BAPA ABDULLAH C.D. MERAKAM TAKZIAH ATAS KEMANGKATAN DYMM SULTAN AZLAN SHAH

Abdullah C.D. dan Allahyarhamah Suriani bertemu DYMM Sultan Azlah dan Permaisuri pada tahun 1998
Sebagai anak Perak, kenalan lama dan rakan sekolah di MCKK, saya merakamkan takziah sedalam-dalamnya atas mangkatnya DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dua kali perjumpaan mesra dengan almarhum dan permaisuri sentiasa menjadi kenangan manis. Semoga almarhum dicucuri rahmat oleh Yang Maha Kuasa.

Bersamaan itu, saya berdoa semoga rakyat Perak sentiasa berada dalam keadaan bahagia dan aman di bawah naungan DYMM dan permaisuri yang baru.

Cik Dat Anjang Abdullah
Sukhirin, Narathiwat,
Selatan Thailand

KAWAN DOLLAH PAHLAWAN CILIK REJIMEN KE-10


SEMPENA MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10

Di mana ada perjuangan di situlah ada pengorbanan. Dalam perjuangan untuk menghalau penjajah Inggeris demi kemerdekaan tanah air, tak terhetong banyaknya para pahlawan telah menumpahkan darah. Salah satu di antara mereka ialah pahlawan cilik berasal dari Kampung Tanjung Batu Temerloh, Pahang. Beliau ialah Kawan Dollah. Untuk mengenangi pahlawan kecil ini, Bapa Abdullah C.D. telah mengabadikan kisah heroik Kawan Dollah dalam Memoir Bahagian Kedua beliau PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10. Berikut adalah salinan dari tulisan tersebut. (Gambar kiri bukan Kawan Dollah tapi seorang perajurit kecil Rejimen Ke-10)



Pahlawan Dollah -
Perajurit Kecil yang Tak Takut Mati

Menyebut kisah Kampung Tanjung Batu, saya tak lupa kisah Dollah. Di bawah ini saya catatkan sedikit kisah pahlawan kecil tersebut.

Kampung Tanjung Batu, Daerah Temerloh, adalah antara basis kukuh Rejimen Ke-10. Massa di sini tinggi kesedaran nasionalnya. Dalam masa aman selepas kekalahan Jepun, mereka giat menceburkan diri ke dalam berbagai organisasi patriotik-demokratik seperti PKMM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain. Bagi kanak-kanak juga didirikan Barisan Pelopor Kanak-Kanak yang dianggotai oleh kanak-kanak berusia antara 9 hingga belasan tahun. Mereka menjalankan bermacam-macam tugas membantu perjuangan untuk kemerdekaan.

Apabila diisytiharkannya Undang-Undang Darurat, sejumlah massa di sini telah memanggul senjata menyertai pasukan gerila anti-British, yang tidak masuk hutan pula menyertai pasukan lasykar rakyat dan menyokong pasukan gerila. Sebuah pasukan gerila iaitu Platun 2, Rejimen Ke-10 bergerak di Kampung Tanjung Batu dan kampung-kampung di sekitarnya.

Sejumlah anggota Barisan Pelopor Kanak-Kanak atau Tentera Semut di bawah pimpinan Dollah dibentuk di kampung tersebut. Mereka membuat kerja-kerja mengawal kampung, mengawasi gerak geri musuh, menyampaikan maklumat, membuat kerja-kerja hubungan utusan dan lain-lain.

Walaupun umurnya masih kecil, tapi semangat bencikan penjajah British istimewa mendalam dijiwa Dollah. Dia bercita-cita untuk menjadi perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Akan tetapi kerana umurnya masih kecil, dia dinasihatkan supaya buat kerja di kampung dulu. Setiap kali bertemu dengan pasukan gerila, dia mengajukan permintaannya itu. Walau bagaimana pun, Dollah mengajukan 2 tuntutan iaitu pertama, apabila dia besar kelak, mestilah menerimanya menjadi perajurit Tentera Pembebasan Nasional dan kedua, sekiranya dia terkorban mestilah menerimanya sebagai Perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

Pada bulan Mac 1949, musuh telah memasuki kampung untuk menangkap dan mengugut orang ramai. Komander memberikan Dollah sebiji bom tangan untuk dilemparkan ke atas musuh. Akan tetapi ketika dia hendak membuang bom itu keadaannya telah berubah. Musuh telah bercampur gaul dengan orang ramai. Dalam saat genting ini Dollah memikir bahaya kepada massa jika bom itu dibuang. Lalu dia berpatah balik mendapatkan pasukan yang sedang bersembunyi di belukar. Musuh yang mencurigai gerak geri Dollah terus mengejarnya. Pasukan Tentera Pembebasan segera melepaskan tembakan hebat ke atas musuh. Musuh lari balik mendapatkan motobot. Manakala Dollah pula memimpin pasukan Tentera Semut bersama lasykar rakyat mengejar musuh untuk membantu Tentera Pembebasan. Sejumlah besar musuh telah terbasmi.

Atas tuntutan Dollah, ibunya seorang aktivis gerakan wanita telah menjahitkan sepasang pakaian seragam Tentera Pembebasan iaitu sepasang baju tentera berwarna hijau, sebuah topi berbucu lima dengan sebiji bintang merah di depannya serta sepasang patis.

