MERAYAKAN KEMERDEKAAN MALAYA


Kemerdekaan 1957 adalah kemenangan besar rakyat semua kaum Malaya. Kemenangan ini dicapai melalui berbagai bentuk perjuangan yang susah payah, pahir getir dan dibayar dengan nyawa dan darah para pahlawan dan serikandi kemerdekaan berbagai aliran, berbagai kaum yang setia pada tanah air Malaya. Perjuangan ini bermula sejak pencerobohan penjajah barat ke atas Kota Melaka 1511 sehingga tahun 1957.

 Perjuangan kemerdekaan Malaya boleh dibahagikan kepada 2 peringkat sejarah. Peringkat pertama ialah perjuangan secara spontan yang dipelopori kaum tani Melayu di bawah pimpinan bangsawan feudal yang patritotik melawan kaum penjajah. Perjuangan penting dalam peringkat ini ialah:

1511 – 1641 Perang menentang Portugis
1782 - 1784 Perang menentang Belanda
1786 – 1928 Perang kaum tani menentang British

Peringkat kedua ialah perjuangan secara sedar, secara terorganais dan mempunyai cita-cita politik untuk mengisi corak kemerdekaan tanah air. Kesedaran umat manusia untuk kemerdekaan dan pembebasan nasional yang bergolak di seluruh dunia telah membawa kesedaran politik ke Malaya. Dengan itu lahirlah parti2 dan pertubuhan politik yang memperjuangkan kemerdekaan Malaya. Antara pertubuhan itu ialah: PKM (1930), KMM (1937), TAJRM (1942), PKMM (1945), API, AWAS, BATAS, Hizbul Muslimin dan lain-lain. Perjuangan-perjuangan penting dalam peringkat ini ialah:


1941 - 1945 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang Jepun
1946 - 1948 Perjuangan berperlembagaan menentang British
1948 - 1957 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang British
1951- UMNO menukar semboyan Hidup Melayu kepada Merdeka
1957-  Penjajah British terpaksa mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Pada tahun 1946 muncul sesuatu yang janggal dalam perjuangan kemerdekaan tanah air kita. Di saat-saat berbagai parti politik melantangkan semboyan MERDEKA, PEMBEBASAN NASIONAL, secara tiba-tiba mucul sebuah parti politik yang bernama UMNO melantangkan semboyan HIDUP MELAYU. Jelas sekali penubuhan UMNO bukan untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya tetapi untuk membendung perjuangan kemerdekaan yang sedang marak berkobar.

Tahun 1947-1948, pembentukan front persatuan PUTERA - AMCJA merupakan kemuncak perjuangan kemerdekaan yang amat mencemaskan kaum panjajah. 2 kali hartal raksasa telah berjaya dilancarkan bagi membantah tindakan penjajah menolak 10 Fasal Perlembagaan Rakyat.

Kerana merasa kekuasaan kolonialisnya terancam, Inggeris telah melancarkan penindasan total dengan mengisytiharkan undang-undang darurat di seluruh negara pada bulan Jun 1948. Serentak dengan undang-undang darurat, semua parti-parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan, aktivis-aktivis kemerdekaan disumbat ke dalam penjara, dibuang negeri, digantung mati dan macam-macam lagi. Hanya UMNO satu-satunya parti politik yang tidak diharamkan dan dibenarkan bergerak.

Untuk melawan “perang yang tidak diisytiharkan” Inggeris ke atas perjuangan kemerdekaan, PKM menyeru rakyat semua kaum bangkit melancarkan perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasan nasional.

Perjuangan yang besar ini telah memaksa penjajah British menukar corak penjajahannya dari kolonial kepada new kolonial. Oleh yang demikian kemerdekaan 1957 bukanlah kemerdekaan 100 peratus. Hasil kemerdekaan tidak dimiliki rakyat, tetapi dimiliki oleh sejemput golongan atasan dan bangsawan Melayu yang membela kepentingan kaum penjajah dan modal monopoli asing.

