MENINJAU SISTEM PILIHANRAYA MALAYSIA DARIPADA PRU KE-13


—Oleh: Cuan — (Sedutan)

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei 2013 disifatkan sebagai kempen pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia. Keputusannya telah diumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk pemerintahan selama 56 tahun memenangi 133 kerusi dari 222 kerusi parlimen, dan mendapat mandat berkuasa dengan kurang 7 kerusi daripada dahulu. Pihak pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) memenangi 89 kerusi, bertambah 7 kerusi daripada dahulu.

Menurut pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi biasa kali ini sebanyak 12,885,434 orang, pengundi pos sebanyak 235,826 orang. Pada hari pengundian 5 Mei, sebanyak 11,257,147 pengundi telah keluar mengundi pada 222 kerusi parlimen, kadarnya mencatat 84.84%. Tentang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, 9,742,254 orang telah keluar mengundi, kadarnya mencatat 85.82%. Dalam jumlah undi parlimen, BN memenangi 5,237,699 undi, ketiga-tiga parti dalam PR memenangi 5,624,984 undi. Jumlah undi yang dimenangi PR mengatasi BN sebanyak 387,285 undi; dalam jumlah undi DUN pula PR mengatasi BN sebanyak 365,702 undi. Jumlah undi yang dimenangi BN cuma 47.38% sahaja, tetapi 59.91% kerusi parlimen iaitu 133 kerusi telah dibolotnya. Sebaliknya PR yang memenangi 50.87% undi hanya mendapat 40% kerusi parlimen iaitu hanya 89 kerusi.

Dalam aspek bilangan pengundi purata bagi kawasan kerusi, kerusi yang dimenangi PR purata 77,655 orang, sedangkan kerusi BN purata hanya 46,510 orang sahaja. Dalam 10 kerusi parlimen yang bilangan undinya paling banyak di seluruh Malaysia, kerusi yang dimenangi DAP sebanyak 9 kerusi, sedangkan kerusi parlimen Pekan yang dimenangi Datuk Sri Najib Razak adalah satu-satunya dalam kategori itu, itu pun cuma yang kesembilan terbanyak sahaja. Tentang 10 kerusi parlimen yang paling sedikit bilangan undinya, kebanyakannya adalah kerusi BN menang tipis merangkumi kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, G. Palanivel dan Pengerusi Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong. Dalam 120 kerusi parlimen yang pengundinya kurang dari 60,000 itu, kebanyakannya iaitu 104 kerusi dimenangi oleh BN, sedangkan cuma 16 kerusi sahaja dimenangi PR. Di antara 102 kerusi parlimen yang pengundinya lebih dari 60,000 itu, 72 kerusi dimenangi PR, cuma 30 keruisi dimenangi BN. Jelaslah kerusi-kerusi yang dimenangi BN adalah kawasan yang bilangan pengundinya agak kurang, manakala kerusi-kerusi yang dimenangi PR adalah kawasan bandar di mana bilangan pengundinya banyak malah ada yang melampaui 100 ribu.

Ciri-Ciri Kempen Pilihan Raya Umum


Dari tinjauan secara teliti didapati beberapa ciri kempen PRU-13 sebagai berikut:

Pertama, ia merupakan pergerakan politik massa yang paling luas dan mendalam dalam sejarah Malaysia. Selama kira-kira dua tahun sebelum PRU-13, khususnya pihak pembangkang dan pelbagai pertubuhan rakyat telah mengemukakan pelbagai tuntutan dan mengadakan pelbagai perhimpunan, membentangkan kepentingan dan kehendak rakyat semua lapisan, di samping itu juga merupakan letusan total ketidakpuasan rakyat terhadap kediktatoran kroni, rasuah, penyalahgunaan kuasa, pencemaran alam sekitar, dasar asimilasi dan perkauman BN yang didominasi oleh UMNO selama 56 tahun itu.

Kedua, semua perhimpunan anjuran segala pertubuhan rakyat dan pihak pembangkang mendapat sokongan padu rakyat yang luas, sering muncul keadaan lautan manusia yang menggemparkan. Tuntutan bersangkutan dengan kepentingan sesuatu kaum, umpamanya mempertahankan pendidikan bahasa Cina, mempertahankan hak tanah adat Orang Asal, menentang peminggiran kaum India, dan tuntutan layanan sama rata kepada sekolah agama Melayu itu, perjuangannya terutama diikutsertai massa kaum itu walaupun ada juga simpati dari kaum lain. Bagi tuntutan yang bersangkutan dengan kepentingan semua bangsa, umpamanya isu-isu menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa, kediktaroran kroni, dan pencemaran alam sekitar, menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, adalah disokong padu oleh semua kaum amnya dan generasi muda khasnya.

Ketiga, bersatu dalam perjuangan semua kaum dan semuanya bagaikan kaum sekeluarga adalah senario yang mengharukan. Cerita muda mudi Melayu melindungi wanita Cina masuk ke dalam masjid untuk mengelak serangan gas pemetih mata, para belia Cina keluar ke jalanan dengan mengibarkan panji PAS dan melilitkan lambang PAS di kepala, para belia Melayu berarak dengan menjulang panji DAP dan sebagainya tersebar luas dalam facebook. Apa yang susah dicapai dan patut dihormati adalah keinsafan baru kaum Melayu amnya dan generasi muda khasnya, mereka sentiasa menjadi pelopor di hadapan dan tiang seri dalam barisan.

Oleh yang demikian, gimik yang lazim digunapakai golongan pemerintah, iaitu mengalihkan tumpuan perjuangan dengan menghasut konflik kaum itu telah hilang titik tindakannya, senjata saktinya dengan perkauman telah hilang fungsinya.

Keempat, dari mod penentangan awam terhadap pihak berkuasa nampaklah perasaan rakyat yang mendesak untuk perubahan. Banyak pengundi yang merantau di luar negeri berkejar pulang untuk mengundi, orang tua juga mengikut anak mereka keluar mengundi. Perasaan ingin mengubah inilah punca peningkatan kadar pengundian kepada 85% .

Kelima, perbuatan memberi wang dan barang-barang, membeli undi, makanan percuma dilakukan secara terbuka di seluruh Semenanjung. Barisan panjang membawa resit menuntut wang yang dijanjikan kelihatan di kawasan-kawasan yang BN menang dan keadaannya tersiar dalam banyak facebook. Penyelewengan sedemikian itu tidak diambil bena, sekalipun telah dibuat laporan polis atau pun dilaporkan kepada SPR. Maka kedengaranlah kutukan marah berbunyi “pilihan raya yang tidak adil dan kotor. ”

Keenam, gejala ganjil dalam pengumuman: Bagi kerusi-kerusi BN menang diumumkan serta-merta apabila ada keputusannya; manakala kerusi-kerusi yang sudah pasti PR menang itu disekat sehingga dinihari keesokannya baru diumumkan. Sesetengah kerusi kelebihan undi PR tidak banyak itu, akhirnya beberapa peti undi pos dibawa ke mari yang hampir seluruhnya mengundi BN, diubah dan diumumkan sebagai BN menang. Maka pemimpin PR sudah tentu tidak mengakurnya dan mengecam perbuatan itu.

