UCAPAN PENGERUSI MAJLIS MEMPERINGATI ULANGTAHUN KE DUA PEMERGIAN CHIN PENG

Kawan Indra sedang memberikan ucapan
Salammualaikum warahmatulahi wabarahkatuh,
Selamat petang,

Yang dihormati Bapak Abdullah C.D., Pengerusi Parti Komunis Malaya,
Yang dihormati wakil dari Pejabat Daerah Sukhirin,
Yang dihormati para anggota Jawatankuasa Kerja Gabungan Persatuan Perdamaian Thailand dan para penasihat,
Yang dihormati rombongan dari Persatuan Abad Ke-21 Malaysia,
Yang dihormati rombongan dari Persatuan Sahabat Karib Malaysia,
Yang dihormati para tetamu sekalian,
Yang dihormati rombongan-rombongan dari Kampung-Kampung Perdamaian Banlang, Betong dan Kabang,
Kawan-kawan dan sahabat-sahabat sekalian yang dikasihi,

Hari ini, 16 haribulan September tahun 2015, ialah hari ulangtahun ke-2 wafatnya mendiang Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang kami cintai dan hormati. Bersamaan dengan itu, 16 September juga adalah Hari Malaysia.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan pada 19 September tahun 1924 di Sitiawan, Perak, Malaya, tanahjajahan British ketika itu. Beliau menjadi calun anggota PKM pada Januari tahun 1940, ketika usianya tak sampai 16 tahun.
Setelah Jepun menguasai Malaya, beliau ditugaskan memimpin pasukan gerila di Perak. Pasukan gerila di Perak kemudiannya menjadi salah satu pasukan bersenjata PKM yang paling kuat dan paling aktif di seluruh Malaya. Selain itu, beliau dilantik menjadi pegawai penghubung PKM dengan Spencer Chapman, wakil pihak Inggeris di kawasan musuh.
Pada Disember tahun 1943, beliau ditugaskan mengatur Perundingan Blantan antara pihak British dengan PKM.
Pada bulan September tahun 1945, beliau dilantik sebagai salah seorang daripada 5 orang anggota Jawatankuasa Pusat Sementara PKM (kemudiannya diubah nama menjadi Politbiro Pusat PKM – badan tertinggi pusat PKM).
Pada bulan Mac tahun 1947, persidang"an Jawatankuasa Pusat PKM melantik beliau yang berusia tak sampai 23 tahun sebagai Setiausaha Agung PKM.
Pada bulan Ogos tahun 1947, beliau diberitahu memperolehi penghargaan pingat OBE kerajaan British atas jasa-jasa beliau dan TAJRM dalam Perang Anti Fasis Sedunia.
Pada bulan Mac tahun 1948, Jawatankuasa Pusat PKM pimpinan Chin Peng memutuskan untuk melakukan persiapan ke arah perjuangan bersenjata yang akhirnya pasti akan meletus. Pada bulan Jun tahun 1948, begitu penjajah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat di seluruh Malaya, mengharamkan PKM dan semua parti politik dan pertubuhan yang tidak sebulu dengannya dan melakukan penangkapan besar-besaran di seluruh Malaya, beliau terus memimpin PKM dan kekuatan lainnya melawan penindasan berdarah penjajah British dengan perjuangan bersenjata revolusioner. Maka bermulalah Revolusi 48.
Pada bulan Disember tahun 1955, rombongan PKM yang diwakili oleh Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian telah mengadakan Rundingan Baling dengan rombongan Tunku Abdul Rahman. Perundingan itu gagal mencapai penyelesaian damai, akan tetapi, telah memainkan peranan positif ke arah tercapainya kemerdekaan Malaya.
Setelah melancarkan perjuangan bersenjata selama 40 tahun lebih, PKM akhirnya mengadakan perundingan 3 pihak dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan di raja Thailand. Pada 2 Disember tahun 1989, Chin Peng, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin menandatangani Persetujuan Damai Hatyai bagi pihak PKM.
Pada tahun-tahun berikutnya, Chin Peng menumpukan perhatiannya dalam mengenalpasti pelaksanaan penuh Persetujuan Damai, terutamanya pada masalah bekas-bekas gerilawan-gerilawati yang memilih bermastautin di Malaysia.
Sebagai anak Malaya (sekarang Malaysia) dan salah seorang penandatangan utama Perjanjian Damai Hatyai, beliau sejak mula lagi telah mengemukakan permohonan untuk balik ke Malaysia. Akan tetapi, permohonan beliau telah ditolak pihak berkuasa dengan berbagai alasan yang tidak masuk akal, bahkan hasrat beliau untuk menziarahi pusara orang tua beliau di Sitiawan pun tidak pernah terkabul.
Jika kerbau dipegang talinya, jika manusia dipegang katanya, demikian kata peribahasa. Perbuatan yang terang-terangan melanggar perjanjian yang bersifat antarabangsa dan tidak amanah ini telah amat merosak imej pihak berkuasa di mata dunia, khususnya setelah wafatnya Chin Peng.
Tambahan pula lalu penjahit, lalu kelindan. Jika perjanjian yang bersifat antarabangsa pun boleh dilanggar demi tujuan tertentu, apa lagi janji-janji atau amanah murahan yang ditabur-tabur di dalam negeri.


Sekian, terimakasih.
Mualaikum musalam warahmatulahi wabarahkatuh.


16 September 2015, petang.

1 ulasan:

Seorang pejuang tulen...sejak dr usia yg masih terlalu muda sudah terjun ke gelanggang perjuangan...amat bersetuju dgn ulasan berkenaan sikap suka mungkir janji kerajaan bn....dulu kini dan selamanye suka menipu.

Reply

Categories

Pengikut