PEMBENTUKAN MASYARAKAT BERBILANG BANGSA DAN KEMUNCULAN KELAS BURUH MALAYA

 Semenanjung Tanah Melayu

Pembentukan Masyarakat Berbilang Bangsa
 dan Kemunculan Kelas Buruh Malaya

Oleh  Cuan

Pembentukan Masyarakat Berbilang Bangsa
Malaya (kini Malaysia) terletak di sisi khatulistiwa, merupakan hub Asia Tenggara, menguasai laluan air selat Melaka, merupakan persimpangan laluan air antara Timur dan Barat. Selama dua ribu tahun ini terus menjadi laluan penting perdagangan. Oleh itu ia juga merupakan tempat percantuman umat berbilang bangsa. Ia juga pernah menjadi hub tumpuan pelbagai budaya dan agama seperti Buddha, Hindu dan Islam. Berkumpulnya aspek-aspek perdagangan, kebudayaan, agama dan sebagainya memberi impak amat mendalam kepada masyarakat Malaya amnya dan kepada aspek kemajuan tamadun khasnya.
Semenanjung bumi Malaya telah merdeka pada 31 Ogos 1957. Kemudian, untuk menyelesaikan per-juangan rakyat Kalimantan Utara menuntut kemerdekaan, penjajah British telah mencantumkannya ke dalam Malaysia pada 16 September 1963, Pencatuman itu dinyatakan dengan perkataan yang muluk-muluk kononnya Sarawak dan Sabah mencapai kemerdekaan menerusi percantuman dengan Malaysia, namun hakikatnya ditadbir oleh proksi pupukannya di Malaya, supaya kepentingan ekonomi, politik, ketenteraan dan sebagainya di Kalimatan Utara itu dilanjutkan.
Kini, walaupun hanya sedikit saja perbezaan dalam aspek budaya dan bahasa antara Malaysia dengan lain-lain negeri dalam Kepulauan Melayu, tetapi atas sebab pengaruh kuasa pemerintahan penjajah yang berlainan, Kepulauan Melayu telah terbahagi kepada negara-negara berdaulat yang berlainan, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Burnai dan Timur Leste. 
Sebelum menyentuh masyarakat berbilang bangsa, ringkasan sejarah pembentukan Malaysia perlulah dibentangkan terlebih dulu. Proses pembentukan Malaysia terbahagi secara kasar kepada 4 tahap:
Tahap pertama: Pengaruh  budaya Hindu. Agama Hindu, budaya dan agama Buddha dari India telah mendominasi sejarah Malaya zaman awal. Dari abad ke-7 hingga ke abad ke-14, budaya Sri Wijaya di selatan Sumatera telah meningkat ke puncaknya, pengaruhnya meluas kepada seluruh Sumatera, Jawa, Semenanjung Malaya dan bahagian terbesar Borneo.
Tahap kedua: Kemakmuran Budaya Islam. Jauh pada abad ke-10 lagi Islam telah bersebar di Malaya, namun sehingga ke abad ke-14 dan ke-15 barulah Islam meletakkan asas yang mantap di Semenanjung Malaya tidak lama selepas kemusnahan Sri Wijaya. Rantau ini berpecahbelah menjadi banyak kesultanan yang berasaskan Islam, antara lain yang terkenal ialah kesultanan Melaka. Budaya Islam telah memberi pengaruh mendalam kepada orang Melayu, dan sementara itu ia juga dipengaruhi oleh orang Melayu.
Tahap ketiga pencerobohan kuasa penjajah Eropah. Portugal menduduki Melaka pada tahun 1511, merupakan bangsa  Eropah yang pertama menjajah Malaya, seterusnya diikuti oleh Belanda. Bagi pihak penjajah Inggeris pula, ia terlebih dulu mendirkani pangkalan di Api-Api, Kucing, Pulau Pinang dan Singapura, dan akhirnya ia berjaya membentuk penjajahan di Malaya (kini Malaysia). Persetujuan Britain dan Belanda 1824 telah menetapkan sempadan antara Malaya British dan Kepulauan Hindia Timur Belanda (kini Indonesia).
Tahap keempat: Kemasukan imigran baru. Penjajah membawa masuk sejumlah besar buruh Cina dan buruh India untuk memenuhi keperluan ekonomi tanah jajahannya di Malaya dan Borneo. Penjajah membawa masuk sejumlah besar buruh kontrak dari selatan China ke Semenanjung bumi Malaya untuk bekerja melombong dan meneroka estet; di India, penjajah juga memobilisasi keseluruhan penghuni kampung,  sekampung demi sekampung supaya berimigrasi ke Semenanjung bumi Malaya untuk meneroka estet, membina jalan raya dan landasan kereta api.
Demikianlah terbentuknya masyarakat berbilang bangsa di Malaya yang terdiri daripada tiga bangsa utama Melayu, Cina, India ditambah lagi Orang Asal/Orang Asli dan Serani. Manakala di Malaysia Timur (yang disebut juga Kalimantan Utara), bahagian Sarawak terbentuk menjadi masyarakat yang terdiri dari Iban, Melayu dan lain-lain etnik minoriti; manakala Sabah adalah masyarakat yang terdiri dari Kadazan, Cina, Melayu dan lain-lain etnik minoriti. 

