ABDULLAH C.D. DAN KESATUAN BURUH (2)

Persatuan Seniman

Di Kuala Lumpur terdapat satu kumpulan opera yang agak popular, iaitu Sri Arjuna Opera. Ketua kumpulan ini bernama Malik. Persembahannya agak progresif dan menarik. Pada suatu kali, selepas menonton, saya pergi bertemu dengan kumpulan opera tersebut sebagai wartawan untuk mengambil berita. Kebetulan Malik mempunyai seorang anak perempuan berumur lebih kurang enam hingga tujuh tahun. Dia pandai menari dan membuat pertunjukan. Saya memberi perangsang kepada budak perempuan itu dengan berkata: “Lain kali buat pertunjukan dengan lebih bagus, pak cik akan memberikan hadiah.” Benarlah kemudian budak perempuan itu membuat pertunjukan dengan baik, lalu saya tunaikan janji saya. Lepas itu saya lihat orang lain juga ikut memberikan hadiah kepada anak perempuan itu.

Sebagai wartawan akhbar Pelita, saya bertanyakan beberapa soalan kepada anggota kumpulan opera itu. Antaranya soal kehidupan, soal persembahan, persiapan atau latihan dan ganjaran. Mereka memberikan jawapan dengan penuh mesra. Akhirnya kumpulan itu rapat dengan saya dan bersetuju membentuk kesatuan bangsawan.

Isteri Malik, kalau tidak salah ingatan saya namanya Mashitah, memainkan peranan penting dalam kumpulan opera ini. Dia bukan sahaja seorang ahli seni, tetapi juga mempunyai pandangan yang progresif, bencikan penjajah dan cintakan kemerdekaan. Kerana pandangan politiknya yang jauh, saya telah menerimanya menjadi anggota PKM.

Di Melaka terdapat satu kumpulan opera di bawah pimpinan Abdul Rahman terkenal dengan nama Noran Opera. Pada suatu hari, Abdul Rahman membuat panggilan telefon untuk bertemu dengan saya, lalu saya menjemputnya ke Kuala Lumpur. Apabila tiba di Kuala Lumpur, saya berbual dan bertanya tentang asal usul dirinya. Dia menceritakan bahawa dia orang Bota. Lalu saya menceritakan tentang latar belakang diri saya pula sebagai orang Lambor. Daripada perbualan itu barulah diketahui bahawa dia adalah ahli keluarga saya. Abdul Rahman memberitahu bahawa dia tak tahu kerana nama saya sudah bertukar menjadi Abdullah C.D.

Kumpulan Noran Opera ini agak maju juga. Selain membuat pertunjukan-pertunjukan, dia juga menerbitkan filem-filem Melayu yang menarik.

Sementara itu di Pulau Pinang dan Perlis terdapat satu kumpulan opera dikenali dengan nama Grand Nora Opera di bawah pimpinan S. Roomai Noor. Beliau adalah bekas anggota KMM, berasal dari Pahang. Kumpulan opera ini juga menyertai kesatuan buruh Pulau Pinang di bawah pimpinan Baharuddin Yusof.

Ketiga-tiga buah kumpulan opera yang disebutkan di atas dicantumkan, menjadi Persatuan Seniman. Seorang anggota dari Sri Arjuna Opera di Kuala Lumpur (tak ingat namanya), adalah rakan sekolah saya ketika di Clifford School. Apabila berjumpa dengan saya dia amat gembira dan semangat kemerdekaannya sangat tinggi. Dia memohon menjadi setiausaha peribadi saya. Kebetulan masa itu saya sangat sibuk maka saya lantiknya menjadi setiausaha saya selaku Naib Pengerusi PMFTU. Dia menjalankan tugasnya dengan baik sehinggalah kami berpisah apabila darurat diisytiharkan oleh penjajah British.


Pertunjukan Yang Bersejarah

Sempena ulang tahun pertama tertubuhnya Angkatan Pemuda Insaf (API) di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, kami membuat rancangan mengadakan perayaan secara besar-besaran di Kuala Lumpur. Saya menemui Malik, ketua Sri Arjuna Opera untuk membuat pertunjukan yang istimewa bagi mengobarkan semangat kemerdekaan dan menentang penjajah British. Saya berpesan kepada Malik bahawa kalau ada apa-apa siasatan, katakan ini adalah rancangan Abdullah C.D.

Perayaan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Ahmad Boestamam berjalan di depan dengan diikuti oleh anggota API yang beruniform putih. Sungguh segak dan gagah, semacam perbarisan tentera. Menyusul di belakang API itu pula ialah barisan seniman, perempuan satu bahagian dan lelaki satu bahagian dengan pakaian yang berwarna-warni. Mashitah, isteri Malik berjalan di depan barisan seniman dengan membawa bendera API. Semakin berjalan, semakin bertambah anggota perarakan. Orang ramai di sepanjang perjalanan yang melihat perbarisan itu menjadi bersemangat dan ikut serta di belakang. Perarakan itu terus menuju ke sebuah padang berhampiran dengan sebuah park. Anggota API tidak putus-putus meneriakkan semboyan perkasa “Merdeka!” “Merdeka!” “Merdeka!”. Ahmad Boestamam sebagai Ketua API tampil ke depan membuat pidato yang berapi-api dan membakar semangat kebangsaan.

