KEPADA AYAHANDA ABDULLAH C.D.: DOA MENGIRINGI PEMERGIAN IBU

oleh: Panji Darman

Salam buat ayahanda Abdullah C.D. serta seluruh keluarga di sana.  anakanda berharap ayahanda tetap berada dalam tenang melepaskan seorang kekasih pejuang yang tiada tolok banding untuk abad 20 ini.  Anakanda di sini begitu sayu dan pilu mengenangkan pemergian ibu Suriani yang dikasihi.  Perasaan sedih dan sayu ini juga dikongsi oleh ramai pemimpin dan kawan-kawan di Malaysia yang pernah mengenali ibu Suriani dan mengikuti sedikit sebanyak kisah-kisah  keperitannya dalam perjuangan kemerdekaan Malaya. 

Anakanda dapat merasakan betapa pilu perasaan ayahanda terhadap perginya kekasih, isteri dan
kawanseperjuangan ayahanda semasa sama-sama berjuang menentang tentera Fasis Jepun, serta selepas itu berlanjutan menentang colonial Inggeris dan peperangan menentang golongan reaksioner.  

Kehilangan ibu suriani buat anakanda serta seluruh kawan-kawan di sini amat dirasakan.  Walaupun anakanda tidak pernah berada di zaman itu khususnya zaman penentangan Fasis Jepun, anakanda dapat membayangkan seorang gadis cantik berusia 17 tahun begitu cekal dan berani melancarkan serangan dan bertindak melawan kekejaman militer Askar Fasis hinggalahmereka mengalah.   

Ibu Suriani pernah dipenghargaan menabur bunga oleh Inggeris dari ruang udara di Bandar Ipoh kerana keberaniannya menunjukkan sikap tanpa kompromi meskipun dia pernah disiksa dengan begitu perit dalam  penjara Jepun.  

Ibu adalah seorang Seri Kandi dan Pejuang Bangsa yang banyak berjasa terhadap nusa dan bangsa.  Ibu adalah seorang Srikandi  Abad 20 yang kami telah nobadkannya sejak kali pertama kami bertemu dengan beliau dengan menghadiahkan sebuah Selendang Srikandi pejuang Abad 20 mewakili Wanita Asia sebenarnya yang tiada tolok banding yang juga diakui oleh tentera British sendiri sebagai seorang yang sangat hebat tatkala menentang Jepun.

Anakanda serta seluruh kawan-kawan di sini amat-amat berharap agar ayahanda terus bersabar dan tenang
di atas kehilangan seorang kekasih dan isteri serta kekasih bumi Malaya yang begitu berjasa.  Sudah semestinya kesedihan ini tidak tertanggung memandangkan ibu dan ayahanda kami lihat sebagai sepasang kekasih dan pejuang bagi sebuah zaman untuk melepaskan generasi kami daripada terus berada di bawah rahang imperialism yang amat kejam. 

Doa kami terus mengiringi roh yang di kasihi ibu untuk mengadap Ilahi.  Beliau pulang ke sisi  Pemelihara sesudah beliau melaksanakan suatu tugas yang diperintahkan oleh Pemelihara kita iaitu bertindak menentang kaum penindas dan membebaskan golongan marhein dari penindasan seperti perlawanan Daud terhadap Jalut dan  Musa terhadap Firaun, dan Muhammad SAW terhadap kekerasan kaum Jahiliah Arab pagan seperti yang  di sebut di dalam Al-Quran. 

Sekian,
Salam kasih sayang yang berpanjangan daripada anakanda.

21. 3. 2013

EMEL TAKZIAH DARI RAKAN SEPERJUANGAN MENGIRINGI PEMERGIAN IBU SURIANI


Salam sdr,

Saya dah baca laporan di Malaysiakini (BI dan BM) serta laporan di blog MatAmin tentang pemergian Mak Cik Suriani serta menatap gambar2 yang dipaparkan di sana. Amat mengharukan lebih-lebih lagi melihat kawan2 mengiringi jenazahnya dengan mengusungnya ke pekuburan dan enggan membawanya dengan kenderaan. Harap Pak Lah tabah menerima pemergian ini. Begitu juga Karimas dan Anas serta seluruh kawan2 lain.

