KAWAN DOLLAH PAHLAWAN CILIK REJIMEN KE-10


SEMPENA MEMPERINGATI 65 TAHUN REJIMEN KE-10

Di mana ada perjuangan di situlah ada pengorbanan. Dalam perjuangan untuk menghalau penjajah Inggeris demi kemerdekaan tanah air, tak terhetong banyaknya para pahlawan telah menumpahkan darah. Salah satu di antara mereka ialah pahlawan cilik berasal dari Kampung Tanjung Batu Temerloh, Pahang. Beliau ialah Kawan Dollah. Untuk mengenangi pahlawan kecil ini, Bapa Abdullah C.D. telah mengabadikan kisah heroik Kawan Dollah dalam Memoir Bahagian Kedua beliau PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10. Berikut adalah salinan dari tulisan tersebut. (Gambar kiri bukan Kawan Dollah tapi seorang perajurit kecil Rejimen Ke-10)



Pahlawan Dollah -
Perajurit Kecil yang Tak Takut Mati

Menyebut kisah Kampung Tanjung Batu, saya tak lupa kisah Dollah. Di bawah ini saya catatkan sedikit kisah pahlawan kecil tersebut.

Kampung Tanjung Batu, Daerah Temerloh, adalah antara basis kukuh Rejimen Ke-10. Massa di sini tinggi kesedaran nasionalnya. Dalam masa aman selepas kekalahan Jepun, mereka giat menceburkan diri ke dalam berbagai organisasi patriotik-demokratik seperti PKMM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain. Bagi kanak-kanak juga didirikan Barisan Pelopor Kanak-Kanak yang dianggotai oleh kanak-kanak berusia antara 9 hingga belasan tahun. Mereka menjalankan bermacam-macam tugas membantu perjuangan untuk kemerdekaan.

Apabila diisytiharkannya Undang-Undang Darurat, sejumlah massa di sini telah memanggul senjata menyertai pasukan gerila anti-British, yang tidak masuk hutan pula menyertai pasukan lasykar rakyat dan menyokong pasukan gerila. Sebuah pasukan gerila iaitu Platun 2, Rejimen Ke-10 bergerak di Kampung Tanjung Batu dan kampung-kampung di sekitarnya.

Sejumlah anggota Barisan Pelopor Kanak-Kanak atau Tentera Semut di bawah pimpinan Dollah dibentuk di kampung tersebut. Mereka membuat kerja-kerja mengawal kampung, mengawasi gerak geri musuh, menyampaikan maklumat, membuat kerja-kerja hubungan utusan dan lain-lain.

Walaupun umurnya masih kecil, tapi semangat bencikan penjajah British istimewa mendalam dijiwa Dollah. Dia bercita-cita untuk menjadi perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Akan tetapi kerana umurnya masih kecil, dia dinasihatkan supaya buat kerja di kampung dulu. Setiap kali bertemu dengan pasukan gerila, dia mengajukan permintaannya itu. Walau bagaimana pun, Dollah mengajukan 2 tuntutan iaitu pertama, apabila dia besar kelak, mestilah menerimanya menjadi perajurit Tentera Pembebasan Nasional dan kedua, sekiranya dia terkorban mestilah menerimanya sebagai Perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

Pada bulan Mac 1949, musuh telah memasuki kampung untuk menangkap dan mengugut orang ramai. Komander memberikan Dollah sebiji bom tangan untuk dilemparkan ke atas musuh. Akan tetapi ketika dia hendak membuang bom itu keadaannya telah berubah. Musuh telah bercampur gaul dengan orang ramai. Dalam saat genting ini Dollah memikir bahaya kepada massa jika bom itu dibuang. Lalu dia berpatah balik mendapatkan pasukan yang sedang bersembunyi di belukar. Musuh yang mencurigai gerak geri Dollah terus mengejarnya. Pasukan Tentera Pembebasan segera melepaskan tembakan hebat ke atas musuh. Musuh lari balik mendapatkan motobot. Manakala Dollah pula memimpin pasukan Tentera Semut bersama lasykar rakyat mengejar musuh untuk membantu Tentera Pembebasan. Sejumlah besar musuh telah terbasmi.

