TEKS UCAPAN KAWAN ABDULLAH C.D. SEMPENA MAJLIS MEMPERINGATI 25 TAHUN PERSETUJUAN DAMAI

(Teks ucapan ini dibaca oleh Kawan Indra Djaja Abdullah sempena majlis memperingati ulangtahun ke-25 penandatanganan persetujuan damai Hadyai yang diadakan di Lee Gardens Plaza, Hadyai pada 2 Disember 2014)

Kawan Abdullah C.D. sedang menurunkan tandatangan pada majlis tersebut
Salammualaikum warahmatullahi wabarahkatuh

Para tetamu yang dihormati, 

Sahabat-sahabat yang dihormati,

Kawan-kawan yang dikasihi,

Salam sejahtera.



Kawan Indra Djaja sedang membacakan teks ucapan Kawan Abdullah C.D.
Pada 2 Disember 25 tahun yang lampau, wakil-wakil ketiga-tiga pihak Parti Komunis Malaya, Kerajaan di Raja Thailand dan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai Hatyai di Lee Garden Hotel, Hatyai. Dengan demikian, tamatlah perang anti-British dan perang dalam negeri yang berkepanjangan selama 41 tahun, yang bermula dari 20 Jun tahun 1948, satu peperangan yang dipaksakan ke atas rakyat Malaya amnya serta kaum progresif dan Parti Komunis Malaya khasnya. 

Sempena ulangtahun ke-25 ditandatanganinya Perjanjian Damai Hatyai ini, marilah kita berhening cipta kepada mereka yang terkorban dalam peperangan yang berkepanjangan itu, khususnya kepada pendahulu-pendahulu kita yang telah mengorbankan jiwa-raga seumur hidup mereka demi usaha luhur pembebasan nasional, kemajuan masyarakat dan keadilan rakyat. Selain itu, kita juga berhening cipta kepada semua anggota-anggota kita yang telah meninggal dunia selama 25 tahun setelah tercapainya Perjanjian Damai ini, khasnya bekas Setiausaha Agung PKM, mendiang Chin Peng, yang meninggal dunia pada penghujung tahun lalu.

Para hadirin sekalian,

Perjanjian Damai Hatyai telah berjaya ditandatangani oleh kerana ketiga-tiga pihak yang terlibat pada masa itu benar-benar mahu menyelesaikan konflik bersenjata yang berkepanjangan tersebut. Semangat saling memahami dan toleransi yang besar telah tercapai pada masa tersebut.

25 tahun tidak terlalu singkat, ¼ abad. Selama 25 tahun ini, kami telah membuktikan keikhlasan kami dan kejujuran kami dalam melaksanakan Perjanjian Damai Hatyai. Selain itu, juga boleh mengenalpasti dan menilai kejujuran dan keikhlasan berbagai pihak dalam melaksanakan Perjanjian Damai Hatyai. 

Di sini, bagi pihak anggota-anggota kami yang telah memilih untuk bermastautin di Thailand, saya secara khusus merakamkan terimakasih saya kepada pihak di Raja Thailand yang telah memberikan berbagai bantuan dan prihatin kepada kami. Saya juga merakamkan penghargaan tinggi saya kepada Kerajaan di Raja Thailand dan pihak tentera yang telah melaksanakan isi Perjanjian Damai Hatyai dengan sempurna dan memberikan berbagai bantuan dan prihatin yang tak putus-putus.

Kami bermastautin di Thailand, diberikan kewarganegaraan Thailand, diberikan layanan dan hak sama seperti rakyat Thai yang lain. Kami mematuhi undang-undang negeri Thai, menunaikan kewajiban kami sebagai warganegara, hidup normal seperti orang biasa, memberikan sumbangan kami terhadap perdamaian dan pembangunan di sini. Sekarang ini, kami sudah memiliki jenerasi kedua dan bahkan ada yang telah memiliki jenerasi ketiga. Anak-anak kami mendapat pendidikan sekolah sama seperti rakyat Thailand yang lain.

Perdamaian dan pembangunan adalah kemahuan rakyat. Menuntut satu masyarakat yang lebih adil, lebih indah dan lebih maju juga adalah kemahuan rakyat. Kami yakin penuh masyarakat sedemikian akhirnya pasti akan wujud.



Sekian. Terima kasih.



Wassalam.

Categories

Pengikut