Pada 12 Mei 1949, Platun 2 dikerahkan ke kampung tersebut untuk mengadakan perhimpunan massa. Dollah datang menyambut mereka dengan pakaian seragam Tentera Pembebasan. Dengan penuh bangga, beliau berkata: "Lihatlah kawan sekalian, alangkah perkasanya, alangkah mulianya seorang perajurit Tentera Pembebasan!" Katanya, "Kemuliaan ini bukan semata-mata kerana mengenakan pakaian seragam, melainkan kerana semangat revolusioner yang bertempur dengan gagah berani". Kawan-kawan Tentera Pembebasan memberikan tepukan yang hangat kepadanya.

Pada hari tersebut juga Dollah telah ditugaskan berkawal di penghujung kampung. Dengan menggenggam kejat-kejat senapang kulai berlaras dua dia berdiri tegak di atas sebuah busut. Kira-kira setengah jam kemudian, beberapa orang askar orang putih datang dari arah rusuk. Apabila melihat Dollah berpakaian Tentera Pembebasan, musuh cuba menangkapnya hidup-hidup. Dollah mengetahui musuh sudah mendekatinya. Dollah mengangkat senapang lalu berkata: "Hantu orang putih, saya akan basmi kalian semua" sambil melepaskan tembakan. 2 orang askar orang putih yang berjalan di depan segera tumbang. Seiring itu musuh telah melepaskan tembakan gencar ke arah Dollah. Beliau gugur sebagai pahlawan. Ketika itu beliau baru berusia 14 tahun.

Seluruh kawan bersedih kerana pengorbanannya. Setelah berdirinya Rejimen Ke-10 tak lama selepas peristiwa itu, saya atas nama Markas Besar Rejimen Ke-10 mengesahkan beliau sebagai Perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan menganugerahkannya gelaran Pahlawan untuk menunaikan hasratnya ketika hidup. Darah pahlawan telah membasahi pertiwi, demi kemerdekaan dan pembebasan negara dan rakyat.

Sebuah lagu telah dicipta untuk mengenangi Pahlawan Dollah, seni katanya sebagai berikut:

Kawan Dollah -Pahlawan Muda
Yang Tak Mengenal Mati

Kawan Dollah berusia empat belas,
Punya cita-cita besar,
Kerana usia terlalu muda,
Tak disahkan masuk tentera.
Kawan Dollah setia pada parti,
Ikut parti jalankan perintah,
Kalau korban minta disahkan,
Masuk Tentera Pembebasan mulia.

Menyusun tentera semut kampung,
Bawa kanak-kanak revolusioner,
Punggah barang mengawasi musuh,
Ikut bertempur membasmi musuh.

Masuk kampung membawa tugas,
Nak lempar bom membasmi musuh,
Sayang keadaan telah berubah,
Segera laporkan kepada kawan.

Musuh sedar segera mengejar,
Dollah membawa masuk perangkap,
Kesempatan basmi musuh tiba,
Perajurit kita yang perkasa.

Pakai uniform tentera perwira,
Topi berbintang merah bersinar,
Senapang kulai kejat ditangan,
Tegak berkawal di pinggir kampung.

Orang Putih tiba dari rusuk,
Dollah tenang mengangkat senjata,
Bertekad bulat lantang berteriak:
"Saya akan hapuskan kalian".

Petik treger senapang gemuruh,
Segera tumbang dua orang musuh,
Musuh menembak secara gila,
Pahlawan gugur jasa abadi.

Dollah sumbangkan keremajaannya,
Kawan dan pimpinan bersemadi,
Rasmikan Dollah jadi perajurit,
Semangat sateria kekal abadi.


65 TAHUN REJIMEN KE-10 - PERANG DI HUTAN DAMAI SUDAH, PERANG KELAS MAKIN MEMBARA


SEMPENA MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10


Ditulis oleh : Mat Hassan


Ini adalah sebuah tulisan sempena memperingati 65 tahun penubuhan Rejimen Ke-10 TPNM. Namun jauh sekali untuk mempersembahkan naratif sejarah Rejimen-10. Tulisan ini lebih kepada bertujuan untuk bertanyakan kaum muda, yang hidup dizaman sekarang didalam keadaan latar yang berbeza, bagaimana mereka ingin membina gerakan dan mengharungi perang kelas dizaman yang mencabar ini.


"Seluruh lembaran sejarah masyarakat manusia yang wujud setakat hari ini adalah merupakan sejarah perjuangan kelas"- Marx dan Engels


“Kita orang proletariat, pagi-pagi harus belajar dahulu”— itu kata-kata SutanDjenain, seorang anggota Sarekat Islam Merah Indonesia kepada Abdullah CD dalam pertemuan mereka di ‘Rumah Merdeka’,Kampong Baru,Kuala Lumpur lebih 60 tahun dahulu. Maka melalui pelajaran timbul kesedaran dan daripada kesedaran akan membara api perjuangan. Tidak berapa lama selepas itu, pada tanggal 21 haribulan Mei 1949, terbinanya satu pasukan pahlawan revolusioner yang didirikan khas untuk menghimpun putera puteri Melayu terpuji yang berani berdiri dan melawan dihadapan kuasa imperial yang amat kuat dari segi persenjataan dan logistik. Namun mereka bertempur dengan gagah dan bermaruah demi membebaskan tanah air mereka daripada penindasan penjajahan.