Kemudiannya kumpulan Sri Arjuna Opera membuat persembahan. Isi ceritanya ialah menentang penjajah British dan menyeru para penonton berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Ramai orang menonton pertunjukan tersebut sehingga melimpah, ada yang terpaksa berdiri di luar park. Chen Nan juga hadir menyaksikan pertunjukan tersebut. Yang lebih istimewa ialah Edward Gent, Gabenor British untuk Malaya bersama beberapa orang pegawai kanan penjajah Inggeris juga ikut menonton. Apabila melihat pertunjukan yang berisikan semangat antipenjajah dan bercorak kemerdekaan itu, Edward Gent segera menjadi marah. Melalui penterjemahnya, Edward Gent cuba membentak para pelakon di atas pentas. Tetapi tak siapa pun yang menghiraukannya. Akhirnya Edward Gent dan rakan-rakannya keluar dari dewan pertunjukan itu dengan rasa hampa. Perayaan berlangsung mengikut rancangan dari awal hingga akhir.

Esoknya, Malik dan dua orang lagi pelakon opera itu dipanggil oleh Edward Gent ke pejabatnya. Gabenor itu dengan marah menyoal Malik mengapa membuat pertunjukan menentang kerajaan. Malik menjawab, “Maaf, tuan. Semuanya ditulis dan diarahkan oleh Abdullah C.D., saya lakonkan saja.” Malik dan dua orang lagi pelakon opera itu dilepaskan pulang. Selepas itu penjajah British menghantar intelijen-intelijennya mengesan gerak-geri saya.

Bergaul dengan kumpulan opera yang progresif begitu membuat saya terkenang kembali pada masa saya sedang belajar di Clifford School. Waktu itu ada satu kumpulan bolera di bawah pimpinan Bakhtiar Affandi. Dia berasal dari Indonesia. Saya tidak bergaul rapat dengannya, tetapi saya mengenalinya kerana beliau adalah penulis terkenal dan ketua kumpulan bolera yang masyhur. Tulisannya telah membakar semangat nasionalisme saya. Begitu juga dengan pertunjukan boleranya. Saya suka menonton pertunjukannya dan kadang-kadang ambil kesempatan pergi berbual-bual dengan ahli kumpulan itu. Setelah Jepun menyerah kalah, lebih tepat lagi setelah Republik Indonesia diisytiharkan merdeka, beliau membubarkan kumpulan boleranya dan pulang ke Indonesia. Kemudiannya barulah saya tahu bahawa dia adalah anggota Parti Komunis Indonesia.

Ada seorang wanita anggota kumpulan bolera tersebut giat dalam perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya. Dia aktif menggerakkan kaum tani di Tanjung Karang di bawah pimpinan Mansor, seorang anggota Jabatan Kerja Melayu Peringkat Negeri PKM. Mansor kemudiannya memimpin Barisan Tani Malaya bahagian Negeri Kedah.

Kerana peranan dan perkembangan yang menggalakkan dari Persatuan Seniman ini, maka pada tahun 1948 saya membuat rancangan untuk menerbitkan majalah bagi Persatuan Seniman. Akan tetapi rancangan itu belum sempat dilaksanakan, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada bulan Jun tahun tersebut.

Ketika memimpin Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan, di samping memperkenalkan dan mengembangkan kesenian Melayu asli di dalam pasukan, saya selalu menceritakan peranan besar yang dimainkan oleh kumpulan seniman ini, selain menonjolkan kesenian Melayu yang halus dan mempunyai ciri-ciri istimewanya yang tersendiri juga memaparkan semangat kebangsaan yang tinggi dan cita-cita untuk kemerdekaan yang suci.

Bersempena pada suatu hari raya pada 30 Jun 1984, saya membuat ucapan berjudul “Kesenian Dan Kebudayaan” di depan majlis yang dihadiri oleh para komander dan perajurit Kompeni Ke-21, Rejimen Ke-10. Saya menceritakan lagi peranan Persatuan Seniman pada tahun-tahun 1940-an yang membangkitkan semangat kemerdekaan dan memperkenalkan kesenian asli. Masa itu kesenian tradisional dikembangkan dengan aktif oleh Badan Kesenian Rejimen Ke-10. Semua ini adalah ilham dan pemberangsangan dari semangat Persatuan Seniman yang saya sebutkan di atas.
 
posting terkait

Categories

Pengikut