Ketujuh, media baru telah memainkan peranan amat penting. Dalam masa PRU 13, semua media rasmi dan media perdana telah bertindak seperti burung kakak tua menyebut publisiti parti kerajaan, dan hanya melaporkan berita negatif pihak pembangkang malahan memutarbalik atau mereka-rekakan cerita negatif. Akan tetapi kerana wujudnya media baru zaman IT ini, banyak berita sebenar telah dapat disebarkan secepat kilat. Monopoli dan sekatan berita telah dihancurkan, dalam masa singkat saja berita terkini dan pelbagai skandal telah dipaparkan dengan gambarnya sekali, sehingga apa yang sebenarnya mudah diketahui rakyat.
Pelbagai Pihak Tak Puas Hati

Ini memang ada alasannya, kerana semua pihak pun menganggap pihaknya ada harapan besar mengikut keinginan subjektifnya.

Pertama, UMNO tidak puas hati: Kerana UMNO memperalatkan jentera PRU 13 dan membuat rancangan teliti untuk merebut balik dua pertiga kerusi parlimen, bahkan mengambil semula kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang. Tetapi ia telah gagal. Walaupun BN berkuasa semula, tetapi kerusinya telah kurang, ia telah kehilangan undi dan sokongan rakyat.

Kedua, PR tidak puas hati. Kerana PR memenangi 51% undi, tetapi kerusi yang dimenanginya kurang dari 50%, kerajaan persekutuan yang nampaknya akan dimenangi itu terlepas. Walaupun PR merebut 20 kerusi dari BN, tetapi telah hilang 15 kerusi yang sedia ada dan telah kehilangan kerajaan Kedah.

Ketiga, pengundi tidak puas hati: Walaupun mereka mencurahkan segala kekuatan menyokong penukaran kerajaan, kadar yang keluar mengundi mencatat 80-90%, tetapi tidak dapat mewujudkan penukaran kerajaan kerana tidak dapat melawan jentera pemilihan yang dimanipulasi oleh pihak berkuasa.

Pencapaian PRU 13 Memang Amat Besar

Jika direnungkan secara tenang, dan ditinjau dari pengelihatan jauh untuk mengenal hakikat perjuangan berparlimen dan kempen pilihan raya, akan didapati pencapaian PRU13 amat besar. Di dalam kempen, rakyat semua bangsa telah mendapat pengajaran yang mendalam dan luas yang tiada tolok bandingnya. Siasah membeli undi dengan membayar wang dan barangan tidak berkesan lagi khasnya di kawasan bandar dan sekitarnya. Keinsafan bangsa Melayu amnya dan kebangkitan generasi muda khasnya telah menempa situasi baru bagi perpaduan semua bangsa, dan memajukan tradisi unggul masa silam di mana rakyat semua bangsa bersatu-padu dalam perjuangan menentang pencerobohan asing dan memperjuangkan kemerdekaan. Demi keadilan, pilihan raya yang adil dan bersih, demi kepentingan bersama menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan segala kezaliman, rakyat semua bangsa bersatu dan bangkit melancarkan perjuangan. Politik perkauman semakin tidak laku, tipu helah mengadu domba hubungan baik antara pelbagai bangsa dan menghasut emosi kaum semakin tidak relevan.

Tinjauan Kembali Sistem Demokrasi Berparlimen

Jika ditinjau kembali, sistem demokrasi negara kita adalah bersumber dari Britain, mengikut contoh sistem Westminster, iaitu sistem Parlimen British yang ditempatkan di Westminster. Penjajah British terpaksa mengizinkan Malaya merdeka (kemudian menjadi Malaysia) telah menyerahkan kekuasaan kepada ejennya UMNO yang membela kepentingannya, lepas itu Umno mengetuai Perikatan yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC (kemudian menjadi Barisan Nasional). Apa yang dikatakan berbilang kaum berkongsi kuasa rekaan British itu berlanjutan hingga kini. Selama lebih 50 tahun ini ia memanipulasi kekuasaan dengan siasah pecah dan perintah, memainkan emosi kaum dengan menggunakan perbezaan dan kerenggangan di antara pelbagai kaum untuk memanjangkan tempoh pemerintanhan kediktatoran kroninya. UMNO yang selaku dominan pemerintahan itu terus melaungkan “hak istimewa Melayu”, UMNO menganggap ianya sebagai wakil bangsa Melayu dan pembela kepentingan Melayu, tetapi ia telah melaksanakan kawalan dan pemisahan paling ketat ke atas bangsa Melayu. Semua media bahasa Melayu dan media penyiaran telah dikuasai oleh golongan berkuasanya. Hanya setelah memasuki zaman IT abad ke-21, muncul dan majunya internet dan media jaringan, barulah kawalan dan sekatan itu dihancurkan. Setelah itu, barulah komunikasi antara pelbagai bangsa boleh lancar dan diperkuat. Kini generasi muda yang sering melayari media jaringan internet, pengelihatan dan bidang fikirannya semakin meluas, pergaulannya dengan bangsa lain semakin kerap dan mendorong keinsafan baru mereka. Inilah yang membuat gerakan pembaharuan masyarakat negara kita berharapan penuh.

Kekurangan Sejak Pembentukan Sistem Demokrasi Berparlimen


Bagaimanapun kita mesti nampak bahawa sistem yang diwarisi dari Inggeris itu ada banyak kekurangan sejak pembentukannya. Sama seperti kepincangan yang terdedah dalam sistem pemilihan negara-negara Barat, sistem demikian tidak akan dapat memilih pemimpin yang benar-benar berkhidmat pada rakyat, yang sanggup memimpin negara dan rakyat maju ke arah kemakmuran dan kebahagiaan. Maka di dalam parlimen penuh dengan politikus berspekulasi yang fasih berpidato dan bijak main tipu muslihat untuk kepentingan diri. Apa yang kurang ialah politikus yang benar-benar mencintai tanah air dan taat setia pada rakyat. Manakala parti-parti yang bersaing dengan sengit itu selalu menggunakan siasah tidak baik demi menarik undi, malahan meruncingkan perselisihan, memecahbelahkan masyarakat semata-mata untuk ianya boleh memang. Lebih-lebih lagi sistem Parlimen ala Britain telah timbul kepincangan bertubi-tubi setelah dipinda berkali-kali mengikut keperluan golongan berkuasa. Hanya sistem pilihan raya sahaja telah timbul kepincangan seperti ketidakadilan dalam persembadanan semula dan dalam peluang publisiti, membeli undi, mengancam dan mengugut pemilih, adanya pemilih hantu, ketidakadilan SPR, tentera dan polis memihak kepada pihak berkuasa, memanipulasi undi pos dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Peringkat kempen PRU telah berakhir buat sementara, semua parti atau pertubuhan akan merenungkan secara mendalam dan membuat postmertem berkenaan. Jalan pembaharuan masih jauh dan berliku-liku, namun bagaimanapun masyarakat tetap membangun dan rakyat tetap maju. Tugas amat berat yang terbentang di hadapan rakyat negara kita ialah bagaimana mendorong pembaharuan masyarakat supaya keburukan dan kezaliman seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, kroni dan sebagainya selama lebih 50 tahun ini, dan dapat membentuk mod politik di mana rakyat diutamakan, ber-musyawarah secara demokrasi dan

