TEKS UCAPAN SAUDRA AZIZ SURIANI SEMPENA MEMPERINGATI 25 TAHUN PERJANJIAN DAMAI HADYAI



UCAPAN MEMPERINGATI PERJANJIAN DAMAI HADYAI KE – 25

Tarikh : 29 Nov.2014
aziz suriani

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Persahabatan Abad 21 kerana telah memberi peluang kepada saya – seorang dari luar untuk berkongsi kisah suka – duka bersama seluruh anggota persatuan ini yang telah diharung dalam tempoh yang begitu panjang. Saya tidak menyertai mana-mana parti politik untuk mencari pengaruh atau kuasa. Jika saya terlibat dalam politik sama ada secara langsung atau tidak langsung maka itu adalah kerana soal kemanusiaan.

Saudara-saudara sekelian

Perkataan kemanusiaan itu berasal dari kata dasar “manusia” yang tidak membawa apa-apa makna pada sifatnya kecuali ia adalah “ insan” walau bagaimanapun ahli antropologi melihat bahawa “manusia” itu mempunyai makna yang sangat besar iaitu “sejarah”. Manusia mencipta sejarah kerana sifat kehidupannya yang ekpresif dan kolektif, berkembang dalam kitaran dialektika dari suatu masa ke suatu masa. Melalui ini sejarahnya telah dicipta.

Sebenarnya “tidak ada perang untuk perang” kerana peperangan adalah suatu yang buruk kecuali apabila peperangan itu adalah untuk membela yang tertindas dan melawan kezaliman. Perang Anti Jepun, Perang Anti British, Perang Dalam Negeri yang berentetan adalah demi untuk melawan penindasan bagi mencapai sebuah kehidupan yang lebih adil dan saksama untuk seluruh rakyat. Begitu juga tentang perdamaian. Ia bukanlah berdamai secara sia-sia atau hanya untuk mencapai kepuasan diri atau menipu pihak lawan. Perdamaian suatu yang mulia dan ia harus dilakukan dengan jujur dan ikhlas. Sesiapa yang melanggar perjanjian perdamaian adalah
mengkhianati diri mereka sendiri.

Pada saya peperangan melawan penindasan kuasa imperialis Barat dan Fasis Jepun dan lain-lain kuasa penindas oleh kawan-kawan sekalian telah memenuhi tuntutan al-Quran: 
“ Bagaimanakah dengan kamu, bahawa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah untuk lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan dan kanak-kanak yang dihina, yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, keluarkanlah kami daripada bandaraya ini yang penduduknya zalim, dan lantikkanlah bagi kami seorang wali (pelindung) daripada sisi Engkau, dan lantikkanlah bagi kami, daripada sisi Engkau, seorang penolong." Al-Quran 4:75

Saudara-saudara sekelian:

Segala rentetan kisah dalam Perang Tani seperti Perang Naning, Perang Maharajalela, perang Dato Bahaman, Perang Tok Janggut, Perang Abdul Rahman Limbong semuanya adalah rentetan sejarah kita meskipun ia tidak disukai oleh hegemoni warisan penjajah. Begitu juga dengan munculnya Perang Anti Jepun, Perang Anti British, Perang Dalam Negeri yang dipaksakan ke atas seluruh kawan-kawan PKM sesudahnya kerana tekanan Anglo – Malaya. Gagalnya Rundingan Baling 1955 adalah sejarah bangsa dan negara kita.
Semua ini adalah sejarah walau apa pun yang dimanipulasi oleh hegemoni dalam “ hisstory” nya dan dalam sandiwara yang hodoh demi untuk ia melakarkan sebuah lanskap sosio-politik palsu untuk membutakan minda rakyat. Sikap nihilism ini muncul dari paradigma politik yang dibangunkan oleh pemerintah membutakan dan menafikan fakta sejarah yang sebenar hinggalah akhirnya sebuah kontrak sosial yang tidak berasaskan kehendak rakyat telah direkayasa oleh hegemoni sebagai alat kawalan untuk menghalang evolusi sosial menjadi bangsa yang lebih matang dan bertamadun.

