LAGU PKM BINTANG MERAH BERCAHAYA






PKM BINTANG MERAH MERCAHAYA

PKM bintang merah bercahaya
Laksana mentari di alam maya
Gugah rakyat bebaskan Malaya
Merintis jalan ke komunisme

Tiga puluh April hari nan mulia
Lahirlah PKM parti kita tercinta
Jasa besar lawan imperialism
Untuk pembebasan rakyat jelata

Puluhan tahun bertempur hebat
Menempuh jalan perang rakyat
Berdentam dentum senapang gema kuat
Istana syaitan terkepung rapat

Teguh pertahankan Marxisme Leninisme
Tegas melawan revisionism
Sumbangan mulia pada revolusi dunia
Hidup PKM selama-lama

ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (2)

Persatuan Seniman

Di Kuala Lumpur terdapat satu kumpulan opera yang agak popular, iaitu Sri Arjuna Opera. Ketua kumpulan ini bernama Malik. Persembahannya agak progresif dan menarik. Pada suatu kali, selepas menonton, saya pergi bertemu dengan kumpulan opera tersebut sebagai wartawan untuk mengambil berita. Kebetulan Malik mempunyai seorang anak perempuan berumur lebih kurang enam hingga tujuh tahun. Dia pandai menari dan membuat pertunjukan. Saya memberi perangsang kepada budak perempuan itu dengan berkata: “Lain kali buat pertunjukan dengan lebih bagus, pak cik akan memberikan hadiah.” Benarlah kemudian budak perempuan itu membuat pertunjukan dengan baik, lalu saya tunaikan janji saya. Lepas itu saya lihat orang lain juga ikut memberikan hadiah kepada anak perempuan itu.

Sebagai wartawan akhbar Pelita, saya bertanyakan beberapa soalan kepada anggota kumpulan opera itu. Antaranya soal kehidupan, soal persembahan, persiapan atau latihan dan ganjaran. Mereka memberikan jawapan dengan penuh mesra. Akhirnya kumpulan itu rapat dengan saya dan bersetuju membentuk kesatuan bangsawan.

Isteri Malik, kalau tidak salah ingatan saya namanya Mashitah, memainkan peranan penting dalam kumpulan opera ini. Dia bukan sahaja seorang ahli seni, tetapi juga mempunyai pandangan yang progresif, bencikan penjajah dan cintakan kemerdekaan. Kerana pandangan politiknya yang jauh, saya telah menerimanya menjadi anggota PKM.

Di Melaka terdapat satu kumpulan opera di bawah pimpinan Abdul Rahman terkenal dengan nama Noran Opera. Pada suatu hari, Abdul Rahman membuat panggilan telefon untuk bertemu dengan saya, lalu saya menjemputnya ke Kuala Lumpur. Apabila tiba di Kuala Lumpur, saya berbual dan bertanya tentang asal usul dirinya. Dia menceritakan bahawa dia orang Bota. Lalu saya menceritakan tentang latar belakang diri saya pula sebagai orang Lambor. Daripada perbualan itu barulah diketahui bahawa dia adalah ahli keluarga saya. Abdul Rahman memberitahu bahawa dia tak tahu kerana nama saya sudah bertukar menjadi Abdullah C.D.

Kumpulan Noran Opera ini agak maju juga. Selain membuat pertunjukan-pertunjukan, dia juga menerbitkan filem-filem Melayu yang menarik.

Sementara itu di Pulau Pinang dan Perlis terdapat satu kumpulan opera dikenali dengan nama Grand Nora Opera di bawah pimpinan S. Roomai Noor. Beliau adalah bekas anggota KMM, berasal dari Pahang. Kumpulan opera ini juga menyertai kesatuan buruh Pulau Pinang di bawah pimpinan Baharuddin Yusof.

Ketiga-tiga buah kumpulan opera yang disebutkan di atas dicantumkan, menjadi Persatuan Seniman. Seorang anggota dari Sri Arjuna Opera di Kuala Lumpur (tak ingat namanya), adalah rakan sekolah saya ketika di Clifford School. Apabila berjumpa dengan saya dia amat gembira dan semangat kemerdekaannya sangat tinggi. Dia memohon menjadi setiausaha peribadi saya. Kebetulan masa itu saya sangat sibuk maka saya lantiknya menjadi setiausaha saya selaku Naib Pengerusi PMFTU. Dia menjalankan tugasnya dengan baik sehinggalah kami berpisah apabila darurat diisytiharkan oleh penjajah British.


Pertunjukan Yang Bersejarah

Sempena ulang tahun pertama tertubuhnya Angkatan Pemuda Insaf (API) di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, kami membuat rancangan mengadakan perayaan secara besar-besaran di Kuala Lumpur. Saya menemui Malik, ketua Sri Arjuna Opera untuk membuat pertunjukan yang istimewa bagi mengobarkan semangat kemerdekaan dan menentang penjajah British. Saya berpesan kepada Malik bahawa kalau ada apa-apa siasatan, katakan ini adalah rancangan Abdullah C.D.