Coretan ini merupakan sebuah catatan penghargaan buat generasi para pejuang, bersempena sambutan ulang tahun yang ke 65 pasukan Rejimen ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya TPNM. Pasukan tentera revolusioner yang punya sejarah juang yang cemerlang ini telah melahirkan ramai pahlawan rakyat yang terbilang. Nama-nama seperti Abdullah CD sebagai penaja dan pemimpin pasukan ini, Suriani Abdullah, Rashid Maidin, Abu Samah, Siti Norkiah, Pak Hatta dan ramai lagi putera-puteri terpuji kelas proletar dan anak tani miskin yang sama bertitik peluh menumpah darah melawan kuasa imperialism yang menindas.


Coretan ini bukan bertujuan untuk bercerita dengan gaya romantis tentang sejarah perjuangan Rejimen ke-10 kerana sejarah para pahlawan rakyat ini sudah banyak dibukukan dan sebagai generasi baru, penulis tidak berada ditempat yang layak untuk menjadi tukang ceritanya. Namun tulisan ini ingin mengajak generasi muda yang sama dengan penulis untuk memahami erti kesedaran yang ada pada sanubari setiap pahlawan yang bangun melawan. Amat penting buat generasi baru untuk mengerti akan kesedaran ini dan bagaimana mereka mendapatkan kesedaran tersebut. Semoga sebagai kaum muda kita semua dapat mengambil manfaat dan kesedaran demi meneruskan perjuangan suci mereka didalam situasi zaman baru ini yang mungkin tidak sama tapi sebenarnya semakin mencabar.


Untuk itu kaum muda harus memahami dari mana asal sumbernya penindasan yang bisa dilihat dalam masyarakat hari ini. Segala penindasan dan penjajahan ini adalah satu manifestasi pertentangan kelas yang sentiasa bertali arus diantara yang menindas dan yang tertindas. Segala bentuk penindasan ini jika diteliti dengan mata metarialis, bisa dilihat dengan amat jelas bahawa ia adalah berpunca daripada satu sumber— iaitu modal atau KAPITAL!


Perang tanpa penghujung


“Seluruh lembaran sejarah masyarakat manusia yang wujud setakat hari ini adalah merupakan sejarah perjuangan kelas”. Itu kata Karl Marx dan Frederick Engels didalam karya agong mereka Manifesto Komunis atau the Communist Manifesto yang diterbitkan buat julung kali pada tahun 1848. Manifesto Komunis adalah dokumen penubuhan dan permulaan gerakan komunis diseluruh dunia, dan masih merupakan teks yang wajib dibaca oleh pekerja dan kelas tertindas demi memahami realiti dan akar umbi setiap permasalahan dan kontradiksi yang dibawa oleh sistem produksi kapitalisma.

Didalam setiap zaman sejarah pembangunan masyarakat manusia, pertentangan diantara kelas manusia yang ada disetiap zaman tersebut tiada pernah surut dan reda—kelas hamba abdi dan tuan mereka pada zaman perhambaan, kelas tani dantuan tanah pada zaman feudal, kelas pekerja dan kapitalis pada zaman perindustrian dan tak lupa juga manusia terjajah dan kuasa imperialisma dizaman penjajahan Eropah keatas dunia Afrika, Asia dan benua Amerika. Ini semua adalah manifestasi pertentangan kelas yang mewakili setiap zaman melalui kondisi material yang berbeza. Sebagai contoh, keinginan hamba abdi untuk hidup bebas,beranak pinak dan mengumpul harta seperti manusia merdeka adalah bertentangan dan bisa membawa bencana terhadap kehidupan tuan mereka. Begitu juga kaum miskin yang sentiasa dimuatkan kepala mereka dengan kata-kata bahawa mereka sudah ditakdirkan miskin dan ia memang fitrah bahawa ada yang miskin dan ada yang kaya tanpa mengambil kira bahawa kemiskinan adalah produk masyarakat dan sudah diterima luas di kalangan ilmuan bahawa kemiskinan itu adalah politikal. Sama juga dizaman sekarang ini dimana keinginan pekerja terhadap akta gaji minima mengancam kaum pemodal—akta gaji minima sudah membuatkan mereka histeria, bayangkan lah jika para pekerja menuntut bahagian mereka yang saksama keatas kuntungan dan juga pengurusan syarikat?


"Like slavery and apartheid, poverty is not natural. It is man-made and it can be overcome and eradicated by the actions of human beings."- Mandela.

(Seperti perhambaan manusia dan apartheid, kemiskinan bukan fitrah. Ia adalah hasil perbuatan manusia dan boleh dihapuskan melalui aksi manusia)


Semua contoh pertentangan kelas diatas walaupun mewakili zaman-zaman pembangunan masyarakat yang berbeza, ia mengajarkan satu hakikat yang tidak bisa disangkal; pertentangan diantara kelas-kelas ini sampai kiamat pun tidak akan bisa didamaikan seperti perumpamaan ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’. Namun,satu lagi karektor penting bagi pertentangan kelas ini yang harus difahami adalah ia berbasiskan material; material yang membentuk minda, bukan disebaliknya.


