TERKENANG SAMBUTAN KEMERDEKAAN 1957 DI REJIMEN KE-10

Terkenang Sambutan Kemerdekaan 1957 
Dalam Pasukan Rejimen Ke-10
Perasaan Pejuang Merdeka Terhadap Merdeka yang Dibolot UMNO

** Afandi ** -

Kawan Afandi
Menjelang hari ulang tahun ke-56 Hari Kemerdekaan, ada dua perkara membuat saya terkenang akan nostagik yang masih segar dalam ingatan.

Perkara pertama, saya dengan amat besar hati menghadiri forum anjuran NGO Persatuan Pembebasan Bangsa Malaysia yang bertajuk Merdeka 100% —— Sejarah Merdeka Digelapkan, kemudian menghadiri Jambori Anak Muda Radikal yang juga berkaitan dengan kemerdekaan. Ini suatu tanda golongan anak muda insaf akan nasib bangsa dan negara dan bercita-cita berjuang untuk membawa negara ke arah tanpa dasar perkauman dan semua bangsa/kaum hidup dalam keadaan harmoni dan bersatupadu yang menjadi batus asas memakmurkan dan memperkasakan negara. Ratusan hadirin bersorak dan bertepuk gemuruh tanda bersetuju dengan rumusan bahawa merdeka diperolehnya itu setengah masak, bukan merdeka 100%, dan sejarah digelapkan kerana UMNO membohong dengan mendakwa merdeka diperolehnyan melalui rundingan aman dengan penjajah, dan

menafikan jasa pihak-pihak yang mempelopori perjuangan kemerdekaan seperti PKM, PKMM, API, AWAS, BATAS, Hizbul Muslimin dan sebagainya. Dan bagaimana pun dalam Perundingan Damai di Puket, Ketua perwakilan kerajaan Datuk Rahim Nor telah membaca kenyataan kerajaan bahawa “Kerajaan tidak menafikan atau memertikaikan pernan PKM dalam kemerdekaan”. Fakta sejarah membuktikan setelah perang anti-British yang dipimpin PKM berlangsung rancak, ketika itu ramai ahli PKMM masuk UMNO dengan tujuan mendorong parti yang hanya melaung slogan Hidup Melayu tetapi tak mahu gunapakai nama Pekembar hanya mahu nama dalam bahasa Inggeris United Malays National Organisation itu supaya mahu merdeka, barulah UMNO ikut di belakang.

Perkara kedua, dalam portal/laman web terpapar maklumat bagini, di negeri Pahang amnya dan daerah Temerloh —— daerah kelahiran pasukan Melayu sejati Rejimen Ke-10 khasnya, rakyat bagaikan tidak cakna dan tidak mempedulikan 31 Ogos tarikh yang dianggap 'keramat' oleh kerajaan itu. .....Lebih memalukan, pihak kerajaan atau penaja ada mengedarkan bendera percuma tetapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya. Sudah tentu, gejala ini timbul tak lain dan tak bukan disebabkan hasil merdeka telah diUMNOkan, tidak boleh dirumuskan bahawa rakyat kita tiada semangat patriotiknya.

Kupasan ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 74, adalah tepat sekali, ditunjukkannya bahawa “terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘bosan’ terutama golongan muda yang disumbatkan dengan maklumat seolah-olah hanya diperjuangkan oleh Umno bersama gabungannya MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris. Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan hak milik Umno semata-mata.”

Keadaan ini amat memperangsang semangat saya, rupanya perasaan para pejuang lama malahan generasi muda juga sama perasaan dan sejiwa dengan perajurit menentang penjajah 56 tahu silam, ini membuat saya terkenang akan suasana perayaan menyambut kemerdekaan dalam pasukan Rejimen Ke-10 56 tahun dulu, biarlah saya ceritakan untuk berkongsi dengan semua.