Begitulah hakikatnya, yang hidup akan pergi menemui Penciptanya apabila sampai masa. Namun, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ibu Suriani meninggalkan nama yang harum sebagai serikandi dan pejuang rakyat yang terbilang! Sekalipun negara tidak mengakui jasa-jasanya khususnya dalam perjuangan melawan fasis Jepun dan penjajah Inggeris, sejarah tetap akan mengukir nama beliau sebagai patriot kesuma bangsa yang berjasa!

Salam takziah yang mendalam kpd Pak Lah, Karimas, Anas dan semua kawan2. Alfatihah!


Bl

21/3/2013

* * * * * * * * * * *


阿都拉‧西迪先生台鉴:

惊悉应敏钦女士(Suriani Abdullah)骤然谢世,本社同人不胜哀悼。应女士一生追求社会正义,为民族解放和国家独立事业,征战疆场数十年,历经艰险,不愧民族女杰,深得各族人民尊敬和爱载.今日溘然长逝,一代英名永垂青史。本社同人于哀悼之余,亦谨向您和您的家属致以亲切慰问,并望节哀顺变。


香港足印出版社全体同人 敬唁


2013年3月21日




阿都拉‧西迪先生台鉴:

惊悉应敏钦女士(Suriani Abdullah)骤然谢世,本社同人不胜哀悼。应女士一生追求社会正义,为民族解放和国家独立事业,征战疆场数十年,历经艰险,不愧民族女杰,深得各族人民尊敬和爱载。今日溘然长逝,一代英名必将永垂青史。本社同人于哀悼之余,亦谨向您和您的家属致以亲切慰问,并望节哀顺变。


足印出版社全体同人 敬唁


2013年3月22日

Terjemahan:

Kami amat berdukacita dengan pemergian Puan Suriani Abdulllah. Puan Suriani telah menghabiskan sepanjang hayat beliau untuk menuntut keadilan sosial, berjuang demi pembebasan nasional dan juga kemerdekaan tanah air. Beliau bertempur di medan perang untuk puluhan tahun, merentasi pelbagai cabaran dan ancaman hebat. Memang beliau seorang pejuang wanita yang hebat, dan mendapat penghormatan dan kasih rakyat berbilang kaum. Permergian beliau hari ini pasti akan meninggalkan namanya yang akan dikenang selama-lamanya.


Selain menyampaikan ucapan takziah, kami juga ingin menyampaikan salam mersa kepada saudara dan keluarga saudara.

* * * * * * * * * * *

Kami rasa amat dukahati diberitahu pemergian Ibu Suriani Abdullah.

Di sini kami menyampaikan takziah kepada kawan Abdullah C. D. yang amat dihormati, Karimas semua keluarga, serta segenap kawan-kawan dan warga Kampung Perdamaian Sukhirin.

Kami dapat mengenal Ibu Suriani Abdullah sejak mula tahun tujuhpuluhan waktu kami masih menjalankan tugas kerja bawah tanah. Dalam masa dahulu empatpuluh tahun lebeh ini, beliau dengan tidak putus-putusnya memberi sokongan-sokongan dan panduan-panduan yang amat bernilai kepada kami.

Jasa serta semagat yang besar dan tinggi beliau tidak dilupakan atau hilang!


JHL

23/3/2013






EMEL TAKZIAH DARI KAWAN CHIN PENG ATAS PEMERGIAN IBU SURIANI


Saya sangat sedih mendapat berita atas kepergian rakan satu sekolah, sekampung halaman dan rakan seperjuangan Kawan Amin (Suriani Abdullah @ Eng Ming Ching).

Bersamaan itu, saya mengucapkan takziah kepada Kawan Abu (Abdullah C.D.)  dan keluarga.

