin dan perkhidmatan perubatan lain kepada massa.
Dari kiri: Zaleha, Chin Peng dan Sukor
1960 mendirikan rumah tangga dengan Sukor (Awang Ismail).
1968 – 76 ikut serta dalam 3 kali pasukan penggempur Rejimen Ke-10 beroperasi di Ulu Kelantan, bertugas menyusun massa berbagai kaum termasuk massa Orang Asli. Beliau sentiasa memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada Orang Asli.
1977 - 89 – ikut serta memimpin Kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10, dilantik sebagai Ketua Kompeni.
25 September 2004 meninggal dunia dalam usia 80 tahun kerana sakit tua. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin.
Artikel Asal
http://matamin02backup.blogspot.com/2009/08/ibu-zaleha-ketua-awas-lubuk-kawah.html?m=1
Dicatat oleh M.A. di Khamis, Julai 30, 2009

PILIHAN GAMBAR SEKITAR PENGEBUMIAN ALLAHYARHAM SUKOR










KAWAN SUKOR PUTERA TERPUJI SUNGAI PAHANG

Sukor @ Awang Ismail

KAWAN SUKOR PUTERA TERPUJI SUNGAI PAHANG
Kawan Sukor (nama sebenarnya Awang bin Ismail) adalah antara putera terpuji Sungai Pahang yang tidak rela melihat tanahairnya diperkosa dengan sesuka hati oleh kaum penjajah. Perlawanan pejuang2 Pahang dibawah pimpinan Datok Bahaman telah memberikan kesedaran yang amat tinggi dalam sanubarinya. Selepas kekalahan Jepun, perjuangan menuntut kemerdekaan yang dilancarkan oleh PKMM, API, AWAS, BATAS dan lain-lain mendapat sambutan hangat di kalangan kaum tani Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Pahang. Serasi dengan semangat perjuangan Bahaman yang tersemai di dadanya, Kawan Sukor lantas menjadi anggota API Pahang dibawah pimpinan Kamarulzaman Teh. Setelah API diharamkan beliau menjadi anggota PETA, sebuah pertubuhan yang menyambung perjuangan API dibawah pimpinan Wahi Anuar. Sejak itu, semangat kemerdekaan yang hinggap di sanubarinya mula membakar.
Kawan Sukor dilahirkan pada tahun 1928 di Kampung Berhala Gantang, Mukim Sanggang, Daerah Temerloh, Pahang. Beliau bersekolah sehingga darjah 6 dan belajar agama di pondok pejabat API selama 2 tahun bergurukan Tuan Guru Haji Chek Man.
Dalam masa yang sama beliau menjadi anggota API dan terlibat dengan aktiviti API sepanjang masa. Bersama rakan2 API yang lain, beliau menjelajah ke serata ceruk rantau membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat terutamanya kaum tani Melayu. Antara aktiviti yang dilakukan masa itu ialah mengadakan ceramah penerangan, mengadakan pentas sandiwara, kesenian dan lain2 yang bertemakan patriotism dan kemerdekaan. Aktiviti-aktiviti ini mendapat sambutan hangat di kalangan kaum tani Melayu. Mereka memberikan sokongan dan derma bakti termasuk menghadiahkan wang ringgit dan kerbau lembu untuk perjuangan menuntut kemerdekaan.
Kerana merasa kedudukan penjajahannya kian terancam oleh gelombang perjuangan rakyat, penjajah pada bulan Jun 1948, Kerajaan kolonialis Inggeris mengisytiharkan undang-undang darurat dan melakukan penangkapan secara menyeluruh di seluruh negara. Kamarulzaman Teh yang memimpin gerakan di Temerloh telah ditangkap polis pada 20 Jun. Saat itu aktivis-aktivis API, AWAS, BATAS dan lain-lain berundur ke pinggir hutan dan belukar mengelakkan tangkapan musuh dan akhirnya membentuk pasukan gerila Melayu.
Ketika itu Kawan Sukor belum disenaraikan dalam tangkapan polis, jadi beliau ditugaskan bergerak di kampung sementara “merah”. Begitulah ketika hutan rimba berdentam dentum dengan tembakan rakan-rakannya, beliau menjalankan tugas propadanda di kampung, mengutip derma, menghantar surat dan lain-lain ke serata tempat terutamanya di kampung-kampung Balik Gantang, Teluk Ira, Bali dan lain-lain. Ketika itu sokongan orang ramai kepada perjuangan bersenjata sangat menggalakkan, dalam masa sebulan dapat menerima derma sebanyak 200 gantang padi, orang Cina menderma sayuran dan sebagainya. Kampung Berhala Gantang menjadi salah satu kampung sandaran pasukan gerila anti-British yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) ketika itu.
Beberapa bulan membuat kerja di kalangan massa, akhirnya nama Kawan Sukor tersenarai dalam tangkapan polis. Beliau keluar rumah menyertai Tentera Tani. Kira2 terdapat 15 orang anggota Tentera Tani di kampungnya. Tugas Tentera Tani ialah membantu pasukan gerila, mengutip maklumat, membunuh hantu-hantu atau intelijen yang berkhidmat kepada penjajah Inggeris dan lain2.