- Dipetik dari Buletin Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia bilangan ke-28, Jun 2013





KEHIDUPAN GERILA: MAKAN TENGAH HARI YANG ISTIMEWA

Makan Tengah Hari Yang Istimewa

Secebis Cerita Penggempur Ke-5 Menembusi Kepungan

Oleh Liehong. Terjemah: Afandi



(catatan pengalaman seorang perajurit baru yang dimuatkan di Buletin Bilangan 28 Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia, Jun 2013)


Pada April 1974, saya masih sebagai perajurit baru yang masuk pasukan hanya sebulan sahaja, musuh telah menggerakkan hampir sepuluh ribu tenteranya melancarkan serangan ke atas pasukan utama Penggempur Ke-5. Pasukan telah berada dalam perjuangan serius menentang serangan kepung basmi, serangannya hebat, lima kali pertempuran terjadi dalam masa seminggu saja. Pasukan telah kehilangan lebih 20 beg kanvas, kawan yang tercedera hanya boleh dirawat dengan dibalut secara ringkas sahaja.

Anggota pasukan utama sebanyak 29 orang, bekalan makanan dan perubatan sangat sedikit, penderitaan kelaparan, penyakit dan keletihan telah melemahkan tenaga kesemuanya, ini juga menyebabkan perjalanan pasukan makin hari semakin lambat.

Setelah menembusi kepungan musuh dan memulakan perjalanan beredar masih ada sedikit bekalan, mula-mulanya makan pagi setiap orang dicatu tiga sudu beras goreng, tetapi akhirnya bekalan telah kehabisan, hanya boleh mencari pucuk daun dan buah-buahan dalam hutan untuk mengisi perut di sepanjang perjalanan. Pada suatu tengah hari, kami melalui sebidang tanah yang penuh dengan pokok pisang hutan, pasukan kami menyinggah dan berehat di hutan pisang itu.

Arahan “makan tengah hari” disampaikan dari hadapan, kami berasa sangat pelik, masih ada apa yang boleh makan lagi? Ketika itu kawan Xuyeh selaku pengurus bekalan tampil di tengah-tengah barisan dan mengumumkan arahan: “kawan-kawan beregu pergi memotong batang pokok pisang dan mengupas umbutnya untuk makan tengah hari.” Bagi kawan yang telah lama masuk pasukan memang mengerti maknanya, namun bagi saya dan enam lagi kawan yang masuk hanya sebulan sahaja berasa sangat hairan, apakah batang pokok pisang boleh dimakan mentah-mentah? Seorang teman membisik di tepi saya: “macam mana manusia boleh memakan benda mentah? Kan untuk memelihara binatang pun harus dimasakkan terlebih dulu?”

Beberapa jenak kemudian, sedang kami yang baru masuk pasukan ini tercengang-cengang saling pandang memandang antara sama lain, seorang kawan yang masuk pasukan agak lama itu membawa seberkas umbut pokok pisang meletak di hadapan kami seraya dengan penuh perihatin mengajak kami makan. Oh, fahamlah saya, sebenarnya memakan umbutnya yang gebu sahaja, bukanlah memakan batangnya. Ketika itu setiap kawan dicatukan sedikit belacan yang dianggap amat bernilai, maka masing-masing pun mengambil umbut mencolek belacan lalu memakannya. Ketika itu perut saya berkeroncongan kerana kelaparan, saya juga memakan sesuap besar demi sesuap besar, rasanya baik juga.

Saya dapati seorang kawan baru yang berasal dari bandar raya mengerutkan kening dan tercengang-cengang di situ. Dia membisik kepada saya: “Aku tak berani makan.” Keadaanya disedari oleh kawan Yongyuan, dia mendekati kami dan membujuknya secara lemah lembut: “Anda mesti makan, kalau tidak makan mana ada tenaga berjalan.” Sejenak lagi disambungnya secara perihatin: “Anda menganggapnya sebagai daging rebus, mesti boleh makan.” Muka kawan baru itu tersenyum-senyum seraya berkata: “Semua kawan boleh makan, kenapa saya tak boleh1” Dia segera mengambil umbut dan memakannya sesuap demi sesuap.

Keadaan itu memberi kesan dan rangsangan mendalam kepada saya, kita mesti memiliki semangat optimistik sedemikian, dengan ini barulah kita boleh mengatasi segala kesukaran; Perjuangan menembusi kepungan sedang dimulai, perjuangan serius menanti di hadapan, kita mesti ada persiapan fikiran sepenuhnya, dengan ini barulah kita akan mencapai kemenangan terakhir dalam perjuangan amat tajam dan meruncing untuk menembusi kepungan.

Setelah semua kawan sudah kenyang bagaikan kereta penuh diisi minyak, pasukan pun meneruskan perjalanan menuju ke arah tujuan yang ditetapkan.

DUKA LARA ATAS PENINGGALAN KAWAN SURIANI ABDULLAH


Duka Lara atas Peninggalan 
Kawan Suriani Abdullah

Pemergiannya Laksana Bintang Srikandi Gugur,
 Teladannya kekal abadi



(Oleh Afandi)

Rasa duka lara timbul serta merta pada 21 Mac 2013 ketika mendapat berita sedih peninggalan kawan / komrad Suriani pada jam 5 pagi waktu Malaysia, beliau meninggal setelah bertarung dengan sakit selama 5 tahun di kediamannya Kampung Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat, Selatan Thailand. Sungguhpun Suriani Abdullah (alias Eng Ming Ching), 89 tahun, ahli Jawatankuasa Pusat PKM dan pimpinan bekas Rejimen Ke-10 telah meninggal, namun peninggalannya laksana bintang srikandi gugur, teladan luhurnya kekal abadi.

Suriani Abdullah @ Eng Ming Ching, 1947
Eng Ming Ching (alias Suriani Abdullah) lahir pada 1924 di dalam keluarga berpendapatan sederhana, anak yang keempat dengan 3 orang abang dan seorang adik. Beliau dan Chin Peng belajar dalam sekolah sama dan menyertai gerakan Kesatuan Bantuan Garisan Belakang Anti-Musuh pimpinan PKM. Kemudian beliau meninggalkan keluarga untuk mengembangkan gerakan di Ipoh, giat bekerja membantu perang anti-Jepun yang dilancarkan oleh Tentera Route Ke-8 dan Tentera Ke-4 Baru China. Pengertian politiknya meningkat dengan pesat di dalam perjuangan dan diluluskan menjadi ahli PKM, lalu dilantik menyandang Setiausaha Jawatankausa Bandar Ipoh.