Perayaan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Ahmad Boestamam berjalan di depan dengan diikuti oleh anggota API yang beruniform putih. Sungguh segak dan gagah, semacam perbarisan tentera. Menyusul di belakang API itu pula ialah barisan seniman, perempuan satu bahagian dan lelaki satu bahagian dengan pakaian yang berwarna-warni. Mashitah, isteri Malik berjalan di depan barisan seniman dengan membawa bendera API. Semakin berjalan, semakin bertambah anggota perarakan. Orang ramai di sepanjang perjalanan yang melihat perbarisan itu menjadi bersemangat dan ikut serta di belakang. Perarakan itu terus menuju ke sebuah padang berhampiran dengan sebuah park. Anggota API tidak putus-putus meneriakkan semboyan perkasa “Merdeka!” “Merdeka!” “Merdeka!”. Ahmad Boestamam sebagai Ketua API tampil ke depan membuat pidato yang berapi-api dan membakar semangat kebangsaan.

Kemudiannya kumpulan Sri Arjuna Opera membuat persembahan. Isi ceritanya ialah menentang penjajah British dan menyeru para penonton berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Ramai orang menonton pertunjukan tersebut sehingga melimpah, ada yang terpaksa berdiri di luar park. Chen Nan juga hadir menyaksikan pertunjukan tersebut. Yang lebih istimewa ialah Edward Gent, Gabenor British untuk Malaya bersama beberapa orang pegawai kanan penjajah Inggeris juga ikut menonton. Apabila melihat pertunjukan yang berisikan semangat antipenjajah dan bercorak kemerdekaan itu, Edward Gent segera menjadi marah. Melalui penterjemahnya, Edward Gent cuba membentak para pelakon di atas pentas. Tetapi tak siapa pun yang menghiraukannya. Akhirnya Edward Gent dan rakan-rakannya keluar dari dewan pertunjukan itu dengan rasa hampa. Perayaan berlangsung mengikut rancangan dari awal hingga akhir.

Esoknya, Malik dan dua orang lagi pelakon opera itu dipanggil oleh Edward Gent ke pejabatnya. Gabenor itu dengan marah menyoal Malik mengapa membuat pertunjukan menentang kerajaan. Malik menjawab, “Maaf, tuan. Semuanya ditulis dan diarahkan oleh Abdullah C.D., saya lakonkan saja.” Malik dan dua orang lagi pelakon opera itu dilepaskan pulang. Selepas itu penjajah British menghantar intelijen-intelijennya mengesan gerak-geri saya.

Bergaul dengan kumpulan opera yang progresif begitu membuat saya terkenang kembali pada masa saya sedang belajar di Clifford School. Waktu itu ada satu kumpulan bolera di bawah pimpinan Bakhtiar Affandi. Dia berasal dari Indonesia. Saya tidak bergaul rapat dengannya, tetapi saya mengenalinya kerana beliau adalah penulis terkenal dan ketua kumpulan bolera yang masyhur. Tulisannya telah membakar semangat nasionalisme saya. Begitu juga dengan pertunjukan boleranya. Saya suka menonton pertunjukannya dan kadang-kadang ambil kesempatan pergi berbual-bual dengan ahli kumpulan itu. Setelah Jepun menyerah kalah, lebih tepat lagi setelah Republik Indonesia diisytiharkan merdeka, beliau membubarkan kumpulan boleranya dan pulang ke Indonesia. Kemudiannya barulah saya tahu bahawa dia adalah anggota Parti Komunis Indonesia.

Ada seorang wanita anggota kumpulan bolera tersebut giat dalam perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya. Dia aktif menggerakkan kaum tani di Tanjung Karang di bawah pimpinan Mansor, seorang anggota Jabatan Kerja Melayu Peringkat Negeri PKM. Mansor kemudiannya memimpin Barisan Tani Malaya bahagian Negeri Kedah.

Kerana peranan dan perkembangan yang menggalakkan dari Persatuan Seniman ini, maka pada tahun 1948 saya membuat rancangan untuk menerbitkan majalah bagi Persatuan Seniman. Akan tetapi rancangan itu belum sempat dilaksanakan, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada bulan Jun tahun tersebut.

Ketika memimpin Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan, di samping memperkenalkan dan mengembangkan kesenian Melayu asli di dalam pasukan, saya selalu menceritakan peranan besar yang dimainkan oleh kumpulan seniman ini, selain menonjolkan kesenian Melayu yang halus dan mempunyai ciri-ciri istimewanya yang tersendiri juga memaparkan semangat kebangsaan yang tinggi dan cita-cita untuk kemerdekaan yang suci.