Sebulan di Tentera Tani iaitu pada 1 Mac 1949, beliau diterima menjadi anggota Rejimen Ke-10 TPNM. Beliau ditugaskan di Platun 2 Rejimen Ke-10 dipimpin oleh Abas. Sejak itulah beliau bertempur bahu membahu dengan rakan-rakannya yang jumlah besarnya adalah anggota PKMM, API dan AWAS.
Dalam perjuangan yang kusut masai, tak terhitung banyaknya beliau bertempur bermandi darah menentang askar2 komanwelth yang dihantar ke Malaya untuk membasmi pasukan gerila anti-British ini yang disebut sebagai “pengganas komunis”. Antara yang besar ialah pernah ikut serta dalam 3 kali pertempuran terkenal Rejimen Ke-10 iaitu pertempuran serang hendap di Jalan Chenor, pertempuran Bukit Chempedak dan pertempuran Bukit Kuin. Cerita ketiga-tiga pertempuran ini sudah tercatat dalam Memoir Kawan Abdullah C.D..
Tahun 1953, beliau menyertai Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 melakukan perjalanan jauh ke kawasan sempadan. Sepanjang perjalanan, beliau ditugaskan sebagai pengawal pimpinan Markas Besar, Musa Ahmad. Beliau meninggalkan kerja itu setelah Musa Ahmad keluar negari. Tentang suka duka perjalanan jauh itu sudah banyak diceritakan dalam Memoir pimpinan Rejimen Ke-10.
Di kawasan sempadan beliau menghabiskan sebahagian besar masanya dengan tugas menyusun massa, daripada anggota regu hingga kepada ketua regu penyusun massa. Oleh sebab itu, massa rakyat kawasan sempadan ramai yang kenal beliau.
Tahun 1969, beliau ikut serta dalam Pasukan Propaganda Khas Rejimen Ke-10 yang beroperasi di kawasan Ulu Kelantan. Inilah platun Rejimen Ke-10 yang pertama dihantar balik ke Malaya untuk melakukan kerja menyusun massa dan memperluas kawasan basis dan pangkalan gerila.
Tahun 1970 beliau ikut serta dalam Pasukan Platun Merdeka Rejimen Ke-10 yang juga beroperasi di tanah air.
Tahun 1973 beliau ikut serta dalam Pasukan Penggempur Ke-14 Rejimen Ke-10 sebagai salah seorang markas pengarahnya.  Pada tahun 1975, pasukan ini yang berkekuatan 1 platun menghadapi kempen kepung basmi dari angkatan tentera Malaysia yang berkekuatan 14,000 orang. Pasukan ini mengambil taktik berputar-putar atau taktik main sembunyi2 dengan musuh sambil memasang jerangkap samar sehingga akhirnya musuh lelah dan menamatkan serangannya. Pihak pasukan penggempur semuanya selamat. Pada pertengahan tahun 1976, Pasukan Penggempur Ke-14 diperintahkan balik ke kawasan basis sempadan.
Pada tahun 1977, Kawan Abdullah C.D. mengadakan penyusunan semula pasukan dengan membentuk kompeni-kompeni Rejimen Ke-10. Kawan Sukur telah ditugaskan sebagai salah seorang anggota badan pengarah kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10 beroperasi di Daerah Chendek, berhampiran kawasan sempadan. Tugas kompeni ini ialah menyusun massa dan melaksanakan polisi parti tentang front persatuan di kawasan sempadan sehingga dapat mewujudkan suatu suasana yang damai.
Tahun 1989, Persetujuaan damai 3 pihak ditandatangani oleh PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand. Hasil dari persetujuan tersebut Rejimen Ke-10 dibubarkan secara rasmi dan senjatanya dimusnahkan. Sebuah kampung baru didirikan dengan bantuan Kerajaan Diraja Thailand. Kawan Sukur telah dipilih menjadi Ketua Kampung untuk menguruskan pentadbiran Kampung. Di samping itu beliau juga menjadi anggota Kebajikan yang membantu menguruskan berbagai masalah kehidupan bekas perajurit dan juga menjadi anggota Jawatankuasa agama di Madrasah Darul Aman.
Pada 29 September 2004 isterinya Zaleha Mat Roni, bekas  Ketua Awas Cawangan Lubuk Kawah meninggal dunia.
Pada 26 Oktober 2015 beliau pula pulang ke rahmatullah dalam usia 87 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Kampung Chulabhorn Patana 12 di samping isteri dan rakan seperjuangannya yang lain.
Abadilah pejuang kemerdekaan, semangat pengorbananmu tidaklah sia2, selamanya memberikan inspirasi kepada generasi2 mendatang dalam perjuangan membangun sebuah masyarakat yang benar2 aman dan makmur, merdeka sepenuhnya.
Alfatihah




