ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (3)



 SELAMAT HARI PEKERJA ANTARABANGSA



Kongres Buruh Melayu Seluruh Malaya


Selepas Perang Dunia Kedua, penjajah British mengambil inisiatif menghantar orangnya menubuhkan Kesatuan Buruh Melayu di serata tempat. Kesatuan-kesatuan itu didirikan dalam bentuk kesatuan kuning dan pro penjajah. Kesatuan Buruh Melayu Selangor yang telah saya ceritakan di atas adalah antara kesatuan buruh yang didirikan oleh penjajah British. Untuk menghadapi taktik penjajah ini, Jabatan Kerja Melayu PKM dan PKMM bekerja keras menubuhkan kesatuan-kesatuan buruh di pelbagai tempat.

Pada tahun 1946 barulah kesatuan-kesatuan buruh didirikan di seluruh Malaya. Saya merasa amat perlu membentuk Kesatuan Buruh Melayu yang bersifat seluruh Malaya kerana penjajah belum menubuhkannya. Kalau peluang ini tidak direbut, penjajah mungkin akan mengambil kesempatan dan ini tentu sekali tidak akan menguntungkan kepada gerakan buruh yang progresif pelbagai kaum.

Kerana itu saya memutuskan untuk mengadakan kongres buruh Melayu Malaya di pejabat GLU, Kuala Lumpur. Tarikhnya tidak dapat saya ingatkan, akan tetapi secara umumnya pada tahun 1946, sebelum kongres ke-2 PKMM yang diadakan pada bulan Disember tahun itu di Melaka. Dalam kongres buruh Melayu Malaya itu kesatuan-kesatuan buruh Melayu yang kami tubuhkan di seluruh Malaya menghantar wakil masing-masing seperti dari Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Singapura, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Kerana tidak cukup tempat untuk bermalam, maka para wakil kongres itu terpaksa bermalam bersama-sama kami di Rumah Merdeka.

Dalam kongres itu wakil-wakil buruh dari serata negeri menyampaikan tahniah kepada saya kerana terpilih menjadi Naib Pengerusi PMFTU. Mengikut pendapat mereka, ini amat besar ertinya bagi gerakan buruh Melayu kerana sebelum itu belum ada dalam sejarah gerakan buruh Malaya di mana orang Melayu menjadi pemimpin kepada gerakan buruh yang bersifat berbilang-bilang kaum.

Dalam kongres itu saya menerangkan tentang kemajuan dan perkembangan gerakan buruh Melayu di seluruh negara dan juga membentangkan usul hendak menubuhkan Kesatuan Buruh Melayu Malaya dengan sebab-sebabnya sekali. Wakil-wakil daripada berbagai negeri memberikan pendapat masing-masing atas cadangan saya itu, yang pada asasnya menyokong pendapat saya itu.

Akan tetapi wakil buruh dari Singapura, Bizar Ahmad mempunyai pendapat yang berlainan. Dia menentang rancangan menubuhkan kesatuan buruh Melayu, kerana mengikut pendapatnya membentuk kesatuan buruh mengikut kaum bererti memecahbelahkan perpaduan buruh pelbagai kaum. Dia berpendapat gerakan buruh sepatutnya melampaui batasan kaum yang sempit iaitu haruslah bersifat berbilang kaum. Kerana hal tersebut juga, Bizar mengecap saya sebagai pemecah belah gerakan buruh dan juga pengkhianat buruh. Saya mendengar hujah Bizar dengan sabar.

Kerana tentangan keras dari Bizar itu, maka beberapa kawan seperti Shamsuddin Salleh, Musa Ahmad dan Baharuddin Yusof timbul salah sangka terhadap Bizar Ahmad. Sebenarnya Bizar adalah pemimpin buruh yang baik dan semangatnya amat tinggi. Akan tetapi dia tidak dapat memahami maksud saya yang sebenarnya untuk mendirikan kesatuan buruh Melayu itu dan dia telah menentangnya habis-habisan.

Melalui pengundian, akhirnya kongres telah bersetuju dengan pembentukan Kesatuan Buruh Melayu Malaya serta memilih anggota pimpinannya sebagai berikut:

Ketua: Abdullah C.D.

Naib Ketua: Baharuddin Yusof

Wakil untuk Negeri-negeri: Abdul Majid Salleh, Osman, Shamsuddin Salleh, Bizar Ahmad, Musa Ahmad dan beberapa orang lagi.

Selain itu kongres bersetuju mengubah kesatuan-kesatuan buruh yang telah ditubuhkan itu menjadi cawangan Kesatuan Buruh Melayu Malaya. Selain itu kongres juga bersetuju bahawa Kesatuan Buruh Melayu Malaya bergabung dengan PMFTU.

Semenjak itu, PMFTU menjadi gabungan badan buruh pelbagai kaum di seluruh Malaya. Ini adalah peristiwa bersejarah kerana ia bukan sahaja merupakan peristiwa pertama dalam sejarah gerakan buruh di Malaya tetapi juga merupakan perpaduan dan kerjasama rakyat pelbagai kaum Malaya yang progresif.

Apabila saya bertemu dengan Bizar kemudiannya, ketika mengadakan kursus sekolah Marxis di Kuala Lumpur, barulah dia mengetahui yang saya juga menganggotai gerakan komunis. Dia minta maaf kerana tidak memahami hasrat saya pada masa pembentukan kesatuan buruh itu.



posting terkait:


ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (1)
ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (2)

Categories

Pengikut