Sungguhpun begitu, kemenangan ini adalah kemenangan besar bangsa Malaya yang diperjuangkan turun temurun. Sebagai rakyat yang setia pada tanah air Malaya, kita harus merayakan kemenangan besar ini dan meneruskan perjuangan sehingga tercapainya kemerdekaan 100 peratus!

MENDEKATI ABDULLAH CD DAN SITI NORKIAH: PELOPOR KOMUNIS MELAYU - MSO

(http://msomelayu.blogspot.com/2013/08/mendekati-abdullah-cd-dan-siti-nurkiah.html)

MENJEJAK SEJARAH                                                                           

Menyambung kembali catatan perjalanan, menjejak sejarah perjuangan Rejimen Ke-10 Komunis Melayu di perkampungan Perdamaian di Chulabhorn Pattana 12, Shukirin Weang Tahiland. Dalam tiga catatan lalu saya tidak menceritakan secara khusus pertemuan saya dengan mana-mana tokoh besar Rejemin Ke-10 atau pejuang rakyat itu. Mungkin ada berminat ingin mengetahui dan tertanya-tanya sesiapa lagi yang masih ada dan tinggal di sana.

Saya disambut Pak Lah dimuka pintu rumahnya.
Dalam catatan siri akhir dalam episod pengenalan ini, saya hendak mengisahkan sedikit pertemuan saya dengan Anjang Che Dat Abdullah (Abdullah CD), yakni Komander Rejimen Ke-10 PKM. Saya masih bernasib baik kerana Allah s.w.t mempertemukan saya dengan orang yang mencipta sejarah Rejemin Ke-10 menyebabkan saya boleh langsung bercakap dari hati ke hati dengannya mengenali dan menghayati jejak perjuangan Rejimen berkenaan.

Pastinya lebih penting mendengar sendiri mengenai matlamat atau sebab musabah kenapa beliau 'berundur' ke hutan secara berfakta mulai tahun 1945 selepas Akta Darurat dikuatkuasakan. Selain itu dapat mendengar kisah sukadukanya selama lebih 40 tahun berkelana-juang juang di dalam hutan belantara dengan satu tujuan menghalau penjajah British dan memerdekakan Malaya.

Kalau selama ini kisah atau ceteria mengenai Abdullah CD hanya diketahui menerusi pembacaan buku-buku sejarah yang dikarang dari berbagai versi yang sedikit pun tidak memihak atau simpati dengan perjuangan Rejemin Ke-10, bahkan tidak sedikit pun diceritakan didalam buku itu kenapa dan mengapa pasukan komunis Melayu itu ditubuh, tetapi dengan berjumpa, berjabat salam berpelukan kemudian mendengar tutur cerita darinya banyak pemesongan dapat dibetulkan.

Itulah manfaat yang saya perolehi daripada tuan punya Rejimen ke-10 itu. Hari ini Abdullah CD, lebih mesra dipanggil Pak Lah masih sihat dan mampu mengingati detik-detik penting dalam sejarah perjuangannya. Beliau boleh mengenang dengan baik walaupun menghadapi masalah kelancaran percakapan. Adakalanya beliau terpaksa mengulangi cerita sampai dua tiga kali dan sedikit sukar menangkap apa yang kita maksudkan.

Bersama ibu Nurkiah, penglihatannya sudah sirna.
Kesihatan atau masalah ini mula menimpa beliau sejak tahun 1975 apabila terlibat dalam konspirasi meracuninya. Dalam sejarah hidupnya, Pak Lah diracuni bertujuan membunuhnya sebanyak lebih dua kali. Tetapi nasib baik Tuhan masih memelihara dan memanjangkan usianya. Ada gunanya dan hikmahnya kenapa Tuhan memanjanhkan usia pejuang ini kerana ia boleh meluruskan tentang bengkang bengkok perjalanan beliau dan rakan-rakan dalam Rejimen Ke-10 yang sengaja dibeluk dan dipropagandakan.