ALFATIHAH BUAT KAWAN SUKUR


Sukor @ Awang Ismail
Hari ini seluruh Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12 berduka atas Pemergian Mantan Ketua Kampung yang pertama, Saudara Sukor. Nama sebenar beliau ialah Awang Ismail, menghadap Illahi pada pukul 2.45am (waktu Thailand) dalam usia 87 tahun kerana sakit tua. Jenazah beliau akan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin.

Kawan Sukur adalah antara ribuan anak terpuji Sungai Pahang yang memilih jalan berjuang menghalau penjajah Inggeris secara bersenjata.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Menyusul berita selengkapnya.

GERAKAN ORANG MELAYU MENENTANG JEPUN


-Memperingati Ulang Tahun Ke-70 Kemenangan Perang Anti-Jepun-

Oleh: Afandi

Ketika pelbagai negara sedunia bersiap meraikan Hari Ulang Tahun Ke-70 Kemenangan Perang Anti-Jepun, mengapakah pihak berkuasa dan media perdana berbahasa Melayu sunyi senyap sahaja? Ini ada sebab sejarahnya, semasa Malaya di bawah pemerintahan penjajah British, Jepun menceroboh pada 8 Disember 1941, 100 ribu tentera British kalah kepada 50 ribu tentera Jepun. Tentera British berundur terus-menerus ke selatan, hanya 60 hari sahaja telah berundur di pulau Singapura.
Pada 15 Februari 1942, Jeneral Pemerintah tentera British di Malaya, Leftenan Jeneral Arthur Percival membawa bendera putih menyerah kalah kepada Komander tentera Jepun, Jeneral Yamashita.

Perjuangan orang Melayu menentang Jepun jarang dipublisitikan dalam media. Mengapa? Apakah Melayu tidak menentang pencerobohan Jepun? Bukan. Hakikatnya cuma penentangan Melayu agak kemudian dari masyarakat Cina.
Ini ada sebabnya. Pertama masa itu Tanah Melayu dijajah oleh penjajah British. Maka Melayu berjiwa patriotik seperti golongan Kesatuan Melayu Muda (KMM), semuanya bergiat melakukan gerakan merdeka dan menentang penjajahan. Sedangkan penceroboh Jepun menawarkan janji sumu apa yang disebut Kawasan Persemakmuran Bersama Asia Timur Raya dan “mengusir penjajah orang putih dari Asia” agar Malaya merdeka, dengan siasah ini perisik Jepun menghubungi KMM dan memberi bantuan. Maka orang KMM yang termakan tipu helah itu sanggup menjadi pemandu jalan, oleh itu pasukan tentera Jepun berbasikal mudah memintas jalan mengepung tentera British. Perkara ini sedia diketahui umum. Setelah Jepun menduduki Malaya, pada mulanya masyarakat Melayu masih agak aman.

