SELAMAT HARI JADI 90 TAHUN BAPA ABDULLAH C.D.


(Ucapan Ketua Kampung Perdamaian Sukhirin – Ban Chulabhorn Patana 12 Sempena majlis meraikan hari jadi 90 tahun Bapa Abdullah C.D.)

Assalamulaikum warahmatullahi wabarokatuh


Bapa Abdullah C.D. yang terhormat,
Pegawai-pegawai kerajaan yang terhormat,
Sahabat-sahabat dari Malaysia dan Indonesia yang terhormat,
Kawan-kawan dan saudara-saudari yang tercinta.

Pada  2 Oktober tahun ini, genaplah 90 tahun usia Bapa Abdullah C.D. Marilah kita mengucapkan SELAMAT HARI JADI kepada beliau dan berdoa kepada Allah Subhanahuwataala mengurniakan kesihatan sepanjang hayat, memberikan keberkatan dan panjang usia kepada beliau.

Kawan-kawan dan saudara-saudari,

Mengapa kita perlu merayakan hari jadi Bapa Abdullah C.D.? Secara umumnya saya simpulkan ada 4 sebab penting.

1.    Bapa Abdullah C.D. bukanlah sebarang tokoh. Nama beliau yang masyhur dan sumbangan yang besar sudahpun diketahui dunia. Sebagai anggota kampung ini, Kampung Perdamaian Sukhirin atau Ban Chulabhorn Patana 12, kita merasa bangga tiada taranya kerana ini.

2.    Sejak dari zaman  remaja iaitu sebelum Jepun menceroboh Malaya lagi, beliau telahpun menceburi politik dalam KMM untuk kemerdekaan tanah air dari cengkaman penjajah British. KMM atau nama penuhnya Kesatuan Melayu Muda adalah parti orang Melayu yang pertama ditubuhkan di atas landasan ideologi nasionalis, sosialis progresif.


3.    Beliau adalah penaja dan pemimpin pasukan Rejimen Ke-10 yang sangat2 menggerunkan kaum penguasa Inggeris dan bonekanya. Bersama-sama pasukan-pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya yang lain, pasukan ini turut memberikan sumbangan yang besar kepada usaha kemerdekaan Malaya.

4.    Beliau adalah perintis dan pembimbing kemajuan kampung kita yang indah permai ini. Lihatlah Masjid kita yang indah tersergam, Muzium yang menarik pandangan  dan kehidupan kita yang aman damai hari ini adalah berkat usaha dan susah payah beliau.
Oleh itu sudah pastilah kita merasa amat bangga dan bertuah berada disisi seorang tokoh agung seperti ini.

Kawan-kawan dan saudara saudari yang dikasihi!

Siapakah sebenarnya Abdullah C.D.?

Abdullah C.D. adalah nama perjuangan, nama sebenarnya ialah Cik Dat bin Anjang Abdullah.
Beliau dilahirkan pada 2 Oktober 1923 di Kampung Lambor Kiri, Daerah Parit, Negeri Perak, Malaysia. Ayahnya seorang ketua kampung. Beliau adalah satu-satunya anak lelaki keluarga tersebut.
Beliau mendapat pendidikan dasar di sekolah Melayu di kampungnya kemudian meneruskan pelajaran di sekolah Inggeris, Clifford School di Kuala Kangsar Perak.

Ketika menuntut di Clifford School, dia mula menerima pengaruh progresif dan menyertai Kesatuan Melayu Muda. Di sinilah semangat anti penjajah mula berputik di dalam jiwanya. Dalam sejarah dicatatkan bahawa Bapa Abdullah C.D. adalah anggota KMM yang paling muda ketika itu.
Tahun 1941, Jepun menceroboh Malaya. Beliau terpaksa berhenti sekolah kerana perang.

Beliau tidak rela melihat tanah airnya dipijak2 oleh fasis Jepun. Melalui berbagai liku-likuan, beliau telah dapat berhubung dengan organisasi PKM yang sedang melancarkan perang menentang Jepun. Bapa Abdullah C.D. telah menjadi kader PKM yang penting di kampungnya. Beliau telah menyusun para pemuda mendirikan pasukan laykar rakyat menentang Jepun.


Kerana semangat perjuangannya yang tinggi beliau telah diterima menjadi anggota PKM pada tahun 1945 dan memimpin cawangan parti di kampungnya.

Menjelang Jepun menyerah kalah, beliau bersama rakan2 seperjuangan seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mokhtaruddin Lasso dan lain2 telah membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk kemerdekaan. Dalam kongres yang pertama pada 16 Oktober 1945, beliau telah dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat parti tersebut.

Setelah Jepun kalah, beliau berjuang secara berperlembagaan membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat. Beliau berkhidmat dalam PKMM, Jabatan Kerja Melayu PKM dan Kesatuan Buruh Melayu.

Pada tahun 1947, beliau bersama rakan2 seperjuangannya Dr. Burhanuddin Al Helmy, Ganapathy dan lain-lain menghadiri Persiadangan Serantau SeAsia di New Delhi India. Ini adalah suatu persidangan anti kolonialis yang julung-julung kali diadakan di rantau ini.

