SAYA DITANGKAP ATAS TUDUHAN KOMUNIS - RASHID MAIDIN

Rashid Maidin
Dalam Kem Tahanan, 1948-52

Waktu itu kira-kira  penghujung  Jun 1948, darurat sudah diisytiharkan, tapi saya sendiri pun tak terbayang begitu cepatnya darurat diisytiharkan dan begitu kejamnya tindakan penjajah British. Isteri saya yang ketika itu sedang sakit merasa sesuatu perkara yang tak diingini akan berlaku ke atas saya. 
Utusan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung datang, tetapi yang datang ialah satu seksyen polis yang dipandu oleh seorang intelijen  Melayu  dengan membawa surat saman untuk menggiring saya ke balai polis. Sebelum meninggalkan rumah,  saya memberitahu isteri dan membariskan anak-anak saya  (tiga orang) lalu mencium mereka. Saya berjanji dengan mereka, “Esok ayah akan pulang.” Saya turun tangga di dalam tangisan anak-anak. Isteri saya pula menangis di dalam selimut. Itulah saat-saat terakhir saya bersama anak isteri.

Saya ditangkap atas tuduhan seorang komunis. Mula-mula ditahan di lokap Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) kemudian dibawa pula ke penjara Taiping. Saya digari dengan seorang pemuda Tionghua yang tidak dikenali. Kami dibawa naik kereta api. Kebetulan pada masa itu saya terserempak dengan Aminuddin Baki yang dalam perjalanan balik ke Chemor dari persekolahannya di Singapura. Saya nampak dia menjadi serba salah dan gelabah. “Bung Rashid kena tangkap?” Dia berkata sambil menggeleng-gelengkan kepala. Seterusnya dia menyambung kata, “Bung jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang.” Saya menjawab, “Tak goyang.”

Sebelum berpisah kami bersalaman. Dia memberikan sebuah majalah Inggeris yang sedang dibacanya serta wang seringgit. Saya menolak, tapi dia menyatakan mungkin ada gunanya.
Aminuddin Baki masa itu di bawah pengaruh PKMM dan API. Waktu sebelum darurat dia selalu pergi ke pejabat PKM di Ipoh menemui saya dan Abdullah C.D. Dia menyatakan hasratnya meminta kami membantunya belajar ke Indonesia. Akan tetapi sayang waktu itu rakyat Indonesia sedang berjuang melawan penjajah Belanda. Dia terpaksa belajar ke Singapura. Kemudiannya, dia menjadi ketua penasihat pelajaran Tanah Melayu.

 Setelah tiga malam di lokap Taiping, barulah saya dibawa ke penjara. Di sana pakaian tidak disalin. Pakai pakaian sendiri sahaja, tapi makan dan lain-lain seperti dalam penjara. Nasi dicampur dengan ubi kayu atau keledek bersayur kangkung, ikan seminggu berjumpa sekali. Itu pun seketul kecil saja. Sekali makan diberikan semangkuk nasi serta sayur, tak ada tambahan. Sebelah pagi makan bubur nasi bercampur dedak dengan sedikit garam. Begitulah keadaannya di situ, lalu tak lalu, muak, puas pun terpaksa dikunyah juga kerana tiada pilihan lain lagi.

Setelah enam bulan kami di penjara Taiping, masuk pula kira-kira 50 orang banduan lain termasuk Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikgu Sabrun, Cikgu Sarip dan Osman Bakar dari Perak, Cikgu Mat Din dari Kedah dan lain-lain, ada yang datang dari Pahang, Johor, ada orang PKMM, PETA, BTM, Kesatuan Buruh dan lain-lain. Ada Melayu, Cina dan India diiring ke Kem Tahanan Pulau Jerjak. Dalam kumpulan kami itu boleh dikatakan Cina dan Melayu hampir sama banyak. Kebanyakan pemuda masih dalam lingkungan belasan tahun atau awal 20-an. Dalam perjalanan, kami diikat dengan rantai panjang, seutas rantai diletakkan 10-12 orang dengan dikawal rapi oleh polis-polis Melayu, tapi super intendennya berbangsa Inggeris. Kami berjalan dengan mengheret rantai melalui bandar Taiping dan  disaksikan orang ramai, kemudian naik feri di Butterworth ke Pulau Jerjak.

Mengenai Soal Siasat

Yang anehnya tidak ada proses soal siasat pun dijalankan. Hanya ada satu kali seorang pegawai polis Cawangan Khas bernama Yunus dari Ipoh menemui saya dan bertanya saya – tidak banyak soal, agaknya untuk mengesahkan identiti saya sebagai Rashid bin Maidin. Agaknya juga pihak berkuasa penjajah British pun terlalu sibuk menangkap orang hingga tidak ada masa untuk memproses banduan-banduannya. Maklumlah pada malam pertama diisytiharkan darurat, 5,000 orang ditangkap dan ditahan. Itu satu malam sahaja. Kemudian dibuat tangkapan berturut-turut tiada hentinya.

Di Kem Tahanan Pulau Jerjak waktu itu terdapat kira-kira 500 orang banduan terdiri dari berbilang kaum yang ditempatkan di 7-8 buah bangsal besar. Setiap bangsal boleh menampung lebih kurang 100 orang. Makanan sama dengan jel Taiping, tetapi masak sendiri. Untuk memperbaiki kehidupan, kami bentuk komiti adakan mogok lapar menuntut dibenarkan beli makanan dari luar dan menerima barang-barang hantaran dari ahli keluarga. Komiti tersebut terdiri dari pelbagai kaum, bagi orang Melayu selain saya terdapat Osman Bakar, seorang anggota PKMM dari Tanjung Rambutan.

Pegawai penjara mungkin juga terasa malu dengan tindakan kami. Mereka kumpulkan kami dan mengugut bahawa kalau tak makan nanti salah. Kami mengatakan kami hanya menuntut sedikit kebebasan menerima hantaran dari rumah dan membeli barang-barang dari luar. Perkara itu patut diperbolehkan kepada banduan seperti kami.

Setelah lima hari mogok, tuntutan kami diterima. Kami dibenarkan membeli barang-barang dari kantin seminggu sekali dan menerima barang-barang hantaran dari keluarga. Dalam perbincangan dengan orang putih, penanggung jawab kem tahanan itu, saya tidak sabar dan berbalah dengannya. Dia mengherdik saya mengatakan saya tak hormat dan kasar kepadanya.

(dipetik dari Memoir Rashid Maidin)


Categories

Pengikut