Jadi, demi menjaga kepentingan dan meneruskan cengkaman kelas yang menindas itu keatas kelas yang tertindas (hamba, kaum tani, pekerja dan sebagainya), kelas yang menindas pada setiap zaman sudah pasti memerlukan instrumen-instrumen, perkakas dan jentera yang bisa menjaga kepentingan kelas mereka supaya tidak bisa diancam oleh kemahuan-kamahuan, keinginan dan cita-cita kelas tertindas.(Jadi didalam masa yang sama kelas pekerja juga harus mencari apakah alat yang boleh mempertahankan diri mereka; bangunkan organisasi pekerja, belajar dan berjuang).

Instrument-instrument tersebut boleh dilihat dalam bentuk struktur sebuah negara, bala tentera, polis dan jabatan-jabatan birokratik yang bekerja demi memastikan tiada tentangan daripada kelas yang tertindas, dan jika ada tentangan maka ia akan dipatahkan.Selain daripada instrumen-instrumen tersebut, kelas penindas juga menggunakan ilmuan dan institusi-institusi ilmu untuk melahirkan norma sosial atau social norm yang bertindak untuk melalikan kaum tertindas terhadap penindasan yang diletakan keatas kepala dan bahu mereka setiap masa. Contohnya hamba abdi diberitahu bahawa mereka sememangnya sudah ditakdirkan oleh tuhan dilahirkan sebagai hamba dan itu lah tugas mereka didunia ini untuk memperhambakan diri kepada tuan mereka. Manakala kaum pekerja diberikan gambaran bahawa mereka tiada hak keatas keuntungan majikan dan syarikat kerana ‘upah’ mereka sudah dibayar sepadan dengan keringat yang mereka tumpahkan dalam menghasilkan sesuatu barangan.


Namun Karl Marx melalui teori nilai buroh atau thel abour theory of value telah memecahkan pembohongan ini dan telah menanggalkan rupa sebenar kapitalisma melalui kontradiksi-kontradiksi yang bisa dilihat dengan pemerhatian yang dekat. Kelas kapitalis yang hanya terdiri daripada satu peratus dikalangan seluruh populasi dunia, melalui jentera dan instrumen yang dimiliki mereka,siang dan malam tanpa henti cuba mengingatkan kelas pekerja bahawa mereka telah mendapat upah yang setimpal dengan pekerjaan mereka, dan didalam masa yang sama cuba menutup dan manafikan kewujudan nilai yang kekal didalam setiap barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh mereka, yang sebenarnya adalah berasal daripada titik peluh malah darah pekerja.


Jadi adalah menjadi tanggungjawab manusia daripada kelas pekerja yang sedar akan realiti perlawanan kelas ini untuk menelanjangkan rupa buruk sistem kapitalismayang telah mendatangkan banyak penyakit dikalangan masyarakat manusia diduniaini. Engels didalam tulisannya yang berjodol ‘Sosialisma: Utopia dan Saintifik’ atau Socialism: Utopian and Scientific telah menggariskan dua cara untuk menanggalkan topeng yang dipakai kapitalisma dan mendedahkan realiti wajah sebenar sistem itu—


1) menerangkan metod atau cara produksikapitalistik dalam hubung kait sejarahnya dan juga kewujudannya yang memangtidak bisa ditanggalkan dalam sesuatu period sejarah, maka sama juga akankehancurannya yang sememangnya tidak akan bisa di elak.. dan


2) mendedahkan karektor pentingkapitalisma yang bagi sesetengah orang masih lagi merupakan suatu rahsia—iaitudengan penemuan surplus value.


Keadaan semasa di negara kita


Negara kita mencapai “kemerdekaan” pada tahun 1957. Maka saban hari, kelas elit yang memerintah Malaysia tidak berhenti mencurahkan propaganda mereka dengan mengatakan bahawa mereka lah yang membebaskan negara ini daripada penjajahandan melaungkan dengan bangganya bahawa tiada setitis darah pun yang ditumpahkan demi mencapai kemerdekaan tersebut. Namun, sikap hipokrit mereka lewat hari ini semakin hari semakin terdedah dengan sendirinya kerana banyak kontradiksi didalam naratif mereka. Semakin ramai dikalangan kelompok anak muda yang semakin rajin dan berani menelusuri lembaran sejarah yang sebenar telah menemui banyak percanggahan dengan propaganda yang disampaikan oleh jentera-jentera kelas elit pemerintah ini. Pada hakikatnya ramai dikalangan anak watan yang sedar telah bangkit menyertai perang revolusioner menentang kuasa imperial British dan ramai dikalangan mereka yang gugur dengan gagah dan bermaruah.