Pada bulan Jun 1948, penjajah British mengistiharkan undang2 darurat. Abdullah C.D. telah ditangkap dan digari. Akan tetapi beliau telah melakukan perlawanan yang gagah berani sehingga berjaya melucutkan gari dan melarikan diri dari tangkapan musuh.

Pada 21 Mei 1949, beliau menubuhkan sebuah pasukan Melayu yang terkenal iaitu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya di sebuah hutan kawasan Kerdau, Temerloh, Pahang. Melalui berbagai-bagai ujian dan rintangan, beliau telah mengasuh pasukan ini dari 17 orang perajurit menjadi 3 kompeni melancarkan pertempuran2 menentang kekuasaan Inggeris di Malaya.


Pada tahun 1953, beliau memimpin sebahagian pasukan Rejimen Ke-10 yang dikenali dengan nama Pasukan Hang Jebat meninggalkan basis Temerloh dan tiba di kawasan sempada pada tahun 1954 Inilah longmarch yang terkenal Rejimen Ke-10 yang memakan masa selama 1 tahun 4 bulan.

Di kawasan sempadan, Bapa Abdullah C.D. mengarahkan banyak pertempuran melawan kempen kepung basmi pihak lawan, terus menerus memperkukuh dan memperbesar pasukan serta menyusun massa rakyat  yang luas untuk menyokong pasukan bersenjata.

Sepanjang proses memimpin pasukan Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan, beliau pernah diracun beberapa kali oleh intelijen yang menyusup di dalam barisan, peristiwa terkena racun yang paling hebat menimpa beliau ialah pada 30 September 1975 yang menyebabkan beliau pengsan, tidak sedarkan diri selama beberapa hari. Hari ini kita dapati pertuturannya terganggu akibat keracunan tersebut.

Pada tahun 1955 beliau dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PKM. Pada tahun 1957 beliau dipilih menjadi anggota Politbiro JKP PKM. Pada tahun 1988 beliau dipilih menjadi Pengerusi PKM.
Pada tahun 1988, beliau atas nama Rejimen Ke-10 telah memulai perundingan damai dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand untuk menamatkan peperangan.

Lanjutan dari perundingan itu, pada tahun 1989,  suatu perundingan damai 3 pihak tingkat tinggi antara PKM Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand telah berjaya mencapai persetujuan2 menamatkan peperangan.

Pada 2 Disember 1989, upacara penandatanganan persetujuan damai telah diadakan di Hadyai. Bapa Abdullah C.D. dipilih sebagai salah seorang penandatangan bagi pihak PKM bersama itu bersama Chin Peng dan Rashid Maidin.

Sesuai dengan semangat persetujuan bersama itu, 4 buah kampung perdamian telah didirikan. Kampung kita yang tercinta ini adalah salah sebuah dari  kampung-kampung tersebut. Ketika itu kampung ini diberi nama Kampung Perdamaian 4 atau Ban Rattana Kiti 4.

 Pada Pada tahun 1993 sesuai dengan pengaturan pembangunan, kampung kita ini telah ditukar nama menjadi Ban Chulabhorn Patana 12 atau Kampung Perdamaian Sukhirin.

Dalam masa pembangunan kampung ini, Bapa Abdullah C.D. telah memberikan banyak perhatian, bimbingan dan lain2 untuk kemajuan kampung dan kehidupan bekas perajurit Rejimen Ke-10.
Sekarang, kita boleh melihat sebuah masjid yang asalnya sebuah madrasah, sebuah muzium dan sebuah rumah tamu hasil rancangan yang rapi dari Bapa Abdullah C.D.

Di samping itu, kita juga telah menerima berbagai-bagai bantuan dari Badan Kebajikan yang diarah oleh bapa Abdullah C.D. Hari ini, anggota2 bekas perajurit yang berumur 60 tahun ke atas masih menerima bantuan orang tua dari badan ini.

Pendek kata, kita dapat mendirikan kampung yang indah permai ini, menjalani kehidupan yang aman damai adalah berkat usaha dan jerih payah Bapa Abdullah C.D.

Oleh itu, marilah kita bersyukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana telah memberikan kesihatan yang baik dan usia yang panjang kepada pemimpin kita yang tercinta, Bapa Abdullah C.D.
Marilah kita ucapkan ribuan terima kasih kepada Bapa Abdullah C.D. atas sumbangan besar beliau ke atas kampung kita dan kehidupan kita hari ini!

Kampung kita akan mengenang Bapa Abdullah C.D. sebagai seorang pemimpin dan perintis kampung yang jaya!

SELAMAT HARI JADI 90 TAHUN BAPA ABDULLAH C.D.

Sekian

Wassalamualaikum warahmatulllahi wabarokatuh

Drome Binza
Ketua Kampung Perdamaian Sukhirin
Ban Chulabhorn Patana 12
25 Oktober 2013

Categories

Pengikut