Mungkin tidak perlu bagi saya menyatakan kehebatan beliau atau mengisahkan semula kisah hidupnya dari alam remaja hingga ke saat perdamaian perjuangan bersenjata dimeteraikan 1989. Sememangnya beliau seorang yang hebat dan mempunyai jiwa juang yang kental, sekeras teras merbau atau sekuat batu-batu gunung. Pak Lah manusia yang penuh bersemangat dan yakin. Beliau boleh ditegakkan berdiri sama gagah dan hebat dengan perjuang kemerdekaan versi British seperti Sardon Jubir, Tun Dr Ismail, Abdul Ghafar Baba dan lain-lain dari versi Umno. Manakala kehebatannya sama dengan Dr Burhanuddin Helmy, Ibrahim Yaacob, Rashid Maidin, Ahmad Beostaman dan lain-lain.

Pak Lah seorang yang berhemah dan peramah. Berbudi tinggi penuh berdisiplin. Dia juga seorang yang segak. Suka ketawa. Sepajang dia bercerita dia akan ketawa ini menandakan beliau seorang yang tidak mudah gunda dan senantiasa istiqmah. Sebaik saya bersama beberapa rakan menampak ke rumahnya yang jaraknya kira-kira 100 meter dari masjid, Perkampungan Perdamaian, beliau sudah tersembur di muka pintu sambil melewa-lewa tangan mengajak masuk. Seorang demi seorang yang melangkah masuk ke rumahnya dipeluk dan didakap kemas bagaikan saudaranya sendiri. Semua tetamu yang muda diterima sebagai anak dan sahabatnya, kawan.

Pemandangan di dalam rumahnya menunjukkan Pak Lah seorang kolektor yang baik. Setiap ruang dirumahnya dipenuhi dengan gambar-gambar tempo lama aktiviti perjuangannya didalam hutan dan disepanjang berkelana di dalam hutan. Gambar paling menyayukan ialah gambar beliau bersama dengan Allahyarham isterinya Suriani Abdullah. Lagak gambar dan posing bersama Suriani menunjukkan Pak Lah juga seorang yang romantik dan penuh nostalgik.

Benarlah ada rahmat Tuhan memanjangkan usia beliau. Hari ini hanya beliau seorang saja lagi tokoh Rejimen Ke-10 yang masih hidup yang sudah menjejak ke angka 99 tahun. Yang lain semuanya telah dijemput Allah kembali membawa sejarah ada yang sempat menyaksikan perbetulan sejarah diri dan ada yang tidak. Antara tokoh-tokoh besar PKM Melayu atau Rejemin ke-10 yang sudah kembali ialah; Abdullah Sudin (1925 - 199), Kamaruzaman Teh (1920 - 2002), Rashid Maidin (1917 - 2006), Shamsiah Fakeh (1924 - 2008), Ibrahim Chik.

Abu Samah Mohd Kassim dan paling baru Suriani Abdullah isteri Pak Lah yang kembali ke Rahmatullah kira-kira empat bulan lalu.

Kebanyakan para pejuang rakyat - Perjuang Pembebasan Rakyat Malay yang mereka kenali, sebaya dengan Pak Lah sudah tiada. Hanya berapa kerat sahaja yang masih hidup dan menghabiskan sisa-sisa hidup di perkampungan perdamaian itu. Mereka ini adalah anggota Rejimen kanan yang mengetahui beberbagai unit dalam pasukan.

Antara mereka yang masih ada Mamat (Liu Chin Sun), Hatta (Yakob Awang), Waiming (Hassan Sulaiman), Asmat, Shukur dan lan-lain.

Manakala dari kalangan pejuang wanita yang dikira tokoh atau atau pemimpin ketua unit yang masih ada, Siti Nurkiah Mahmod atau Minah. Rakan-rakan pejuang atau tokoh wanita lain sudah tiada. Bagaimana pun pejuang wanita sebagai anggota dan pembantu biasa masih ada. Kebanyakannya sudah berumur.

Keadaan Siti Nurkiah yang juga merupakan isteri Abu Samah Mohd Kasim tidak berapa sihat dan keuzuran. Beliau kini sudah hilang penglihatannya sejak beberapa tahun lalu. Namun ingatannya masih baik dapat menyebut setiap detik peristiwa penting dalam sejarah PKM lebih 40 tahun.

