25 TAHUN BERLALU JANJIPERDAMAIAN KEPADA BEKAS KOMUNIS MASIH TIDAK TERTUNAI - THE MALAYSIAN INSIDER


25 tahun berlalu, janji perdamaian kepada bekas komunis masih tidak tertunai 

Oleh Hasnoor Hussain dan Looi Sue-Chern
Published: 2 December 2014

dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/25-tahun-berlalu-janji-perdamaian-bekas-komunis-masih-tidak-tertunai#sthash.twxIx1Uw.dpuf
Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Abdullah Che Dat menonton televisyen di rumahnya di Ban Chulabhorn Pattana 12 di Sukhirin, Narathiwat, Thailand. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2014.Perjanjian damai ditandatangani dan pemberontakan pun sudah lama berakhir, tetapi suku abad kemudian, kesedihan terus melanda bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang masih terasa bagaimana janji tidak ditunaikan dan serangan ekoran masa lalu berterusan.

Perjanjian damai ditandatangani dan pemberontakan pun sudah lama berakhir, tetapi suku abad kemudian, kesedihan terus melanda bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang masih terasa bagaimana janji tidak ditunaikan dan serangan ekoran masa lalu berterusan.

Hari ini, 2 Disember, adalah ulang tahun ke-25 Perjanjian Damai Hatyai, apabila PKM meletakkan senjata daripada menentang kerajaan Malaysia dan Thailand dan berakhirnya pemberontakan yang bermula sejak 1948.

Tetapi walaupun menandatangani perjanjian damai dengan Malaysia, kerajaan tidak ikhlas dalam menghormati perjanjian itu, dakwa bekas anggota PKM yang tinggal di wilayah Narathiwat di selatan Thailand kepada The Malaysian Insider ketika mengunjungi mereka menjelang ulang tahun majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Bekas anggota PKM Yaacob Ibrahim, 53, yang lebih dikenali sebagai Bulat di kalangan rakannya, marah apabila PKM terus dikecam walaupun terdapatnya perjanjian damai dan hakikat parti itu bukan lagi ancaman.

"Pada pandangan saya, 25 tahun yang lalu menjadi ujian dan kami perlu menerima realiti itu, yang kadang-kadang pahit. Tahun-tahun itu menunjukkan kerajaan tidak ikhlas.

"Sehingga kini, terdapat propoganda di televisyen yang menyatakan komunis adalah ancaman. Apabila perang berakhir, ia selesai. Apa ancaman? Kami tidak mempunyai senjata api. Mereka semua musnah dalam kebakaran," kata lelaki bertubuh kecil, yang tidak menyembunyikan rasa tidak senang itu apabila bercakap.

Sejarah dipesongkan

Bekas anggota PKM Yaacob Ibrahim atau Bulat berkongsi pengalaman gerila ketika ditemubual The Malaysian Insider di Thailand. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2014.
Bulat berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Pada usia 11 tahun, beliau menyertai Rejimen ke-10 PKM yang dikenali sebagai Tentera Rakyat Malaya. Beliau kemudiannya bertugas sebagai artis grafik dan reka letak untuk akhbar rejimen ini, Suluh Rakyat.

Dia merasakan kerajaan Malaysia "memesongkan" sejarah tentang PKM, memetik bagaimana pentadbiran Barisan Nasional (BN) menghalang penerbitan buku sejarah tentang parti dan bekas pemimpinnya seperti Abdullah Che Dat (Abdullah CD), Rashid Maidin, Ibrahim Chik, Shamsiah Fakeh dan Setiausaha Agung PKM Chin Peng, lebih 10 tahun lalu.

Beliau berkata buku itu adalah inisiatif Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan selepas semua kerja siap, termasuk royalti dibayar kepada Rashid, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin kemudian menyuarakan bantahan dalam media.

"Terdapat cakap-cakap mengenai percubaan memulihkan komunisme dan sebagainya. UKM tidak meneruskan projek penerbitan itu. Semua tidak boleh bergerak selama hampir setahun. Akhirnya, bahan itu diambil dari UKM supaya kita boleh mencari jalan sendiri untuk menerbitkan buku itu," kata Bulat, yang kini bekerja sebagai penoreh getah.

