DEMONSTRASI MAY DAY TERBESAR DALAM SEJARAH




Pada 1 Mei 1947, demonstrasi Hari Buruh “May Day” terbesar dalam sejarah Malaya dan Singapura sebelum Merdeka telah diadakan di bandar Singapura. Demonstrasi yang dianjurkan oleh kesatuan buruh terbesar di Malaya, PMFTU (Pan-Malayan Federation of Trade Unions) dan SFTU (Singapore Federation of Trade Unions) itu telah dihadiri oleh 50,000 orang pekerja yang telah berhimpun di Farrer Park, diikuti dengan perarakan sejauh 3 km di tengah bandar Singapura.
Akhbar The Straits Times bertarikh 2 Mei 1947 telah melaporkan, “While police riots squads stood by with tear gas and radio patrol cars, a two-mile procession marched through the streets without incident, carrying banners and posters. At the two-hour rally held at Farrer Park, a resolution was passed urging the Government to recognise May Day in future as an official holiday with full pay for workers.”
Demonstrasi May Day tahun 1947 ini merupakan kali pertama gerakan buruh di Malaya menuntut supaya Hari Buruh 1 Mei diiktiraf sebagai hari cuti umum di seluruh Malaya dan Singapura.
Majalah Kenchana keluaran bulan Jun 1947 telah melaporkan, “Beribu-ribu kaum buruh Singapura telah ikut merayakan hari buruh 1 Mei, seperti juga berjuta-juta saudaranya kaum buruh seluruh dunia telah merayakan dengan penuh keramaian dan kebesaran. Berbagai macam bendera kebangsaan telah dijulangkan ke udara diiringi berpuluh-puluh kata slogan yang mengemukakan semangat tekad bulat persatuan kaum buruh dalam pertahanan dan perjuangannya untuk menetapkan keadaan yang baik dari tindasan kezaliman kaum majikan.”
Dalam ucapannya semasa perhimpunan itu, Setiausaha Agung PMFTU telah berkata, “Kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berpersatuan, kebebasan berhimpun dan berdemonstrasi sudah lama menjadi matlamat utama dalam perjuangan kaum buruh di Malaya.”
Selepas tahun 1945, selepas tamat zaman Pendudukan Jepun, PMFTU merupakan kesatuan sekerja paling besar dan paling kuat dengan keahlian seramai 300,000 orang pekerja di seluruh Malaya & Singapura. Kerana bimbang kebangkitan gerakan buruh yang boleh menggugat kedudukan mereka, kerajaan penjajah British telah mengharamkan PMFTU setahun kemudian pada bulan Jun 1948.
Sumber gambar: Majalah Kenchana (Jun 1947), akhbar The Straits Times (2 Mei 1947).


Sumber  dari Pusat Sejarah Rakyat : https://www.facebook.com/pusatsejarahrakyat?fref=nf

Categories

Pengikut