Chin Peng
21/3/2013

Pertemuan terakhir

CATATAN RASHID MAIDIN PADA PENGANTAR MEMOIR SURIANI ABDULLAH


Setengah Abad Dalam Perjuangan - sebuah memoir tulisan Suriani Abdullah yang mencatatkan perjuangan dan kehidupan beliau yang mengkagumkan, bagaikan helang merempuh badai gelora menuju ke puncak cita-cita pantai bahagia.

Sejarah berputar mengikut edarannya, kesedaran dan kemajuan manusia juga berkembang mengikut zamannya. Beliau dilahirkan dalam zaman kesedaran nasional rakyat tanah jajahan dan  setengah jajahan di dunia, Asia khasnya sedang menggelora. Kebangkitan ini telah menempa beliau dari seorang gadis "bagaikan mutiara di tapak tangan" berubah menjadi seorang pejuang wanita yang unggul dan bercita-cita tinggi untuk keadilan masyarakat, kemerdekaan negara dan bangsanya.

Saya bertemu dengan beliau pada tahun 1945, apabila saya menyertai Pasukan Propaganda Perak di bawah pimpinan beliau. Sejak itu kami bahu membahu dalam perjuangan. Selepas itu, kami sama-sama bergerak sebagai wakil PKM terbuka dan kemudiannya sama-sama berjuang di Rejimen  Ke-10.

Suriani pernah melalui 6 masa sejarah atau 6  peringkat perjuangan yang penting iaitu masa perjuangan sebelum pencerobohan fasis Jepun; perjuangan anti-Jepun (1941 - 1945); perjuangan secara berperlembagaan selepas kekalahan Jepun (1945 - 1948), Perang Pembebasan Nasional Anti-British setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat (1948-1957); Perang Revolusioner Dalam Negeri apabila Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menolak untuk  memberhentikan perang secara adil dan munasabah (1957-1989) dan perjuangan untuk membangun kehidupan bekas perajurit Rejimen Ke-10 setelah termaterinya Persetujuan Damai Haadyai pada tahun 1989.

Sepanjang masa sejarah yang cemerlang tersebut, beliau telah mengharungi berbagai-bagai prahara atau berbagai ujian perjuangan yang dahsyat. Sebelum pendudukan Jepun, beliau pernah diserbu dan dikepung polis British di sebuah bilik, tetapi dengan sikap yang tenang dan akal teknik yang cerdik, beliau berjaya melepaskan diri. Dalam masa pendudukan Jepun, beliau pernah terserempak dengan pegawai dan tentera Jepun ketika beliau  berbincang dengan anak tuan punya lombong di Tanjung Tualang, tetapi beliau dengan tabah dan berani bersembunyi di sebalik dinding sebelah; ketika menjadi Setiausaha Kawasan Tanjung Tualang, beliau pernah dikepung oleh askar fasis Jepun. Kerana pistolnya tak meletu, beliau ditangkap dan dipenjarakan. Di dalam penjara beliau telah memperlihatkan semangat yang gagah berani, sedikit pun tak tunduk kepada kekejaman fasis Jepun. Dalam Perang Pembebasan Nasional Anti-British dan Perang Revolusioner Dalam Negeri, beliau banyak kali melakukan pertempuran gagah berani dan banyak kali menerima ujian berat seperti kempen kepung basmi tentera penjajah British di Cameron Highlands, serangan udara terbesar dalam sejarah peperangan Malaya di Ulu Kinta yang diarahkan sendiri oleh Jeneral Bonn, kempen-kempen kepung basmi di kawasan sempadan dan lain-lain. Demi perjuangan, beliau telah menjelajahi  seluruh bumi tanah air, dari Singapura di hujung selatan hinggalah ke kawasan sempadan di hujung utara Semenanjung dengan mengharungi ribuan   sungai, ribuan bukit bukau dan gunung ganang serta ribuan lereng bukit dan lembah.

