FAKTA-FAKTA SEJARAH: ASAL USUL SANG SAKA MERAH PUTIH - BENDERA RAKYAT

Oleh: Afandi




Kini, berita-berita yang menarik perhatian umum adalah berita tentang aktivis politik Hishamuddin Rais bersama aktivis siswa Adam Adli dan sasterawan negara Datuk A Samad Said ditahan dan disiasat polis kerana berhubung dakwaan mempamer dan berucap mengenai bendera Sang Saka Malaya atau Bendera Rakyat pada majlis sambutan ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka, hujung bulan lalu.

Berhubungan dengan isu itu, Harakahdaily telah mengeluarkan berita pertemuan wartawannya dengan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan aktivis politik Hishamuddin Rais dengan judul: Pak Samad: Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka dan Hishamuddin Rais pertahan Sang Saka Malaya.

Pak Samad telah membuat huraian panjang lebar, saksama dn tepat, antara lain beliau menunjukkan:

"Bagi saya, bendera Sang Saka itu kita harus luhur, kita harus hormati, kita harus jiwai bahawa itu adalah tanda bahawasanya satu ketika dalam sejarah, ada wira yang berjuang untuk kemerdekaan dan bendera itu adalah panjinya.

"Kita tidak boleh menghina panji itu hanya kerana ada Jalur Gemilang. Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka sebab Sang Saka yang berjuang melahirkan Jalur Gemilang," ujarnya bagi mengulas kewujudan bendera Sang Saka yang dinafikan kewujudannya.”

Dan Hishamuddin Rais menganggap bahawa “Sang Saka perlu digunakan sebagai bendera kebangsaan.” dan "Bendera sedia ada tiada asas sejarah.”

Berhubung dengan isu-isu itu, pada umumnya khalayak ramai akan sangat ingin tahu tentang asal usul dan nilai hikmat Bendera Rakyat Malaya itu. Demi memenuhi keinginan khalayak ramai itu, biarlah saya terjemahkan fakta-fakta sejarah yang saya cari dari laporan Zhanyou Bao (Akhbar Rakan Veteran Tentera Anti-Jepun) pada tahun 1947. Dan fakta-fakta ini juga membuktikan bahawa di atas tujuan bersama, iaitu kemerdekaan ibu pertiwi, di antara PKM dengan segala kekuatan patriotik yang menuntut kemerdekaan — PKMM, API, AWAS, BTAS, Hizbul Muslimin dan sebagainya memang menjadi sekutu karib, dan sebab itulah pihak penjajah dan konco-konconya secara rambang melembarkan tuduhan komunis ke atas semua pejuang kemerdekaan. Dalam pemikiran subjektif penjajah dan konco-konconya menyangka tuduhan itu boleh memburukkan nama baik pejuang kemerdekaan, akan tetapi sebenarnya tuduhan itu hanya dapat memperdaya orang yang tidak tahu akan selok belok keadaan sebenar atau yang buta sejarah.

Berikut ini adalah laporan-laporan dari Zhanyou Bao:



(1) Laporan Zhanyou Bao Tentang Hari Malaya dan Bendera Rakyat

Pada 7 November 1947, Zhanyou Bao telah memuat berita melaporkan dua keputusan Jawatankuasa Kerja Bersama PUTERA –AMCJA yang ditetapkan dalam persidangannya pada 3 November 1947. Dua keputusan itu dipetik sebagai berikut:

Hari Malaya

Bagi persidangan Jawatankuasa Kerja Bersama, apa yang paling menimbulkan minat umum adalah perkara menetapkan Hari Malaya dan Bendera Rakyat. Persidangan mencapai keputusan menetapkan 10 Ogos setiap tahun sebagai Hari Malaya (Kerana 10 Ogos ini adalah hari di mana Rang Perlembagaan Baru diluluskan di Singapura, yang juga hari terakhir semua negeri Malaya meluluskan Rang Perlembagaan itu) , dan menetapkan akan mengadakan perhimpunan massa pada 10 Disember tahun ini (1947) dan melangsungkan upacara menaikkan bendera satu upacara agung yang tidak pernah ada sebelumnya. Dan pada tanggal 10 setiap bulan kemudian akan diadakan upacara menaikan bendera untuk menggalakkan rakyat seantero daerah berjuang terus-menerus untuk pewujudan perlembagaan itu.