Penghujung 1941, Fasis Jepun menceroboh negara kita, PKM mengeluarkan seruan menentang Jepun dan mempertahankan Malaya. Namun tentera penjajah British yang diserang tentera Jepun itu kalah perang dan berundur terus-menerus, akhirnya ratusan ribu tentera British di Singapura menyerah kalah kepada tentera Jepun pada 15 Februari 1942, seluruh Malaya diduduki Fasis Jepun. PKM dengan tegas mebentuk Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya, menanggung tugas berat memimpin perjuangan menentang Jepun. Eng Ming Ching menyertai kerja mendirikan Rejimen Ke-5 Tentera Anti-Jepun di suatu desa di Chemor, dan membuat kerja politik di dalam kompeni di bawah Markas Besar Rejimen, memberi sumbangan bernilai kepada pembangunan dan pengukuhan pasukan. Kemudian beliau ditugaskan ke kawasan Tanjung Tualang dan Kampar selaku Setiausaha Jawatankuasa Kawasan dan memimpin kerja penyusun massa kawasan itu, pertubuhan dan perjuangan massa tempatan menentang Jepun berkembang pesat. Akan tetapi malang tidak berbau pada saat fajar kemenangan mulai menyingsing, di dalam sebuah rumah kampung beliau terperangkap dalam kepungan berlapis-lapis tentera Jepun, walaupun nekad menyerbu tetapi tidak dapat menembusi kepungan dan tertawan oleh musuh. Pada masa teringkuk dalam penjara, Eng Min Ching memperlihatkan sifat jatidiri seorang komunis yang cekal dan tidak tertundukkan, bertabah hati menahan segala penyiksaan zalim fasis Jepun. Meskipun badannya penuh luka cedera, tetapi semangat revolusionernya tetap berkobar-kobar, dan berusaha memberangsang rakan-rakan sepenjara melancarkan perjuangan terhadap musuh. Akhirnya beliau berjaya menyongsong kemenangan perang anti-Jepun dan keluar dari penjara secara mulia.

pejabat PKM di Kuala Lumpur
Pada pertengahan Ogos 1945, Jepun menyerah kalah tanpa syarat kepada Negara-Negara Sekutu, pasukan Tentera Anti-Jepun pelbagai daerah turun dari pergunungan ke bandar-bandar untuk memelihara ketertiban masyarakat dan mendirikan Jawatankuasa Rakyat. PKM mewujudkan Pejabat PKM di semua negeri, Eng Min Ching dilantik sebagai Wakil PKM Perak merangkap Wakil PKM dalam Pentadbiran Tentera (BMA) British. Beliau selaku Wakil PKM melancarkan kerja barisan bersatu, menghubungi tokoh-tokoh pelbagai golongan semua bangsa di Perak, dan memimpin Pasukan Propaganda Pejabat PKM mengadakan persembahan dalam kunjungan ke merata tempat Negeri Perak, membuat publisiti menerangkan dasar dan pendirian PKM kepada rakyat semua bangsa, mendorong mereka bangkit berjuang mempertahankan kepentingan diri dan memperjuangkan demokrasi dan kemerdekaan. Kemudian pejabat PKM dikurangkan kepada dua, iaitu pejabat Kuala Lumpur dan Singapura, beliau mengambil alih Wakil PKM Singapura. Beliau telah memberi sumbangan bernilai kepada perjuangan untuk demokrasi dan kemerdekaan pada masa aman.

bersama Abdullah C.D. di Rejimen Ke-10
20 Jun 1948, Perang Pembebasan Nasional dimulai, Eng Ming Ching berundur ke selatan Johor, kemudian mengikut pasukan selatan Johor beredar ke utara sampai di Pahang dan bertugas di Jabatan Politik Rejimen Ke-6. Tahun 1952, pihak Pusat PKM membuat strategi berpandangan jauh, menetapkan organ Jawatankuasa Pusat dan pasukan utama Rejimen Ke-10 beredar ke kawasan sempadan di utara. Maka Chin Peng melantik Eng Ming Ching sebagai petugas perhubungan pihak Pusat dengan Rejimen Ke-10, bertanggungjawab perhubungan antara Rejimen Ke-10 dengan organisasi pelbagai tempat apabila tiba di sana, supaya memberi jaminan yang pasti dalam masa peredaran. Semenjak itu beliau telah menjalin ikatan yg tidak terlerai dengan Rejimen Ke-10. Pada hujung tahun 1954, Rejimen Ke-10 tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand, lalu membuka kawasan kekuasaan di kampung-kampung Melayu sektor timur kawasan sempadan, berjaya membentuk daerah basis sektor timur yang bersambungan dan sokong menyokong dengan sektor barat. Dalam bertugas bersama Eng Ming Ching telah menjalin hubungan karib dengan Abdullah C. D. akhirnya bersama mendirikan rumah tangga dan bernama Suriani Abdullah, mereka dianugerahkan cahaya mata Karimas pada awal 1956.

Para kawan bekas Rejimen Ke-10 melahirkan kecintaan yang tiada tara pada Ibu Suriani, menganggap beliaulah tempat kawan-kawan, baik lelaki mahupun wanita, baik yang lama mahupun yang baru meluahkan rasa suka duka, sama-sama berkongsi kenikmatan dan sama-sama hadapi kesusahan. Perasaan itu bukan suatu kebetulan tetapi adalah hasil dari gaya teladan revolusioner luhur beliau yang saya saksikan. Awal Januari 1956, saya tiba di pasukan organ Rejimen Ke-10 untuk kerja yang ditugaskan oleh pihak Pusat, kebetulan masa itu Karimas lahir tak berapa lama. Sejak itu hingga pertengahan 1962 diumumkan Pedoman Baru, barulah saya meninggalkan Rejimen Ke-10 dan pergi ke Kawasan Khas bertugas sebagai ahli Jawatankuasa Kawasan Khas. Selama 6 tahun lebih itu Surianilah memimpin saya, maka saya telah menyaksikan gaya teladan revolusioner luhurnya.

Suriani sedang memberikan ucapan di dalam rapat tentera
Setelah menyandang ahli dalam Markas Besar Rejimen Ke-10, beliau meneruskan tugas penting berkomunikasi dengan pihak Pusat, dan menjadi pembantu kanan kepada Abdullah C.D. dan dengan teladan luhurnya untuk mengukuh dan memajukan pasukan. Suriani sering berbual dengan saya tentang pentingnya memahami sejarah, adat resam dan agama Melayu serta sifat dan keperibadian mereka, menghormati pendapat mereka, dan mengikuti garis massa, kesemua itu adalah kunci untuk bersatu-padu dengan kawan/komrad Melayu. Dalam praktiknya Ibu Suriani tetap mengamalkan prinsip itu.