Bersempena pada suatu hari raya pada 30 Jun 1984, saya membuat ucapan berjudul “Kesenian Dan Kebudayaan” di depan majlis yang dihadiri oleh para komander dan perajurit Kompeni Ke-21, Rejimen Ke-10. Saya menceritakan lagi peranan Persatuan Seniman pada tahun-tahun 1940-an yang membangkitkan semangat kemerdekaan dan memperkenalkan kesenian asli. Masa itu kesenian tradisional dikembangkan dengan aktif oleh Badan Kesenian Rejimen Ke-10. Semua ini adalah ilham dan pemberangsangan dari semangat Persatuan Seniman yang saya sebutkan di atas.
 
posting terkait

ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (1)

Abdullah C.D. 1947


Nama Abdullah C.D. sudah tidak asing lagi dari arena politik tanah air. Mengikut Mustapha Hussein, Abdullah C.D. adalah anggota Kesatuan Melayu (KMM) yang termuda. Selepas Jepun menyerah kalah, beliau terlibat dalam penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat.

Di samping itu beliau juga adalah pemimpin kesatuan buruh Melayu. Beliau bertanggungjawab membawa kesatuan Buruh Melayu bergabung dalam kesatuan buruh terbesar berbilang kaum Malaya ketika itu  PMFTU (Pan Malayan Federation of Trade Union). Beliau telah dipilih menjadi Naib Pengerusi PMFTU.

Bersempena ketibaan 1 Mei tahun ini, KINI DAN SILAM akan menyiarkan beberapa bahagian tulisan beliau berkenaan penglibatannya dalam kesatuan buruh. Tulisan-tulisan ini dipetik dari Memoir bahagian pertama beliau.

Kelas Proletariat


Cita-cita untuk kemerdekaan tanah air dan bangsa yang tersemat di dada saya lebih diperdalam dan diperteguh apabila saya menyertai gerakan  anti-Jepun. Pihak organisasi PKM menyediakan banyak buku teori tentang kelas proletariat, revolusi proletariat dan lain-lain. Dari sini saya mendapat satu kesedaran baru bahawa saya bukan sahaja harus berjuang untuk kemerdekaan tetapi juga untuk pembebasan. Kemerdekaan bererti merdeka dari penjajahan dan pembebasan pula bererti bebas dari penindasan dan pemerasan. Kelas kapitalis khasnya kapitalis besar British tanpa belas kasihan menghisap, memeras dan menindas kelas proletariat, kelas tani dan kelas-kelas lapisan bawah lainnya. Dari sini juga saya mengetahui bahawa kelas proletariat, iaitu kelas buruh dan kelas tani adalah tenaga penggerak terpenting bagi revolusi proletariat.
Walau bagaimanapun, kerana strategi yang dirancang dari awal lagi oleh penjajah British, kelas proletariat Malaya yang awal tidak lahir dari masyarakat Melayu, tetapi lahir dari kaum imigran Tionghua dan India. Untuk membangunkan ekonomi kolonialnya dan mengaut keuntungan daripada tanah jajahannya, penjajah British membawa masuk buruh asing secara besar-besaran, dari Tiongkok, India dan Indonesia. Buruh Tionghua melalui perjanjian Kuli Tienchin antara kerajaan Inggeris dengan kerajaan feudal Tiongkok, buruh India melalui pemerintah kolonial British di India yang memungut orang dari pusat-pusat tahanan, dari jel-jel, khemah-khemah dan lain-lain, manakala orang Indonesia pula melalui komplotan penjajah British dengan penjajah Belanda.

Hasil daripada polisi dan strategi penjajah British itu, lahirlah sejumlah kelas proletariat Tionghua dan India serta sejumlah kecil proletariat Melayu dari Indonesia. Satu strategi penting penjajah British ialah mengasing dan mengekalkan batasan antara kaum di Malaya supaya tidak bergaul dan bersatu. Orang Melayu sengaja dielakkan daripada terlibat dalam industri kolonial British dengan mengekalkan mereka di desa-desa mengusahakan pertanian tradisional warisan nenek moyang mereka; buruh Tionghua diberi kerja di lombong-lombong bijih timah, lombong batu arang dan lain-lain; manakala orang India pula diberi kerja di estet-estet besar British, jalan raya, jalan kereta api, pelabuhan dan lain-lain. Selain itu, akibat daripada polisi penjajah British itu masyarakat Malaya berubah menjadi masyarakat berbilang-bilang kaum.
Walaupun penjajah British berusaha membendung gerakan buruh di Malaya sejak dari awal lagi, tetapi seiring dengan perkembangan gerakan buruh antarabangsa serta menanjaknya gerakan kemerdekaan di negeri-negeri tanah jajahan, kelas proletariat Malaya yang awal telah membentuk organisasinya sendiri sehingga akhirnya mendirikan Parti Komunis Malaya pada 1930.
Perang Dunia Kedua telah mempercepatkan proses kemajuan gerakan nasional di negeri-negeri tanah jajahan termasuk Malaya. Di bawah anjuran melawan fasis Jepun untuk kemerdekaan Malaya oleh Parti Komunis Malaya, rakyat daripada pelbagai kaum, pelbagai aliran dan pelbagai golongan telah bersatu dan menyertai front persatuan anti-Jepun. Ramai anggota KMM dan orang Melayu yang patriotik demokratik telah menyertai gerakan anti-Jepun di bawah pimpinan PKM. Mereka adalah anggota PKM Melayu yang awal.