Akan tetapi, kemudiannya sifat zalim penceroboh Jepun terdedah juga, kezaliman askarnya mengganas dan merogol tidak mengira bangsa, banyak wanita Melayu juga dirogol, orang Melayu yang menunjukkan penentangan akan dibunuh tanpa belas kasihan. Lebih-lebih lagi, untuk membalas kerjasama dari Thailand, ia menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Thailand; apabila KMM meminta pihak Jepun menunaikan janjinya memerdekakan Tanah Melayu, balasannya KMM diharamkan, mujurnya tidak ada penangkapan. Orang KMM yang progresif berasa amat kesal, mereka yang tinggal di bandar seperti Dr. Burhanudin dan Boestamam dan lain-lain, di samping terpaksa terus bekerja dengan Jepun, sekali gus juga terus mencari jalan untuk merdeka dan bersimpati dengan perjuangan anti-Jepun. Manakala kader-kader KMM di daerah kampung pula terus memperkukuh organisasi KMM dan mencari jalan untuk merdeka. Contoh menonjol ialah akhirnya mereka dapat berhubung dengan Tentera Anti-Jepun dan PKM, menempuh jalan kemerdekaan yang tepat.

Rashid Maidin
Pak Rashid Maidin dari Perak paling awal masuk PKM, beliau timbul keinsafan menentang penjajah British kerana bimbingan kader PKM, Lai Raifel. Setelah Jepun menduduki Malaya, beliau menggerakkan perjuangan anti-Jepun, menyusun perkerja lombong di Tanjung Tualang, memberi sokongan kepada Tentera Anti-Jepun. Setelah Jepun menyerah kalah, Rashid Maidin menyertai Pasukan Propaganda PKM Perak, kemudian menyandang Wakil PKM, ahli Jabatan Kerja Melayu PKM, kemudia terpilih sebagai ahli Jawatankuasa Pusat PKM.
Seterusnya ialah Abdullah C. D., selepas KMM diharamkan,
Abdullah C.D.
beliau selaku kader KMM terpaksa berundur balik ke kampung asalnya Lambor Kiri di tepi Sungai Perak, beliau memimpin kader-kader KMM di dalam kampung-kampung di kiri kanan sungai, menggerakkan orang ramai dan memperkukuh organisasi, mencari jalan untuk merdeka. Kemudian, Timbalan Setiausaha PKM Perak, Ai Ke memimpin sepasukan Tentera Anti-Jepun dan regu penyusun massa bergerak dari Pusing sampai ke sekitar kampung pertengahan Sungai Perak, berjaya mengusir apa yg dinamakan “Tentera Anti-Jepun Perantau Cina” tetapi hakikatnya adalah kumpulan penyamun keluar dari daerah itu, dan mengembangkan gerakan anti-Jepun. Oleh itu, Abdullah C. D. dapat menghubungi dan memahami ketegasan Tentera Anti-Jepun dan PKM menentang Jepun, kebaikan tingkah laku dan kejujuran regu penyusun massa, lalu berazam bersama melancarkan perjuangan anti-Jepun.
Abdullh C.D. memimpin kader KMM dan orang kampung mendirikan Liga Anti-Jepun dan lasykar rakyat. Seterusnya beliau masuk menjadi anggota dan kader PKM pada 1945. Beliau mengambil beberapa pemuda yg cemerlang masuk menjadi anggota PKM dan membentuk cawangan parti bagi memimpin kerja daerah dari Lambor sampai ke Bota.
Mereka menyusun semula Jikidan (kawalan kampung yang didirikan atas arahan Jepun) menjadi Pasukan Lasykar Rakyat Anti-Jepun, untuk menjaga kepentingan rakyat dan mengawal keamanan kampung. Dalam pada itu, Liga Rakyat Anti-Jepun dan mahkamah rakyat didirikan dalam kampung, mahkamah rakyat menangani perkara-perkara perbalahan, dan lain-lain peraturan dan keamanan dalam kampung. Kampung-kampung daerah itu sering mengadakan perhimpunan orang ramai, majlis perayaan, majlis gembira menyambut Tentera Anti-Jepun Rakyat, antara lain ada perhimpunan dihadiri kira-kira delapan ribu orang, gerakan anti-Jepun menjadi semarak berkobar-kobar, sehingga daerah itu menjadi basis gerila anti-Jepun yang kukuh.