Demi menghadapi situasi redup setelah kebuntuan Perundingan Baling, Abdullah C. D. dan Suriani mengambil keputusan membuka kawasan kekuasaan baru, memindahkan pasukan utama ke kawasan sekitar Kg. Jok yang dekat dengan daerah Betong, memulihkan organisasi massa yang sedia ada dan memupuk lebih banyak anasir cergas massa (kader massa), melalui mereka menghubungi tokoh-tokoh pelbagai golongan di pekan atau bandar, akhirnya berjaya membuka situasi yang baru. Dalam menyampaikan dasar membolehkan ahli keluar dari pasukan, Rejimen Ke-10 menganalisis dasar itu dengan tepat, menerangkan bahawa mereka yang betul-betul sudah hilang keyakinan itu dibenarkan keluar, bagaimanapun selaku pejuang revolusioner mesti ada keyakinan revolusi pasti menang. Oleh itu, dalam Rejimen Ke-10 langsung tiada sesiapa keluar dari pasukan. Tambahan lagi, pendidikan politik dan aktiviti hiburan atau rekreasi dipergiatkan dalam pasukan, selalu menceritakan dan mengupas masalah-masalah semasa dan menun-jukkan pandangan tepat kepada kawan-kawan. Bagi seseorang kawan jika terjadi kesalahan, pendidikan diutamakan dan tindakan disiplin sebagai pelengkap, berbual dari hati ke hati dengannya agar ianya insaf dalam fikiran, mencapai hasil di samping tindakan disiplin ada juga kelegaan hati.

Di segi kehidupan pula meneroka tanah hutan untuk bercucuk tanam, membela ayam dan itik untuk menambahbaik kehidupan kawan-kawan. Bahagian unit penyusun massa yang bertugas di kampung akan balik ke dalam pasukan secara berkala untuk bermesyuarat, memeriksa kerja dan belajar serta membuat rancangan baru, kemudian bertolak ke kampung melaksanakan rancangan itu. Kaedah demikian berjalan berulang-ulang. Oleh yang demikian organisasi massa semakin kukuh, sanggup membekalkan barangan dan makanan lebih dari keperluan.

Dengan syarat-syarat tersebut di atas itu, Rejimen Ke-10 tidak timbul apa yang dikatakan “masa sindrom panas lembap” seperti rejimen lain di mana agak banyak yang keluar pasukan dan membelot setelah tertangkap, dan fikiran tidak bertentuan dan sebagainya. Ini telah meletakkan asas yang bermanfaat, pada pertengahan 1962, asas itu membolehkan Dewan Central Committee Utara Malaya(DCCUM)mengumpulkan pasukan pelbagai Rejimen ke pasukan Rejimen Ke-10 dan menyelenggarakan pelajaran Sekolah Parti Utara Malaya Pertama, mengenalpasti pandangan yang tepat, membetulkan fikiran salah, dan mengumumkan Pedoman Baru untuk tetap aktif meneruskan perjuangan dan memajukannya selangkah demi selangkah. Lepas itu pelbagai pasukan kembali semula ke kawasan masing-masing dan dapat mewujudkan situasi amat baik yang serba baru.

Setelah Pedoman Baru diumumkan, Ibu Suriani berkerjasama dengan Abdullah C.D. terus membangun dan mengembangkan pasukan, membuka kawasan kekuasaan yang baru, dan menyelenggarakan sekolah politik dan tentera. Setelah Musa Ahmad membelot, Rejimen Ke-10 melancarkan pengkritikan keras, mengutuk dan mendedahkan muncung hodoh dan temberang pengkhianat. Rejimen Ke-10 juga menghantar Pasukan Penggempur mara ke selatan, berkoordinasi dengan pasukan persaudaraan melancarkan perjuangan bersenjata dalam negeri. Rejimen Ke-10 juga telah menghancurkan banyak kali serangan besar-besaran bersama pihak lawan, membuktikan bahawa ianya adalah barisan yang tidak terkalahkan.

Dalam masa Abdullah C. D. kena racun dan terlantar di atas katil tidak mampu bertugas itu, Ibu Suriani yang meng-hidap penyakit jua dengan tabah memikul tugas mengurus keseluruhan kerja memimpin dan memantapkan pasukan. Dalam bidang perundingan damai, Rejimen Ke-10 telah mengadakan perundingan peringkat awal secara berasingan dengan pihak Thailand dan pihak Malaysia, merintis jalan bagi menanjak ke perundingan peringkat tinggi. Dan akhirnya perundingan damai antara tiga pihak PKM, Kerajaan Thailand dan Kerajaan Malaysia telah mencapai persetujuan pada prinsipnya dan menandatangani Persetujuan Damai Hadyai pada 2 Disember 1989. Kesemuanya itu terdapat sebahagian sumbangan dari Ibu Suriani.

Suriani bersama Abdullah C.D. selepas perdamaian
Ketika mengunjungi Kampung Perdamaian Sukhirin, didapati Ibu Suriani sangat mengambil berat pembangunan dan kehidupan penghuni kampung, hakikat ketaranya dapat difahami dari kenyataan yang penuh perasaan mendalam para kawan bekas Rejimen Ke-10 seperti berikut: “Sewaktu terlantar di tempat pembaringan, beliau sentiasa bertanya khabar tentang kemajuan kampung dan perkembangannya. Beliau sentiasa mendorong kawan-kawan berusaha meningkatkan pendapatan masing-masing sambil mengambil berat kemajuan kampung agar menjadi sebuah kampung yang maju di rantau ini.”

Ibu Suriani telah meninggal, namun teladannya bagaikan bintang kejora, meskipun telah gugur namun sinar teladan luhur dan jasanya kekal abadi, semangatnya tetap hidup di dalam hati sanubari rakyat.


66 TAHUN BARISAN TANI MALAYA



Pada 7 Julai 66 tahun yang lalu (1947), PKMM dan Jabatan Kerja Melayu PKM telah menubuhkan Barisan Tani Malaya di Kajang, Selangor. Berikut adalah sedutan kenangan Bapa Abdullah C.D. yang dimuatkan dalam Memoirnya ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948.


Kami merasmikan Barisan Tani Malaya pada 7 Julai 1947 di Kajang, Selangor. Dalam kongres itu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dijemput menyampaikan ucapan. Kamarulzaman Teh juga menyampaikan ucapan tahniah atas nama PKM.
Kongres memilih anggota Jawatankuasa Pusat BTM sebagai berikut:

Ketua                                      Musa Ahmad
Setiausaha                              Abas
Bendahari                               Mokhtar
Bahagian Propaganda          Kadir dan Atom

Badan pimpinan peringkat negeri pula ialah:

Kedah                                     Mokhtar
Selangor                                 Atom
Pahang                                   Abas
N. Sembilan                           Ibrahim Baba
Johor                                       Kadir dan Mat Indra
Melaka                                    ……….
Perak                                       ……….
Pulau Pinang                          dipimpin oleh pimpinan buruh

Sejak itu, kaum tani telah memiliki organisasinya sendiri. Bersama-sama dengan pertubuhan progresif lain seperti PKMM, PETA, AWAS, kesatuan-kesatuan buruh dan lain-lain, BTM mempersatukan kaum tani berbilang kaum berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Semasa perayaan menyambut Hari Pekerja Antarabangsa pada 1 Mei 1948 di Kajang, Selangor, kaum tani dari Jenderam, Ulu Langat dan tempat-tempat lain berarak dalam satu barisan yang panjang menuju tempat perhimpunan. Mereka yang ikut serta dalam perayaan itu berjumlah puluhan ribu orang, terdiri daripada orang Melayu, Tionghua dan India.

