MERAYAKAN KEMERDEKAAN MALAYA


Kemerdekaan 1957 adalah kemenangan besar rakyat semua kaum Malaya. Kemenangan ini dicapai melalui berbagai bentuk perjuangan yang susah payah, pahir getir dan dibayar dengan nyawa dan darah para pahlawan dan serikandi kemerdekaan berbagai aliran, berbagai kaum yang setia pada tanah air Malaya. Perjuangan ini bermula sejak pencerobohan penjajah barat ke atas Kota Melaka 1511 sehingga tahun 1957.

 Perjuangan kemerdekaan Malaya boleh dibahagikan kepada 2 peringkat sejarah. Peringkat pertama ialah perjuangan secara spontan yang dipelopori kaum tani Melayu di bawah pimpinan bangsawan feudal yang patritotik melawan kaum penjajah. Perjuangan penting dalam peringkat ini ialah:

1511 – 1641 Perang menentang Portugis
1782 - 1784 Perang menentang Belanda
1786 – 1928 Perang kaum tani menentang British

Peringkat kedua ialah perjuangan secara sedar, secara terorganais dan mempunyai cita-cita politik untuk mengisi corak kemerdekaan tanah air. Kesedaran umat manusia untuk kemerdekaan dan pembebasan nasional yang bergolak di seluruh dunia telah membawa kesedaran politik ke Malaya. Dengan itu lahirlah parti2 dan pertubuhan politik yang memperjuangkan kemerdekaan Malaya. Antara pertubuhan itu ialah: PKM (1930), KMM (1937), TAJRM (1942), PKMM (1945), API, AWAS, BATAS, Hizbul Muslimin dan lain-lain. Perjuangan-perjuangan penting dalam peringkat ini ialah:


1941 - 1945 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang Jepun
1946 - 1948 Perjuangan berperlembagaan menentang British
1948 - 1957 Perjuangan bersenjata revolusioner menentang British
1951- UMNO menukar semboyan Hidup Melayu kepada Merdeka
1957-  Penjajah British terpaksa mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Pada tahun 1946 muncul sesuatu yang janggal dalam perjuangan kemerdekaan tanah air kita. Di saat-saat berbagai parti politik melantangkan semboyan MERDEKA, PEMBEBASAN NASIONAL, secara tiba-tiba mucul sebuah parti politik yang bernama UMNO melantangkan semboyan HIDUP MELAYU. Jelas sekali penubuhan UMNO bukan untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya tetapi untuk membendung perjuangan kemerdekaan yang sedang marak berkobar.

Tahun 1947-1948, pembentukan front persatuan PUTERA - AMCJA merupakan kemuncak perjuangan kemerdekaan yang amat mencemaskan kaum panjajah. 2 kali hartal raksasa telah berjaya dilancarkan bagi membantah tindakan penjajah menolak 10 Fasal Perlembagaan Rakyat.

Kerana merasa kekuasaan kolonialisnya terancam, Inggeris telah melancarkan penindasan total dengan mengisytiharkan undang-undang darurat di seluruh negara pada bulan Jun 1948. Serentak dengan undang-undang darurat, semua parti-parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan, aktivis-aktivis kemerdekaan disumbat ke dalam penjara, dibuang negeri, digantung mati dan macam-macam lagi. Hanya UMNO satu-satunya parti politik yang tidak diharamkan dan dibenarkan bergerak.

Untuk melawan “perang yang tidak diisytiharkan” Inggeris ke atas perjuangan kemerdekaan, PKM menyeru rakyat semua kaum bangkit melancarkan perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasan nasional.

Perjuangan yang besar ini telah memaksa penjajah British menukar corak penjajahannya dari kolonial kepada new kolonial. Oleh yang demikian kemerdekaan 1957 bukanlah kemerdekaan 100 peratus. Hasil kemerdekaan tidak dimiliki rakyat, tetapi dimiliki oleh sejemput golongan atasan dan bangsawan Melayu yang membela kepentingan kaum penjajah dan modal monopoli asing.

Sungguhpun begitu, kemenangan ini adalah kemenangan besar bangsa Malaya yang diperjuangkan turun temurun. Sebagai rakyat yang setia pada tanah air Malaya, kita harus merayakan kemenangan besar ini dan meneruskan perjuangan sehingga tercapainya kemerdekaan 100 peratus!

Categories

Pengikut