Dalam ingatan saya pernah dikemukakan soalan apa perasaan kami terhadap kemerdekaan yang dibolot oleh UMNO, adakah kami merayakan kemerdekaan. Sudah pasti, yang mengemukakan soalan itu amat simpati dengan kami yang memperjuangkan kemerdekaan tetapi jasa perjuangan telah dinafikan, hasil perjuangan telah dirampas atau dibolot UMNO. Maka dengan suka rela saya ceritakan keadaannya.

Selepas kebuntuan Perundingan Baling, awal tahu 1946, saya dihantar Chin Ping untuk bertugas di Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Abdullah C. D. dan Suriani (catatan: Rashid Madin setelah menghadiri Perundingan Baling masih tinggal di Organ Pusat bersama Chin Peng). Setelah bertugas kira-kira dua tahun dalam pasukan Rejimen Ke-10, Kedengaranlah pengumuman Malaya akan merdeka pada 31 Ogos 1957, ketika itu pasukan Rejimen Ke-10 berkhemah di kawasan Kg. Jok (dekat Empangan Banglang sekarang, dan kemudiannya tempat inilah serikadi Jahura terkorban secara gagah berani di situ). Apabila berita merdeka itu diketahui, semua pengarah dan perajurit, lebih-lebih lagi yang berasal dari PKMM, API/PETA, dan AWAS seperti Abu Samah, Ibrahim Chik, Siti Norkiah, Rosmah, Majid, Shukur, Suti, Napi dan lain-lain lagi berasa amat marah kepada Tunku yang memungkiri janji, merah kerana hasil perjuangan kita dirampas. Sudah tentu, pihak Abdullah C. D. dan Suriani memang faham akan perasaan para pengarah dan perajurit, maka mereka bersama Abu Samah dan Ibrahim Chik membuat satu skim Mingguan Merayakan Kemerdekaan. Abdullah C. D. dan Suriani membuat huraian bahawa sungguhpun hasil merdeka telah dibolot oleh UMNO, lagi pun kemerdekaan ketika itu belum lagi kemerdekaan penuh, namun bagaimana pun fakta hakikatnya itu adalah hasil benar-benar dari perjuang bersenjata kita dan itu satu permulaan dan syarat bagi rakyat dan bangsa kita boleh berjuang menuju ke arah kemerdekaan penuh atau 100%, dalam erti kata inilah kita merayakan kemerdekaan.

Semua pengarah dan perajurit yakin dengan huraian Abdullah C. D. perasaan marah diketepikan buat sementara dan merayakan kemerdekaan dengan riang gembira. Walaupun dalam keadaan gerila, namum acara-acara perayaan beraneka ragam, selain dari menyembeleh lembu memasak gulai, membuat sateh, membuat roti canai dan juadah lain lagi. Di samping majlis yang penuh dengan upacara, diadakan pula aktiviti seni budaya dan sukan. Bahagian seni budaya diadakan pertandingan menggubal pantun, sajak dan sebagainya, dalam majlis seni budaya, kawan Waimeng mempersembahkan Tarian Lilin yang sangat menarik, Pak Ngah mempersempahkan silat yang bersemangat gagah, dan ada persembahan lain-lain lagi. Bahagian sukan diadakan pertandingan sepak raga, permainan bola dan sebagainya. Adakah UMNO sanggup membuat perayaan yang beraneka ragam sama seperti Rejimen Ke-10 itu?

Suasana tersebut telah menjadi nostagik yang masih segar dalam ingatan saya hingga kini. Dan itu membuktikan sikap pihak PKM yang wajar, siuman dan saksama. Sungguh pun hasil merdeka telah dirampas tetapi PKM yang walaupun kesal tetapi masih membuat penilaian tepat bahawa bagaimana pun di segi lain merdeka mencipta syarat permulaan bagi bangsa, negara dan rakyat berjuang menuju ke arah kemerdekaan penuh, dan yakin penuh rakyat amnya dan golongan jujur khasnya pasti akan mendedahkan tembelang pihak UMNO dan mengakui sumbangan pihak-pihak yang sebenarnya mempelopori perjuangan kemerdekaan seperti PKM, KMM, PKMM, API, AWAS, BATAS, Hizbul Muslimin dan sebagainya seperti yang terbukti hari ini.

Categories

Pengikut