Pada penghujung perang anti-Jepun, berdasarkan maklumat dari orang ramai dan kerjasama Lasykar Rakyat, Tentera Anti-Jepun Rakyat melancarkan satu serangan hendap ke atas dua buah tongkang tentera Jepun di tepi Sungai Perak, Pasir Salak. Ketika dua tongkang itu belayar memasuki lingkungan serang hendap, Tentera Anti-Jepun segera melepaskan tembakan kencar menghujani hampir seratus askar Jepun di dalam tongkang itu, mereka berdegil membalas tembakan, namum akhirnya dua tongkang itu terbakar kerana kena tembakan, askar-askar Jepun ada yang mati, ada yang cedera dan ada yang membawa nyawa menerjun ke dalam sungai. Akhirnya serang hendap mencapai kemenangan, berhasil merampas sepucuk mesingan penangkis kapal terbang, sepucuk mesingan berat, lebih 30 pucuk raifal jenis 38 dan sejumlah barangan tentera, yang lain-lainnya tenggelam ke dasar sungai bersama dua tongkang itu. Laykar Rakyat Melayu berjaya mengejar dan menawan dua askar Jepun yang melarikan diri itu. Abdullah C. D. menilai kejayaan pertempuran itu sebagai berikut: „Saya merasakan pertempuran ini sangat penting. Ini kerana pertempuran itu adalah pertempuran kali kedua di Pasir Salak, di tebing Sungai Perak setelah pembunuhan Birch yang sudah pun tercatat dalam sejarah. Dalam hati saya menggubah bait-bait puisi, “Oh, Pasir Salak! Kau menulis lagi sejarah gemilang yang indah. Dulu kau membunuh Birch dan kini membunuh askar Jepun pula untuk kemerdekaan tanah air‟.

(Catatan*:November 1874, Birch dilantik sebagai Residen British yang pertama di Perak. Pada 1 November 1875, Birch dan kumpulannya sampai di Pasir Salak. Orang Melayu yang bersenjata ketika itu sudah berkumpul di tepi sungai berhampiran dengan bot Birch dan mengonyakkan semua surat arahan British yang ditampal. Mereka kemudian membaling lembing ke arah Birch dan menghumbankannya ke dalam sungai. Di Pasir Salak ada satu Kompleks Sejarah Pasir Salak.)

Setelah Jepun menyerah kalah, Abdullah C. D. menyertai Pasukan Propaganda PKM Perak, kemudian menyandang Wakil PKM yang bergerak secara terbuka, menyertai penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), memimpin Jabatan Kerja Melayu, memimpin Kesatuan Sekerja Melayu dan lain-lain. Kemudian dalam masa perang pembebasan nasional anti-British, beliau memimpin Rejimen Ke-10, terpilih sebagai ahli Jawatankuasa Pusat, akhirnya terpilih menyandang Pengerusi PKM.

Di negeri-negeri lain, Tentera Anti-Jepun meneruskan perjuangan secara gigih, meluaskan gerakan ke merata tempat, mendirikan pertubuhan rakyat menentang Jepun, dan melancarkan pertempuran demi pertempuran menyerang tentera Jepun, pengaruhnya mendalam ke pelbagai desa. Dalam keadaan sedemikian, orang Melayu yang telah tahu benar pemerintahan zalim Jepun itu, beransur-ansur memahami, bersimpati dan menyokong Tentera Anti-Jepun, malahan menyertai pertubuhan anti-Jepun. Contohnya sebagai berikut:

Kamarulzaman Teh
Daerah Temerloh, Pahang yg menjadi basis Tentera Anti-Jepun, orang ramai Melayu juga simpati dan menyokong Tentera Anti-Jepun, ada yang masuk pertubuhan anti-Jepun, khasnya golongan elit, mereka yang maju di hadapan seperti Kamarulzaman, Abu Samah, Ibrahim Chik dan lain-lain telah masuk menjadi anggota PKM secara dulu dan kemudian, setelah Jepun menyerah kalah dalam masa aman dan masa perang anti-British, mereka telah mengasuh diri dan maju sebagai kader penting atau ahli Jawatankuasa Pusat PKM.
Di kawasan desa, pekan atau bandar Selangor dan Negeri
Abu Samah Mohd. Kassim
Sembilan, di mana ada gerak kerja Tentera Anti-Jepun, orang ramai Melayu juga bersimpati dan menyokong perjuangan anti-Jepun. Yang paling menonjol adalah Zahid, Ketua Polis Kuala Pilah, Negeri Sembilan, beliau telah insaf dan membenci penjajahan Jepun, maka mencari hubungan dengan pasukan Tentera Anti-Jepun. Pada Mei 1945, Zahid bekerjasama dengan sepasukan Rejimen Ketiga Tentera Anti-Jepun mengepung ketat balai polis Kuala Pilah, Zahid mengarahkan semua polis berkumpul dan berbaris, pengikut setia Zahid pergi membuka pintu gudang senjata, membiarkan
Ibrahim Chik
Tentera Anti-Jepun merampas lebih 80 pucuk senapang dan sejumlah besar peluru. Lalu Zahid menyeru bawahannya supaya bersama-sama memberontak menentang Jepun, bersama dengan Tentera Anti-Jepun berjuang untuk kemerdekaan. Para polis menyahut seruan dan mengikut Tentera Anti-Jepun berjalan keluar dari bangunan balai polis menuju ke perkhemahan Tentera Anti-Jepun di dalam hutan. Satu perayaan telah diadakan di dalam perkhemahan untuk mengalu-alukan Zahid dan polis yang memberontak. Pemberontakan itu telah menggemparkan Kuala Pilah dan Negeri Sembilan.

Mat Indera
Dengan adanya impak dari perkembangan terus-menerus perjuangan anti-Jepun, orang Melayu di Johor dan Melaka juga bersimpati dan menyokong Tentera Anti-Jepun, mereka giat menyertai pertubuhan anti-Jepun. Umpamanya suami isteri Jasman jauh pada pertengahan 1942 telah masuk pertubuhan anti-Jepun. Seterusnya Majid, Mat Indera, Kadir, Ibrahim Muhamad dan lain-lain secara dulu dan kemudian telah masuk pertubuhan anti-Jepun, kemudian masuk menjadi anggota PKM, melakukan kerja anti-Jepun dan menyusun orang ramai Melayu di kawasan masing-masing. Seterus-nya mereka mengasuh diri dan mencapai kemajuan menjadi kader penting PKM.

HORMAT KEPADA PEJUANG VETERAN ANTI JEPUN

Bergambar bersama pejuang anti Jepun

Majlis Perayaan Hari Ulang Tahun Ke-70 Kemenangan Perang Anti-Jepun diadakan di Lee Gardens Plaza Hotel Hadyai Thailand. Keadaan dan suasananya sangat  meriah dan mesra, kira-kira 700 tetamu dan rakan seperjuangan berkumpul di satu dewan, dan lima orang veteran pejuang anti-Jepun dari bekas perajurit Tentera Anti- Jepun  Rakyat Malaya dipelawa hadir, mereka dialu-alukan dan menjadi fokus hadirin. Ketika mereka yang mengenakan pita merah bertulisan VETERAN PEJUANG ANTI JEPUN itu melangkah masuk ke dalam dewan, segenap hadirin berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh. Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan  Perdamaian Thailand menyampaikan angpau kepada mereka, seterusnya para ahli Jawatankuasa Eksekutif, tetamu dan wakil berbagai unit naik ke pentas untuk bergambar dengan para veteran.
Pejuang veteran anti Jepun

Setelah kemenangan Perang Anti-Jepun, veteran pejuang anti-Jepun itu meneruskan perjuangan secara damai, kemudian mereka menceburkan diri ke dalam Perang  Pembebasan Nasional dan perang revolusioner dalam negeri, berterusan sehingga penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai. Kini mereka telah menyumbangkan masa muda dan seluruh tenaganya kepada usaha rakyat. Mereka adalah pejuang rakyat yang mulia, marilah kita memberi setinggi-tinggi salam hormat kepada mereka, dan mengucapkan semoga mereka sihat wal afiat, segala-galanya sesuai dengan kehendak.

Profail veteran pejuang itu diperkenalkan sebagai berikut.


Profail Abdullah C. D.