Dasar seorang pejuang yang hebat dan berani walaupun keuzuran Nurkiah yang mesra dipanggil 'mak' di kalangan penduduk kampung perdamaian itu masih melangkah sendiri. Beliau tidak menggunakan tongkat untuk berjalan sebaliknya menggunakan sebuah kerusi sebagai 'pembantunya' untuk bergerak di dalam rumah. Beliau kini banyak berkurang di dalam rumah, jarang keluar.

Mat Amin atau Bulat 'duta' kampung perdamaian.
Siti Nurkiah adalah antara wanita awal yang turut berundur dan angkat senjata melawan penjajah. Beliau merupakan pemegang panji Awas - Angkatan Wanita Sedar sebuah gerakan wanita sebelum merdeka untuk menentang British selepas ketua Awas, Aishah Ghani (bekas menteri) meninggalkan pasukan setelah dianggap belut dalam ikrarnya dengan Nurkiah.

Saya terkedu dan sebak apabila Nurkiah menceritakan yang Allahyarham Aishah Ghani pernah berjanji dengannya tidak akan kahwin selagi Malaya tidak merdeka. "Dia berjanji dengan saya, katanya dia tidak akan kahwin selagi Malaya tidak merdeka. Tetapi... janji itu dimungkiri... apabila dia berjumpa dengan suaminya (Aziz) dia terus meninggalkan medan juang.."

"Jadi selepas dia tinggalkan Awas itulah maka saya terpaksa mengambil-alihnya sebagai ketua," tutur Nukiah sambil tunduk kemudian mengangkat muka melepaskan pandangannya yang kini sudah tertutup. Beberapa jurus dia mengelalapkan matanya dengan kelubung putih yang sudah lusuh. Melihat itu saya dapat membayangkan yang wanita bertubuh kecil keturunan India Muslim asal Kerachi, Pakistan ini sedang mengenangkan jejak-jejak yang pernah ditinggalkan.

Saya tidak mampu untuk berbicara panjang dengan Nurkiah kerana tidak dapat menahan sebak. Hati saya diruntun kepiluan apabila mendengar tutur dan melihat matanya terkebil-kebil kekosongan. Melihatnya saya terkenang rupa dan wajah ibu saya. Betapa dalam saat usia sebegitu dia memerlukan bantuan, dikasihi dan orang yang menjaga kebutuan hidupnya. Tetapi apa boleh buat itulah sunnah orang berjuang tangis dan duka terpaksa diratah dan peluk sendiri. Khabarnya beliau tiada anak perkahwinannya dengan Abu Samah, beliau kini dijaga oleh salah seorang anak angkatnya yang juga anggota Rejimen ke-10.

Iya, itulah dua orang tokoh atau orang hadapan dalam Rejimen Ke-10 yang masih ada dan tinggal di perkampungan perdamaian yang terpencil di Shukirin. Merekalah tempat yang boleh kita mendapatkan maklumat untuk memperbetul atau menambahkan rencah ramu sejarah perjuangan bangsa. Selagi mereka masih ada dan masih mampu bersuara, sangat elok kita mendampingi mereka bagi mengetahui kisah sebenar dari mulut orang yang menjadi sejarah. Pengenalan mengenai mereka boleh ditemui di dalam memoir masing-masing yang sudah beberapa tahun lalu sudah beredar di pasaran. Sama-sama kita berdoa semoga Allah terus mensejahtrakan mereka berdua dan yang lain juga.

Sepanjang kunjungan saya (dua kali) ke perkampungan Shukrini saya merakam terima kasih banyak kepada saudara Mat Amin, atau dalam Rejemin Ke-10 dikenali dengan nama Bulat. Beliaulah banyak membantu dan saya mengira beliualah juga menjadi 'duta' Rejemin Ke-10 dengan dunia luar. Saya kira Mat Aminlah pejuangan pertengahan yang menyertai Rejemin Ke-10 yang mampu bercerita fasal falsafah dan juga apa itu Komunis Melayu.

