PESANAN AIDILFITRI DARI PENGERUSI PSM

PESANAN AIDILFITRI DARI PENGERUSI PSM
Oleh Dr. Nasir Hashim 
 

Terlebih dahulu saya bagi pihak PSM, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Suasana Raya tahun ini diselebungi dengan perasaan sedih apabila kita mengenangkan mangsa trajedi MH 17. PSM mengucupkan takziah kepada ahli keluarga dan saudara-mara mereka.

Hari Raya yang mulia ini agar memberi ribuan makna kepada kehidupan kita yang seterusnya. Umat Islam menempuhi bulan puasa dengan penuh kegembiraan dan ketabahan mengharungi pelbagai cabaran harian. Ada yang mengharap pencerahan spiritual dan ada pula berlumba, bentes membentes menghiasi rumah masing-masing, membeli pakaian baru, membuat kuih-muih dan bersiap sedia untuk balik kampung menemui ibu bapa dan sanak saudara. Ingin menceritakan apa yang sudah berlaku pada tahun yang lalu (mungkin ditokok tambah hendak menyedapkan cerita!!). Ada pula membeli kereta baru, ingin memberitahu bahawasanya mereka sudah berjaya hidup di bandar. Ada yang terlalu terikut-ikut, sanggup berhutang sekeliling pinggang. MasyAllah. Begitulah lumrahnya sebahagian rakyat yang menyambut Hari Raya yang mulia ini.
 
Mereka yang beragama Islam berharap sangat dapat sucikan zahir dan batin. Kerana inilah masanya untuk mengubah (overhaul) ragam hidup, ragam pemakanan dan menilai kembali hubungan sesama insan. Sama ada berjaya atau tidak, wallahualam. Hikmah berpuasa memanglah banyak seperti melawan dan mengawal nafsu, ego, ketagihan terhadap kebendaan dan menegur kita tentang tanggungjawab diri dan kepada masyarakat. Di samping itu memberi peluang kepada sistem-sistem badan untuk rehat seketika dan mengikis segala racun yang sudah bertakung sepanjang tahun. Diharapkan amalan berpuasa menimbulkan kesedaran bahawa kehidupan ini bukanlah mudah. Ramai bertungkus lumus mencari kerja; tidak berupaya kerana kesihatan tidak mengizinkan; kais pagi makan pagi demi mengejar sesuap nasi dan seteguk air untuk keluarga tersayang.
 
Diharapkan sangat agar keinsafan ini bukan timbul hanya pada bulan puasa belaka walhal pahit manis kehidupan ini berlaku sepanjang tahun dan pada setiap tahun.
 
Bukan tidak ada usaha untuk membaiki diri sendiri dan keluarga. Namun dasar-dasar ekonomi dan pembangunan secara terbuka dan halus telah menindas dan memisahkan rakyat (selaku pekerja-pekerja) yang pada hakikatnya menjadi tulang belakang kepada pembangunan dan ekonomi negara. Lantas pengabaian pihak pentadbir mengakibatkan mereka yang kaya menjadi kaya raya dan miskin papa kedana. Kerana ramai sudah mempertuhankan kepada ego, keuntungan dan kedudukan. Dalam rangka Islam, mereka ini telah memperduakan Allah. Suatu dosa yang amat besar, tidak boleh dimaafkan, maka neraka jahanamlah tempat mereka. Jelas bahawa golongan miskin menjadi mangsa kepada sebuah sistem kapitalis yang kejam dan tidak berhati perut.
 
Kita pula mengharap sangat, tidak habis-habis merayu kepada golongan kaya (kapitalis) agar bermurah hati membantu golongan miskin dan mereka yang terpinggir daripada arus pembangunan. Harapan ini tetap hampa kerana sumber keuntungan kapitalis berpunca daripada penindasan terhadap golongan pekerja (rakyat). Melalui media massa dan jaringan pentadbiran, golongan kaya pula bersubahat dan mempengaruhi golongan menengah supaya menghalalkan penindasan, membenci dan menganiayai rakyat miskin seolah-olah mereka ini sampah masyarakat yang harus dikebumikan.
 
Yang kaya lupa bahawa mereka juga diperangkap dan terperangkap dalam putaran jahanam yang menjadikan mereka robot (hilang kemanusiaan) yang mempertuhankan kepada penindasan dan keuntungan. Tetap terperangkap dalam jenayah sistem kapitalis untuk berfoya-foya, menghancurkan hubungan keluarga dan kawan karib, sanggup bunuh membunuh, diri makin terasing, membenamkan nilai-nilai kemanusiaan dan bergelumang dalam kancah penghinaan di mana mereka berkejaran menindas dan merebut keuntungan, menjadi candu kepada kehidupan mereka (profit is the god and the opium of the capitalists).
 
Namun kita masih tidak tahu bagaimana zakat diagihkan. Pungutan zakat (yang mampu mengurangkan bebanan rakyat miskin) semenjak merdeka sudah berjumlah berbilion-bilion ringgit dan jika diagihkan dengan tulus dan saksama, tidaklah kita saksikan betapa ramai lagi rakyat yang miskin dan papa kedana pada kini hari dan tidak pula mudah terjebak dalam dunia jenayah.
 
Pada rakan-rakan selain Islam, mereka juga sucikan diri dalam pelbagai cara seperti merenungi kehidupan ini berbentuk pengalaman, bertafakur tentang peristiwa yang menyentuh perasaan dan penyaksian terhadap hubungan antara insan dan juga hubungannya dengan alam.
 
Tidak juga kita lupakan tentang mereka yang terkorban dalam konflik yang melibatkan pertembungan kuasa besar untuk menguasai kepentingan politik ekonomi seperti rakyat Palestin yang masih dizalimi oleh rejim zionis Israel. Serangan ke atas Gaza baru-baru ini menunjukkan sekali lagi kegilaan tirani zionis dalam menindas rakyat Palestin. Sokongan solidariti amat penting untuk rakyat Palestin meneruskan perjuangan mereka dalam menentang kezaliman, menegakkan keadilan dan mewujudkan keamanan yang berkekalan. Kita juga tidak lupa tentang mangsa korban dalam tragedi pesawat MH17 baru-baru ini, di mana kita perlu pastikan mereka yang meninggal itu boleh dapat keadilan pada akhirnya.
 
Justeru biarlah setiap tahun baru menjadi iktibar untuk kita mengukuhkan lagi tanggungjawab dan keazaman membela mangsa-mangsa penindasan dan biarlah setiap tahun kita memperkasakan mereka dengan ilmu, analisis, tindakan yang jitu dan secara kritis merenungi nilai dan ragam kehidupan ini.
 
Semoga kita berjaya menghadapi cabaran ini. Salam perjuangan.
 

Categories

Pengikut