KAWAN SUKOR PUTERA TERPUJI SUNGAI PAHANG

Sukor @ Awang Ismail

KAWAN SUKOR PUTERA TERPUJI SUNGAI PAHANG
Kawan Sukor (nama sebenarnya Awang bin Ismail) adalah antara putera terpuji Sungai Pahang yang tidak rela melihat tanahairnya diperkosa dengan sesuka hati oleh kaum penjajah. Perlawanan pejuang2 Pahang dibawah pimpinan Datok Bahaman telah memberikan kesedaran yang amat tinggi dalam sanubarinya. Selepas kekalahan Jepun, perjuangan menuntut kemerdekaan yang dilancarkan oleh PKMM, API, AWAS, BATAS dan lain-lain mendapat sambutan hangat di kalangan kaum tani Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Pahang. Serasi dengan semangat perjuangan Bahaman yang tersemai di dadanya, Kawan Sukor lantas menjadi anggota API Pahang dibawah pimpinan Kamarulzaman Teh. Setelah API diharamkan beliau menjadi anggota PETA, sebuah pertubuhan yang menyambung perjuangan API dibawah pimpinan Wahi Anuar. Sejak itu, semangat kemerdekaan yang hinggap di sanubarinya mula membakar.
Kawan Sukor dilahirkan pada tahun 1928 di Kampung Berhala Gantang, Mukim Sanggang, Daerah Temerloh, Pahang. Beliau bersekolah sehingga darjah 6 dan belajar agama di pondok pejabat API selama 2 tahun bergurukan Tuan Guru Haji Chek Man.
Dalam masa yang sama beliau menjadi anggota API dan terlibat dengan aktiviti API sepanjang masa. Bersama rakan2 API yang lain, beliau menjelajah ke serata ceruk rantau membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat terutamanya kaum tani Melayu. Antara aktiviti yang dilakukan masa itu ialah mengadakan ceramah penerangan, mengadakan pentas sandiwara, kesenian dan lain2 yang bertemakan patriotism dan kemerdekaan. Aktiviti-aktiviti ini mendapat sambutan hangat di kalangan kaum tani Melayu. Mereka memberikan sokongan dan derma bakti termasuk menghadiahkan wang ringgit dan kerbau lembu untuk perjuangan menuntut kemerdekaan.
Kerana merasa kedudukan penjajahannya kian terancam oleh gelombang perjuangan rakyat, penjajah pada bulan Jun 1948, Kerajaan kolonialis Inggeris mengisytiharkan undang-undang darurat dan melakukan penangkapan secara menyeluruh di seluruh negara. Kamarulzaman Teh yang memimpin gerakan di Temerloh telah ditangkap polis pada 20 Jun. Saat itu aktivis-aktivis API, AWAS, BATAS dan lain-lain berundur ke pinggir hutan dan belukar mengelakkan tangkapan musuh dan akhirnya membentuk pasukan gerila Melayu.
Ketika itu Kawan Sukor belum disenaraikan dalam tangkapan polis, jadi beliau ditugaskan bergerak di kampung sementara “merah”. Begitulah ketika hutan rimba berdentam dentum dengan tembakan rakan-rakannya, beliau menjalankan tugas propadanda di kampung, mengutip derma, menghantar surat dan lain-lain ke serata tempat terutamanya di kampung-kampung Balik Gantang, Teluk Ira, Bali dan lain-lain. Ketika itu sokongan orang ramai kepada perjuangan bersenjata sangat menggalakkan, dalam masa sebulan dapat menerima derma sebanyak 200 gantang padi, orang Cina menderma sayuran dan sebagainya. Kampung Berhala Gantang menjadi salah satu kampung sandaran pasukan gerila anti-British yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) ketika itu.
Beberapa bulan membuat kerja di kalangan massa, akhirnya nama Kawan Sukor tersenarai dalam tangkapan polis. Beliau keluar rumah menyertai Tentera Tani. Kira2 terdapat 15 orang anggota Tentera Tani di kampungnya. Tugas Tentera Tani ialah membantu pasukan gerila, mengutip maklumat, membunuh hantu-hantu atau intelijen yang berkhidmat kepada penjajah Inggeris dan lain2.
Sebulan di Tentera Tani iaitu pada 1 Mac 1949, beliau diterima menjadi anggota Rejimen Ke-10 TPNM. Beliau ditugaskan di Platun 2 Rejimen Ke-10 dipimpin oleh Abas. Sejak itulah beliau bertempur bahu membahu dengan rakan-rakannya yang jumlah besarnya adalah anggota PKMM, API dan AWAS.
Dalam perjuangan yang kusut masai, tak terhitung banyaknya beliau bertempur bermandi darah menentang askar2 komanwelth yang dihantar ke Malaya untuk membasmi pasukan gerila anti-British ini yang disebut sebagai “pengganas komunis”. Antara yang besar ialah pernah ikut serta dalam 3 kali pertempuran terkenal Rejimen Ke-10 iaitu pertempuran serang hendap di Jalan Chenor, pertempuran Bukit Chempedak dan pertempuran Bukit Kuin. Cerita ketiga-tiga pertempuran ini sudah tercatat dalam Memoir Kawan Abdullah C.D..