Kami menentang penjajahan British

Seorang lagi bekas anggota PKM, Indrajaya Abdullah, 57, yang dikenali sebagai Anas di kalangan rakannya, juga membidas bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang sebelum ini mempertikaikan perjuangan parti komunis menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Rahim dilaporkan berkata dalam satu artikel Utusan Malaysia pada Februari lalu agenda PKM adalah untuk membentuk sebuah negara komunis di Tanah Melayu dan tidak terdapat apa-apa dalam perlembagaan parti itu mengenai pembebasan Tanah Melayu daripada British.

"Satu revolusi demokratik adalah perjuangan menentang imperialisme dan feudalisme. Ia adalah menentang penjajahan. Kami hanya tidak menggunakan istilah 'kemerdekaan'.

"Satu revolusi demokratik mempunyai erti yang lebih besar daripada kemerdekaan. Apakah yang berlaku selepas itu? Bentuk negara ini," katanya ketika ditemui di Chulabhorn Pattana 12, sebuah kampung di Sukhirin, wilayah Narathiwat di Selatan Thailand.

Kampung, di mana penduduk asalnya ialah bekas anggota Rejimen ke-10 PKM, hanya 3 km dari sempadan Thai-Malaysia berhampiran Kelantan. Kampung ini pada mulanya dikenali sebagai 'Ban Rattana Kitti 4 (Kampung Damai 4), sehingga ia diletakkan di bawah tadbir urus Institut Penyelidikan Chulabhorn.

Janji yang tidak tertunai

Bulat memberitahu The Malaysian Insider kerajaan Thailand melayan bekas ahli PKM lebih baik daripada Malaysia. Kampung Damai, misalnya, diberikan kerajaan Thailand untuk didiami bekas anggota PKM.

Di bawah perjanjian damai, kerajaan Malaysia membenarkan bekas anggota PKM yang lahir di Malaysia hak untuk kembali. Kerajaan diwajibkan di bawah parjanjian itu untuk memproses kewarganegaraan mereka mengikut undang-undang.

Tetapi Bulat berkata sebahagian daripada mereka tidak pernah menerima dokumen pengenalan diri walaupun selepas 25 tahun.

"Ada seorang lelaki bernama Majid. Beliau tidak gembira kerana tidak pernah mendapat IC (kad pengenalan), lalu dia datang semula ke sini dan meninggal dunia di kampung ini.

"Pak Chu Mahsin, seorang pengikut Mat Indera, juga tidak mendapatnya. Dia terpaksa menggunakan akaun bank orang lain untuk menyimpan wang. Itu menyebabkan dia ditipu.

"Ia begitu jelas mereka semua adalah rakyat Malaysia tetapi kerajaan dakwa mereka tidak mempunyai dokumen (untuk membuktikannya)," kata Bulat.
Bekas anggota PKM Indrajaya Abdullah atau Anas ditemubual di rumah bapa mertuanya, bekas pemimpin PKR Abdullah CD di Thailand. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2014.

Anas berkata, keadaan yang serupa dialami Chin Peng, setiausaha agung PKM, yang tidak pernah dibenarkan pulang ke Malaysia.

“Mereka meninggalkan Malaysia waktu darurat masuk hutan, waktu itu zaman penjajah. Macam Chin Peng, adik beradik dia, bapa dia semua ada warganegara. Dia seorang yang tidak jelas. Boleh mahkamah menafikan pula.

“Mereka tidak akan beri Melayu kewarganegaraan, jadi apatah lagi Chin Peng, seorang Cina?" katanya.

Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, meninggal dunia pada Hari Malaysia tahun lepas di sebuah hospital di Bangkok. Beliau adalah salah seorang daripada tiga pemimpin PKM yang menandatangani perjanjian damai Hatyai dengan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember, 1989 di Hat Yai. Dua lagi ialah Rashid dan Abdullah CD.

Chin Peng cuba selama bertahun-tahun memohon untuk kembali ke Malaysia. Pada April 2009, harapannya hancur apabila Mahkamah Persekutuan menolak usul bagi membenarkan beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Jun 2008, dan Chin Peng mesti mengeluarkan sijil kelahiran atau kewarganegaraan sebagai bukti sebelum boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

Dilaporkan Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat mencari mana-mana rekod kelahirannya. Mahkamah Persekutuan juga memutuskan memoir Chin Peng "Alias Chin Peng: My Side of History" di mana beliau menulis bagaimana dokumen itu musnah dalam satu serbuan British pada 16 Jun 1948, tidak dapat diterima sebagai kebenaran.