Tidak lupa juga saya merakam terima kasih banyak kepada Marimas puteri sulung dan tunggal Pak Lah bersama Suriani yang melayani saya dan rakan-rakan lain. Suriani bolehlah dianggap sebagawai ketua Awas pascara perdamaian. Kerajinan, keramahan dan peribadinya terus terserlah yang dia adalah anak pejuang besar yang mewarisi syaksiahnya. Wassalam. [wm.kl.7:00 am 05/08/13]

SUASANA AIDILFITRI 2013 DI KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN




Sebagaimana lazim, hari raya Aidilfitri disambut meriah di Kampung Perdamaian Sukhirin. Menjelang hari raya, anak-anak yang sedang belajar di university atau sekolah menengah akan pulang bercuti , anggota yang bekerja di luar kampung atau sebagainya juga pulang untuk menyambut lebaran yang mulia. Ini menjadikan jumlah penduduk bertambah secara mendadak.

Sempena hari raya Bapa Abdullah C.D. mengadakan rumah terbuka. Rakan-rakan beserta anak-anak cucu bekas perajurit akan berkunjung ke rumah beliau,  anak-anak akan mendapat wang raya. Ini memberikan satu ingatan yang tak terlupakan.

Pihak Masjid Darul Aman juga menyediakan wang hari raya untuk anak-anak setiap tahun. Mereka akan berbaris panjang untuk menerima hadiah tersebut.

Selepas sembahyang Raya, ramai warga yang berasal dari Selatan Thai akan pulang ke kampung halaman masing-masing menemui ibu bapa, datuk nenek dan sahabat handai di kampung masing-masing. Suasana kampung ini akan sunyi. Suasana akan pulih semula setelah beberapa hari apabila warga pulang semula ke Kampung Perdamaian.

Berikut adalah suasana hari raya di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12 yang dirakam sebentar tadi.


















SELAMAT AIDILFITRI DARI PERSATUAN PERSAHABATAN ABAD KE-21 MALAYSIA



UCAPAN SELAMAT AIDIL FITRI
PERSATUAN PERSAHABATAN ABAD KE-21 MALAYSIA


Tarikh: 7 Ogos, 2014

Kawan Abdullah C. D. yang dihormat dan Ketua Kampung beserta segenap kawan seperjuangan di Kampung Perdamaian Shukirin dan Kampung Perdamaian Kabang

Sempena akhirnya Ramadan al-Mubarak 1434 H. tibalah 1 Shawal – Aidilfitri, saya dan segenap ahli Persatuan ini dengan segala hormatnya melafazkan ucapan selamat Aidil Fitri maaf zahir dan batin kepada semua kawan seperjuangan yang jauh di mata dekat di hati, semoga kalian berada dalam keadaan selamat dan berhari raya dengan gembira ria. Semoga ibadah puasa yang ditunaikan kalian mendapat pahala berlipat ganda. Kami juga dengan rasa gembira mendapati kampung kalian berusaha maju terus telah mencapai kejayaan dan menarik perhatian dan sambutan di Thailand maupun dari Malaysia.

Dan kami tetap tak lupa mengucapkan terima kasih atas sokongan kalian mengutus perwakilan melawat dan menghadiri perhimpunan anjura kami. Berharap semoga semangat kesetiakawanan dan persaudaraan di antara kita dan di kalangan rakyat dikobarkan terus-menerus. Semoga kita sama-sama berusaha lebih giat lagi bagi meraih kejayaan dan kemenangan usaha kita masing-masing.

Sempena gembira menyambut 1 Shawal
Semangat kesetiakawanan tetap kekal
Semoa capai kejayaan secara berakal
Salam Aidilfitri ini dikirimkan terawal.

Sekian Terima Kasih dan salam hormat dari

Lee Huck Tee

Ketua Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI



Atas nama Bapa Abdullah C.D. dan warga Kampung Perdamaian Sukhirin, Kini Dan Silam mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN kepada seluruh umat Islam di mana jua mereka berada. Semoga hari yang mulia ini, akan membawa keberkatan untuk kita semua.