Kesatuan Buruh Melayu Selangor

Orang Melayu yang menyertai barisan proletariat amat terbatas kerana strategi penjajah yang telah saya terangkan di atas. Menjelang Perang Dunia Kedua telah muncul sejumlah buruh Melayu yang sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.
Apabila kaum fasis Jepun menyerah diri dan penjajah British menguasai semula Malaya, penjajah British telah mengambil kesempatan menubuhkan kesatuan buruh Melayu dalam bentuk ‘kesatuan kuning’ untuk mengontrol gerakan buruh. Ketika PKMM berpindah ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1946, penjajah British telah pun menubuhkan sebuah kesatuan buruh kuning di Selangor dan Kuala Lumpur dengan nama Kesatuan Buruh Melayu Selangor. Anggota-anggotanya pada asasnya terdiri dari kakitangan kerajaan bergaji rendah seperti peon, kerani, guru dan lain-lain. Orang penting dalam penubuhan kesatuan ini ialah Osman, Muslimin dan Haji Arshad. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris masa itu mengiklankan secara besar-besaran kesatuan tersebut. Sungguhpun begitu, kawan-kawan dari PKMM dan PKM tidak memberikan sambutan kerana kesatuan ini didirikan oleh wakil penjajah dan dikendalikan mengikut kehendak kapitalis British.
           
Pada suatu hari, Hj. Arshad, orang penting kesatuan tersebut datang ke pejabat PKMM menemui Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, saya dan lain-lain kawan di pejabat PKMM. Hj. Arshad berharap kami memberikan kerjasama dan sokongan kepada kesatuan buruh tersebut.
Pada suatu kesempatan, saya mengajak Hj. Arshad berbual-bual di kedai kopi. Dia memberitahu bahawa tidak lama lagi akan diadakan mesyuarat kesatuan buruh dan meminta saya bertindak sebagai wartawan akhbar Pelita pergi membuat liputan. Maka atas pelawaannya yang ikhlas itu saya memberikan kesanggupan.           
Mesyuarat dilangsungkan pada awal tahun 1946. Saya hadir sebagai wartawan Pelita. Kira-kira seratus orang lebih menghadirinya. Osman menjadi pengerusi membuat ucapan. Kemudian pengerusi mempersilakan wakil dan pemerhati memberikan ucapan masing-masing. Kerana terdorong oleh suasana masa itu, saya juga ikut membuat ucapan. Agak panjang juga ucapan saya itu. Selain mengucapkan tahniah atas mesyuarat itu saya juga menjelaskan tentang gerakan buruh antarabangsa, peranan penting kesatuan buruh serta pentingnya perpaduan buruh pelbagai kaum.
Selesai ucapan daripada para wakil, diadakan juga pengundian untuk memilih pimpinannya yang baru. Mungkin kerana tertarik dengan ucapan saya tadi, Hj. Arshad datang menemui saya dan berkata bahawa saya patut dicalonkan menjadi pimpinan kesatuan. Dia meminta keterangan tentang diri saya untuk dicalonkan. Menghadapi keadaan yang tidak diduga itu, saya menjadi serba salah antara terima atau tidak. Kalau terima bertentangan pula dengan prinsip organisasi parti (PKM), lebih-lebih lagi belum dibincangkan secara terperinci dengan kawan-kawan dari PKMM. Jikalau saya terima mungkin ada faedahnya juga, kerana PKMM ada rancangan mahu menyusun kesatuan buruh, tetapi belum terlaksana. Akhirnya saya terima pencalonan itu dalam keadaan antara terima dengan tidak. Kemudian nama-nama yang dicalonkan itu diundi secara sulit. Dari keputusan undi, saya terpilih menjadi Ketua Kesatuan Buruh, Osman sebagai Naib Ketua dan Muslimin sebagai Setiausaha.
Esoknya surat khabar Inggeris menyiarkan berita itu secara besar-besaran. Masa itu tidak sesiapa pun tahu siapa Abdullah C.D. Kemudian saya membuat laporan kepada Chen Nan akan peristiwa itu. Beliau bersetuju dengan tindakan saya itu. Chen Nan memberitahu bahawa pihak organisasi telah membuat rancangan menyusun kesatuan buruh Melayu, tetapi pekerjaannya belum berkesan.
Setelah itu barulah saya bermesyuarat dengan kawan-kawan PKMM dan mengambil keputusan untuk berusaha mengembangkan gerakan buruh itu secepat mungkin. Selepas itu, kami berturut-turut mendirikan kesatuan-kesatuan buruh Melayu di serata tempat.


