UCAPAN KAWAN INDRADJAYA DI MAJLIS MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10


SEMPENA MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10




Bapak Abdullah C.D., Pengerusi Parti Komunis Malaya dan satu-satunya pengasas Rejimen Ke-10 yang masih ada, yang dihormati dan dikasihi,

Kawan Indradjaya sedang menyampaikan ucapan
Para pegawai dari Pejabat Daerah Sukhirin yang dihormati,

Pegawai Penghubung dari pihak tentera yang dihormati,

Para tetamu dari Malaysia yang dihormati,

Kawan-kawan dan saudara-saudari yang dihormati,

Salam mualaikum warahmatullahi wabarahkatuh,

A.D.O. Sukhirin
Pada 21 Mei 65 tahun yang lampau, di satu tempat yang bernama Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang telah dilangsungkan satu upacara yang ringkas tapi khikmat, iaitu upacara penubuhan Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM). Kita sebut upacara itu ringkas tapi khikmat kerana ia hanya disertai oleh 17 orang anggota asas Rejimen Ke-10, tapi ia mempunyai erti yang amat besar.

Semenjak hari itu, walaupun menghadapi seribu satu kesulitan, seperti sangat kekurangan senjata, kewangan, bahan makanan dan kelengkapan tentera lainnya, tiada pengalaman bertempur dan kader-kader yang berpengalaman, terpaksa menghadapi berbagai serangan dan kepungan bertubi-tubi daripada pihak kaum penjajah semenjak ia ditubuhkan, akan tetapi, Rejimen Ke-10 terus-menerus berkembang membesar dalam kancah perang. Platun demi platun berturut-turut didirikan, demikian juga kompeni demi kompeni. Rejimen Ke-10 mungkin pernah rebah dan luka, tapi Rejimen Ke-10 tidak dapat dibasmi.
Leftenan wakil Unit Penghubung tentera Thai


Rejimen Ke-10 didirikan setelah 11 bulan Undang-Undang Darurat dikuatkuasa oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948. Setelah melakukan persiapan politik dan militer yang rapi selama 3 tahun, penjajah British akhirnya telah mengambil keputusan untuk menghayunkan pisau bantainya membasmi kekuatan patriotik-demokratik yang semakin membesar di bumi Malaya dengan mengisytiharkan Undang-Undang Darurat di kawasan-kawasan tertentu pada 18 Jun kemudian memperluaskannya pula ke seluruh negara termasuk Singapura 6 hari kemudiannya iaitu pada 24 Jun tahun 1948. Teror putih mengelubungi bumi Malaya termasuk Singapura.

wakil rakan2 dari Malaysia saudara Anas Abd. Jalil
Di bawah Undang-Undang Darurat itu, semua parti dan pertubuhan yang progresif dan kiri termasuk PKM, PKMM dan sebagainya telah diharamkan. UMNO yang menjadi pengikut setia dasar kaum penjajah adalah satu-satunya parti politik yang dibenarkan hidup. Di bawah Undang-Undang Darurat itu, beribu-ribu tokoh patriot-demokrat telah dijebloskan ke dalam penjara, bahkan sesetengahnya telah dijatuhkan hukuman mati. Hampir semua tokoh-tokoh patriot-demokrat Melayu telah ditangkap dan dijebloskan ke dalam penjara, antaranya termasuklah tokoh-tokoh Melayu yang amat terkenal pada masa itu seperti Dr. Burhanudin al-Helmy, Ahmad Bostamam, Rashid Maidin dan lain-lain. Kamarulzaman Teh dijatuhkan hukuman mati. Abdullah C.D. juga ditangkap tapi beliau berjaya melepaskan tangannya dari gari musuh lalu melarikan diri. Di bawah Undang-Undang Darurat itu, berpuluh-puluh ribu rakyat Malaya keturunan Tionghua dan India telah diusir secara paksa oleh kaum penjajah British ke negeri asal mereka, walaupun mereka itu sebenarnya telahpun menganggap Malaya sebagai tanahair mereka dan mereka telah memberikan sumbangan-sumbangan yang amat berharga dan kekal abadi kepada tanah bertuah ini.

Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya yang dari komander sampai ke perajurit-perajuritnya semua terdiri daripada bangsa Melayu ditubuhkan demi misi besar mengusir kaum penjajah British. Ia adalah kesinambungan yang tidak dapat diputuskan apalagi dinafikan daripada perjuangan-perjuangan anti penjajah bangsa Melayu kita sejak kaum penjajah menguasai wilayah bumi ini sejak 503 tahun yang lalu iaitu semenjak tahun 1511. Bahkan perjuangan anti penjajah yang dilancarkan oleh Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya pimpinan Parti Komunis Malaya ini dilancarkan pada tahap dan kesedaran yang lebih tinggi, iaitu dengan cita-cita luhur dan suci mengusir kaum penjajah daripada bumi Malaya dan menbina satu negara yang lebih indah, lebih maju, lebih adil dan lebih demokrasi. 
Sekian. 
Wassalam.

Categories

Pengikut