Chin Peng menegaskan, dia tidak boleh mengemukakan dokumen kerana ia dirampas polis dalam satu serbuan di Kampar, di mana dia berjaya melarikan diri.

Apakah yang menakutkan Malaysia?

Bulat bergurau mereka boleh menyeludup Chin Peng ke Malaysia semasa dia masih hidup, jika mereka mahu. Apatah lagi abu mendiang.

Tetapi Anas tidak bersetuju, mengatakan mereka mahu Chin Peng pulang ke rumah dengan hormat dan tidak faham mengapa kerajaan "takut" dengan pengaruhnya.

"Chin Peng bertukar menjadi abu. Apa yang mereka takut sangat?" katanya.

Anas berkata pendirian Malaysia terhadap Chin Peng membuatkan kerajaan kelihatan seolah-olah boleh "terbalik hanya dengan menekan satu jari".

"Itulah apa yang dilihat orang luar negara. Adakah membawa kembali abu Chin Peng akan memberi kesan kepada rakyat?

"Mengapa kekecohan berlebihan tentang Chin Peng. Ia hanya soal kemanusiaan," katanya.

Anas yang juga menantu kepada Abdullah CD berkata di Thailand, kerajaan memberikan bekas komunis itu kerakyatan "kes istimewa".

"Untuk menjadi seorang warganegara Thai, anda perlu tahu bahasa. Tetapi bagaimana warga emas seperti bapa mertua saya, yang masih sihat dalam tahun 70-an dan 80-an, mempelajari bahasa baru? Tetapi kerajaan Thai memberikan kerakyatan kepada mereka, walaupun ia mengambil sedikit masa.

"Kerajaan Thailand juga tidak mendiskriminasi kampung kami," katanya, memetik bagaimana kerajaan memberikan tanah kepada bekas anggota PKM, dengan setiap keluarga mendapat sebuah rumah bersama dengan 15 'rai' (kira-kira 7.5 ekar) tanah untuk digunakan bagi aktiviti pertanian seperti yang dijanjikan, selepas perjanjian damai ditandatangani.

Thailand menjaga kebajikan kami
Kanak-kanak generasi ketiga di Ban Chulabhorn Pattana 12, Thailand bermain di kawasan kampung. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2014.

Anas, yang pernah bekerja untuk stesen radio Suara Revolusi Malaya pada 1969 di China, dan kemudian stesen radio Suara Demokrasi Malaya di Thailand sebelum berkhidmat sebagai penterjemah dan jurulatih di Rejimen ke-10 parti itu, berkata penduduk kampung menikmati faedah kebajikan.

"Kami juga mendapat kemudahan sebagai sebuah perkampungan miskin. Rawatan perubatan di hospital tempatan juga percuma kerana kita memegang kad yang dikeluarkan kepada orang miskin," katanya.

Kampung itu mempunyai 147 buah rumah dengan jumlah kira-kira 500 penduduk, sehingga generasi ketiga keluarga bekas komunis. Kampung ini juga mempunyai sebuah masjid, sekolah rendah, tadika, nurseri, klinik kesihatan, muzium kecil dan rumah tetamu.

Ia tidak mempunyai liputan telefon tetapi di beberapa tempat di kampung itu, ada WiFi percuma. Kerajaan Thailand kini membina Taman Sukhirin yang berharga 5 juta baht (RM522,607) untuk kampung itu.

Tidak mahu pulang lagi

Kehidupan di kampung ini aman. Masyarakat, yang sebahagian besarnya menjadikan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan mereka, mempunyai hubungan yang rapat. Ramai penduduk kampung yang berusia 20-an, adalah anak bekas anggota parti komunis.

Kehidupan harian mudah untuk warga emas seperti Abdullah CD, 91, yang menetap di kampung itu sejak ia ditubuhkan selepas perjanjian damai. Rutin hariannya termasuk berjalan di sekitar rumah batu 2 tingkat, selepas bangun dari tidur, membaca dan menonton televisyen, terutama berita.

Abdullah kelihatan sihat dan juga mempunyai fizikal yang kuat untuk usianya. Dia menggunakan tongkat tetapi akan mengetepikannya jika dia berjalan sambil membaca sesuatu yang menarik minatnya.