Di sepanjang jalan perjuangan, Suriani telah  memperlihatkan semangat dan tekad juang yang teguh tak berganjak, berkhidmat sepenuh hati  kepada usaha perjuangan. Pada awal pendudukan Jepun, beliau dilantik sebagai Setiausaha Komiti Parti Bandaran Ipoh, pernah menjadi Wakil Parti Kompeni Teladan Rejimen Ke-5 TAJRM; kemudian menjadi anggota Area Komiti kawasan Chemor, Sungai Siput dan Setiausaha Area Komiti Kawasan Tanjung Tualang, kampung-kampung Melayu sekitar Lambor, Batu  Gajah dan lain-lain. Pada masa aman selepas Jepun kalah, beliau dilantik sebagai Wakil PKM Negeri Perak dan menyertai kerajaan BMA. Selepas itu, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Pejabat Parti Kuala Lumpur dan kemudian ditukarkan ke Singapura. Setelah undang-undang darurat diisytiharkan, beliau mulanya dilantik sebagai Jawatankuasa Negeri Johor, kemudian dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-6. Setelah sampai di kawasan sempadan, beliau dilantik  sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10. Pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai Naib Setiausaha Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-10, tahun 1965 dilantik sebagai anggota Dewan Rendah Pertama Utara Malaya dan pada tahun 1975 dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PKM.

Kerana penampilan dan semangatnya yang menonjol dalam Perang Anti-Jepun, beliau bersama 2 lagi pejuang wanita Malaya telah diiktiraf sebagai SRIKANDI ANTI-JEPUN dalam satu sidang antarabangsa di Beijing, Tiongkok.

Selepas kekalahan fasis Jepun iaitu dalam masa  perjuangan secara aman, beliau muncul sebagai wakil parti atau Ketua Setiausaha Pejabat Parti,  beliau bersama-sama kader terbuka yang lain dengan tekun dan tabah memperluaskan pengaruh parti dan mempertinggikan prestij parti serta mendorong maju perjuangan. Dengan adanya kelebihan berpidato dalam berbagai-bagai bahasa serta mempunyai langgam dan gaya yang baik, beliau mendapat jolokan "Bintang PKM" dari massa rakyat khasnya dari golongan nasionalis kiri bangsa Melayu.

Sejarah perjuangan beliau berkait erat dengan sejarah perjuangan Rejimen Ke-10. Apabila  ditugaskan membantu Rejimen Ke-10 dalam perjalanan jauh ke kawasan sempadan pada tahun 1953, beliau telah dengan tulus ikhlas membantu Abdullah C.D. dan Markas Besar Rejimen Ke-10 menyelesaikan bermacam-macam tugas di sepanjang jalan. Setelah dilantik sebagai anggota Markas Besar Rejimen Ke-10, beliau dengan rendah hati berusaha mempelajari kebudayaan dan adat istiadat Melayu dan akhirnya telah mengintegrasikan diri dengan kawan-kawan Melayu yang pada umumnya berasal dari kelas tani miskin. Di sini pula, bersama-sama pimpinan lain, beliau menumpahkan seluruh tenaga dan usahanya untuk membangun dan mendewasakan pasukan, memperluas dan memperkukuh kawasan basis, serta memimpin seluruh kader dan perajurit  mempertahankan perjuangan bersenjata sampai  termaterinya persetujuan damai Haadyai.

Ujian paling berat dihadapinya ialah ketika Abdullah C.D. jatuh sakit terkena racun pada tahun 1975. Ketika itu semua urusan memimpin tentera, parti dan berbagai bahagian terletak di atas bahu beliau. Dalam kenyataannya beliau telah lulus dalam ujian dan menyelesaikan tugas dengan jaya.