Walaupun negara merdeka akan tetapi kelas pekerja dan kaum miskin tetap berterusan tertindas. Ini adalah kerana sistem kapitalis adalah sistem dominan dan sistem ini tidak boleh berdiri tanpa penindasan—Tiada kapitalisma tanpa penidasan!. Data pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 48% pekerja di Malaysia menerima gaji bulanan tidak sampai RM1000. Inilah hakikatnya bagi negara yang merdeka lebih daripada lima puluh tahun.Merdeka apakah apabila manusia dikota terpaksa bersusah payah dengan gaji RM700 sebulan? Tidak cukup dengan bebanan itu, kelas pekerja dan orang miskin di Malaysia kini bakal dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan iaitu GST.Segala barangan dan perkhidmatan yang dibeli akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus dan kelas elit pemerintah dan jentera upahan mereka dengan bersahaja cuba untuk membodohkan rakyat bahawa kononnya cukai enam peratus tersebut tidak akan menaikkan harga barangan. Siri-siri “penjelasan” dilakukan diseluruhnegara dan melalui rangkaian media cuba untuk mengelirukan rakyat dengan terma-terma yang langsung tidak difahami oleh mereka.


Masa depan tampak seakan tidak akan menjanjikan sinar bahagia kepada kelas pekerja dan kaum tertindas di Malaysia. Kuasa imperialis Amerika seakan mengintai-ngintai peluang untuk mencengkam rantau ini melalui perjanjian pasaran bebas Trans-Pasific Partnership Agreement (TPPA). Perjanjian ini pada permukaannya menawarkan kelebihan pada setiap negara yang terlibat dari segi mencapai pasaran yang luas untuk produk keluaran mereka. Namun hakikatnya bagi sesetengah komentator yang akan menjadi mangsa tersepit didalam perjanjian iniadalah kelas pekerja dan kaum miskin. Ada juga yang menggambarkan bahawa TPPA bukan sekadar perjanjian dagang, tetapi ia melebihi tentang strategi geo-politik Amerika didalam mendepani kuasa China yang semakin meningkat.


Namun walau apa pun rumusan dan komen terhadap perkara-perkara yang disebutkan itu,yang menanggung bebanan dan yang semakin tertindas adalah kelas pekerja dan kaum miskin diseluruh negara. Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti GST adalah manifestasi pertentangan kelas yang nyata. Ia adalah hasil daripada huru-hara didalam krisis kapitalisma peringkat global yang sedang dialami.Kelas pekerja terpaksa membayar kos krisis yang dimulakan oleh kelas elit kapitalis.


Tanggungjawab generasi muda


Memandangkan ramai dikalangan generasi muda kita semakin sedar akan kontradiksi sistem kapitalis ini dan juga realiti pertentangan kelas yang tiada akan bertemu damai, apakah tanggungjawab generasi muda? Apa yang harus dilakukan? Seperti yang dibincangkan dari awal tugas pekerja adalah menelanjangkan wajah sebenar kapitalisma, tapi bagaimana?


Suasana politik dan ekonomi Malaysia ketika ini, sama seperti diseluruh dunia adalah arena yang sesuai dan subur untuk menyemai benih perjuangan kelas memandangkan keadaan nasib pekerja di negara ini dan seluruh dunia yang semakin terhimpit didalam krisis yang masih tiada jalan keluarnya. Tugas generasi muda adalah bersama kelas pekerja dan menerangkan kepada mereka bahawa pertentangan kelas dan kesengsaraan yang dihadapi mereka adalah berpunca daripada sistem kapitalisma yang menindas ini.


Generasi muda dikalangan kelas pekerja yang sedar akan realiti ini wajib bergabung atau duduk berbincang bersama, bangunkan organisasi pekerja dan berorganisasi dibawah organisasi tersebut, sediakan alternatif kepada sistem politik borjuis untuk melawan kearah kebebasan kaum pekerja. Mereka harus bangun untuk merubah nasib mereka kearah satu alternatif—Sosialisma!


(Nota: segala kritikan, komen dan cadangan terhadap tulisan ini amat dialu-alukan)

UCAPAN KAWAN INDRADJAYA DI MAJLIS MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10


SEMPENA MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10




Bapak Abdullah C.D., Pengerusi Parti Komunis Malaya dan satu-satunya pengasas Rejimen Ke-10 yang masih ada, yang dihormati dan dikasihi,

Kawan Indradjaya sedang menyampaikan ucapan
Para pegawai dari Pejabat Daerah Sukhirin yang dihormati,

Pegawai Penghubung dari pihak tentera yang dihormati,

Para tetamu dari Malaysia yang dihormati,

Kawan-kawan dan saudara-saudari yang dihormati,

Salam mualaikum warahmatullahi wabarahkatuh,

A.D.O. Sukhirin
Pada 21 Mei 65 tahun yang lampau, di satu tempat yang bernama Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang telah dilangsungkan satu upacara yang ringkas tapi khikmat, iaitu upacara penubuhan Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM). Kita sebut upacara itu ringkas tapi khikmat kerana ia hanya disertai oleh 17 orang anggota asas Rejimen Ke-10, tapi ia mempunyai erti yang amat besar.