Pertambahan Jumlah Penduduk Semua Bangsa
Perkadaran jumlah penduduk semua bangsa di Malaysia, selepas perang dunia kedua, Malaya yang pada umumnya dirujuk kepada Semenanjung dan Singapura, orang Cina paling banyak, merupakan 40 peratus lebih daripada jumlah penduduk, ditambah dengan orang India, melampaui separuh jumlah penduduk, orang Melayu juga merupakan 40 peratus daripada jumlah penduduk, namun setelah Tunku Abdul Rahman menyingkir Singapura dari Malaysia, Melayu telah menjadi bangsa yang paling banyak penduduknya mengatasi bilangan penduduk Cina.
Setelah peristiwa 13 Mei 1969, dengan tujuan mengekalkan kekuasaannya, UMNO yang mendominasi kerajaan telah memansuhkan fungsi parlimen, menubuhkan MAGERAN untuk menggantikan fungsi kerajaan, dan telah mengumumkan akta atau undang-undang sebanyak lebih seratus, malahan membentuk satu pasukan petugas rahsia, bertindak sewenang-wenangnya memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan syarat mesti mengundi UMNO (Hal ini telah didedahkan oleh Anwar ketika memberi bukti di mahkamah Inquiry). Setelah perbuatan itu, perkadaran jumlah penduduk antara semua bangsa negara ini telah timbul perubahan tidak normal. Jumlah penduduk Melayu bertambah secara tidak normal, khususnya di Sabah, jumlahnya dari tangga ketiga selama belasan tahun tiba-tiba melonjak ke tangga pertama. Di Sabah, bilangan pandatang asing yang mendapat kewarganegaraan telah mengatasi seluruh penduduk yang asal, ini telah membolehkan UMNO tetap mencengkam kekuasaan politik. Dalam seluruh Malaysia, PATI yang diputihkan itu majoriti terbesarnya adalah muslim, dan sangat cepat telah mendapat kewarganegaraan, menambah bilangan orang Melayu. Banyaknya bilangan PATI yang terlibat seperti itu dibilang dengan jutaan. Anasir-anasir perkauman itu dengan ghairah menghasut perkaumann, pada lahirnya untuk kepentingan bangsa mereka, tapi hakikatnya adalah untuk menarik undi, dan untuk ini, mereka sanggup menggadaikan kepentingan negara dan kewarganegaraan.