(Tidak dapat hadir kerana usia tua dan perjalanan jauh)

Beliau Lahir di Lambor Kiri, Perak Tengah pada 2O ktober 1923, anak kepada Ketua  Kampung. Atas didikan dari ayahnya beliau giat menyertai aktiviti dan masuk  menjadi ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Dalam masa pendudukan Jepun,beliau dapat berhubung dengan sepasukan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dari daerah Pusing, dan terus masuk LigaAnti-Jepun Rakyat Malaya,lalu memimpin Liga Anti-Jepun di sekitar kampung daerah sana, menyusun massa Melayu masuk pertubuhan anti-Jepun, membentuk Pasukan Simpanan Anti-Jepun (lasykar rakyat). Beliau masuk menjadi ahli Parti Komunis  Malaya (PKM) pada tahun 1945.

Setelah Jepun menyerah kalah, Abdullah C. D. menyertai Pasukan Propaganda  PKM Perak.

Beliau ambil bahagian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),kemudian menjadi Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor, dan Naib Pengerusi Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Tahun 1947, beliau mewakili PMFTU menghadiri Persidangan Asia di New Delhi. Beliau juga bertugas memimpin Jabatan Kerja Melayu.

Setelah penjajah mengumumkan Darurat, beliau bertugas di Pahang, malangnya di suatu kampung dia diberkas oleh musuh,namun dengan kegigihan dan keberaniannya beliau berjaya meloloskan diri. Beliau mendirikan dan memimpin Rejimen Ke-10 pada 21 Mei 1949, mengarahkan beberapa pertempuran mencapai kemenangan. Pada tahun 1953, beliau memimpin pasukan induk Rejimen Ke-10  beredar ke utara dan tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand, mendirikan basis gerila di sektor timur.

Tahun 1955 terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat PKM, 1957 dilantik menyandang ahli Politbiro,1988 terpilih sebagai Pengerusi PKM. Abdullah C. D. memimpin Rejimen Ke-10 dan basis sektor timur terus sehingga penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai pada 2 Disember 1989.

Abdullah C. D. dan Suriani Abdullah mendirikan rumah tangga pada tahun 1955, dikurniai seorang puteri. Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, mereka tinggal menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin.

(2) Profail Laosun

Laosun
Sun Zhengkui adalah nama asal Laosun, lahir pada tahun 1920 di Kampung Pulai, Ulu Galas, Gua Musang, Kelantan. Dalam masa pendudukan Jepun, dia bersama rakan-rakan muda bertindak secara spontan mendirikan Pasukan Simpanan  Anti-Jepun dan menyandang Ketua pasukan itu dan masuk menyertai pasukan Tentera Anti-Jepun di Ulu Galas. Kemudian Parti Komunis Malaya (PKM) mengutus  wakil datang memimpin pasukan tentera itu. Laosun pernah menyertai  pertempuran menentang tentera Jepun, dan bersama pasukan Tentera  Anti-Jepun  menyerang dan berjaya mengusir sekumpulan penyamun jahat yang masa itu bermaharasjarela dan bertindak kejam ke atas orang ramai di sekitar Ulu Galas, Gua Musang.

20 Jun 1948, Laosun masuk pasukan Tentera Pembebasan Nasional di Ulu Galas. Awal 1950 mengikut induk pasukan Rejimen Ke-12 memulakan perjalanan jauh, dan menjadi ketua regu utusan, membawa regu utusan itu berjalan mengikut perjalanan dalam hutan menghantar surat ke sana sini. Tahun 1955, mengikut pasukannya beredar ke kawasan sempadan Malaya-Thailand, dipindah bertugas dalam pasukan pengawal Jawatankuasa Pusat.

Tahun 1976, menyandang Ketua Seksyen pasukan organ Rejimen Ke-12, bertugas melatih perajurit baru. Setelah Kompeni Ke-3 dibentuk, Laosun masuk dalam  Jawatankuasa Parti Kompeni itu, bertugas sebagai pengarah secara bergilir- gilir. Dia banyak kali memimpin sepasukan besar utusan mengikut perjalanan jauh dalam hutan untuk memberi bantuan kepada Pasukan Penggempur, juga mengambil bahagian pertempuran- pertempuran yang tidak terbilangkan.

Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, Laosun bersama isteri tinggal menetap di Kampung Perdamaian Betong.

(3) Profail Qianfan
Qianfan

Qianfang, nama asalnya Jiang Qingyan, lahir pada tahun 1931 di China. Berpindah ke Malaya pada masa kecil.

