MENGORBANKAN JAWATAN DEMI PERJUANGAN


Abdullah C.D.
Pada tahun 1948 (sebelum perisytiharan darurat), PKMM mengadakan Kongres Kebangsaan Ke-3 di Singapura. Tanpa diduga dalam kongres itu telah timbul keretakan besar dalam pucuk pimpinan. Di luar jangkaan kami, timbul golongan Ishak Haji Mohamad yang terdiri daripada Ishak sendiri, Ahmad Boestamam dan Taha Kalu (Ketua PKMM Cawangan Singapura, bekas pesara OCPD). Golongan ini tidak suka melihat gabungan tenaga nasionalis dan komunis di dalam pucuk pimpinan PKMM. Oleh itu, dalam kongres kali ini mereka cuba menjatuhkan Dr. Burhanuddin dan menggantikannya dengan Ishak Haji Mohamad. Akan tetapi dalam pemilihan pucuk pimpinan, Dr. Burhanuddin mendapat undi majoriti mutlak, manakala Ishak Haji Muhamad mendapat jumlah undi yang kecil sahaja.

            Masalah ini tidak berhenti setakat itu. Golongan Ishak mengemukakan pula usul mengejut untuk meminda perlembagaan parti dengan mewujudkan jawatan Penasihat Agung dan meminta Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyandang jawatan itu; membatalkan badan politbiro dan menetapkan anggota Jawatankuasa Pusat terdiri daripada lima orang sahaja. Kongres telah menerima usul ini untuk dibahaskan.

            Dalam perbahasan itu, timbullah perdebatan sengit antara penyokong Dr. Burhanuddin Al-Helmy dengan golongan Ishak Haji Muhamad. Shamsiah Fakeh bangun mencabar Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Mohamad dengan meminta mereka menunjukkan keterangan menjadi anggota PKMM. Kerana tidak ada apa-apa keterangan, Ahmad Boestamam meminta maaf. Ketua PKMM Johor, Majid pula bercakap di depan kongres mengugut yang beliau akan menarik diri dari PKMM jikalau usul itu diluluskan. Harun Aminurrashid yang duduk di sebelah saya berbisik ke telinga saya menyatakan, “Ini diktator, parti dikontrol oleh lima orang saja.”

            Apabila kongres berehat sebelah petangnya, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjemput saya ke kediamannya di rumah seorang keluarganya di Singapura. Beliau menyatakan keraguannya akibat perpecahan di dalam pucuk pimpinan itu. Beliau mengatakan yang beliau tidak dapat berbuat apa-apa.

            Saya dan Dr. Burhanuddin merasakan ini satu masalah penting yang harus ditangani dengan cermat dan berhati-hati. Saya ajukan kepada beliau supaya menerima sahaja tuntutan mereka. Kalau tidak PKMM mungkin akan berpecah. Walaupun mereka menguasai pucuk pimpinan parti, namun mereka (golongan Ishak Haji Mohamad) tidak boleh berbuat apa-apa kerana kekuatan pokok parti berada di tangan kami. Contohnya, Melaka ialah kubu kuat Dr. Burhanuddin Al-Helmy; beberapa bahagian PKMM pada peringkat negeri pula adalah kubu kuat saya, seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang; Kamarulzaman Teh mempunyai pengaruh besar di Pahang; Musa Ahmad menguasai gerakan tani; Shamsiah Fakeh menguasai gerakan wanita iaitu AWAS. Ahmad Boestamam sendiri mendapat sokongan dari Selangor, khasnya Ulu Langat, itu pun terbahagi dua, sebahagiannya menyokong saya. Ahmad Boestamam juga mendapat sokongan di Perak. Taha Kalu hanya menguasai PKMM Singapura. Kesatuan Buruh Singapura berada di bawah pengaruh Bizar Ahmad. Oleh itu kami merasakan menerima tuntutan mereka tidak akan mendatangkan apa-apa masalah dan ia lebih baik demi memelihara perpaduan parti.

            Selepas itu, saya menemui kawan-kawan lain khususnya Shamsiah  dan Musa Ahmad meminta mereka bertenang sambil menjelaskan masalah tadi.

            Akhirnya, atas persetujuan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, kongres telah meluluskan usul golongan Ishak Haji Mohamad itu. Dr. Burhanuddin Al-Helmy melepaskan jawatan Ketua PKMM dan menyandang jawatan Penasihat Agung; Ishak Haji Mohamad secara automatik menjadi Ketua PKMM dan Ahmad Boestamam menjadi Naibnya. Saya, Shamsiah, Musa Ahmad, Shamsuddin Salleh, Majid dan lain-lain tidak lagi menjadi anggota Jawatankuasa Pusat.

            Walaupun kami tidak lagi menjadi anggota Jawatankuasa Pusat, akan tetapi kami tetap memainkan peranan masing-masing untuk terus mengembangkan pengaruh dan perjuangan PKMM. Kami sedaya upaya mengenepikan segala perbezaan untuk satu cita-cita murni kemerdekaan ibu pertiwi dan pembebasan rakyat. Dan kerana ini juga krisis besar itu tidak menimbulkan apa-apa pengaruh kepada parti dan perjuangan.

            Kenyataan selepas itu membuktikan bahawa taksiran kami tadi tepat. Walaupun Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak menjadi ketua PKMM, akan tetapi beliau tetap merupakan orang nombor satu, prestijnya amat tinggi dan pengaruhnya besar. Kami dengan teguh mendukung dan menyokong kepimpinan beliau.

            Walau bagaimanapun banyak bahagian PKMM pada peringkat negeri merasa tidak puas hati terhadap golongan Ishak Haji Mohamad. Kawasan Ulu Langat merupakan kubu kuat Ahmad Boestamam. Akan tetapi ketika beliau tiba di Ulu Langat selepas kongres itu, bilangan orang yang menyambutnya boleh dihitung dengan jari sahaja. Lazimnya, sebelum itu, apabila beliau datang, orang ramai akan penuh sesak menyambutnya.

            Tidak lama selepas itu, dalam satu pertemuan terakhir kami (Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan saya) di Kuala Lumpur, Ahmad Boestamam meminta maaf atas kesilapannya di dalam kongres tersebut. Naib Ketua PKMM Singapura, Nawi (nama ini berdasarkan ingatan saya saja) juga menemui saya dan meminta maaf atas masalah yang ditimbulkan dalam kongres itu. Nawi berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan pernah bersama-sama saya menuntut di Clifford School, Kuala Kangsar. Selain itu beberapa kawan lagi (saya sudah tak ingat nama mereka) juga datang meminta maaf.


(Memoir Abdullah C.D.:  Zaman Pergerakan Sehingga 1948)

Categories

Pengikut