Kesemuanya Adalah Pendatang, Bangsa Pembina Negara dan Kesamarataan
Berdasarkan konsep negara bertaulat kontemporari, kesemuanya adalah pendatang. Buat kesekian lama ini UMNO menamakan dirinya “bumiputera”, tetapi hakikatnya satu-satunya bumiputera sejati adalah Orang Asli (iaitu Orang Asal di Malaysia Timur dan Malaysia Barat, Orang Kadazan di Sabah dan Orang Iban di Sarawak, dan sebagainya). Orang Melayu adalah  satu koloni insan yang paling awal bermastautin di kepulauan Melayu. Jauh pada ribuan tahun sebelum Masihi ia telah berhijrah ke wilayah ini dan menginovasi tamadun. Manakala kebanyakan orang Cina, India dan sebagainya walaupun berhijrah ke mari kemudian dari Melayu, bagaimanapun sama-sama semuanya adalah bangsa pembina negara, masing-masing memberi sumbangan besar kepada kemerdekaan serta pembagunan negara kita, dan status kesemuanya adalah sama rata.
Rasialis UMNO sering menjerit-pekik menyuruh agar orang lain menyingkirkan diri mereka dari Ma-laysia, seolah-olahnya ini adalah tanah milik mereka, tetapi hakikatnya mereka adalah keturunan pendatang juga. Umpamanya cuba lihat darah apakah yang beralir dalam tubuh badan golongan pemimpin UMNO itu. Pertama, Tun Mahathir, telah didedahkan oleh Tunku Abdul Rahman bahawa Mahathir adalah Melayu tiga suku, datuk kepada Mahathir adalah orang Kerala, selatan India, bapanya setengah orang India. Lee Kuan Yew mengatakan Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar adalah keturunan Arab, lahir di Indonesia, bermastautin di Malaysia cuma beberapa tahun sahaja. Dan Tunku Abdul Rahman pula, nenek moyangnya berasal dari Thailand  dan sebagainya.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011, antara pemimpin-pemimpin UMNO itu saling mencemuh dan berseloroh mendedahkan latar belakang yang tidak baik masing-masing. Dalam ucapan Presiden,  Datuk Seri Najib Razak. secara berseloroh mengatakan Muhyudin, Hishammuddin Hussein dan Safie masing-masing adalah orang Jawa, Turki dan lanun (Bajayu, Sabah). Gambaran ini dialihkan kepada pertunjukan telatah mereka yang menghunus dan menjulang keris dan menjerit-pekik “Hidup Melayu” itu, terdedahlah wajah hodoh mereka di hadapan umum. Tujuan mereka gertak-gerantung dengan menonjolkan perkauman itu tidak lain dan tidak bukan hanya demi kepentingan diri sendiri sahaja.
Cemuhan dan seloroh mereka itu bagaimanapun telah membayangkan satu hakikat bahawa kesemua bangsa utama Malaysia datang dari rantau sekitar negara ini dan kesemuanya sama rata. Malaysia negara berbilang bangsa dan berbilang budaya. Hanya dengan melaksanakan dasar perpaduan berbilang bangsa barulah boleh mendapat sokongan rakyat semua bangsa.
Seyogia, wujudnya masyarakat yang berbilang bangsa dan budaya seharusnya dilihat sebagai suatu hakikat bahawa kepelbagaian itu sebenarnya suatu fitrah dari kurniaan dari Sang Pencipta menurut konsep Islam. Khazanah kepelbagaian budaya dari yang utamanya iaitu budaya-budaya  Melayu – Islam, Cina dan India ini merangkumi inti pati tamadun agung yang paling lama sejarahnya di dunia ini. Ini satu ciri keunggulan yang tidak terdapat pada banyak negara lain. Jika ianya dimanfaatkan, sudah tentu kita akan lebih mudah mengambil atau menerima nilai-nilai dan produk budaya, tamadun, sains teknologi dan sebagainya yang canggih dari China, India, negera-negera Arab dan juga dari Barat, supaya negara dan rakyat kita lebih maju makmur dan bahagia.
 
Padah Pelaksanaan Dasar Perkauman
Padah pelaksanaan dasar perkauman UMNO: Laporan media menunjukkan bahawa dalam masa 30 tahun ini, lebih kurang sejuta orang profesional telah berhijrah ke luar negeri. Lim Kit Siang juga me-nunjukkan jumlah orang profesional berhijrah yang sama. Di samping itu, Bendahari PKR menunjukkan bahawa pendapatan perkapita Malaysia pada 1970 hampir sama dengan Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Tetapi selepas 40 tahun, kini pendapatan per kapital Singapura telah lebih empat kali ganda daripada Malaysia, Korea Selatan lebih tiga kali ganda daripada Malaysia. Ditunjukkannya bahawa Dasar Ekonomi Baru itulah punca orang profesional berhijrah ke luar negeri, punca kehilangan daya persaingan negara, ketidakcekapan tadbir-urus yang melibatkan rasuah dan korupsi. 

Kemunculan dan Perkembangan Kelas Buruh
Dalam masa masyarakat feudal dahulu, ekonominya mencukupi keperluan sendiri. Setelah diceroboh dan diduduki satu demi satu kuasa penjajah, kekuatan kapitalisme asing telah memusnahkan kuasa politik kerajaan feudal Melayu, malahan juga telah mempercepatkan kemerosotan ekonomi semula jadi dan pengusaha kecil; dan juga telah mempercepatkan perkembangan modal asing dan ekonomi komoditi.
Pencerobohan kapitalisme asing amnya, dan pemerintahan penjajah British ke atas Penempatan Selat dan selanjutnya merampas keseluruhan Malaya khasnya, telah mengubah masyarakat negara kita menjadi masyarakat kolonial dan separuh feudal. Dari penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20, telah timbul dua perubahan besar di Malaya, iaitu kemunculan kelas buruh dan terbentuknya masyarakat berbilang bangsa. Pembinaan jalan raya, landasan kereta api, pelabuhan dan bangunan-bangunan, serta operasi estet dan lombong milik kapitalis penjajah memerlukan sebilangan besar buruh. Bilangan buruh amat besar telah dibawa masuk oleh penjajah British dari Cina dan India, mereka tinggal menetap di sini dan lama kelamaan terbentuklah kelas buruh. Jadi, terbentuknya kelas buruh Malaya sedikit berlainan dengan negara-negara Asia yang lain, iaitu bukan terbentuk dari kaum tani Melayu dalam masyarakat feudal, tetapi terbentuk dari kelompok buruh yang dibawa oleh Inggeris dari China dan India. Inilah sebabnya kenapa pergerakan buruh dan parti kelas buruh berkembang terlebih dahulu di kalangan orang Cina dan orang India.