Lagu-lagu hari raya yang dipersembahkan oleh perajurit Rejimen Ke-10


PILIHAN GAMBAR BERBUKA PUASA BERAMAI-RAMAI DI KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN

MERAH TINTA: IFTAR RAMADHAN DI PERKAMPUNGAN TERASING


Atas nama seluruh warga Kampung Perdamaian Sukhirin atau secara rasminya disebut Ban Chulabhorn Patana 12 KINI DAN SILAM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rombongan  dari Malaysia (yang dikisahkah dalam catatan bawah) yang sudi meluangkan masa mempertautkan silatulrahim dengan kami dengan berbuka puasa bersama-sama serta kepada mana-mana pihak yang turut memberikan berbagai derma  untuk lebih menyerikan lagi program lawatan ini. Berikut adalah sebuah catatan dari http://msomelayu.blogspot.com berkenaan lawatan tersebut.

Iftar Ramadhan Di Perkampungan Terasing

ZIARAH RAMADHAN 1434                                                                    

Berbaris untuk menerima sumbangan duit raya.
Seperti dijanjikan pagi ini saya hidangkan serba sedikit pengalaman dan cerita Ziarah Ramadhan saya untuk tahun 1434 ini.  Ziarah Ramadhan yang menjadi tradisi saya setiap kali menjelang Ramadhan dan Aidifitri kali ini ialah, di perkampungan Perdamaian BanChulabhorn Pattana 12 di Shukirin Weang Thailand yang menempatkan pasukan Rejimen Ke-10 - Komunis Melayu. Tidak terfikir saya akan memziarahi Ramadhan kampung ini kerana segala urusan untuknya dilakukan dalam tempoh serba singkat.

Boleh dikatakan ia tidak ada dalam perancangan. Walaupun sudah ada hasrat untuk berbuat demikian selepas buat pertama kali saya menjejaki ke perkampungan ini awal Julai lalu, tetapi tidak menduga ianya termakabul pada Ramadhan ini juga. Semua adalah kehendak Allah s.w.t. dan berkat doa orang-orang di sana telah menarik kami untuk berRamadhan di kawasan mereka.

Semuanya bermula apabila SAM RP, sebuah grup sosial (Facebook) terdiri dari anak-anak Rantau Panjang telah menguar-uarkan di dalam FB akan tujuan mereka. Kebetulan saya juga belum memilih mana-mana destinasi untuk dijadikan lokasi ziarah tahun ini, terpanggil untuk bersama SAM RP yang dipimpin oleh sdr Rushdan Mustafa seorang aktivis sosial tidak asing lagi di Rantau Panjang khasnya.

Menanti saat berbuka.
Terima kasih kepada SAM RP kerana inisiatif itu. Ternyata apa yang dilakukan itu memberi makna dan erti besar kepada penduduk di perkampungan berkenaan. Majlis dianjurkan semalam bukan saja setakat menghidupkan syiar Ramadhan di perkampungan terasing di pedalaman itu, namun lebih bermakna dari itu ia menjadi jambatan penyambung silarurahim di antara penduduk di situ dengan dunia luar.

Tebung bungkus, akok kueh yang kami bawa.
Paling merujakan saya ialah apabila diberi tahu selama 24 tahun para bekas pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri itu bermukim di situ selepas termeterainya perjanjian damai di Hadyai tahun 1989, belum ada mana-mana pihak yang mengunjungi mereka untuk sama-sama berRamadhan. Selama ini mereka meraikan Ramadhan sesama mereka saja tentulah dalam keadaan yang seada-adanya saja. Jadi kedatangan rombongan kami itu adalah pertama kali dan sangat terkesan oleh mereka.

Penuh sesak.
Rata-rata penduduk melahirkan rasa terharu dan bertuah dengan ziarah kami yang juga tidak seberapa. Mereka sebenarnya bukan mengharapkan apa-apa tetapi cukup untuk bersama-sama mereka bagi sama-sama menjalani ibadah rukun Islam ketiga bertarwih dan bersalawat ke atas Nabi.