Tahun 1943, beliau menyertai pertubuhan anti-Jepun, bertugas sebagai utusan menghatar surat menerusi laluan jalan raya. Tahun 1944 dipindah bertugas  dalam regu pengawal Chin Peng.

20 Jun 1948, masuk pasukan Rejimen Ke-3 Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan menjadi calon anggota PKM. Tahun 1949 dipindah bertugas di dalam pasukan  pengawal organ Jawatankuasa Pusat dan diterima sebagai anggota penuh PKM. Tahun 1956 masuk sebagai ahli Badan Pengarah dan ahli Jawatankuasa Parti Pasukan Khas, iaitu pasukan pengawal organ Jawatankuasa Pusat, tahun 1964  menyandang Naib Setiausaha Jawatankuasa Parti Pasukan Khas.

Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, beliau tinggal menetap di Kampung Perdamaian Banglang, dan menyandang ahli Jawatankuasa Penyelarasan hingga sekarang ini.

(4) Profail Daguang
Daguang

Daguang, nama asalnya Liu Yanquan, lahir pada tahun 1928 di China. Masa kecil berpindah ke Malaya.

Pada masa pendudukan Jepun, Daguang masuk menjadi anggota Pasukan Simpanan Anti-Jepun. Setelah Perang Anti-British meletus pada Jun 1948, dia masuk  pasukan Rejimen Ke-4 Tentera Pembebasan Nasional. Tahun 1949, dia dipindah bertugas di Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6, dan menyertai banyak pertempuran. Tahun 1950, dia dipindah bertugas sebagai pengawal dalam Markas Besar Rejimen Ke-6. Tahun 1953 dia mengekskot seorang pimpinan tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand, kemudian dipindah bertugas sebagai pengawal di pasukan organ  Rejimen Ke-12, tahun 1954 diterima masuk menjadi anggota PKM, tahun 1955 dipindah bertugas sebagai pengawal di pasukan organ Jawatankuasa Pusat. Tahun  1973 dilantik menyandang Naib Ketua Platun.

Kini tinggal menetap di Kampung Perdamaian Banlang setelah penandatanganan persetujuan damai Hadyai.

(5) Profail Liu Wu
Liu Wu

Liu Wu, nama asalnya Liu Jisheng, lahir di Kedah pada tahun 1933.

Tahun 1944 masuk pasukan Tentera Anti- Jepun Rakyat Malaya. Jun 1948 masuk Tentera Pembebasan Nasional Malaya, tahun 1949 dipindah bertugas sebagai pengawal di Markas Besar Rejimen Ke-8, tahun 1952 megambil bahagian tugas di badan pengarah. Tahun 1955 dipindah bertugas sebagai Ketua Seksyen pasukan organ Jawatankuasa Pusat. Tahun 1961 dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kawasan dan menyertai tugas badan pengarah pasukan organ. Tahun 1964 menyandang ahli Jawatankuasa Parti pasukan organ Jawatankuasa Pusat, tahun 1980 dinaik peringkat sebagai ahli Jawatankuasa Negeri.

Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, dia tinggal menetap di Kampung Perdamaian Banglang dan menyertai kerja pembinaan kampung.

(6) Profail Xiaojian

Xiaojian

Xiaojian, nama asalnya Yuan Shaojun, tahun 1928 lahir di Kulai, Johor.

Tahun 1942, Jepun menduduki Malaya, dia masuk Rejimen Ke-4 Tentera  Anti-Jepun Rakyat. 20 Jun 1948, Perang Pembebasan Nasional Anti-British meletus, dia masuk Rejimen Ke-4 Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan banyak kali menyertai pertempuran di daerah Kulai. Tahun 1949, mengikut pasukan beredar ke Pahang, diatur ke dalam Kompeni Ke-26, dan menyertai banyak pertempuran. Tahun 1962, dipindah bertugas di pasukan pengawal organ Jawatankuasa Pusat, kemudian  mengikut pasukan pengawal mengadakan perjalanan jauh dan tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand. Dia sering kali dihantar ke unit-unit lain sebagai pengarah membantu tugas tentera, sepanjang masanya adalah bertugas di dalam pasukan pengawal organ Pusat.

Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, dia tinggal menetap di Kampung Perdamaian Banglang.

* Jun *


 Sumber: Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, Bilangan 37, September 2015

Categories

Pengikut