Kesatuan Buruh Melayu Sentul

Di Sentul terdapat ribuan buruh terdiri daripada pelbagai kaum. Kalau tidak salah ingatan saya, buruh India berjumlah 2,000 orang, buruh Melayu 400 orang dan buruh Tionghua saya tidak pasti bilangannya.
Bersempena perayaan suatu hari raya, tidak lama setelah saya dipilih menjadi Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor pada awal tahun 1946, saya pergi ke kawasan buruh di Sentul sebagai wartawan akhbar Pelita. Saya menemui penanggungjawab buruh, dan mengemukakan beberapa soalan tentang keadaan buruh di situ, iaitu tentang soal kehidupan, pendapatan, pekerjaan dan lain-lain. Selain daripada itu saya juga memberikan sedikit penerangan tentang kesatuan buruh dan mengapa perlu mendirikan kesatuan. Penanggungjawab buruh di situ nampak sungguh bersemangat mendengar penerangan saya. Dia memberitahu bahawa buruh-buruh di situ juga mahu mendirikan kesatuan. Tetapi kerana hari itu masa terlalu suntuk, saya janjikan pada hari Jumaat untuk datang lagi ke situ bagi membincangkan soal penubuhan kesatuan buruh secara terperinci dengan mereka.
Dalam perayaan penubuhan kesatuan buruh itu, ada seorang wakil membuat ucapan. Antara ucapannya yang terkesan dalam fikiran saya ialah dia menyatakan bahawa “ada organisasi orang Melayu bernama PKMM.” Akan tetapi, mengikutnya, “PKMM tidak baik kerana dia ada hubungan dengan komunis.” Daripada ucapan wakil itu saya membuat kesimpulan bahawa kaum buruh di situ sudah diracuni fikiran mereka oleh propaganda pro penjajah yang reaksioner. Sungguhpun begitu, mereka aktif dalam kesatuan buruh dan hubungannya dengan kami amat rapat.
Pada masa awal penubuhan kesatuan buruh itu kami elakkan daripada bercakap tentang hal-hal politik. Tetapi kemudiannya, kami beransur-ansur menerangkan kepada mereka tentang pentingnya kesatuan buruh dan perpaduan kaum buruh pelbagai kaum untuk melawan penindasan kapitalis British serta hubungan gerakan buruh Melayu dengan gerakan kemerdekaan. Akhirnya mereka menerima pandangan yang lebih luas dan terbuka, di samping menggalakkan persatuan buruh dari kaum-kaum lain menyertai General Labour Union (GLU).
GLU pada masa awalnya dianggotai oleh orang Tionghua sahaja. Kemudiannya ia dianggotai oleh orang India dan kini dianggotai oleh kesatuan buruh Melayu pula. Dari sini ia mula menjadi gerakan buruh pelbagai kaum.
             


Kesatuan Buruh di Kuala  Kubu Bahru

Dalam masa yang sama juga saya pergi ke Kuala Kubu Bahru untuk menubuhkan kesatuan buruh. Di situ terdapat sejumlah buruh Melayu. Mereka belum ada kesatuan. Akan tetapi mereka juga sudah termakan propaganda yang pro penjajah dan menentang gerakan kemerdekaan khasnya PKM dan PKMM. Bahkan di situ terdapat kumpulan parang panjang untuk melakukan perang sabil terhadap orang Tionghua. Oleh itu saya dan Rashid Maidin mengambil keputusan untuk lebih berhati-hati dalam percakapan.
Apabila kami tiba di situ, kami memberikan penerangan tentang kesatuan buruh. Mereka menyambut penerangan kami dengan penuh bersemangat dan ingin segera menubuhkan kesatuan buruh. Akhirnya kami tubuhkan Kesatuan Buruh Kuala Kubu Bahru. Upacara menubuhkan kesatuan buruh ini diadakan serentak dengan upacara membuka masjid baru. Saya dengan Rashid Maidin hadir sama untuk penubuhan kesatuan buruh itu. Kaum buruh di situ mengadakan kenduri dengan menyembelih kambing. Melalui penerangan yang meyakinkan, akhirnya propaganda pro penjajah yang meresap dalam fikiran mereka dapat dikikis. Mereka teguh berdiri di belakang PKMM dan juga menyertai GLU.