Tahun 1953, beliau menyertai Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 melakukan perjalanan jauh ke kawasan sempadan. Sepanjang perjalanan, beliau ditugaskan sebagai pengawal pimpinan Markas Besar, Musa Ahmad. Beliau meninggalkan kerja itu setelah Musa Ahmad keluar negari. Tentang suka duka perjalanan jauh itu sudah banyak diceritakan dalam Memoir pimpinan Rejimen Ke-10.
Di kawasan sempadan beliau menghabiskan sebahagian besar masanya dengan tugas menyusun massa, daripada anggota regu hingga kepada ketua regu penyusun massa. Oleh sebab itu, massa rakyat kawasan sempadan ramai yang kenal beliau.
Tahun 1969, beliau ikut serta dalam Pasukan Propaganda Khas Rejimen Ke-10 yang beroperasi di kawasan Ulu Kelantan. Inilah platun Rejimen Ke-10 yang pertama dihantar balik ke Malaya untuk melakukan kerja menyusun massa dan memperluas kawasan basis dan pangkalan gerila.
Tahun 1970 beliau ikut serta dalam Pasukan Platun Merdeka Rejimen Ke-10 yang juga beroperasi di tanah air.
Tahun 1973 beliau ikut serta dalam Pasukan Penggempur Ke-14 Rejimen Ke-10 sebagai salah seorang markas pengarahnya.  Pada tahun 1975, pasukan ini yang berkekuatan 1 platun menghadapi kempen kepung basmi dari angkatan tentera Malaysia yang berkekuatan 14,000 orang. Pasukan ini mengambil taktik berputar-putar atau taktik main sembunyi2 dengan musuh sambil memasang jerangkap samar sehingga akhirnya musuh lelah dan menamatkan serangannya. Pihak pasukan penggempur semuanya selamat. Pada pertengahan tahun 1976, Pasukan Penggempur Ke-14 diperintahkan balik ke kawasan basis sempadan.
Pada tahun 1977, Kawan Abdullah C.D. mengadakan penyusunan semula pasukan dengan membentuk kompeni-kompeni Rejimen Ke-10. Kawan Sukur telah ditugaskan sebagai salah seorang anggota badan pengarah kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10 beroperasi di Daerah Chendek, berhampiran kawasan sempadan. Tugas kompeni ini ialah menyusun massa dan melaksanakan polisi parti tentang front persatuan di kawasan sempadan sehingga dapat mewujudkan suatu suasana yang damai.
Tahun 1989, Persetujuaan damai 3 pihak ditandatangani oleh PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand. Hasil dari persetujuan tersebut Rejimen Ke-10 dibubarkan secara rasmi dan senjatanya dimusnahkan. Sebuah kampung baru didirikan dengan bantuan Kerajaan Diraja Thailand. Kawan Sukur telah dipilih menjadi Ketua Kampung untuk menguruskan pentadbiran Kampung. Di samping itu beliau juga menjadi anggota Kebajikan yang membantu menguruskan berbagai masalah kehidupan bekas perajurit dan juga menjadi anggota Jawatankuasa agama di Madrasah Darul Aman.
Pada 29 September 2004 isterinya Zaleha Mat Roni, bekas  Ketua Awas Cawangan Lubuk Kawah meninggal dunia.
Pada 26 Oktober 2015 beliau pula pulang ke rahmatullah dalam usia 87 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Kampung Chulabhorn Patana 12 di samping isteri dan rakan seperjuangannya yang lain.
Abadilah pejuang kemerdekaan, semangat pengorbananmu tidaklah sia2, selamanya memberikan inspirasi kepada generasi2 mendatang dalam perjuangan membangun sebuah masyarakat yang benar2 aman dan makmur, merdeka sepenuhnya.
Alfatihah




1 ulasan:

Inalillahi wa inna ilaihi ro jiun.
Semoga Arwah Sukor yang juga Bapa Saudara saya sebelah bapa, yang saya gelar Pak Lang Awang dicucuri rahmat oleh Allah.
Terkenang lagi hingga kini ketika tahun 2012 pergi menziarahi Arwah, masa itu pergi bersama Ayah saya, Yahya Ismail dari Bukit Damar, Malaysia.

Baru2 ini baru merancang untuk ke Sukhirin, tetapi dibatalkan kerana kesukaran mendapatkan kenderaan Pacuan Empat Roda (HILUX) adik saya.Adik saya tak dapat meluangkan masa kerana dia ada urusan keluarga.

Saya bersedih tetapi berbangga kerana sempat mengenali beliau/Pak Lang Sukor/Awang sebagai seorang Patriot sebenar.

Dari : Anak saudaranya-Azizul.

Reply

Categories

Pengikut