Termaterinya persetujuan damai Haadyai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM dan antara Kerajaan Diraja Thailand dengan PKM merupakan titik balik penting dalam sejarah perjuangannya. Tugas beliau memimpin pasukan telah selesai, tapi diganti tugas baru membangun kampung dan kehidupan baru untuk bekas perajurit. Sesudah pembangunan kampung dan kehidupan bekas perajurit agak sempurna, beliau telah beberapa kali berkunjung ke luar negeri untuk menambah pengetahuan, dan  pernah 2 kali balik ke Malaysia, menemui keluarga, sahabat handai dan menghadap ke bawah DYMM Sultan Perak. Yang penting lagi ialah beliau dan Abdullah C.D. telah berpeluang menunaikan ibadat Haji di tanah suci Mekah.

Kini usia beliau telah menjangkau 80 tahun, tapi beliau masih aktif menabur bakti kepada penduduk umum dan untuk masa depan  generasi baru, zuriat bekas perajurit agar menuju masa depan yang indah.



(Rashid Maidin)
Yala,
Selatan Thailand

Ogos 2005

PSM: SURIANI (1924-2013) – SEORANG PEJUANG KEMERDEKAAN DAN ANTI IMPERIALIS

SURIANI (1924-2013) – SEORANG PEJUANG KEMERDEKAAN DAN ANTI IMPERIALIS


Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin merakamkan rasa takziah kepada keluarga dan kawan-kawan Srikandi Suriani yang merupakan salah seorang tokoh agung kiri tanahair yang berjuang untuk kemerdekaan tanahair dan telah menentang pencerobohan Malaya oleh Imperialis Jepun dan British.


Ibu Suriani adalah antara pejaung paling unggul abad ke 20 dan pernah diberi perkenan oleh DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada tahun 1989.

Sebenarnya ramai wanita yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan dan SriKandi Suriani merupakan salah seorang daripada  tokoh yang banyak membuat pergorbanan demi perjuangan.

Suriani Abdullah lahir pada 23 Januari 1924 di Sitiawan, Perak. Pejuang progresif ini lahir dalam zaman kesedaran nasional rakyat semasa Tanah Melayu pada masa itu dijajah oleh British. Pada masa itu Malaya sedang bergelora dengan kebangkitan rakyat. Beliau adalah produk kebangkitan ini.

Setelah Perang Anti-Jepun meletus, Suraini terpengaruh dengan gerakan pelajar anti-Jepun. Pada masa itu, terdapat dua parti politik yang aktif menentang penjajahan; KKM (Kesatuan Melayu Muda) dan PKM (Parti Komunis Malaya). Suriani menyertai Tentera Pembebasan Tanahair iaitu Rejimen Ke-10.

Sumbangan Suriani kepada kemerdekaan Negara harus dilihat melalui penglibatan beliau dalam Perjuangan Anti-Jepun (1941-1945) dan Perang Pembebasan Nasional Anti-British (1948-1957)

Beliau pernah ditangkap oleh tentera Jepun dan dipenjarakan. Namun, semangatnya yang gagah dan berani menyebabkan Suriani tidak pernah tunduk kepada kekejaman penjajah. Semangat dan penampilan pejuang wanita ini diberi pengiktirafan dan diberi gelaran ”SRIKANDI ANTI-JEPUN”.

Beliau banyak memberi sumbangan dan berjuang bersama-sama tokoh seperti Abdullah CD dan Rashid Maidin sehinggalah termeterai Perjanjian Damai Haadyai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM. Suriani telah berumahtangga dengan Abdullah CD dan menetap di Selatan Thailand.Pada tahun 1999, Suriani dan Abdullah CD telah mengerjakan Haji di Mekah.

Dalam pemergian ini, PSM meminta Kerajaan Malaysia mengikriraf  pengorbonan semua pejuang yang berjuang untuk kemerdekaan Malaysia termasuk pejuang kiri seperti Suriani. Sejarah harus memberi pespektif benar dan biar rakyat menentukan.

