RINGKASAN PERJALANAN HIDUP BEKAS KETUA AWAS PAHANG DAN BEKAS KOMANDER REJIMEN KE-10 SITI NORKIAH MAHMOOD BAGINDA

Siti Norkiah @ Kawan Minah
Siti Norkiah Mahmood Baginda adalah seorang pejuang kemerdekaan tanah air yang teguh. Setengah abad dari usianya disumbangkan kepada usaha kemerdekaan tanah air. Pembaktian terakhir beliau ialah dengan menyertai perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan dan pembebasan tanah air bersama Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya selama 40 tahun.

Jiwa beliau adalah jiwa anti pejajahan. Nenek moyangnya pernah ikut serta dalam perang Bahaman menentang penjajah British di Pahang.

laporan riwayat hidup kepada organisasi parti
Siti Norkiah dilahirkan di Kampung Sempalit Luar, pinggir Banda Raub. Mengikut catatan tangan beliau yang dibuat pada tahun 1963 menyebut “masuk dalam revolusi umur  26 tahun". Menyertai revolusi bererti memasuki perjuangan bersenjata, juga membawa makna tahun 1948. Mengikut pengertian ini beliau dilahirkan pada tahun 1922. (Kini dan Silam berpendapat catatan tangan ini lebih tepat memandangkan ia ditulis pada masa ingatan beliau masih baik dan catatan ini merupakan laporan rasmi peribadi beliau kepada organisasi PKM.)

1946, menyertai gerakan Awas (Angkatan Wanita Sedar), kemudian dipilih menjadi Ketua Awas Pahang. Awas adalah sayap wanita PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya).

1948, Inggeris istiharkan darurat, beliau disenaraihitamkan. Beliau lalu bergerila seorang diri di dalam hutan belukar.

Pertengahan 1949 - menyertai pasukan gerila bergabung dengan sebuah pasukan gerila tentera Pembebasan China.

1950, bergabung dalam Platun 3 Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Alang Kassim.

1952, bergabung dengan satu unit rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Musa Ahmad bergerak di kawasan Benta dan kemudiannya bergabung dengan Rejimen Ke-11 di kawasan Jerkoh.

1953, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 di bawah Abdullah C.D. tiba di perkhemahan Rejimen Ke-11 dalam rangka perjalanan jauh ke utara. Regu yang dianggotai Siti Norkiah bergabung dengan pasukan Rejimen Ke-10 dan menyertai perjalanan bersejarah pasukan tersebut.

Oktober 1954, tiba di kawasan sempadan Thai Malaysia.

Di kawasan sempadan beliau memimpin regu penyusun massa membangkitkan kesedaran kaum tani Melayu dan mendirikan kawasan basis rejimen Ke-10 . Banyak kampung2 Melayu di kawasan sempadan telah disusun menjadi basis revolusi. Di kalangan massa, beliau sangat disayangi rakyat. Mereka memanggil beliau dengan Makcik Sarifah.
bergambar bersama Chin Peng dan suaminya Abu Samah

1958 berkahwin dengan Abu Samah Mohd Kassim, cicit sepupu Datuk Bahaman yang juga seorang komander Rejiemen Ke—10, anggota Markas Besar Rejimen Ke-10 dan tak lama selepas itu dipilih sebagai anggota CC PKM.

1969 – 1976 beliau berturut-turut menyertai 3 kali pasukan penggempur Rejimen Ke-10 bergerak ke Malaya. Pasukan Propaganda Khas (1969) Pasukan Platun Merdeka (1970-1972, dan Pasukan penggempur Ke-14 (1973-1976) yang kesemuanya dipimpin oleh Abu Samah Mohd Kassim. Tugas utama pasukan penggempur ialah memulihkan basis lama dan membangun basis baru di tanah air.

Mulai tahun 1976 beliau bertugas dalam pasukan organ Rejimen Ke-10 terutama memimpin bahagian wanita dan bahagian logistik sebagai salah seorang anggota dalam badan pengarah Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10.
kenangan semasa perundingan tingkat rendah di Pulau Pinang

1988 pernah ikut serta dalam perundingan tingkat rendah pusingan kedua di Pulau Pinang pada 10-11 Ogos 1988 dan pusingan ketiga pada 22-23 Oktober 1988 di Hadyai sebagai anggota rombongan Rejimen Ke—10 dan Abdullah C.D.

Disember 1989 perjuangan bersenjata ditamatkan, Rejimen ke-10 dibubarkan melalui suatu perjanjian damai yang ditandangani oleh Kerajaan Malayasia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya. Siti Norkiah dan suaminya Abu Samah Mohd. Kassim memilih untuk tinggal di Selatan Thai bersama rakan seperjuangan yang lain di sebuah kampung khas yang dibangun khas oleh Kerajaan Thailand untuk bekas perajurit Rejimen Ke-10 yang kini dikenali dengan Kampung Perdamaian Sukhirin atau secara rasminya Ban Chulabhorn Patana 12.

1999 beliau bersama suami menunaikan fardhu Haji. Ikut bersama ialah Abdullah C.D dan arwah isterinya Suriani.

Setelah perdamaian beliau dan suaminya beberapa kali pulang ke tanah air mengunjungi kaum keluarga, antaranya 2002 berkunjung ke Istana Pahang dan bertemu dengan Tengku Mahkota Pahang, 2006 bertemu dengan Datuk Seri Najib yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

7 April 2009, hari paling duka bagi bagi beliau, suaminya Abu Samah Mohd Kassim meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Golok, Narathiwat. Sejak itu beliau hidup dengan ditemani oleh rakan2 seperjuangan. Satu keluarga bekas perajurit secara ikhlas tinggal bersama beliau untuk menjaga dan memberikan perhatian kepadanya. (http://matamin02backup.blogspot.com/2009/08/alfatihah-buat-pak-abu-samah-mohd.html)

Pada 4 Februari 2014 beliau pulang ke rahmatullah dengan tenang di rumahnya di Kampung Perdamaian Sukhirin dalam usia 92 tahun. Jenazahnya telah disemadikan di tanah perkuburan Islam Sungai Golok, berdekatan dengan pusara suaminya Abu Samah Mohd Kassim. Pengebumian itu turut disaksikan oleh adiknya Haji Mokhtar Mahmood Baginda dan kaum keluarga yang lain serta rakan2 seperjuangan dari Kampung Perdamaian Sukhirin.


1 ulasan:

Saya setuju bahawa mereka terpaksa lari ke hutan kerana perjuangan mereka disekat dan yang ada pada masa itu adalah komunis. Tapi bila dah sebati denga ideologi komunis sampai ideologi Islam diketepikan adalah tidak wajar

Reply

Categories

Pengikut