ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (4)


Abdullah C.D. sedang menyampaikan ucapan di rapat tentera

Perjuangan Buruh GTC Kuala Lumpur

Pada suatu hari dalam tahun 1947, saya pergi ke Singapura kerana urusan pekerjaan. Kebetulan pada masa itulah seluruh buruh GTC Kuala Lumpur melancarkan mogok secara mengejut. Ketua persatuan itu Baharuddin Yusof tidak dapat mengontrol keadaan buruh itu. Kaum buruh marah kerana pihak majikan enggan menaikkan gaji dan tidak memberikan kemudahan-kemudahan pekerjaan kepada mereka.

Kerana itu, pejabat buruh Kuala Lumpur segera membuat panggilan telefon dan meminta saya pulang segera ke Kuala Lumpur. Tanpa lengah-lengah lagi saya segera pulang ke Kuala Lumpur untuk memimpin pemogokan itu.

Kerana perjuangan itu berlaku secara tiba-tiba, maka timbul banyak masalah akibat tiada persiapan terlebih dahulu. Semuanya ini diserahkan kepada saya. Banyak masalah yang harus dipecahkan seperti masalah makan, cara-cara perjuangan dan lain-lain.

Untuk menyelesaikan soal makan, saya arahkan buat tabung untuk mengutip derma daripada kesatuan-kesatuan lain. Saya juga menghantar orang menghubungi syarikat-syarikat bas yang lain supaya menderma dan memberikan simpati kepada perjuangan kaum buruh bas dan teksi Kuala Lumpur. Dengan cara ini kami berjaya mengumpul sejumlah besar wang dan bahan makanan. Sehingga mogok selesai dua minggu kemudian, wang itu masih ada berbaki. Saya arahkan kesatuan itu simpan wang lebihan tersebut untuk kegunaan dalam perjuangan yang akan datang atau untuk membantu saudara buruh yang lain apabila mereka melancarkan mogok dan sebagainya.

Pihak majikan syarikat itu adalah seorang pengurus berbangsa Inggeris. Dia mengambil sikap yang keras terhadap perjuangan kaum buruh. Pengurus itu memecat semua buruh yang mogok dan menerima buruh baru. Ini telah menimbulkan satu situasi yang lebih rumit lagi dalam perjuangan kaum buruh.

Dalam keadaan begini, saya arahkan para buruh supaya mempertahankan depot mogok siang malam dan jangan membenarkan buruh baru itu masuk bertugas. Dengan itu timbul pula pertentangan antara buruh baru dan buruh lama. Pihak majikan sengaja menggunakan buruh baru dengan upah yang lebih mahal untuk menentang buruh lama.

Pertentangan antara buruh baru dan buruh lama semakin meruncing. Para buruh yang mogok meminta saya keluarkan arahan untuk memukul buruh-buruh yang baru itu. Pada mulanya saya tidak membenarkan mereka berbuat demikian, akan tetapi kerana keadaan pertentangan semakin meruncing, saya terpaksa membenarkan mereka berbuat begitu. Maka pergelutan antara para pemogok dengan buruh baru meletus, beberapa orang buruh tercedera dan beberapa orang lagi ditangkap pihak polis. Pemogokan berada dalam situasi yang genting. Walau bagaimanapun, saya arahkan para pemogok supaya jangan tinggalkan depot. Para pemogok dengan semangat yang membara mempertahankan perjuangan.

Akhirnya, saya putuskan untuk hantar wakil mengadakan perundingan dengan pihak majikan. Pada mulanya saya memilih wakil dari kalangan pemogok itu sendiri. Akan tetapi para pemogok tetap mahu saya yang menemui majikan. Akhirnya saya terpaksa menerima tuntutan mereka. Saya bentuk jawatankuasa untuk mengadakan perundingan dengan majikan. Dalam perundingan kali pertama, antara tuntutan kami ialah menghantar balik buruh-buruh baru dan menerima semua buruh lama atau pemogok serta tuntutan-tuntutan lainnya. Pihak majikan pada pokoknya menerima tuntutan kami, akan tetapi berkeras mahu memecat beberapa orang pemogok dan menerima beberapa buruh baru. Akan tetapi kami menganggap isu buruh baru dan buruh lama atau pemogok itu tidak dapat kami terima, maka kami dengan tegas menolaknya. Setelah tiga kali berunding, barulah pihak majikan menerima tuntutan kami supaya menghantar balik buruh baru dan menerima semula semua buruh lama atau pemogok serta menerima kira-kira enam puluh peratus tuntutan kami seperti kenaikan upah, perbaikan layanan kerja dan lain-lain. Dengan itu barulah pemogok balik bekerja semula setelah mencapai kemenangan dalam perjuangan selama kira-kira dua minggu.
 

Categories

Pengikut