Malangnya, Abdullah mengalami kesukaran bercakap setelah diracun pada September 1975. Beliau menulis dalam memoir beliau "Perjuangan di Sempadan dan penamatan Terhormat", ejen perisikan meletak racun ke dalam minumannya.

Warga emas itu banyak diam ketika duduk dengan Anas dan Bulat semasa diwawancara. Beliau bercakap hanya sekali sekala untuk menambah komen kepada apa yang kedua-dua lelaki muda itu katakan.

Abdullah, yang dilahirkan di Perak, berkata beliau mahu pulang ke rumahnya secara kekal tetapi ada isu selepas perjanjian damai ditandatangani.

"Kerajaan Malaysia tiba-tiba mahu kami menyertai satu orientasi kononnya untuk membantu kami menyesuaikan diri. Kami melihat ia sebagai satu cubaan brainwash kami.

"Mereka kata kerana kita hidup di dalam hutan, kami tidak dapat menyesuaikan diri hidup dalam masyarakat, jadi kita memerlukan masa. Kami faham ia sebagai satu percubaan mengubah kami. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk tidak kembali," katanya.

Anas berkata mereka juga bimbang Abdullah CD mungkin ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri jika dia kembali ke Malaysia.

Tetapi Abdullah pernah pulang ke Malaysia sekali, pada 1998, dan mengadap almarhum Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur.

Malaysia diperhatikan

Walaupun tinggal di luar Malaysia selama beberapa dekad, bekas komunis ini sentiasa mengikuti perkembangan dan hal ehwal di negara kelahiran mereka, termasuk episod baru-baru ini di Parlimen apabila ahli Parlimen PAS Mohamed Hanipa Maidin bercakap mengenai Chin Peng dan sumbangan pemimpin PKM lain.

Bulat memberi contoh bagaimana wakil Umno, Datuk Seri Azalina Othman melabelkan Hanipa sebagai penyokong komunis.

"Mereka masih tidak melihat komunisme sebagai ideologi. Mereka melihatnya sebagai sesuatu yang buruk dan jahat," katanya.

Bulat berkata komunisme adalah satu sistem ekonomi, seperti kapitalisme, dan dia tidak faham mengapa komunisme dikaitkan dengan sentimen anti-agama dan ateisme kerana orang Melayu yang menyertai PKM masih mengamalkan Islam.

Beliau menceritakan bagaimana seorang ustaz pernah melawat kampung Chulabhorn dengan rakannya.

"Ustaz itu tiba pada waktu zohor. Dia mendengar azan apabila sampai ke pintu masuk kampung.

"Dia datang ke kampung ini, pergi berjumpa dengan ketua kampung dan marah. Beliau berkata selama lebih 40 tahun, dia ditipu.

"Kami hanya bebas daripada penjajahan kuasa asing. Sekarang kita beralih kepada pihak berkuasa tempatan.

"Daripada segi penindasan, isu keadilan dan lain-lain, tidak ada perubahan yang ketara. Minda juga tidak bebas, masih terikat kepada apa yang penjajah tinggalkan seperti Akta Hasutan," katanya.

Bulat berkata negara tidak boleh menjadi negara bangsa kerana penduduknya masih dikenali melalui kaum masing-masing.

Anas juga setuju dan berkata:"Bagaimana anda mahu mencapai negara bangsa apabila anda sentiasa memberitahu orang Cina untuk kembali ke China.”

Bulat berkata rakyat Malaysia menjadi lebih matang dalam pemikiran seperti yang ditunjukkan menerusi cara orang ramai kekal tenang dengan insiden agama dan kaum, seperti serangan ke atas gereja dan kepala lembu dan kepala babi dibuang ditempat ibadat.

Bagaimanapun Anas berkata perjalanan Malaysia masih jauh lagi.

“Sekarang kita anggap orang Melayu, golongan dalam kerajaan atau Umno hampir semakin konservertif. Ada tanda seakan-akan mengundur ke belakang. Jadi tepatlah ahli Parlimen Australia mengatakan Indonesia setapak ke hadapan, Malaysia dua tapak ke belakang. Jadi tiga tapak bezanya,” katanya merujuk kepada satu artikel disiarkan Sydney Morning Herald mengkritik Malaysia kerana autoritarian semakin berkembang. – 2 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/25-tahun-berlalu-janji-perdamaian-bekas-komunis-masih-tidak-tertunai#sthash.twxIx1Uw.dpuf

Categories

Pengikut