ALFATIHAH UNTUK KAWAN DAUD


Kawan Daud

Baru mendapat khabar bahawa Kawan Daud telah meninggal dunia pada pagi ini di pangkuan keluarganya di Kampung Lokchut, daerah Weng Narathiwat. Jenazah beliau juga akan dikebumikan di sana. Beliau yang telah beberapa tahun mendapat sakit lumpuh tidak boleh bergerak sendiri menetap di rumahnya di Kampung Chulabhorn Patana 12. Akan tetapi, mendapati sakitnya menjadi parah, pada hari semalam,  pihak keluarga membawa beliau pulang ke kampungnya di Weang. Rupanya itulah perpisahan terakhir beliau dengan kampung perdamaian ini.

Alfatehah untuk Kawan Daud, semoga Allah meletakkan Allahyarham di kalangan orang2 yang dikasihiNya.

Kawan Daud menyertai perjuangan bersenjata pada tahun 60-an ketika pasukan penyusun massa Rejimen Ke-10 bergerak di Kawasan Lubuk Lasak, Sukhirin.

Beliau pernah menyertai Pasukan Propaganda Khas, Pasukan Platun Merdeka dan Pasukan Penggempur Ke-14 Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Abu Samah Mohd. Kassim bergerak di Ulu Kelantan.

Setelah pasukan Pengempur Ke-14 pulang ke kawasan sempadan beliau berkahwin dengan seorang puteri kawasan sempadan dengan nama perjuangannya Kawan Seni dan terus berkhidmat dalam pasukan itu sehingga tamat perang. (12 Nov. 2015)

Categories

Pengikut