Kongres Buruh Melayu Selangor

Setelah mendirikan beberapa kesatuan buruh seperti yang telah disebut di atas, saya kemudian mengadakan pertemuan dengan Osman. Dia gembira bukan kepalang kerana merasa ada jasa untuk dilaporkan kepada pihak atasannya. Pihak atasannya pula merasakan Osman telah menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu atasannya memberikan peruntukan yang besar untuk menerbitkan akhbar pula.
Pada suatu hari Osman memberitahu saya bahawa dia telah menerima modal sebanyak $30,000 untuk menerbitkan akhbar yang ditetapkan namanya sebagai Harian Benar dan majalah Belia. Dia melantik saya sebagai ketua pengarangnya. Osman pun mulai membuat persiapan bahan-bahan untuk menerbitkan majalah, seperti kertas dan lain-lain.
Osman sebenarnya diarahkan untuk mendirikan kesatuan buruh kuning bagi mengontrol perjuangan buruh. Akan tetapi setelah saya menjadi ketua kesatuan, saya dan beberapa kawan lain seperti Rashid Maidin dan Baharuddin Yusof telah menubuhkan beberapa lagi kesatuan buruh. Ini telah mengubah sifat kesatuan kuning menjadi kesatuan merah yang progresif. Semua ini di luar dugaan Osman.
Osman juga memberitahu saya akan mengadakan kongres buruh Melayu Selangor. Belanjanya telah disediakan oleh majikannya. Tempatnya ditetapkan di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Saya memilih tarikhnya pada 1 Mei, iaitu sempena hari pekerja antarabangsa.
Akan tetapi saya nampak ada suatu komplot antara Osman dan pihak atasannya di sebalik kongres itu. Osman meminta saya melepaskan jawatan ketua kesatuan kepadanya. Sebagai balasannya, saya akan dilantik sebagai Penghubung Khas Buruh dengan gaji yang lumayan. Saya juga akan diberikan sebuah rumah mewah dan sebuah motosikal.
Daripada cadangan Osman ini, saya membuat kesimpulan bahawa penjajah British telah berusaha mengambil alih kepimpinan kesatuan agar berjalan mengikut kepentingan mereka. Memandangkan komplotan ini dirancangkan dengan pihak atasannya, maka saya bermain taktik dengan Osman. Saya tidak menyatakan sama ada setuju atau tidak di hadapan Osman, tetapi membincangkan hal itu dengan kawan-kawan PKMM seperti dengan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Baharuddin Yusof dan Musa Ahmad. Kami berpendapat bahawa penjajah British sedang cuba mengambil alih kepimpinan kesatuan buruh, maka rancangan itu harus digagalkan.
Sebagai ketua kesatuan, saya membuat rancangan mengadakan persidangan. Kerana saya tidak menunjukkan apa-apa tentangan, maka Osman tidak mencium rancangan yang kami aturkan. Muslimin, ayam tambatan Osman saya lantik sebagai pengerusi. Muslimin pandai berpidato, dan kerana terlalu mengejar nama dan kedudukan, dia menerima pelantikan saya itu dengan penuh gembira.
Kongres berlangsung di Dewan Bandaran Kuala Lumpur pada 1 Mei 1946. Selain daripada Kesatuan Buruh Melayu Selangor, beberapa kesatuan buruh yang baru kami dirikan juga menghadiri kongres itu. Kesatuan-kesatuan itu seperti Kesatuan Buruh Melayu Kelang, Kesatuan Buruh Melayu Sentul, Kesatuan Buruh Melayu Kuala Kubu Bahru dan Kesatuan Buruh General Transport Company (GTC) Kuala Lumpur. Kawan-kawan dari PKMM juga menghadiri kongres itu sebagai pemerhati.
Menjelang kongres dibuka, Osman datang dengan megahnya memerintahkan supaya ditanggalkan lambang merah yang digantung di depan kongres. Saya membentaknya dengan mengatakan, “Saya ada hak berbuat sesuatu sebagai ketua kesatuan.” Kawan-kawan lain turut menyokong pendapat saya. Dalam perjuangan pusingan pertama kami telah mencapai kemenangan.
Persidangan berjalan mengikut yang dirancangkan. Perdebatan telah berlaku dari awal hingga akhir kongres. Saya tidak bercakap banyak dalam kongres itu. Tetapi kawan-kawan dari PKMM seperti Ahmad Boestamam, Baharuddin Yusof dan Musa Ahmad membuat pidato yang berapi-api dengan dalil-dalil yang meyakinkan. Osman menghadapi serangan yang bertubi-tubi dan tidak dapat membela diri.
Akhirnya tibalah masa mengundi. Hasilnya saya kekal sebagai ketua kesatuan, Muslimin sebagai Naib Ketua, manakala Osman tidak mendapat apa-apa. Tidak lama selepas itu, Osman diperiksa oleh pihak atasannya dan didapati bersalah menggelapkan wang lalu dipenjarakan. Selepas itu saya tidak tahu lagi tentang Osman.


Susul Menyusul Menubuhkan Kesatuan Buruh

Setelah berjaya menubuhkan beberapa kesatuan buruh seperti yang diceritakan di atas, kami kawan-kawan dari Jabatan Kerja Melayu PKM dan kawan-kawan dari PKMM berusaha menubuhkan kesatuan-kesatuan buruh yang lebih luas di seluruh negara.
Di Kelang, terdapat Kesatuan Buruh Pelabuhan Kelang yang beranggotakan kira-kira empat ratus orang di bawah pimpinan Baharuddin Yusof. Beliau juga memimpin kesatuan GTC Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (Kesatuan Buruh Bas dan Teksi).
           