Dari sikap nihilism ini, rakyat terus ditawan oleh sistem kasta lama didominasi oleh golongan elite. Dari feudal lama ia kini telah dikembangkan kepada kelas hegemoni neo-feodal yang hidup dan bernafas di bawah rahang, gigi dan roda kapitalism yang sentiasa membaham dan menggilis rakyat marhein dalam sebuah struktur ekonomi yang menindas oleh pemerintah sekarang. 

Saudara-saudara sekelian:

Buku sejarah dan guru sejarah sepanjang lebih 57 tahun telah tidak bercakap benar untuk anak-anak kita. Mereka tidak diajar untuk menyoal segala fakta, andaian dan hubungannya. Mereka juga membunuh subjek kesusasteraan menjadikannya tanah perkuburan untuk sejarah kita, membunuh minda rakyat begitu juga subjek falsafah. Hari ini kita sedang melihat secara berterusan kebebasan akademik di universiti juga sedang dilumpuhkan. Akhirnya universiti awam kita hanya melahirkan manusia-manusia yang berdimensi tunggal mono-culture (single dimension). Segalanya diperhambakan oleh politik yang mempermainkan pengetahuan, menyekat imiginasi kreatif (seperti yang terjadi terhadapat kartonis zunar) dan pemikiran kritis pelajar kita. Membisukan suara-suara kritikal dan universiti menentukan apa soalan yang boleh ditanya dan boleh dijawab. Universiti telah menjadi sebuah rumah pengeluaran yang efisyen mengeluarkan pekerja yang baik dan patuh kepada ideologi semasa. 

Saudara – saudara sekelian,

Perang Anti British 1948 – 1957 oleh kawan-kawan adalah sebuah revolusi yang besar yang dinafikan sejarahnya hingga ia membawa kita merdeka. Fakta ini juga diperakui oleh Tunku Abdul Rahman bahawa dari detik Balinglah kita merdeka walaupun soal itu sama ada kita benar-benar merdeka itupun masih boleh dipersoalkan. Dari sini British telah menggubal sebuah dasar Anglo-Malaya membebaskan Malaya dalam pakej kepentingan hegemoni kuasa imperial ini. Mereka menabalkan diri sebagai pemenang dan kita akhirnya hanya menulis puisi untuk menenangkan jiwa yang tertekan. 
Selain itu kita juga terus melihat kegagalan hegemoni yang diasaskan sejak 1955 (Parti Perikatan) dengan meneruskan dasar apartheid, ketaksuban kaum sebagai kad judi mereka pertaruhkan masa depan generasi demi generasi rakyat Malaysia. Indoktrinasi yang menolak keindahan kepelbagaian budaya menjadi perkara pokok dalam pendidikan sekolah awam. Sampai di sini bolehlah kita ramalkan tentang masa depan sekolah-sekolah Malaysia dan generasi akan datang. Kecenderungannya berkembang mengikut nista perkauman. Hari ini kita melihat pengaruh sekolah Cina menjadi gelombang yang lebih dominan menyahut keperluan global sedang sekolah-sekolah awam sedang bergerak dalam spera indoktrinasi kaum dan pandangan sempit agama yang turut menjadi aparat hegemoni (political apparatus).

Saudara-saudara sekalian:

Sama ada versi sejarah kita perlu ditulis semula atau tidak, mungkin dapat kita terus debatkan. Yang penting kita tahu ialah anak-anak kita harus memiliki versi baru sejarah Malaysia yang lebih adil dan benar. Kita harus terus menulis, membuat penyelidikan ilmiah terhadap rekod dan peristiwa sejarah kita sebagai suatu jalan menyahut satu saranan yang direkod dalam Perjanjian Damai Hadyai 1989 iaitu biarlah soal sejarah ini menjadi tanggungjawab pengkaji dan penulis sejarah. Semua orang mempunyai hak tersendiri untuk mengkaji sejarah negara bangsanya walaupun ada suara-suara sumbang dari ahli sejarah yang diupah untuk menentang perkembangan ini.