Menentang Pencerobohan Asing Didahului Oleh Tani Melayu, Kemudian Diikuti Orang Cina yang Utamanya Buruh
Dalam sejarah negara ini, pada sebelum kelas buruh muncul, tani Melayu dan bangsawan patriotik pernah melancarkan perjuangan terus-menerus menentang pencerobohan dan penindasan penjajah Barat. Setelah kelas buruh muncul dan berkembang, kelas buruh yang berteraskan massa Cina dan India telah menjadi kekuatan pelopor menentang pencerobohan fasis Jepun dan penjajahan British.

Dasar Pecah dan Perintah Orang Inggeris
   Cara-cara itu secara ekonominya orang Inggeris memperoleh buruh murahan; secara politiknya dengan memelihara sebahagian sistem feudal dan mengekalkan Sultan sebagai simbol pemerintahan, orang Inggeris boleh mengawal ketidakpuasan dan penentangan orang Melayu. Penjajah membiarkan buruh di dalam perusahaan dan membiarkan tani menetap di daerah desa itu adalah melaksanakan dasar pecah dan perintah. Menurut statistik rasmi, pada tahun 1931, buruh dalam estet dan lombong berjumlah 436,573 orang, antara lain buruh Melayu hanya 14.4%, iaitu 62,937 orang sahaja.

Perubahan Baru Kelas Buruh Selepas Merdeka
Selepas merdeka, struktur kelas buruh telah membentuk perubahan baru. Kumpulan berkuasa, konsor-tium dan syarikat multinasional mengusahakan pelbagai perusahaan mega untuk memperhebat penjarahan kekayaan negara, berikutan dengan perkembangan itu kelas buruh telah bertambah besar; bilangan buruh/pekerja Melayu juga bertambah dengan pesatnya selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Menurut banci tahun 1980 yang dimuat dalam perut akhbar Barita Harian pada 18 Mei 1983, bilangan buruh Malaysia 1980 telah meningkat kepada 3.79 juta, antara lain Melayu 54%, Cina 35%, India 11%. Fakta ini telah menunjukkan bahawa melalui perjalanan sejarah seabad lebih ini amnya dan setelah merdeka khasnya, sebilangan besar tani Melayu telah bekerja di dalam perusahaan, menceburkan diri    ke dalam barisan kelas buruh. Perubahan ini mempunyai makna sangat mendalam kepada pembaharuan ma-syarakat negara kita.

Generasi Muda Menjadi Pelopor Pembaharuan
Setelah merdeka, seiring dengan perubahan masyarakat dan bertambah besarnya barisan kelas buruh, serta kemunculan barisan intelektual yang amat banyak, maka mulai dari dekad 1970-an, di dalam pergerakan pembaharuan masyarakat, intelektual dan generasi muda Melayu telah menjadi tulang belakang di dalam arus raksasa perjuangan. Memasuki zaman IT abad ke-21, seiring dengan perkembangan baru teknologi komunikasi, media portal semakin popular dari hari ke hari, generasi internet yang baru muncul kian hari kian memainkan peranan penting di dalam pergerakan pembaharuan masyarakat. Beberapa tahun kebelakangan ini, massa pelbagai kalangan Melayu, Cina, India dan lain-lain telah melancarkan perjuangan demi perjuangan menentang tindak tanduk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme, ketidakadilan dan penipuan pilihan raya, pencemaran alam sekitar, diskrimisai kaum, dasar unitarianisme dan dasar perkauman; memperjuangkan demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan hak kelangsungan hidup atau survival. Pergerakan dan perjuangan itu telah dengan hebat melanda golongan berkuasa yang rasuah dan melaksanakan dasar perkauman, dan di dalam pilihan raya umum telah menggoncangkan asas pemerintahan mereka selama lebih setengah abad, dan telah menimbulkan  situasi baru yang belum ada pada sebelumnya dalam pergerakan pembaharuan masyarakat.
Meninjau kembali masa silam, para pendahulu dengan rela menumpahkan darah dan menyumbangkan masa muda mereka demi kemerdekaan negara dan pembebasan nasional, mereka tidak mengecewakan harapan zamannya. Melayangkan pandangan ke masa hadapan, kita penuh yakin bahawa generasi baru pasti akan sanggup berdepan dengan megatrend arus globalisasi, pengintegrasian rantau dan gelombang pembaharuan besar masyarakat negara kita, akan dapat merejah suatu jalan yang sesuai dengan keadaan negara, dan membimbing rakyat semua bangsa maju menghala ke hari depan yang demokrasi, bebas, adil dan berbahagia.

dipetik dari Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, Bilangan 30, Disember 2013



Categories

Pengikut