Di Negeri Sembilan terdapat kesatuan buruh Melayu, seperti di Mantin, Labu, Seremban, Tanjung Ipoh, Tampin, Pedas, Kuala Pilah dan lain-lain. Tempat-tempat ini di Negeri Sembilan dianggap oleh penjajah sebagai “kawasan merah” kerana di sinilah tertubuhnya Parti Komunis Malaya pada tahun 1930.
Ada satu peristiwa berlaku di kawasan Tampin. Waktu itu banyak intelijen British mengekori saya ke mana sahaja saya pergi. Pada suatu kali, saya melawat kawasan-kawasan buruh dan kawasan-kawasan gerakan PKMM di Tampin. Kemudian diadakan perhimpunan. Sewaktu saya pergi ke situ, saya sentiasa diekori oleh intelijen. Ketika saya membuat ucapan, saya mengecam intelijen-intelijen itu. Saya mengatakan mereka adalah anjing penjajah, berkhidmat untuk penjajah, mengkhianati bangsa dan tanah air sendiri dan lain-lain. Mendengar kecaman dengan sindiran yang pedas-pedas saya itu, orang ramai menjadi semakin bersemangat dan marah kepada intelijen itu. Akhirnya intelijen-intelijen itu meninggalkan perhimpunan dengan malu bercampur hampa.
 Di Melaka dan Johor juga terdapat banyak kesatuan buruh seperti di Alor Gajah, Jasin dan Muar. Kawasan ini merupakan kawasan kuat PKMM dan juga pangkalan Jabatan Kerja Melayu PKM. Ia adalah salah satu kawasan yang selalu saya kunjungi. Di sini terdapat dua orang kader penanggungjawab PKMM dan juga kader peringkat negeri Jabatan Kerja Melayu PKM iaitu Mat Indera dan Kadir Murei’ih. Selain tempat-tempat yang tersebut di atas, di Johor terdapat lagi kesatuan-kesatuan buruh Melayu seperti di Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Johor Bahru dan lain-lain. (Mat Indera memimpin pasukan bersenjata Melayu di Johor apabila Undang-undang Darurat diisytiharkan. Kemudian beliau tercedera dalam pertempuran, lalu ditangkap dan digantung mati oleh penjajah British. Kadir Murei’ih juga menyertai perjuangan bersenjata setelah darurat. Beliau terkorban dalam satu pertempuran dengan askar penjajah British).
Persatuan Buruh Melayu Muar yang dipimpin oleh Mat Indera pernah melakukan mogok yang berjaya melawan majikan. Pihak majikan menerima semua tuntutan mereka dan memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu kepada kesatuan buruh. Pihak majikan mengizinkan kesatuan buruh mengambil barang-barang keperluan seperti beras dan lain-lain. Oleh itu soal makanan kepada kesatuan itu tak menjadi masalah. Pejabat kesatuan juga merupakan pejabat PKMM yang memberikan makanan percuma kepada anggota-anggota yang datang ke situ. Akan tetapi mereka haruslah memasak sendiri kerana tukang masak tidak disediakan.
 Ada satu peristiwa ketika saya di undang melawat Kesatuan Buruh Johor Bahru. Dari Kuala Lumpur saya naiki kereta api ke Johor Bahru. Di stesen kereta api Johor Bahru, ramai kawan-kawan dari kesatuan buruh datang untuk menyambut saya. Masa itu kami belum mengenali antara satu sama lain. Mereka tidak berjaya menjumpai saya, lalu mereka pulang dengan hampa. Manakala saya pula terpaksa mencari Lembaga Pemuda Demokratik di Johor Bahru. Kawan-kawan di lembaga itu terperanjat melihat saya dan segera menghantar saya ke pejabat kesatuan buruh.
Saya tiba di pejabat kesatuan buruh dalam suasana yang riang sekali. Mereka memberitahu bahawa mereka tidak sangka saya sebagai ketua kesatuan buruh kerana seperti orang biasa, membawa bakul yang dipenuhi dengan arang dan debu. Mereka menyangka ketua kesatuan tentulah berpakaian kemas dengan tali leher dan ada setiausaha pula mengiringi di belakang. Oleh itu suasana di situ menjadi meriah, kami saling berseloroh dan berbual mesra.
Selain daripada itu saya juga menubuhkan kesatuan buruh untuk askar, polis, wadar, bomba dan kakitangan kerajaan yang lain. Kerana menjaga rahsia, mereka menghantar sendiri yuran persatuan dan hubungannya dengan kesatuan melalui surat khabar iaitu majalah Suluh dan harian Pelita.
Ada seorang askar Melayu memberitahu saya bahawa dia bertugas menjaga gudang alat-alat tentera. Dia berkata kalau saya mahu alat-alat itu dia boleh bantu saya mengambilnya. Masa itu saya secara berseloroh memberitahunya bahawa saya tidak perlu alat-alat itu semua. Anak lelaki tuan punya rumah tumpangan kami, iaitu Rumah Merdeka juga menjadi ahli persatuan askar Melayu.

BELASUNGKAWA MENDALAM ATAS PEMERGIAN RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN



Kawan Ahtie(Banglang)


Kawan Ahtie

Kawan Ahtie, warga Kgampung Perdamaian Banglang meninggal pada 23 Januari, upacara pengbumian diadakan di Yala, Thailand. Beliau telah menghabiskan hari hidupnya demi usaha revolusi ketika 86 tahun.

Ahtie, lahir pada 1929 di Teochew, China. Pada 1934. dia mengikut ayahnya berpindah ke Malaya dan tinggal di Gurun, Kedah. Setelah Jepun menduduki Malaya pada  1941, Ahtie menjadi penyampai maklumat dan kemudian menjadi perajurit Tentera Anti-Jepun. Setelah Jepun menyerah kalah, Tentera Anti-Jepun di-bubarkan, dia balik kampung menjadi rakyat  semula. 