Pada kesempatan ini kita juga harus menyampaikan penghargaan kepada seluruh penulis yang telah meninggalkan kita atau yang masih ada, mereka yang menulis genre sastera terutama dari ASAS 50 seperti Usman Awang, sasterawan negara paling kritikal hari ini A.Samad Said, A.Samad Ismail yang keluar masuk penjara sejak zaman Jepun, Pak Said Zahari bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu yang pernah merengkok selama 17 tahun ditahanan tanpa bicara di bawah Operation Cold Store - Singapura, Syed Hussein Ali yang pernah menjadi tahanan tanpa bicara (ISA), begitu juga penulis serta sasterawan dari Poejangga Baru Indonesia dan Lekra yang telah turut menyuntik semangat kemerdekaan radikal Melayu seperti WS Rendra, Putu Wijaya, Pramoedya Ananta Toer dan ramai lagi yang tidak dapat disebut di sini. Kesemua mereka adalah juga sebahagian dari sejarah kita.

Saudara-saudara sekelian.

Tugas kita yang terakhir untuk membebaskan rakyat ini ialah dengan memperkasakan kelas baru proletariat digital anak-anak kita, mengajar mereka agar rajin membaca. Kerana dengan membaca kita benar-benar akan bebas dan merdeka… Dengan membaca kita mengetahui sejarah kewujudan kita juga bagaimana kita boleh maju dan merosot. Membaca adalah suatu perlakuan menamakan, membongkarkan dan membina semula dunia kita. Jika rakyat membaca dan berilmu, Portugis tidak mungkin dapat menawan Melaka, begitu juga Belanda, Inggeris dan ideologi apartheid Barisan Nasional, Kita telah ditawan kerana kita bodoh. Mereka akan terus menawan kita selagi kita bodoh dan menjadi penakut. Moga-moga himpunan besar 25 tahun memperingati Perjanjian Damai Hadyai 1989 membawa kesedaran baru kepada generasi baru untuk membina negara bangsa yang baru yang lebih progresif dan saksama. 

Sekian terima kasih.



azizsuriani







2 ulasan

salam, setelah membaca ucapan ini dpt diberikan kesimpulan bahwa rasa kagum dan t.kasih kpd pejuang2 ini. tahniah! cuma mengenai sastera dan penulisan yg ditulis; (sasterawan negara paling kritikal hari ini A.Samad Said)pdgn saya a.samad said sebenarnya tidak menyumbang apa2 kpd perjuangan rakyat, hanya mengambil kesempatan/peluang dgn keadaan sekarang. dia tidak boleh disamakan dengan perjuangan kwn2 Asas 50,said zahari, a.samad ismail kwn seangkatan dgn mereka. 2-3 thn kebelakangan ini a.samad said bercerita soal rakyat dll, tapi sebelum ke mana kah dia? dia mana suara sasterawan ini? soal rakyat ditindas sudah lama dari dulu bkn skrg, klu dilihat zaman Asas 50 mereka jelas dlm perjuangan dlm penulisan mereka mewakili rakyat terbanyak dlm karya2 sastera mereka.. sepengetahuan saya, samad said sendiri bukan dan tidak menganggotai asas50 malah tidak mahu berkaitan dgn kwn2 dari asas50. ini fakta. dia juga pernah menulis buku dirhayu mahathir, sbagai rasa kagumnya terhdap mahathir. apakah fungsi sastrawan bkn sekadar mengampu pihak kerajaan, atau PR tapi sasterawan adalah jelas membawa wadah suara rakyat yg sentiada tertindas.seperti zaman2 Asas50, dan sasterawan di indonesia. skrg pernahkah kita mendengar kritikan dari samad said kpd PR? kenapa ini tidak berlaku? adakah apa PR tidak pernah melakukan kesilapan pada rakyat? hrp pandangan sy ini dpt dibahas dengan lebih dalam, dan diperbetulkan jika apa yg saya tulis ini salah mohon diperbetulkan, t.kasih

abd karim majid

Reply

Ucapan yg luhur dr darah seorang manusia yg mempunyai nilai insan...

Reply

Categories

Pengikut