ALFATIHAH UNTUK KAWAN TAUFAN



Taufan@Aminah binti Hj. Hassan

Pagi ini 13 November 2015, Kampung Perdamaian Sukhirin mendapat berita Kawan Taufan telah meninggal dunia di Raub Pahang pada pukul 1.30am.

Kawan Taufan atau nama sebenarnya Aminah binti Haji Hassan menyertai perjuangan bersenjata pada tahun 1961, dalam kumpulan terawal warga Selatan Thai menyertai Rejimen Ke-10.
Dalam memoirnya bahagian ketiga PERJUANGAN DI SEMPADAN DAN PENAMATAN TERHORMAT, Kawan Abdullah C.D. menulis:

Aminah – Beliau seorang anasir cergas wanita dari Kampung A dalam satu organisasi massa di bawah pimpinan Sukor dan Rosmah. Kerana pekerjaannya baik,  dia dihantar menyusun kaum nelayan di kawasan pantai Pattani. Kerana perkembangan kerjanya dia telah berjaya membenbentuk persatuan nelayan. Pernah beberapa kali persatuan ini melancarkan mogok ke laut kerana menuntut upah yang berpatutan dengan majikan. Beliau kemudiannya menyertai pasukan Rejimen Ke-10 di Kampung A, sebuah kampung di kawasan Kuala Kail, Banang Star, Yala, Selatan Thailand.

Tahun 1963 beliau berkahwin dengan Kawan Masin atau nama sebenarnya Sanib Jasmani berasal dari Johor, salah seorang anak buah Mat Indera. Perkongsian hidup mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata wanita.

Dalam perjuangan bersenjata, beliau berkhidmat di pasukan induk Rejimen Ke-10 sebagai Pembantu Ketua Seksyen Wanita di bawah Kawan Atom (Siti Mariam Idris).

Pekerjaan pokok beliau ialah membantu memimpin masalah2 wanita dalam pasukan, memandu regu wanita, membantu kawan2 pimpinan, kerja perubatan, masak memasak, menjahit uniform, kerja perubatan terutama korek (accupuntur) dan lain2. Kerana kemajuannya Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-10 telah melantiknya menjadi Ketua Platun.

Setelah penandatanganan perdamaian 1989 dan perjuangan bersenjata ditamatkan, beliau bersama Sanib memilih untuk pulang ke Malaysia. 

Alfatihah untuk Allahyarhamah Aminah. Segenap rakan seperjuangan di sini menadah tangan berdoa semoga beliau diletakkan di kalangan orang-orang yang dikasihi Allah. 

Kampung Perdamaian Sukhirin,
13 November 2015

Categories

Pengikut