 Ketika Perang Anti-British meletus pada 20 Jun 1948, dia masuk Tentera Pembebasan menjadi perajurit. 1951, dia menyusun lasykar rakyat di Gurun dan melakukan beberapa kali pertempuran. 1952 menyertai banyak kali pertempuran. 1953 menjadi ahli PKM. Dia pernah bertugas sebagai pengawal kepada Chin Peng, AhYan, Ah He, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin.

Setelah Rundingan Baling 1955, dia menyertai banyak kali pertempuran. Dekad 1960-1970-an, dia bertugas dalam badan pengarah unit penyusun massa Kawsan Tiga; menyertai banyak kali pertempuran dan pernah luka parah. Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, beliau tinggal menetap di Kampung. Perdamaian Banglang dan menghabiskan hari tuanya. Dia adalah seorang pejuang revolusioner yang telah membaktikan seumur hidupnya kepada usaha parti dan  rakyat. 

 Kawan Jianqiang (K Lumpur)


Kawan Jianqiang 


Kawan Jianqiang meninggal pada 11 Februari, menghabiskan seumur hidup revolusionernya ketika 78 ta-hun. Upacara pengebumian diadakan pada 13 Februari.

Jianqiang (nama benarnya Zhou Yuzhen) lahir pada 1 Jun 1941 di Johor. Setelah bersekolah sampai darjah tiga dia berpindah ke Kuala Lumpur. Lepas kelulusan darjah 6 dia berhenti untuk bekerja dan menjadi ahli kesatuan buruh percetakan dan menyetai aktiviti Parti Buruh. Dekad 1970-an, pihak berkuasa bertindak menindas pergerakan progeresif, membuat dia terpaksa masuk hutan menjadi perajurit Tentera Pembe-basan, dan dipindahkan ke Pelatun Ke-5 Rejimen Ke-12 di daerah sempadan Malaysia-Thailand, di  sana dia mengikuti kursus perajurit baru. Setelah tamat kursus dia dipindahkan ke Kawasan Tiga untuk bertugas. 1980, dia dipindahkan ke Kawasan Khas dan bertugas hingga penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai. Lepas itu dia berpidah ke Kampung Perdamaian Banglang dan giat menyertai kerja pembinaan kampung itu.

Jianqiang kembali di Malaysia pada Mei 1992 dan duduk menetap di Kuala Lumpur, dan menjadi penjaja makanan masak. Dengan bantuan dari kaum keluarga, sahabat dan usaha dirinya dia telah menetapkan asas ekonominya. Ketika Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 ditubuhkan, dia menjadi ahli seumur hidup dan aktif menyertai pelbagai aktiviti Persatuan.  

Setelah menghidap penyakit barah beberapa tahun lalu, dia menghadapinya dengan optimis dan bekerja terus, sehingga nyawa bernlainya diragus oleh penyakit barah.

Kawan Lei Mucheng (Banglang)

Kawan Lei Mucheng


23 Februari, Kawan Lei Mu-cheng meninggal dunia di Kampung Perdamaian Banglang, 84 tahun. Upacara pengebumian diadakan pada 25 Februari di Yala, Thailand. Ia telah menempuhi kehidupan  revolusionernya yang  ajaib. 

Beliau lahir pada Disember 1930 di China. Masa muda ia telah mengikut ibu bapa berpindah ke Singapura, setelah kelulusan sekolah menengah, dia menjadi guru  dan kemudian guru besar. Pada masa pelajar lagi dia telah menyertai aktiviti  Liga Anti-British. Dekad 1950-an, penjajah British menindas dan menangkap pelajar, guru dan aktivis progresif. Dia meloloskan diri dan bergerak di bawah tanah. Kemudian pihak organisasi memindahkan dia  ke Indonesia. Dalam masa belasan tahun di sana, dia pernah menjadi guru dan menjaja barangan   ke pelbagai rantau.

Dekad 1980-an, rejim Lee Kuan Yew menindas kekuatan kiri, Mu-cheng diberi tugas berat mengalihkan   kader-kader yang berisiko ditangkap, dia berjaya mengalihkan sejumlah kader ke Indonesia. 1964, dia membawa beberapa kawan pergi ke Utara Sumatera untuk mendirikan tumpuan utusan, tapi tertangkap dalam perjalanan dan dipenjarakan 3 tahun lebih.  Kemudian berjaya meloloskan diri dari penjara dengan cara menyuapi wader. Setelah keluar dari penjara, dia ditugaskan membuat kerja ekonomi. Setelah penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, menurut peraturan pihak organisasi, pada  tahun 1992, dia berpindah dan tinggal menetap di Kampung Perdamaian Banglang.  Ketika Syarikat Pelancungan Kampung Perdamaian itu ditubuhkan, dia dipilih menjawat  Pengerusi Lembaga Pengurus. Ketika  Persatuan Rekreasi Warga Emas ditubuhkan, dia dipilih menjawat Bendahari dan giat memberi sumbangan kepada aktiviti Kampung Perdamaian.   



Sumber: Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, 30 Mac 2014,    Bilangan 31

Categories

Pengikut