Semenjak hari itu, walaupun menghadapi seribu satu kesulitan, seperti sangat kekurangan senjata, kewangan, bahan makanan dan kelengkapan tentera lainnya, tiada pengalaman bertempur dan kader-kader yang berpengalaman, terpaksa menghadapi berbagai serangan dan kepungan bertubi-tubi daripada pihak kaum penjajah semenjak ia ditubuhkan, akan tetapi, Rejimen Ke-10 terus-menerus berkembang membesar dalam kancah perang. Platun demi platun berturut-turut didirikan, demikian juga kompeni demi kompeni. Rejimen Ke-10 mungkin pernah rebah dan luka, tapi Rejimen Ke-10 tidak dapat dibasmi.
Leftenan wakil Unit Penghubung tentera Thai


Rejimen Ke-10 didirikan setelah 11 bulan Undang-Undang Darurat dikuatkuasa oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948. Setelah melakukan persiapan politik dan militer yang rapi selama 3 tahun, penjajah British akhirnya telah mengambil keputusan untuk menghayunkan pisau bantainya membasmi kekuatan patriotik-demokratik yang semakin membesar di bumi Malaya dengan mengisytiharkan Undang-Undang Darurat di kawasan-kawasan tertentu pada 18 Jun kemudian memperluaskannya pula ke seluruh negara termasuk Singapura 6 hari kemudiannya iaitu pada 24 Jun tahun 1948. Teror putih mengelubungi bumi Malaya termasuk Singapura.

wakil rakan2 dari Malaysia saudara Anas Abd. Jalil
Di bawah Undang-Undang Darurat itu, semua parti dan pertubuhan yang progresif dan kiri termasuk PKM, PKMM dan sebagainya telah diharamkan. UMNO yang menjadi pengikut setia dasar kaum penjajah adalah satu-satunya parti politik yang dibenarkan hidup. Di bawah Undang-Undang Darurat itu, beribu-ribu tokoh patriot-demokrat telah dijebloskan ke dalam penjara, bahkan sesetengahnya telah dijatuhkan hukuman mati. Hampir semua tokoh-tokoh patriot-demokrat Melayu telah ditangkap dan dijebloskan ke dalam penjara, antaranya termasuklah tokoh-tokoh Melayu yang amat terkenal pada masa itu seperti Dr. Burhanudin al-Helmy, Ahmad Bostamam, Rashid Maidin dan lain-lain. Kamarulzaman Teh dijatuhkan hukuman mati. Abdullah C.D. juga ditangkap tapi beliau berjaya melepaskan tangannya dari gari musuh lalu melarikan diri. Di bawah Undang-Undang Darurat itu, berpuluh-puluh ribu rakyat Malaya keturunan Tionghua dan India telah diusir secara paksa oleh kaum penjajah British ke negeri asal mereka, walaupun mereka itu sebenarnya telahpun menganggap Malaya sebagai tanahair mereka dan mereka telah memberikan sumbangan-sumbangan yang amat berharga dan kekal abadi kepada tanah bertuah ini.

Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya yang dari komander sampai ke perajurit-perajuritnya semua terdiri daripada bangsa Melayu ditubuhkan demi misi besar mengusir kaum penjajah British. Ia adalah kesinambungan yang tidak dapat diputuskan apalagi dinafikan daripada perjuangan-perjuangan anti penjajah bangsa Melayu kita sejak kaum penjajah menguasai wilayah bumi ini sejak 503 tahun yang lalu iaitu semenjak tahun 1511. Bahkan perjuangan anti penjajah yang dilancarkan oleh Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya pimpinan Parti Komunis Malaya ini dilancarkan pada tahap dan kesedaran yang lebih tinggi, iaitu dengan cita-cita luhur dan suci mengusir kaum penjajah daripada bumi Malaya dan menbina satu negara yang lebih indah, lebih maju, lebih adil dan lebih demokrasi. 
Sekian. 
Wassalam.

MAJLIS MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10




SEMPENA MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10

2 orang anak bekas perajurit menjadi pengacara majlis


Bapa Abdullah C.D. pegawai2 pemerintah Sukhirin
Pada 16 Mei 2014, sebuah majlis sederhana untuk memperingati 65 tahun berdirinya Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah diadakan di perkampungan bekas perajurit Rejimen Ke-10 di Ban Chulabhorn Patana 12 atau Kampung Perdamaian Sukhirin. Majlis itu dihadiri oleh bapa Abdullah C.D., pegawai pemerintah Daerah Sukhirin, rakan2 dari Thailand dan Malaysia dan bekas komender dan perajurit Rejimen Ke-10 yang menjadi warga kampung tersebut.

Majlis yang sepatutnya dilangsungkan pada 21 Mei itu telah diperawal kepada 16 Mei untuk memberi kesempatan kepada anak2 bekas perajurit iktu serta kerana mereka akan meninggalkan kampung ke asrama sekolah masing2 pada 18 Mei.
A.D.O, Sukhirin menyampaikan ucapan

Dalam Majlis ringkas itu, Kawan Indradjaya telah menyampaikan ucapan alu-aluan sebagai wakil pihak kampung, A.D.O Sukhirin memberikan ucapan mewakili bahagian pemerintahan daerah, Pegawai Leftenan tentera Thai dan wakil rakan2 dari Malaysia telah memberikan ucapan.