Salam Pemergian Ibu Suriani - Perjuangan mu tetap dikenang dan dihormati


S.Arutchelvan

Setiausaha Agung PSM

21-3-2013

UCAPAN TAKZIAH DARI PERSATUAN PERSAHABATAN ABAD KE-21 MALAYSIA ATAS PEMERGIAN IBU SURIANI


Ucapan Takziah Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia
Berduka Atas Peninggalan Suriani Abdullah

Dengan amat dukacita Jawatankuasa Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia menyampaikan ucapkan takziah kepada Pak Abdullah C. D. dan semua keluaraga serta ketua kampung dan segenap warga Kampung Perdamaian Sukhirin.

Kami ahli Jawatankuasa Eksekutiv dan segenap ahli Persatuan ini menyatakan rasa sedih hati mendalam atas pemergian Suriania Abdullah dan semoga rohnya ditempatkan ke golongan patriot dan srikandi.

Jawatankuasa Eksekutif
Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia

21 Mac, 2013

PERGINYA IBU SURIANI - PEMIMPIN DAN IBU REJIMEN KE-10 YANG TERHORMAT DAN TERCINTA


Hari ini kami bekas perajurit Rejimen Ke-10 terpaksa menerima hakikat ketentuan Allah Taala bahawa kami harus berpisah dengan pimpinan sekaligus ibu yang amat kami hormati dan cintai Ibu Suriani Abdullah @ Eng Ming Ching.

Pada pukul 5 am waktu tempatan, Ibu Suriani menghembuskan nafas yang terakhir setelah bertarung dengan sakit selama 5 tahun di kediamannya  Kampung Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat, Selatan Thailand. 

Sewaktu terlantar di tempat pembaringan, beliau sentiasa bertanya khabar tentang kemajuan kampung  dan perkembangannya. Beliau sentiasa mendorong kawan-kawan berusaha meningkatkan pendapatan masing-masing sambil mengambil berat kemajuan kampung agar menjadi sebuah kampung yang maju di rantau ini.

Ketika sakit, beliau sentiasa ditemani oleh anak wanitanya Kawan Karimas dan kawan-kawan wanita lain yang turut membantu secara bergilir-gilir. Sementara itu rakan seperjuangan yang lain tak putus-putus datang menziarahi beliau.

Setelah mendapat berita pemergiannya kawan-kawan secara otomatik memberhentikan semua pekerjaan, berkabung atas pemergian pimpinan dan ibu mereka yang dihormati dan dicintai.

Keciantaan yang tiada tara ini terlahir kerana Ibu Surianilah tempat kawan-kawan, baik lelaki mahupun wanita, baik yang lama mahupun yang baru meluahkan rasa suka duka, sama-sama berkongsi kenikmatan dan sama-sama hadapi kesusahan. Kemesraan dan kecintaannya terhadap kawan-kawan menjadikan beliau seorang ibu dan seorang pemimpin yang dihormati dan dicintai setiap perajurit.

Atas tuntuan kawan-kawan, jenazah beliau tidak dibawa dengan kereta, tetapi diusung secara bergilir-gilir ke perkuburan yang terletak lebih kurang setengah k.m. dari kampung. Seluruh kawan yang ada di dalam kampung ikut mengirigi jenazah.

Pemergian beliau merupakan suatu hakikat yang amat berat yang terpaksa kami terima. Semoga Ibu diletakkan di kalangan orang-orang yang dikasihi Allah.

keterangan: Masa yang tertera di gambar ini adalah masa Malaysia
Jenazah Ibu dikelilingi rakan seperjuangan
Jenazah dibawa keluar dari kediaman dengan iringan azan oleh Bilal Pak Hatta

jenazah disembahyangkan di Masjid Darul Aman
Ketua Kampung, Sdra Drome Binza melaungkan azan ketika jenazah dibawa keluar dari Masjid


rakan2 seperjuangan, anak2 dan cucu2 ikut mengiringi jenazah ke perkuburan
Bapa Abdullah C.D. menerima ucapan  takziah dan derma dari wakil tentera Thai

Categories

Pengikut