Atas tuntutan Dollah, ibunya seorang aktivis gerakan wanita telah menjahitkan sepasang pakaian seragam Tentera Pembebasan iaitu sepasang baju tentera berwarna hijau, sebuah topi berbucu lima dengan sebiji bintang merah di depannya serta sepasang patis.

Pada 12 Mei 1949, Platun 2 dikerahkan ke kampung tersebut untuk mengadakan perhimpunan massa. Dollah datang menyambut mereka dengan pakaian seragam Tentera Pembebasan. Dengan penuh bangga, beliau berkata: "Lihatlah kawan sekalian, alangkah perkasanya, alangkah mulianya seorang perajurit Tentera Pembebasan!" Katanya, "Kemuliaan ini bukan semata-mata kerana mengenakan pakaian seragam, melainkan kerana semangat revolusioner yang bertempur dengan gagah berani". Kawan-kawan Tentera Pembebasan memberikan tepukan yang hangat kepadanya.

Pada hari tersebut juga Dollah telah ditugaskan berkawal di penghujung kampung. Dengan menggenggam kejat-kejat senapang kulai berlaras dua dia berdiri tegak di atas sebuah busut. Kira-kira setengah jam kemudian, beberapa orang askar orang putih datang dari arah rusuk. Apabila melihat Dollah berpakaian Tentera Pembebasan, musuh cuba menangkapnya hidup-hidup. Dollah mengetahui musuh sudah mendekatinya. Dollah mengangkat senapang lalu berkata: "Hantu orang putih, saya akan basmi kalian semua" sambil melepaskan tembakan. 2 orang askar orang putih yang berjalan di depan segera tumbang. Seiring itu musuh telah melepaskan tembakan gencar ke arah Dollah. Beliau gugur sebagai pahlawan. Ketika itu beliau baru berusia 14 tahun.

Seluruh kawan bersedih kerana pengorbanannya. Setelah berdirinya Rejimen Ke-10 tak lama selepas peristiwa itu, saya atas nama Markas Besar Rejimen Ke-10 mengesahkan beliau sebagai Perajurit Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan menganugerahkannya gelaran Pahlawan untuk menunaikan hasratnya ketika hidup. Darah pahlawan telah membasahi pertiwi, demi kemerdekaan dan pembebasan negara dan rakyat.

Sebuah lagu telah dicipta untuk mengenangi Pahlawan Dollah, seni katanya sebagai berikut:

Kawan Dollah -Pahlawan Muda
Yang Tak Mengenal Mati

Kawan Dollah berusia empat belas,
Punya cita-cita besar,
Kerana usia terlalu muda,
Tak disahkan masuk tentera.
Kawan Dollah setia pada parti,
Ikut parti jalankan perintah,
Kalau korban minta disahkan,
Masuk Tentera Pembebasan mulia.

Menyusun tentera semut kampung,
Bawa kanak-kanak revolusioner,
Punggah barang mengawasi musuh,
Ikut bertempur membasmi musuh.

Masuk kampung membawa tugas,
Nak lempar bom membasmi musuh,
Sayang keadaan telah berubah,
Segera laporkan kepada kawan.

Musuh sedar segera mengejar,
Dollah membawa masuk perangkap,
Kesempatan basmi musuh tiba,
Perajurit kita yang perkasa.

Pakai uniform tentera perwira,
Topi berbintang merah bersinar,
Senapang kulai kejat ditangan,
Tegak berkawal di pinggir kampung.

Orang Putih tiba dari rusuk,
Dollah tenang mengangkat senjata,
Bertekad bulat lantang berteriak:
"Saya akan hapuskan kalian".

Petik treger senapang gemuruh,
Segera tumbang dua orang musuh,
Musuh menembak secara gila,
Pahlawan gugur jasa abadi.

Dollah sumbangkan keremajaannya,
Kawan dan pimpinan bersemadi,
Rasmikan Dollah jadi perajurit,
Semangat sateria kekal abadi.


1 ulasan:

Mohon Laluan Tuan Untuk Kenyataan Media Pembela berkenaan sikap tidak sensitif sesetengah pihak terhadap agama Persekutuan

http://www.bangkit.info/2014/05/kenyataan-media-pembela-berkenaan-sikap_24.html

Terima kasih atas ruang kebenaran.

Reply

Categories

Pengikut