Majlis diserikan dengan persembahan lagu2 Rejimen Ke-10 oleh bekas gerilawan gerilawati. Ketua Kampung Drome bin Za yang mewakili seluruh warga menyampaikan hadiah kepada bapa Abdullah C.D. penaja berserta pimpinan pasukan itu sebagai mengenang sumbangannya dalami membentuk dan mendewasakan pasukan Rejimen Ke-10 sehingga menjadi sebuah pasukan gerila Melayu yang disegani kawan dan lawan.
Kawan Indradjaya menyampaikan ucapan


Mengikut jadual, persembahan acara kesenian itu akan disambung dengan persembahan wayang kulit dari kumpulan Dek Leh Telok Hala. Akan tetapi jadual itu terpaksa dibatalkan pada malam pertama kerana gangguan elektrik. Walau bagaimanapun persembahan itu akan diadakan pada malam berikutnya.
nyanyian dari bekas perajurit


Rejimen Ke-10 sebuah pasukan gerila Melayu yang terdiri dari komander hingga ke perajuritnya terdiri dari putera puteri terpuji bangsa Melayu dirasmikan dalam sebuah majlis khidmat pada 21 Mei 1949 jauh diperdalaman hutan Kerdau, Temerloh, Pahang.

Tulang belakang Rejimen Ke-10 datang dari berbagai aliran Melayu yang berjuang untuk kemerdekaan Malaya daripada cengkaman penjajah Inggeris sepert PKM KMM, PKMM, API.PETA, AWAS, BATAS, Kesatuan Buruh Melayu dan lain2 kekuatan progresif Melayu lainnya.

Rejimen Ke-10 didirikan setelah 11 bulan Undang2 Darurat penjajah British diisytiharkan. Sebelum itu iaitu setelah perisytiharan undang2 darurat, aktivis2 Melayu telah melarikan diri ke hutan belukar untuk mengelakkan tangkapan penjajah. Mereka akhirnya disusun menjadi pasukan gerila Melayu sehingga terbentuknya Rejimen Ke-10.
Ketua Kampung mennyampaikan hadiah kepada bapa Abdullah C.D.

Misi utama Rejimen Ke-10 ialah meneruskan tradisi perjuangan mulia pahlawan agung bangsa Melayu menghalau penjajah British keluar dari bumi Malaya dan untuk kemerdekaan seratus peratus tanah air dan bangsa.

Tambahan maklumat sila ke


ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (5)
REJIMEN KE-10 TPNM
KAMPUNG LUBUK KAWAH SEBUAH BASIS MERAH KECIL YANG ULUNG DI DAERAH TEMERLOH
63 TAHUN SILAM BARISAN TANI MALAYA
Ibu Zaleha - Ketua AWAS Lubuk Kawah
Wawancara dengan Abdullah C.D.
Dr. Burhanuddin – Pejuang Nasional Yang Agung

ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (5)

Pembentukan PMFTU

Abdullah C.D. tahun 1950
Kira-kira awal tahun 1946 iaitu tidak lama setelah saya menjadi Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor, pihak organisasi PKM meminta saya pergi ke Singapura untuk satu urusan penting. Saya diharuskan menunggu di pejabat buruh Singapura. Apa tugas penting itu tidak pula diterangkan secara jelas.

Di pejabat buruh itu saya bertemu dengan Bizar Ahmad, dia sedang sibuk menyusun kaum buruh Melayu. Dalam pertemuan itu dia menyebutkan bahawa gerakan buruh Melayu agak lambat dan susah dibangkitkan berbanding buruh kaum lain. Saya terangkan kepadanya bahawa masa itu penjajah British telah mendahului kita dengan menubuhkan kesatuan buruh kuning di kalangan buruh-buruh Melayu, manakala buruh Tionghua dan India sudah ada organisasinya yang kukuh. Saya memberitahunya, pada peringkat ini dia harus berusaha menyedarkan mereka supaya menjadi ahli kesatuan buruh yang progresif. Masa itu Bizar belum mengetahui saya adalah Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor.

Dalam saya dan Bizar berbual-bual di pejabat itu, tibalah Chen Lu, Ganapathy, Lan Zui dan seorang penterjemah yang dikenali dengan nama AhYong. Chen Lu memberitahu bahawa saya harus menganggotai rombongan mereka bertolak ke Johor Bahru untuk mengadakan satu persidangan penting.

Apabila tiba di Johor Bahru, kami menuju ke sebuah bangunan dua tingkat. Di tingkat atas bangunan itu adalah pejabat Persatuan Bekas Perajurit TAJRM. Di tingkat atas inilah kami mengadakan mesyuarat.

Chen Lu sebagai Setiausaha Agung GLU membuat laporan yang panjang lebar tentang gerakan buruh Malaya dan perjuangannya melawan penindasan kelas kapitalis.

Antaranya beliau menyampaikan laporan pemberontakan buruh pada tahun 1935. Mengikut beliau, kira-kira lima ribu orang buruh lombong batu arang di Batu Arang, Selangor (satu-satunya lombong arang batu di Malaya ketika itu) mengadakan pemberontakan dengan bersenjatakan alat-alat kerja dan menubuhkan kesatuan buruh ala Soviet Rusia dengan mengibarkan bendera merah. Para buruh telah menguasai pejabat perlombongan dan kawasan sekitarnya selama kira-kira seminggu.

