ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (5)

Pembentukan PMFTU

Abdullah C.D. tahun 1950
Kira-kira awal tahun 1946 iaitu tidak lama setelah saya menjadi Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor, pihak organisasi PKM meminta saya pergi ke Singapura untuk satu urusan penting. Saya diharuskan menunggu di pejabat buruh Singapura. Apa tugas penting itu tidak pula diterangkan secara jelas.

Di pejabat buruh itu saya bertemu dengan Bizar Ahmad, dia sedang sibuk menyusun kaum buruh Melayu. Dalam pertemuan itu dia menyebutkan bahawa gerakan buruh Melayu agak lambat dan susah dibangkitkan berbanding buruh kaum lain. Saya terangkan kepadanya bahawa masa itu penjajah British telah mendahului kita dengan menubuhkan kesatuan buruh kuning di kalangan buruh-buruh Melayu, manakala buruh Tionghua dan India sudah ada organisasinya yang kukuh. Saya memberitahunya, pada peringkat ini dia harus berusaha menyedarkan mereka supaya menjadi ahli kesatuan buruh yang progresif. Masa itu Bizar belum mengetahui saya adalah Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor.

Dalam saya dan Bizar berbual-bual di pejabat itu, tibalah Chen Lu, Ganapathy, Lan Zui dan seorang penterjemah yang dikenali dengan nama AhYong. Chen Lu memberitahu bahawa saya harus menganggotai rombongan mereka bertolak ke Johor Bahru untuk mengadakan satu persidangan penting.

Apabila tiba di Johor Bahru, kami menuju ke sebuah bangunan dua tingkat. Di tingkat atas bangunan itu adalah pejabat Persatuan Bekas Perajurit TAJRM. Di tingkat atas inilah kami mengadakan mesyuarat.

Chen Lu sebagai Setiausaha Agung GLU membuat laporan yang panjang lebar tentang gerakan buruh Malaya dan perjuangannya melawan penindasan kelas kapitalis.

Antaranya beliau menyampaikan laporan pemberontakan buruh pada tahun 1935. Mengikut beliau, kira-kira lima ribu orang buruh lombong batu arang di Batu Arang, Selangor (satu-satunya lombong arang batu di Malaya ketika itu) mengadakan pemberontakan dengan bersenjatakan alat-alat kerja dan menubuhkan kesatuan buruh ala Soviet Rusia dengan mengibarkan bendera merah. Para buruh telah menguasai pejabat perlombongan dan kawasan sekitarnya selama kira-kira seminggu.

Beliau menyebutkan juga bahawa di Perak telah ditubuhkan Kesatuan Buruh Lombong dengan nama yang berdaftar iaitu Kesatuan Saling Membantu Buruh Bijih Timah Daerah Kinta dengan anggotanya berjumlah kira-kira dua puluh ribu orang. Selain daripada itu disebutkan juga kesatuan-kesatuan buruh yang lain seperti Buruh Binaan, Jabatan Pelabuhan dan Traction Company di Singapura; buruh ladang nenas dan ladang getah di Johor Bahru; buruh ladang getah di Bahau, Negeri Sembilan; buruh lombong emas di Raub, Pahang; buruh lombong bijih besi di Dungun, Terengganu; buruh lombong timah di Sungai Besi, buruh ladang getah di Kajang, Selangor; buruh Pelabuhan Pulau Pinang dan lain-lain.

Berkenaan buruh India beliau memberitahu bahawa pada tahun 1939 Parti Komunis India telah menghantar seorang kadernya R.H. Nathan untuk menyusun kaum buruh India. Beliau bersama U.K. Menon telah menubuhkan Kesatuan Sekerja India Pelabuhan Kelang, Kuala Langat, Kajang dan lain-lain. Di samping itu, mereka banyak memimpin perjuangan buruh India untuk perbaikan upah dan layanan kerja. Pada bulan Mac 1941, Persatuan India Kajang memimpin kaum buruh di lapan buah estet melancarkan perjuangan besar-besaran yang disertai oleh dua puluh ribu orang. R.H. Nathan selaku wakil buruh telah mengajukan tuntutan 12 fasal berkenaan politik, ekonomi, kebudayaan dan kedudukan buruh India kepada pihak majikan. Pelbagai organisasi buruh dan organisasi PKM telah menyatakan simpati dan menyokong perjuangan buruh India itu.

Akan tetapi penjajah British telah bertindak balas dengan cara yang kejam. Empat orang buruh ditembak mati oleh tentera British, 360 orang lagi ditangkap. Nathan dan beberapa orang pemimpin buruh telah dibuang negeri.

Ketika saya menghadiri Persidangan Asia di New Delhi, saya bertemu dengan Nathan di Madras dan berkesempatan berbincang dan bertukar pengalaman dengannya. Ketika rombongan kami tiba di Madras, dia melambai-lambaikan tangan dan meneriakkan: “Saya orang Malaya, saya orang Malaya!”

Berkenaan buruh Melayu, Chen Lu menyebut bahawa sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, sejumlah kader dari Parti Komunis Indonesia telah menyusun kaum buruh, nelayan dan tani Melayu. Pada tahun 1929 di Tampin, Negeri Sembilan, kaum tani Melayu melancarkan pemberontakan bersenjata dan menubuhkan kesatuan tani Soviet. Akan tetapi pemberontakan itu telah ditindas dengan kejam oleh penjajah British. Kemudiannya kader-kader Parti Komunis Indonesia itu pergi ke Moscow. Maka kepimpinan bahagian Melayu terputus.

Chen Lu juga meminta saya menyampaikan sedikit laporan berkenaan buruh Melayu. Saya sampaikan laporan berkenaan Kesatuan Buruh Selangor dan beberapa kesatuan lagi yang baru ditubuhkan masa itu.

Seterusnya Chen Lu menerangkan bahawa tugas persidangan ialah untuk menyusun semula pelbagai kesatuan buruh Semenanjung dan Singapura bagi membentuk suatu kesatuan yang baru iaitu Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Ditetapkannya bahawa badan pimpinan buruh yang baru itu terdiri daripada berbilang kaum iaitu beliau (Chen Lu) sebagai Setiausaha Agung, Ganapathy sebagai Pengerusi manakala saya dan Lan Zui sebagai Naib Pengerusi. Ditetapkannya juga bahawa badan buruh itu akan menerbitkan majalah Obor dalam bahasa Melayu sebagai lidah rasmi kesatuan itu dengan tanggungjawabnya diserahkan kepada saya. Untuk majalah ini saya lantik Wahi Anuar sebagai ketua pengarangnya.

Selain itu disampaikan juga petunjuk JKP PKM masa itu untuk menyokong revolusi Vietnam menentang penjajah Peranchis di bawah pimpinan Ho Chi Minh dan revolusi Indonesia menentang penjajah Belanda di bawah pimpinan Soekarno. Kemudiannya saya mendapat tahu bahawa PKM telah membentuk pasukan sukarelawan untuk dihantar membantu revolusi Vietnam. Tetapi kerana ditentang oleh penjajah British (masa itu PKM berada dalam kerajaan BMA) maka akhirnya hanya dihantar beberapa orang wakil sahaja sebagai menyatakan sokongan kepada revolusi Vietnam. Berkenaan menyokong revolusi Indonesia pula, PKM telah menghantar sejumlah sukarelawan dan memberikan sekuat-kuat sokongan dalam pelbagai bentuk.


posting terkait:

ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (4)

Categories

Pengikut