Bendera Rakyat

Persidangan dengan sebulat suara meluluskan Bendera Rakyat Malaya. Nisbah bidangnya ialah 10 terhadap 7, tanah bahagian atas berwarna merah, bahagian bawah berwarna putih, dan 12 biji bintang kuning teratur 3 baris di sebelah sudut kiri. Persidangan telah membuat pertimbangan amat teliti atas bendera itu, akhirnya telah diluluskan dengan sebulat suara.


(2) Fakta tentang upacara menaikkan Bendera Rakyat — Sang Saka Merah Putih dalam laporan berita Zhanyou Bao (Akhbar Rakan Veteran Tentera Anti-Jepun)


Upacara Menaikkan Bendera Rakyat

10 Disember 1947,berita Zhanyou Bao (Akhbar Rakan Veteran Tentera Anti-Jepun)

Jarum jam pada Menara Jam Victoria Singapura menunjuk Pada 8.30 pagi (10 Dis.), Sang Saka Merah Putih — Bendera Rakyat Malaya dinaikkan oleh Yang Dipertua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Singapura, Encik Taha, bendera itu menaik perlahan-lahan ke atas bangunan Liga Demokrasi Malaya. Bendera Rakyat ini julung-julung kali berkibar-kibar di udara Singapura, warna merah dan putihnya kelihatan lebih cerah disinari cahaya suria pagi, bintang-bitang yang menyilaukan pada bendera merupakan simbol yang melambangkan demokrasi dan kebebasan Malaya baru akan datang.

Ratusan perwakilan pertubuhan-pertubuhan rakyat dan tokoh-tokoh kenamaan berdiri tegak di bawah bendera, kesemuanya menengadah serentak dan memakukan mata pada bendera.

Antara ahli-ahli Presidium, Incek Taha (PKMM), Ibel (LDM), Jiang Lee (Persatuan Wanita) dan Dasyenzula memberi ucapan masing-masing dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Setelah upacara itu selesai, para perwakilan segera berkejar balik ke tempat bangunan pertubuhan masing-masing dan terus menaikkan Bendera Rakyat — Sang Saka Merah Putih. Bendera yang dinaikkan itu berkibar-kibar di udara.

Ucapan Yang Dipertua PKMM Singapura

“Para sahabat

“Hari ini kesemua kita berhimpun di sini menyaksikan Bendera Rakyat Malaya berkibar-kibar di udara, tambahan lagi di semua bandar raya segenap Malaya mengadakan upacara yang sama menaikkan dan menjulang tinggi-tinggi simbol yang melambangkan perpaduan rakyat. Malah perpaduan rakyat makin hari semakin bertambah kukuh dan bertambah kuat. Di dalam perjuangan menentang kekuatan reaksioner, pergerakan demokrasi Malaya telah mencapai kemajuan amat besar. Jadi, kekuatan reaksioner pun melakukan percubaan hendak mengekalkan status quonya dan menghalang rakyat Malaya daripada maju berkembang ke jalan demokrasi. Tidak peduli betapa banyak pun kesukaran dalam pekerjaan kita, namun kita tetap yakin perjuangan demokrasi akan maju terus-menerus ke hadapan. Amat banyak pengalaman yang diperoleh dalam perjuangan beberapa tahun yang lalu telah memperkuat keteguhan dan keyakinan kita. Bendera Rakyat akan membuktikan kepercayaan kita yang tak kunjung padam dan teguh terhadap kekuatan, perpaduan dan keberanian rakyat.

Pergerakan demokrasi rakyat Malaya memerlukan suatu lambang agung dan kuat yang boleh mewakili bangsa yang baru membangun, Sang Saka Merah Putih direkabentuk adalah untuk memenuhi keperluan ini.

“........”

“Warna tanah Sang Saka Merah Putih ini mempunyai makna bersejarah bagi rakyat Malaya. Sebab musabab PUTERA-AMCJA memilih Merah Putih ini adalah kerana bentuk warna ini telah digunapakai oleh Kerajaan Majapahit (Catatan pengarang: sebenarnya Kerajaan Melaka) yang makmur di Semenanjung Malaya. Pada masa penjajahan Portugal dan penjajahan Belanda, Sang Saka Merah Putih merupakan lambang perlawanan rakyat negara ini. Oleh itu, Merah Putih yang bersinambungan dengan sejarah mulia masa silam Malaya ini adalah paling cocok dijadikan sebagai warna dasar Bendera Rakyat.