Beliau menyebutkan juga bahawa di Perak telah ditubuhkan Kesatuan Buruh Lombong dengan nama yang berdaftar iaitu Kesatuan Saling Membantu Buruh Bijih Timah Daerah Kinta dengan anggotanya berjumlah kira-kira dua puluh ribu orang. Selain daripada itu disebutkan juga kesatuan-kesatuan buruh yang lain seperti Buruh Binaan, Jabatan Pelabuhan dan Traction Company di Singapura; buruh ladang nenas dan ladang getah di Johor Bahru; buruh ladang getah di Bahau, Negeri Sembilan; buruh lombong emas di Raub, Pahang; buruh lombong bijih besi di Dungun, Terengganu; buruh lombong timah di Sungai Besi, buruh ladang getah di Kajang, Selangor; buruh Pelabuhan Pulau Pinang dan lain-lain.

Berkenaan buruh India beliau memberitahu bahawa pada tahun 1939 Parti Komunis India telah menghantar seorang kadernya R.H. Nathan untuk menyusun kaum buruh India. Beliau bersama U.K. Menon telah menubuhkan Kesatuan Sekerja India Pelabuhan Kelang, Kuala Langat, Kajang dan lain-lain. Di samping itu, mereka banyak memimpin perjuangan buruh India untuk perbaikan upah dan layanan kerja. Pada bulan Mac 1941, Persatuan India Kajang memimpin kaum buruh di lapan buah estet melancarkan perjuangan besar-besaran yang disertai oleh dua puluh ribu orang. R.H. Nathan selaku wakil buruh telah mengajukan tuntutan 12 fasal berkenaan politik, ekonomi, kebudayaan dan kedudukan buruh India kepada pihak majikan. Pelbagai organisasi buruh dan organisasi PKM telah menyatakan simpati dan menyokong perjuangan buruh India itu.

Akan tetapi penjajah British telah bertindak balas dengan cara yang kejam. Empat orang buruh ditembak mati oleh tentera British, 360 orang lagi ditangkap. Nathan dan beberapa orang pemimpin buruh telah dibuang negeri.

Ketika saya menghadiri Persidangan Asia di New Delhi, saya bertemu dengan Nathan di Madras dan berkesempatan berbincang dan bertukar pengalaman dengannya. Ketika rombongan kami tiba di Madras, dia melambai-lambaikan tangan dan meneriakkan: “Saya orang Malaya, saya orang Malaya!”

Berkenaan buruh Melayu, Chen Lu menyebut bahawa sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, sejumlah kader dari Parti Komunis Indonesia telah menyusun kaum buruh, nelayan dan tani Melayu. Pada tahun 1929 di Tampin, Negeri Sembilan, kaum tani Melayu melancarkan pemberontakan bersenjata dan menubuhkan kesatuan tani Soviet. Akan tetapi pemberontakan itu telah ditindas dengan kejam oleh penjajah British. Kemudiannya kader-kader Parti Komunis Indonesia itu pergi ke Moscow. Maka kepimpinan bahagian Melayu terputus.

Chen Lu juga meminta saya menyampaikan sedikit laporan berkenaan buruh Melayu. Saya sampaikan laporan berkenaan Kesatuan Buruh Selangor dan beberapa kesatuan lagi yang baru ditubuhkan masa itu.

Seterusnya Chen Lu menerangkan bahawa tugas persidangan ialah untuk menyusun semula pelbagai kesatuan buruh Semenanjung dan Singapura bagi membentuk suatu kesatuan yang baru iaitu Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Ditetapkannya bahawa badan pimpinan buruh yang baru itu terdiri daripada berbilang kaum iaitu beliau (Chen Lu) sebagai Setiausaha Agung, Ganapathy sebagai Pengerusi manakala saya dan Lan Zui sebagai Naib Pengerusi. Ditetapkannya juga bahawa badan buruh itu akan menerbitkan majalah Obor dalam bahasa Melayu sebagai lidah rasmi kesatuan itu dengan tanggungjawabnya diserahkan kepada saya. Untuk majalah ini saya lantik Wahi Anuar sebagai ketua pengarangnya.

Selain itu disampaikan juga petunjuk JKP PKM masa itu untuk menyokong revolusi Vietnam menentang penjajah Peranchis di bawah pimpinan Ho Chi Minh dan revolusi Indonesia menentang penjajah Belanda di bawah pimpinan Soekarno. Kemudiannya saya mendapat tahu bahawa PKM telah membentuk pasukan sukarelawan untuk dihantar membantu revolusi Vietnam. Tetapi kerana ditentang oleh penjajah British (masa itu PKM berada dalam kerajaan BMA) maka akhirnya hanya dihantar beberapa orang wakil sahaja sebagai menyatakan sokongan kepada revolusi Vietnam. Berkenaan menyokong revolusi Indonesia pula, PKM telah menghantar sejumlah sukarelawan dan memberikan sekuat-kuat sokongan dalam pelbagai bentuk.


posting terkait:

ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (4)

Categories

Pengikut