MEMPERINGATI 65 TAHUN 20 JUN




MEMPERINGATI 65 TAHUN 20 JUN
-Ucapan Kawan Indrajaya di majlis memperingati 65 tahun Perang Anti British “20 Jun” yang diadakan pada 22 Jun 2013 di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur-


Kawan-kawan dan saudara-saudari sekalian,




Selamat malam.


Harini, kita berkumpul di sini untuk memperingati ulta ke 65 “20 Jun”. Mengkaji pengalaman dan pengajaran sejarah, mempunyai erti yang amat penting kepada kita.

Pada 16 Ogos tahun 1945, Jepun menyerah kalah tanpa syarat, Perang Anti-Fasis Sedunia tamat dengan kemenangan di pihak rakyat. Tentera fasis Jepun telah berambus dari bumi ini, tapi tentera penjajah British telah kembali, dan mendirikan kerajaan British Military Administration (BMA). Parti Komunis Malaya (PKM) telah membubarkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya pimpinannya yang berkekuatan hampir 10,000 orang. Dengan demikian, revolusi Malaya telah memasuki periode perjuangan damai.

Parti Komunis Malaya aktif mengerahkan dan mengorganais berbagai lapisan yang luas, untuk memperjuangkan hak hidup rakyat, hak demokrasi dan kebebasan serta kemerdekaan nasional. Sejarah membuktikan, kaum kominis Malaya bukan sahaja sanggup bertempur dengan gagah berani di front perjuangan bersenjata, tetapi juga mampu menjadi pelopor di gelanggang perjuangan aman.

Parti Komunis Malaya aktif mendorong pembentukan front persatuan nasional demokratik seluas-luasnya.

PKMM yang ditubuhkan pada bulan Oktober tahun 1945, telah mengemukakan semboyan militan MERDEKA dalam kongres pertamanya.

Pada awal tahun 1947, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah membentuk gabungan yang perkasa dengan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA), yang dinamakan PUTERA-AMCJA.

PUTERA-AMCJA kemudiannya telah mengemukakan PERLEMBAGAAN RAKYAT pada Julai tahun 1947. Dan memimpin hartal besar di seluruh Malaya (termasuk Singapura) pada 20 Oktober tahun yang sama.

Kenyataan membuktikan bahawa kesedaran politik massa rakyat luas di masa itu telah mencecah tahap yang amat tinggi. Pada masa yang sama, Parti Komunis Malaya telah mengenal pasti wujudnya ejen dalam selimut besar di dalam tubuhnya, iaitu Lai Tek, dan segera melakukan pembersihan. Pengaruh dan sabotaj penjajah British terhadap penggubalan dasar Parti Komunis Malaya telah lenyap.

Penjajah British berasa semakin tidak bermaya mengontrol Malaya. Ia berasa serba salah. Bagaimanapun, ia tidak sanggup kehilangan “permata di mahkota” Great Britain yang sungguh indah dan berharga ini.

Maka, pada 18 haribulan Jun tahun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat secara nekad, mengharamkan semua parti dan pertubuhan yang progresif termasuk Parti Komunis Malaya, menangkap semua tokoh patriotik dan progresif berbagai bangsa.

Di bawah keadaan sedemikianlah, kaum komunis serta tokoh-tokoh patriotik/demokratik Malaya berundur ke hutan-hutan belantara, mengangkat senjata, menentang kekerasan kaum reaksioner dengan kekerasan revolusioner, melancarkan perjuangan bersenjata.
 
Kami cintakan perdamaian, kami sememangnya tidak berniat untuk berperang.Data-data rasmi menunjukkan bahawa 6,000 kawan seperjuangan kami telah terkorban dalam perang ini, berkali-kali ganda daripada jumlah kematian pihak lawan. Kemajuan masyarakat memang harus dibayar dengan pengorbanan berbagai bentuk, mungkin termasuk jiwa dan raga. Bersama-sama rakyat Malaya, kami dengan darah dan nyawa kami akhirnya berjaya mengusir kaum penjajah British dan memenangi kemerdekaan Malaya pada tahun 1957. Dengan semangat ulit yang tak kenal tunduk, tabah dan tahan susah-payah, kami telah memberikan sumbangan kami kepada usaha meningkatkan kesedaran rakyat luas dan kemajuan masyarakat.


PERISTIWA 20 JUN



Pada malam 20 Jun 65 tahun yang lalu, setelah mengisytiharkan Undang-undang  Darurat, penjajah British telah melakukan penangkapan secara menyeluruh diseluruh negara. Aktivis-aktivis kiri yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air direngkokkan ke dalam penjara. Inilah peristiwa 20 Jun, penindasan besar-besaran ke atas gerakan kemerdekaan.

penjajah British dan anjing buruannya sedang melakukan penggeledahan
Dalam bukunya yang bertajuk Darurat dan Kemerdekaan, Pak Abdullah C.D. telah merakamkan sedikit pengalamannya ketika itu.

Kerana perjuangan menentang penjajah British untuk kemerdekaan terus berkembang sehingga tidak dapat dikawal lagi, maka pada 18 Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat di seluruh negara. Parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik  (golongan kiri) semuanya diharamkan. Antaranya PKM, PKMM, PETA, AWAS, BTM, Hizbul Muslimin, New Democratic Youth League (NDYL), kesatuan-kesatuan buruh dan lain-lain.

Pada 20 Jun 1948, penjajah British melakukan penangkapan secara besar-besaran ke atas kader-kader dan anggota-anggota parti atau pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik seperti PKM, PKMM dan lain-lain. Di antara mereka ada yang dipenjara, disiksa, dihukum gantung dan dibuang negeri.
Penangkapan besar-besaran ini telah memberikan pukulan yang paling berat ke atas

kekuatan patriotik-demokratik bahagian Melayu. Tiga orang pemimpin penting bahagian Melayu PKM yang hadir dalam Kem Se-Malaya telah ditangkap. Kamarulzaman ditangkap pada 20 Jun 1948, saya ditangkap pada 10 Julai 1948 dan Rashid Maidin juga ditangkap dalam bulan yang sama.

tawaran untuk menangkap Abdullah C.D.
Mujurnya dalam pergelutan yang menentukan hidup mati itu, saya berjaya melucutkan gari dan melarikan diri; Rashid Maidin berjaya melarikan diri pada tahun 1951 manakala Kamarulzaman yang pada mulanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati telah diubah menjadi penjara seumur hidup.
Rakan-rakan seperjuangan yang lain juga dalam PKMM dan PKM ramai yang menjadi mangsa penangkapan tersebut. Antara mereka termasuklah Ishak Haji Mohd, Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Cikgu Sabrun, Osman Bakar, Cikgu Muda, Cikgu Hamid, Ustaz Yahya Nasim, Taharuddin, Kamaruddin, Bizar Ahmad,  Sutan Djenain, Khatijah Ali dan lain-lain. Ketika itu seluruh negara telah ditenggelami dalam suasana terror putih, penindasan dan penangkapan terus-menerus berlaku di mana-mana.
Boestamam digiring ke penjara

Sungguhpun begitu, UMNO, parti politik Melayu yang pro-penjajah tidak menjadi sasaran Undang-undang Darurat. Undang-undang tersebut di samping menekan parti-parti politik patriotik-demokratik yang memperjuangkan kemerdekaan juga telah meletakkan batu loncatan kepada UMNO untuk melompat ke panggung politik tanpa sebarang saingan. Mulai dari sinilah ia tampil ke muka sebagai pembela orang Melayu.

Categories

Pengikut