Berdoa selepas solat Maghrib.
Sebenarnya ziarah Ramadhan itu bukan apa, kami hanya sekadar untuk meraikan mereka dengan mengadakan sedia jamuan serta memberi sumbangan berupa pakaian dan peralatan solat. Namun walaupun kecil tetapi mereka menyambut kedatangan kami umpama; tiada nyiru dengan telapak tangan ditadahkan. Jelas dengan kedatangan kami memberi suntikan kesegaran dan keberertian buat mereka kerana mereka merasakan dipeduli dan tidak dilupakan sama dengan golongan lain.

Kanak-kanak di mana juga mereka ada dunia sendiri.
"Inilah pertama kali majlis seumpama ini diadakan. Belum pernah sebelum ini, Tuan" begitu ujar seorang penduduk dengan penuh rasa puas dan terharu. Menurutnya kalau pun diadakan majlis meraikan Ramadhan sebelum ini hanya biasa-biasa saja, tidak melibat seluruh penduduk seperti ini.

Apabila diberikan sebungkus seorang buat tamar kepada setiap yang hadir, ada yang memeluk erat sambil bersunggut "ini makanan orang berada". Maksudnya buah tamar segar yang diberikan itu bagi mereka sesuatu yang baru dan dianggap bernilai mahal.

'Jong dapur' yang cekap dan sepakat.
Majlis semalam dihadiri lebih separuh penduduk kampung berkenaan yang berkapasiti kira-kira 500 orang, tua muda dan kanak-kanak. Bagi mereka apa yang berlaku kelmarin seakan sudah seperti menyambut hari raya. Tentulah paling meriah dan seronok ialah kanak-kanak. Lebih 60 orang kanak-kanak menerima sumbangan wang saku hari raya. Juga nilainya tidak seberapa tetapi ia ternyata menyeronokkan.

Satu keluarga yang hadir.
Saya dan ahli rombongan secara peribadi puas dan merasakan kunjungan memberi erti yang dikehendaki; apabila melihat kanak-kanak berlarian mengejar sesama sendiri di tanah lapangan berhadapan masjid di sepanjang majlis berbuka. Mereka berlari bebas di padang sambil bermain sesama sendiri. Penorama inilah yang perlu disaksikan kerana kanak-kanak adalah penghibur dalam sebuah kehidup berkeluarga.

Pemandangan sebahagian dari yang hadir.
Buat kumpulan si bocah ini mereka tidak merasai keperitan kehidupan datuk nenek atau ibubapa mereka dalam tempoh berjuang menentang dan menghalau penjajah. Kebanyakan mereka dilahirkan di kampung berkenaan, adalah asing dengan perjuangan datuk nenek dan ibubapa mereka. Merekalah generasi yang diharap akan menceritakan atau pun memberi penjelasan kenapa datuk nenek mereka berhijrah ke hutan dan mendiami belentara selama lebih 40 tahun.

Hadiah telekong sembahyang.
Mereka adalah bakal mencatat sejarah perjuangan datuk nenek mereka yang setuntasnya. Mereka juga adalah sebahagian dari manusia sejarah yang luhur dan berhak untuk bercakap mengenai perjuangan datuk nenek mereka. Mereka jugalah yang akan meralat atau memperbetulkan sejarah dan persepsi salah ke atas perjuangan datuk nenek mereka. Mereka juga diharap akan berdebat soal siapa benar dan siapa berhak ke atas perjuangan menunut kemerdekaan negara.

 Apa juga yang membuatkan saya terharu apabila dikhabarkan beberapa warga emas yang tidak sabar-sabar menanti kedatangan rombongan kami. Katanya sejak Zohor lagi sudah ada yang menanti kami dan bertanya sesama sendiri jam berapa kami akan sampai. Kami sudah memaklumkan akan tiba jam 6:00 petang tetapi sejak selepas Zohor lagi sudah tidak sabar menunggu kami. Pak Hatta salah seorangnya yan tidak dapat menyembunyikan kerinduan, sebaik saya sampai terus diterpa dan dipeluknya saya dengan linangan air mata.

Semua itu memberi gambaran betapa mereka merindui orang luar, merindu sanak saudara mereka. Kerana rata-rata mereka masih mempunyai saudara mara atau 'warith warah' yang kesekian lama tidak bersua muka sejak mereka melangkah ke dalam hutan, memilih jalan kiri berduri. Jadi kedatangan kami ditelempiaskan untuk menumpahkan kerinduan mereka yang sudah berladum itu.