Apabila penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, BTM turut diharamkan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik yang lain. Namun begitu kaum tani yang luas khasnya di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Kedah dengan gagah berani mengangkat senjata untuk menentang penjajah British dan menuntut kemerdekaan tanah air. Perjuangan tani ini menjelma dalam bentuk perang gerila, menyambung tradisi perang untuk kemerdekaan tanah air di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (kemudiannya ditukar nama menjadi Tentera Rakyat Malaya) adalah tentera rakyat yang terdiri daripada putera puteri kaum tani Melayu yang cintakan kemerdekaan ibu pertiwi dan kedaulatan bangsa.

Pada 7 Julai 1949, sempena ulang tahun kedua BTM, saya selaku Komisar Politik Rejimen Ke-10 mengadakan satu perayaan besar-besaran dengan orang ramai di Kampung Bukit Cempedak,Temerloh, Pahang. Dalam perayaan itu kami sebagai pihak tentera rakyat Rejimen Ke-10 menyeru para petani berjuang untuk kemerdekaan dan membela nasib mereka serta menyokong perjuangan untuk kemerdekaan yang dilancarkan Rejimen Ke-10.

Perayaan itu di satu segi untuk menyambut hari kelahiran BTM, di segi yang lain mempererat perpaduan antara massa kaum tani dengan tentera Rejimen Ke-10. Massa petani dengan penuh semangat merayakannya hingga ke pagi.

CATATAN PENGALAMAN MELAWAT KAMPUNG PERDAMAIAN SUKHIRIN OLEH PENULIS MSO

Sunday, July 7, 2013

Mengunjungi Kampung Perdamaian Rejiman Ke-10 - Komunis Melayu

MENJEJAK KISAH                                                                                 

Sewaktu sahabat Rushdan Mustafa menghubungi saya memberi tahu ada misi ziarah menjelang Ramadhan ke perkampungan atau penempatan bekas Rejiman ke-10 (Komunis Melayu) di sepadan Malaysa - Thai sebulan lalu saya tidak banyak berfikir, terus menyanggupi agar nama saya disenaraikan sama. Saya tidak pun tanya sesiapa lagi yang akan bersama. Menjadi fiil saya suka kalau ahli rombongan tidak ramai.

Bagi saya misi itu satu kemujuran dan sesuatu yang telah lama saya nanti-nantikan.

Papan iklan memberi tahu di sinilah perkampungan damai.
Tampak kunjungan ke perkampungan bekas komunis itu akan jadikan misi ziarahi atau aktiviti rutin saya setiap kali menjelang Ramdhan. Tahun lepas saya mengadakan ziarah umrah ke tiga buah masjid teragung dan termulia di dunia, masjid Al Aqsa, masjid Haram dan masjid Nabawi. Tahun-tahun sebelumnya saya ke Aceh atau Kemboja.

Elok juga kalau kali ini saya menjenguk perkampungan berkenaan yang agak kurang disenangi dan dipandang negatrf kerana mereka dikaitkan dengan gerakan komunisme. Pendedahan mengenainya juga di media massa agak jarang. Masih ramai mereka yang was-was atau merasa cuak dengan bekas-bekas komunis? Hakikat mereka sebangsa dan segama tidak mudah untuk diterima.

Sebenarnya perkampungan itu wujud sejak 24 tahun lalu. Selepas termaterainya perjanjian tiga pihak Kerajaan Malaysia, PKM dan kerajaan Thailand pada Disember 1989 perkampung itu diwujud sebagai penempatan baru bekas anggota Rejiman ke-10 PKM. Terdapat empat buah perkampungan yang diwujudkan sebagai 'negeri' baru buat mereka khasnya mereka yang enggan pulang semula ke Malaysia atas kerana sebab-sebab yang bukan mudah untuk dan agak komplikated untuk dihuraikan.

Perkampungan itu ialah di kampung Chulabhorn Pattana 12 yang dikhasnya untuk komunis Melayu, di Kampung Chulabharon Pattana 11 juga untuk komunis Melayu manakala di Kampung Chubalabhorn Pattana 10 di Betong dan Kampung Chulabhorn Pattana 9 di Banglang dalam wilayah Yala di mana kampung ini dikhaskan untuk bekas komunis Cina dan India.

Seperti umum tahu Rejiman ke-10 merupakan sebuah rejiman komunis yang dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam. Ianya dipimpin oleh Che Dat Anjang Abdullah atau Abdullah CD. Abdullah CD merupakan anak kelahiran Lambor, Bota Perak. Beliau terlibat dalam dunia politik, perjuangan membela negara sejak dari remaja lagi. Rejiman ini bergerak di sempadan Malaysia - Thailand yang beroperasi di Hulu Kelantan, Betong dan Yala.

Dengan jujur saya katakan walaupun saya pernah ke Israel, pernah ke Lubnan atau Syaria atau lokasi-lokasi peperangan lain bagi menjenguk jejak-jejak peperangan di sana, tetapi timbul perasaan gerum untuk ke Shukhrin. Mungkin kerana perkaitan mereka itu dengan perkataan 'komunis'  menjadikan perasaan saya 'diketik' begitu.

Komunis di dalam konotasi orang Melayu sangat huduh dan menakutkan. Semua ini ialah kerana mereka menerima bulat-bulat pentafsiran dan propaganda pihak-pihak berlawan dengannya. Doktin yang diasak ke dalam minda orang Melayu begitu kuat untuk membenci komunis. Salah satu faktor ialah mengenai sikap atau pendirian komunis yang menolak agama.

Ada pun perasaan takut untuk mengunjungi ke perkampungan itu kerana masih mempercayai walaupun mereka ditempatkan di satu lokasi dan terpisah dengan dunia luar, tetapi sudah pasti mereka dikawal. Segala tindak tanduk dan gerak geri mereka diperhati. Begitu juga bagi sesiapa yang kerluar masuk ke perkampungan itu akan dipantau. Mungkin ada kebimbangan atau kewaspadaan dari pihak kerajaan baik Malaysia atau Thailand untuk merasa bermungkinan mereka aktif semula.Sebab bangsa komunis satu bangsa yang teguh dengan pegangan dan tidak mudah mengubah ideologi mereka.

Jadi tidak mudah untuk masuk ke sana. Begitu saya fikir. Atau kalau masuk sudah pasti akan dikenakan pemantauan dan kawalan ketat. Situasi atau bayangan itulah menyebabkan saya kurang berani untuk ke perkampungan berkenaan. Apa lagi, terdapat kawan-kawan ke sana secara bersembunyi atau tidak, tidak menukilkan catatan dan tulisan mereka dengan meluas. Malahan gambar bersama Abdullah CD dan pejuang-pejuang lain juga tidak ada. Saya tahu ada juga tokoh-tokoh politik yang mengunjungi perkampungan itu dan berjumpa dengan pemimpin komunis secara senyap.

Peristiwa pertemuan bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Abdul Ghafar Baba dengan Abdullah CD di Sungai Golok selepas termeterainya perjanjian perdamaian menjadi salah satu azimat untuk saya membuang rasa bimbang dan takut. Pertemuan itu sebagai lesen untuk sesiapa saja berjumpa dengan 'komunis'. Lagipun sesudah 24 tahun perjanjian itu ditanda-tangani dan pihak bekas komunis itu tidak lagi mencuba untuk aktif, menjadikan saya berani.