“Oleh sebab itu, pada tanggal 10 Ogos setiap tahun, sudah seharusnya kita mengingat semula kebebasan dan kebahagian Malaya dan mengadakan ikrar perjuangan. Pada 10 Ogos (1947), PUTERA-AMCJA telah membuat keputusan menggunakan Bendera Rakyat dan 10 Ogos sebagai “Hari Malaya” untuk menyatakan secara luas tuntutan rakyat bagi satu Malaya yang baharu dan yang lebih baik. Sejak sekian lama ini pergerakan demokrasi Malaya telah memerlukan satu lambang yang agung dan kuat yang boleh mewakili bangsa baru berkembang, maka Bendera Rakyat ini dihasilkan demi memenuhi keperluan itu. Kita dengan hangat mengharapkan agar lambang perpaduan ini akan merangsangkan setiap orang melancarkan perjuangan suci yang sudah berada di ambang dengan keazaman paling gigih.”

x x x x

(Bandar-bandar yang diadakan upacara itu pada pagi itu sebagai beriikut.)

Di Negeri Melaka, Pada pagi 10 Disember, Bendera Rakyat telah muncul di udara Melaka. Jam 9.45 pagi, perwakilan berbagai-bagai pertubuhan mengadakan upacara menaikkan bendera. Para hadirin selain dari Tan Cheng Lock dan Dr. Burhanudin, terdapat juga wakil-wakil dari pelbagai parti dan pertubuhan dalam gabungan PUTERA-AMCJA yang kesemuanya berjumlah 400 orang. Setelah Bendera Rakyat dinaikkan oleh wakil PKMM, ahli-ahli Presidium menyampaikan ucapan masing-masing, setelah acara ucapan selesai, perhimpunan berkejayaan penuh dan para hadirin bersurai.

Di kawasan Kuala Lumpur, waktu pagi, berbagai-bagai pertubuhan serentak menaikkan Bendera Rakyat. Jam 7.30 malam, persidangan perwakilan diadakan di dalam rumah Liga Pemuda Demokrasi Baru, bilangan hadirin kira-kira seratus wakil. Pengerusi persidangan (Setiausaha Jawatankuasa Kerja, Wahi Anuar memberi ucapan dan disusuli ucapan oleh wakil Persekutuan Kesatuan-Kesatuan Buruh SeMalaya, Abdullah C. D.. Kemudian Lee Youyui dan Rahman (seorang India) memberi ucapan. Tatkala itu Dr. Burhanudin sempat berkejar balik dari Melaka, dan Presiden MIC, Bahshing juga sempat hadir, kedua-duanya dijemput membuat ucapan dulu dan kemudian. Akhirnya persidangan meluluskan bantahan menerusi telegram pos membantah tindakan pengusiran kerajaan Australia ke atas 14 pelaut Melayu.

Para ahli API dan AWAS memungut derma dengan menjual bunga, puluhan Ringgit pendapatan jualan itu dijadikan sebagai dana mencetak semula Perlembagaan Rakyat dalam bahasa Melayu.

Di Kajang, pelbagai pertubuhan daerah Kajang juga mengadakan upacara menaikkan bendera di bangungan pejabat PKMM di Kajang, kira-kira seratus wakil dari pelbagai parti dan pertubuhan menghadiri upacara itu.

Dalam perlangsungan upacara itu, para ahli API dan AWAS mengadakan persembahan menyanyi dan menjual bunga memungut derma.

3 ulasan

Pemimpin UMNO mahukan rakyat jadi bodoh dan hanya berfikir bahawa UMNO lah pejuang kemerdekaan, walhal bak kata SN A Samad Said, mereka adalah penikmat kemerdekaan tanpa perjuangan. Aku malu bila tau bahawa pemimpin UMNO bukannya pejuang tapi penikmat kemerdekaan.

Reply

Masalahnya.... bendera sang saka tak cantik. Sejak lahir sampai sekarang Jalur Gemilang dah sebati dlm jiwa. Jalur Gemilang bendera ku.

Reply

Pandangan ak bendera Jalur Gemilang xperlu ditukar kepada sang saka malaya.. Sbb bendera jalur gemilang wujud masa merdeka bawah british.. Kalau tukar sang saka malaya.. dah berputar pulak sejarahnye sbb latar belakang sang saka malaya berbeza dgn jalur gemilang.. Sepatutnya sang saka malaya harus berada dalam buku sejarah.. Sebab ramai sgt pejuang kemerdekaan dulu2.. last2 pengikut british juga yg berjaya tuntut kemerdekaan.. Tp yg xadilnye.. Umno gunakan sejarah utk mengagung2kn diri sendiri.. kata mereka adalah hero dan yg menentang british adalah pengkhianat.. Malaysia masih ada bnyak lagi sejarah yg tersembunyi..

Reply

Categories

Pengikut