Tentatif atau perjalanan program ziarah itu rengkas saja dan berlangsung dalam tertib yang tinggi sesuai mereka adalah bekas anggota sebuah pasukan pejuang yang cukup terlatih dan berdisiplin. Sebelum berbuka diserahkan sumbangan kepada beberapa orang; penghulu, imam dan wakil kaum wanita sebagai simbolik untuk dibahagi-bahagikan. Antara barangan peralatan sembahyang yang disampikan ialah sebutir kopiah dan sehelai kain palikat untuk lelaki dan telekung sembahyang untuk perempuan. Manakala bagi golongan wanita muda diberikan kain tudung.

Selepas berbuka, kami menunaikan solat Maghrib kemudian baru menjamu selera. Saat menjamu selera inilah hati dan perasaan tersentuh apabila sesetengah yang tidak mengenal kueh akok dan tepung bukus bertanya sesama sendiri. Terdengar yang berkata; kawan sudah tak merasa kueh ini sudah hampir 80 tahun...sedap ni...

Selesai makan sama-sama mendirikan solat Isyak dan berterawih. Menjelang tengah malam diadakan Qiamulail serta perkisahan perjuangan pasukan Rejimen Ke-10 selama 42 tahun berada di dalam hutan secara santai. Cerita-cerita sukaduka semasa dalam tempoh perjuangan inilah menjadi pengalaman atau ole-ole paling mahal buat kami serombongan. Paling penting dan berharga ialah mengetahui sendiri kenapa dan mengapakah mereka memilih jalan penuh berduri untuk memperjuangkan sebuah kemerdekaan dan bukan jalan lurus dan licin seperti bangsawan lain?

Misi ziarah Ramadhan kali ini bukan saja menghidupkan syiar Ramadhan tetapi lebih bererti dari itu, menghidupkan tali siltarurahim di antara mereka dengan dunia luar yang terputus sejak lama. Sesungguhnya antara penduduk kampung itu dengan dunia luar saling rindu merindui, kenang mengenani kalau masing-masing memahami apa itu hidup dan apa itu perjuangan kasih sayang sesama bangsa dan agama akan bertaut padu.

Saya merakam terima kasih banyak kepada para penyumbang dalam menjayakan misi ini. Walaupun tidak ramai tetapi cukup untuk menggerakkan misi ini. Kepada yang ada menghantarkan SMS kononya hendak menyumbang tetapi tidak sempat melaksanakan hajat, mungkin dilain kali. Begitu juga kepada yang berjanji kosong, usahlah berjanji kerana setiap janji itu akan dinanti-nanti, tidak baik memberi harapan tetapi tidak bercadang untuk menunaikannya. Pinggirkan tektik politik dalam urusan berkebajikan seperti ini.

Kepada penjengok blog Merah Tinta dan juga rakan Facebook saya terima kasih daun keladi. Tidak lupa rakaman khas saya tujukan kepada anggota rombongan, sdr Rushdan Mustafa, Dr Wan Suhaimi Wan Daud, Zulkefli suami isteri, sdr Wan Hamdan Wan Ahmad dan sdri Siti Suria. Tidak ketinggalan dua adik al hafiz yang dibawa khas untuk menjadi iman terawih Tengku dan Abang Long.

Juga terima kasih banyak kepada seluruh warga juang Ban Chulabhoran Pattana 12 yang sudi menerima kami, merai kami dan berkongsi cerita dan pengalaman hidup dan perjuangan. Bukan sekadar itu dibekalkan dengan buah tangan berupa hasil tanaman mereka, salak, pisang dan petai. Didoakan semoga kita semua dirahmati Allah sepanjang hidup. Yang tahu menghayati perjuangan tulen saja dapat membaca erti merahnya darah. [wm.kl.10:59 am 28/07/13]

sumber:http://msomelayu.blogspot.com/2013/07/ziarah-ramadhan-1434-berbaris-untuk.html

Categories

Pengikut