Sebenarnya bukan itu saya, keinginan untuk mengetahui dan melihat wajah pimpinan komunis Melayu dari dekat menjadikan saya tidak berfikir panjang. Meletakkan apa-apa risiko atas kunjungan berkenaan. Demikian peribadi saya sebagai seorang penulis kerdil rasanya perlu untuk melihat sendiri keadaan kehidupan mereka di sana di samping mencungkil nostalgia mereka selama berdekad-dekad dalam hutan.

Saya mengira sudah tentu budaya dan sosial mereka akan berubah apabila mereka berada di sebuah penempatan yang damai berbanding dengan hidup dalam hutan. Perubahan dan kelainan ini perlu ditilik atau pun diperhatikan.

Ada beberapa perkara yang tersekang di kepala saya apabila berbicara mengenai perjuangan mereka, Rejiman ke-10 ini. Tanpa menolak sejarah yang ditulis oleh pihak yang menang saya merasakan perlu juga mengetahui cerita dari pihak yang kalah. Sudah tentu ada pertentangan dan konflit atau dakwai dakwai di antara kedua pihak ini. Bagi saya tidak adil kalau hanya mendengar dan membaca kisah dari satu pihak - yang menang tetapi bersenggang dengan cerita dari pihak yang tertindas dan kalah.

Dengan adanya peluang berjumpa dengan bekas-bekas pejuang itu sudah tentu saya akan dapat maklumat secara terang dari pihak satu lagi. Dengan maklumat itu pula dapat dipadankan apakah sejarah mengenai pemberontakan mereka ke atas negara ataupun pembelaan mereka sebagai kumpulan yang juga berjuang untuk negara dapat disimpulkan, setidak-tidak untuk pemahaman saya sendiri. Tegasnya bukanlah saya hendak menulis sejarah baru tetapi memperbetulkan mana-mana lekuk-lekuk sejarah yang ketara.

Makanya ikutilah catatan saya seterusnya. [wm.kl.10:07 pm 07/07/13]


MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-65 “20 JUN” HARI MELETUSNYA PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-BRITISH

MEMPERINGATI ULANG TAHUN
 KE-65 “20 JUN” HARI MELETUSNYA PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-BRITISH

(Petikan terjemahan ucapan Kawan Si Hai, 
Pengerusi Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia 
di majlis memperingati Ulang tahun ke-65 
meletusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British)

Kawan Si Hai sedang menyampaikan ucapan



20 Jun tahun ini ialah ulang tahun ke-65 meletusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Setelah ditandatangani Persetujuan Hadyai pada tahun 1989, inilah buat julung-julung kalinya kita bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan sesaudara mengadakan perhimpunan peringatan “20 Jun” Perang Pembebasan Nasional Anti-British di Kuala Lumpur, memperingat hari besar yang bersejarah. Marilah kita sama-sama bertepuk tangan sehangat-hangatnya atas keberjayaan diselenggarakannya perhimpunan ini!

65 tahun yang lalu, ribuan pahlawan revolusioner mengorbankan jiwa-raga mereka yang amat berharga demi pembebasan dan kemerdekaan tanah air. Kita mengadakan perhimpunan ini, untuk mengenangi semangat kepahlawanan dan jasa-jasa besar para pahlawan revolusioner. Kita menyatakan rasa hormat setinggi-tingginya terhadap sumbangan dan pengorbanan yang tak berbelah bagi para wira veteran, keluarga pahlawan dan keluarga anggota tentera yang telah menyertai peperangan ini.

Pada 8 Disember tahun 1941, Jepun telah mencetuskan Perang Pasifik dan menceroboh Malaya. Tentera penjajah British yang mengaku dirinya tak terkalahkan, lari terbirit-birit di hadapan benet fasis Jepun, akhirnya mengibarkan bendera putih di Singapura. Berkebalikan dengan itu, pada hari ke-3 setelah Jepun menceroboh Malaya, Parti Komunis Malaya (PKM) mengeluarkan seruan hikmat kepada rakyat semua bangsa Malaya: bangkit bergerak, persenjatakan diri, lawan Jepun, bela Malaya! PKM telah menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) di berbagai tempat, memimpin rakyat bangkit melawan. Melalui pertempuran bermandi darah dan perjuangan gigih selama 3 tahun 8 bulan, akhirnya memperolehi kemenangan Perang Anti-Jepun pada 15 Ogos tahun 1945.

Demi menentang kekuasaan penjajah British, PKM dan kekuatan progresif lainnya telah membentuk PUTERA-AMCJA, melakukan berbagai kegiatan politik dan perjuangan massa berbagai bidang, merangka rang PERLEMBAGAAN RAKYAT untuk menentang Perlembagaan Federation yang merampas hak sama rata rakyat semua bangsa. Pada 20 Oktober tahun 1947 dan Februari tahun 1948, PUTERA-AMCJA 2 kali menyerukan mogok kerja besar, mogok belajar besar dan hartal besar di seluruh negara. Akan tetapi, penjajah British memekakkan telinganya terhadap suara raksasa rakyat luas, malah melancarkan penangkapan besar-besaran di seluruh negara, dalam usaha memadamkan tuntutan rakyat ke atas kemerdekaan. Demi kemerdekaan negara dan pembebasan rakyat, PKM dengan tegasnya memimpin rakyat semua bangsa melancarkan perjuangan bersenjata yang gagah berani. Dengan demikian, menyalakan api Perang Pembebasan Nasional Anti-British.

Majlis memperingati 65 tahun 20 Jun
Dalam usaha membasmi Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan memutuskan hubungan antara massa rakyat dan PKM, pada tahun 1950, imperialis British telah memaksa massa rakyat meninggalkan kampung halaman masing-masing, dan mengurung mereka ke dalam kampung-kampung baru yang dikelilingi dengan kawat-kawat berduri. Menurut perangkaan, pada masa itu di seluruh negara terdapat 440 buah kampung baru sedemikian, yang melibatkan jumlah penduduk seramai 570,000 orang. Bagaimanapun, Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah berjaya mempertahankan pertempuran walaupun di bawah syarat-syarat yang luar biasa susah-payah. Pada 6 Oktober tahun 1951, Pesuruhjaya Tinggi British Henry Gurney, mati dalam serangan hendap tentera kita di Kuala Kubu yang terletak di kawasan sempadan Selangor-Pahang. Berita ini menggemparkan London, tapi menggembirakan rakyat.

Pada 28 Disember tahun 1955, seiring dengan kecenderungan politik baru antara bangsa yang mahukan perdamaian dan menentang peperangan, perundingan damai yang mempunyai erti sejarah telah dilangsungkan di Baling. Bagaimanapun, perundingan itu gagal kerana wakil kerajaan Malaya Tunku Abdul Rahman, yang dikontrol British, berkeras mahukan PKM menyerah diri. Harapan rakyat luas untuk menyaksikan wujudnya perdamaian menjadi hampa. Bagaimanapun, Tunku secara pribadi memberitahu wakil PKM: perundingan akan disambung semula setelah dia berjaya memperolehi kemerdekaan.

Perjuangan pahit yang luar biasa susah-payahnya, yang dilakukan oleh PKM dan rakyat semua bangsa berjaya memaksa imperialis British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Malaya pada tahun 1957. Akan tetapi, Tunku mengingkari janji yang dibuatnya sendiri ketika Perundingan Baling, bersubahat dengan orang British, berkeras mahukan para pejuang kemerdekaan menyerah diri dan menerima pengadilan, menolak memulihkan perundingan damai dengan PKM. Di bawah latar belakang sedemikianlah, Perang Pembebasan Nasional Anti-British yang dilancarkan demi melawan penguasaan penjajah British dan memperjuangan kemerdekaan Malaya itu berubah menjadi perang dalam negeri “orang Malaya memerangi orang Malaya”. Tapi, sebenarnya ia adalah lanjutan kepada perang tanah jajahan.

Perdamaian adalah kemahuan rakyat. Pada 2 Disember tahun 1989, ketiga-tiga pihak iaitu PKM, Kerajaan DiRaja Thailand dan Kerajaan Malaysia akhirnya telah menjalin persetujuan damai untuk menamatkan peperangan yang berlawanan dengan kemahuan rakyat. Perdamaian yang mulia ini telah mendatangkan kemakmuran, kemantapan dan keselamatan kepada kawasan sempadan Thai-Malaysia dan Malaysia sendiri. Dalam ucapannya di depan upacara perjanjian damai tersebut, Chen Ping berkata:
“Kami menganggap kedua-dua persetujuan untuk menamatkan aktiviti-aktiviti bersenjata yang telah berlarutan selama 41 tahun melalui perundingan damai ini sebagai suatu penyelesaian secara terhormat. Tidak syak lagi, penyelesaian yang adil dan menasabah bagi semua pihak yang berkenaan ini telah dicapai dengan semangat saling memahami dan saling bertolak ansur.”

Setelah Perjanjian Hadyai termeterai, kerajaan BN yang berteraskan UMNO secara terang-terangan mengabaikan perjanjian antara bangsa yang ditandatanganinya, sewenang-wenang mengingkari janji dan amanah yang dilafaskannya sendiri. 20 tahun lebih ini, mereka bertindak melanggar perjanjian, sehingga bekas-bekas anggota PKM yang balik ke Malaysia menghadapi berbagai masalah dan kesulitan. Mereka bahkan merampas hak Chen Ping, untuk kembali ke tanah airnya sendiri. Chen Ping adalah Setiausaha Agung PKM, salah seorang daripada penandatangan perjanjian damai dari pihak PKM dan telah puluhan tahun berjuang menentang kaum penceroboh asing.

Kami sekali lagi merayu kerajaan agar mematuhi perjanjian yang ditandatanganinya dan membenarkan Chen Ping kembali ke tanah air untuk menghabiskan masa tuanya.

Apapun yang berlaku, penandatanganan perjanjian damai ini telah amat menguntungkan gerakan demokrasi dan reformasi sosial negara ini. Pihak berkuasa telah kehilangan alasan untuk menindas gerakan demokratik rakyat secara sesuka hati dengan tuduhan “subersif komunis”. Di segi yang lain, ramai pejuang veteran dengan hati yang ikhlas diam-diam berusaha merintis jalan kearah demokrasi dan pembaruan. Manakala sesetengah pejuang veteran yang lain pula menyusun serta menerbitkan bahan-bahan sejarah berkenaan pengalaman perjuangan mereka dahulu, dalam usaha memulihkan semula kenyataan sejarah yang selama ini telah dimanipulasi dan dimonopoli oleh pihak berkuasa. Oleh kerananya, semakin ramai telah mengenali kenyataan sejarah yang sebenar dan menyediakan bahan-bahan rujukan yang amat berguna kepada gerakan demokrasi selanjutnya.

Setelah berlakunya tsunami politik pada 8 Mac tahun 2008, kami dengan amat gembira menyaksikan bahawa situasi politik di negara kita telah mengalami perubahan yang amat besar. Tunjuk perasaan-tunjuk perasaan bersifat massal melawan dasar racism, melawan UMNO yang membolot kuasa, nepotisme, rasuah dan bobrok, menentang modal-modal asing yang membawa masuk bahan-bahan radioaktif yang mencemarkan alam kita, menuntut hak sama rata antara kaum di segi pendidikan, serta menuntut pilihan raya yang bersih dan adil berlaku silih berganti. Kesedaran perjuangan ratusan ribu rakyat berbagai kaum (khususnya anak-anak muda) telah meningkat. Mereka telah menjadi tenaga utama gerakan pembaruan sosial. Rakyat telah menyaksikan kekuatan perpaduan semua kaum dalam perjuangan. Rakyat telah merasakan cahaya kemenangan di masa hadapan.

Demi memenangi PRU ke-13, Najib telah menawarkan berbagai projek yang menyilaukan mata dan menarik hati rakyat, membagi-bagikan wang bahkan mengarahkan macai-macainya membeli undi, dan sebagainya. Bagaimanapun, rakyat berbagai bangsa yang telah tertipu selama 50 tahun lebih ini telah celek mata dan tidak mempercayai lagi tipu muslihat mereka. Melalui undi suci mereka, rakyat memaksa UMNO/BN hanya berkuasa semula dengan mejoriti kecil di parlimen. BN cuma memperolehi 47.8% daripada jumlah seluruh undi. Najib terpaksa mengakui bahawa mereka akan kehilangan sokongan rakyat jika tetap mengabaikan hasrat rakyat dan tidak melakukan apa-apa pembaruan. Akan tetapi, di bawah tekanan golongan konservatif dan kronis, UMNO/BN sudah pasti tidak dapat meninggalkan dasar-dasar racisnya. Projek pembaruan Najib hanya dapat dilaksanakan secara melepaskan batuk ditangga sahaja, tanpa menyentuh kepentingan golongan konservatif. Mereka akan terus mengapi-apikan issu perkauman dan ugama, mensabotaj perpaduan antara kaum, menimbulkan pertentangan sosial. Jalan pembaruan di negara kita sudah pasti tidak mungkin berjalan lancar, tapi berliku-liku dan penuh dengan berbagai dugaan.

Perkembangan masyarakat tidak dapat diubah oleh kemahuan segelintir manusia. Masyarakat berubah dalam pergerakan, rakyat maju dalam perjuangan. Perjuangan massa yang wujud dewasa ini adalah kesinambungan perjuangan-perjuangan di masa lampau. Kita bukan sahaja harus mengimbau dan menghargai sejarah yang telah berlalu, lebih-lebih lagi harus bersungguh-sungguh mengkaji dan menyimpulkan pengalaman-pengalaman positif/negatif, menyelami massa, mempelajari kamahuan rakyat, bersatu dengan rakyat semua kaum, menyokong semua kekuatan pembaruan sosial dan parti politik yang mengutamakan kemahuan rakyat, dan berjuang keras untuk hari depan yang lebih indah, inilah tujuan suci kita memperingati ulang tahun ke-65 “20 Jun” Perang Pembebasan Nasional Anti-British.

Categories

Pengikut