MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-65 “20 JUN” HARI MELETUSNYA PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-BRITISH

MEMPERINGATI ULANG TAHUN
 KE-65 “20 JUN” HARI MELETUSNYA PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-BRITISH

(Petikan terjemahan ucapan Kawan Si Hai, 
Pengerusi Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia 
di majlis memperingati Ulang tahun ke-65 
meletusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British)

Kawan Si Hai sedang menyampaikan ucapan



20 Jun tahun ini ialah ulang tahun ke-65 meletusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Setelah ditandatangani Persetujuan Hadyai pada tahun 1989, inilah buat julung-julung kalinya kita bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan sesaudara mengadakan perhimpunan peringatan “20 Jun” Perang Pembebasan Nasional Anti-British di Kuala Lumpur, memperingat hari besar yang bersejarah. Marilah kita sama-sama bertepuk tangan sehangat-hangatnya atas keberjayaan diselenggarakannya perhimpunan ini!

65 tahun yang lalu, ribuan pahlawan revolusioner mengorbankan jiwa-raga mereka yang amat berharga demi pembebasan dan kemerdekaan tanah air. Kita mengadakan perhimpunan ini, untuk mengenangi semangat kepahlawanan dan jasa-jasa besar para pahlawan revolusioner. Kita menyatakan rasa hormat setinggi-tingginya terhadap sumbangan dan pengorbanan yang tak berbelah bagi para wira veteran, keluarga pahlawan dan keluarga anggota tentera yang telah menyertai peperangan ini.

Pada 8 Disember tahun 1941, Jepun telah mencetuskan Perang Pasifik dan menceroboh Malaya. Tentera penjajah British yang mengaku dirinya tak terkalahkan, lari terbirit-birit di hadapan benet fasis Jepun, akhirnya mengibarkan bendera putih di Singapura. Berkebalikan dengan itu, pada hari ke-3 setelah Jepun menceroboh Malaya, Parti Komunis Malaya (PKM) mengeluarkan seruan hikmat kepada rakyat semua bangsa Malaya: bangkit bergerak, persenjatakan diri, lawan Jepun, bela Malaya! PKM telah menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) di berbagai tempat, memimpin rakyat bangkit melawan. Melalui pertempuran bermandi darah dan perjuangan gigih selama 3 tahun 8 bulan, akhirnya memperolehi kemenangan Perang Anti-Jepun pada 15 Ogos tahun 1945.

Demi menentang kekuasaan penjajah British, PKM dan kekuatan progresif lainnya telah membentuk PUTERA-AMCJA, melakukan berbagai kegiatan politik dan perjuangan massa berbagai bidang, merangka rang PERLEMBAGAAN RAKYAT untuk menentang Perlembagaan Federation yang merampas hak sama rata rakyat semua bangsa. Pada 20 Oktober tahun 1947 dan Februari tahun 1948, PUTERA-AMCJA 2 kali menyerukan mogok kerja besar, mogok belajar besar dan hartal besar di seluruh negara. Akan tetapi, penjajah British memekakkan telinganya terhadap suara raksasa rakyat luas, malah melancarkan penangkapan besar-besaran di seluruh negara, dalam usaha memadamkan tuntutan rakyat ke atas kemerdekaan. Demi kemerdekaan negara dan pembebasan rakyat, PKM dengan tegasnya memimpin rakyat semua bangsa melancarkan perjuangan bersenjata yang gagah berani. Dengan demikian, menyalakan api Perang Pembebasan Nasional Anti-British.

Majlis memperingati 65 tahun 20 Jun
Dalam usaha membasmi Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan memutuskan hubungan antara massa rakyat dan PKM, pada tahun 1950, imperialis British telah memaksa massa rakyat meninggalkan kampung halaman masing-masing, dan mengurung mereka ke dalam kampung-kampung baru yang dikelilingi dengan kawat-kawat berduri. Menurut perangkaan, pada masa itu di seluruh negara terdapat 440 buah kampung baru sedemikian, yang melibatkan jumlah penduduk seramai 570,000 orang. Bagaimanapun, Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah berjaya mempertahankan pertempuran walaupun di bawah syarat-syarat yang luar biasa susah-payah. Pada 6 Oktober tahun 1951, Pesuruhjaya Tinggi British Henry Gurney, mati dalam serangan hendap tentera kita di Kuala Kubu yang terletak di kawasan sempadan Selangor-Pahang. Berita ini menggemparkan London, tapi menggembirakan rakyat.

Pada 28 Disember tahun 1955, seiring dengan kecenderungan politik baru antara bangsa yang mahukan perdamaian dan menentang peperangan, perundingan damai yang mempunyai erti sejarah telah dilangsungkan di Baling. Bagaimanapun, perundingan itu gagal kerana wakil kerajaan Malaya Tunku Abdul Rahman, yang dikontrol British, berkeras mahukan PKM menyerah diri. Harapan rakyat luas untuk menyaksikan wujudnya perdamaian menjadi hampa. Bagaimanapun, Tunku secara pribadi memberitahu wakil PKM: perundingan akan disambung semula setelah dia berjaya memperolehi kemerdekaan.

Perjuangan pahit yang luar biasa susah-payahnya, yang dilakukan oleh PKM dan rakyat semua bangsa berjaya memaksa imperialis British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Malaya pada tahun 1957. Akan tetapi, Tunku mengingkari janji yang dibuatnya sendiri ketika Perundingan Baling, bersubahat dengan orang British, berkeras mahukan para pejuang kemerdekaan menyerah diri dan menerima pengadilan, menolak memulihkan perundingan damai dengan PKM. Di bawah latar belakang sedemikianlah, Perang Pembebasan Nasional Anti-British yang dilancarkan demi melawan penguasaan penjajah British dan memperjuangan kemerdekaan Malaya itu berubah menjadi perang dalam negeri “orang Malaya memerangi orang Malaya”. Tapi, sebenarnya ia adalah lanjutan kepada perang tanah jajahan.

Perdamaian adalah kemahuan rakyat. Pada 2 Disember tahun 1989, ketiga-tiga pihak iaitu PKM, Kerajaan DiRaja Thailand dan Kerajaan Malaysia akhirnya telah menjalin persetujuan damai untuk menamatkan peperangan yang berlawanan dengan kemahuan rakyat. Perdamaian yang mulia ini telah mendatangkan kemakmuran, kemantapan dan keselamatan kepada kawasan sempadan Thai-Malaysia dan Malaysia sendiri. Dalam ucapannya di depan upacara perjanjian damai tersebut, Chen Ping berkata:
“Kami menganggap kedua-dua persetujuan untuk menamatkan aktiviti-aktiviti bersenjata yang telah berlarutan selama 41 tahun melalui perundingan damai ini sebagai suatu penyelesaian secara terhormat. Tidak syak lagi, penyelesaian yang adil dan menasabah bagi semua pihak yang berkenaan ini telah dicapai dengan semangat saling memahami dan saling bertolak ansur.”

Setelah Perjanjian Hadyai termeterai, kerajaan BN yang berteraskan UMNO secara terang-terangan mengabaikan perjanjian antara bangsa yang ditandatanganinya, sewenang-wenang mengingkari janji dan amanah yang dilafaskannya sendiri. 20 tahun lebih ini, mereka bertindak melanggar perjanjian, sehingga bekas-bekas anggota PKM yang balik ke Malaysia menghadapi berbagai masalah dan kesulitan. Mereka bahkan merampas hak Chen Ping, untuk kembali ke tanah airnya sendiri. Chen Ping adalah Setiausaha Agung PKM, salah seorang daripada penandatangan perjanjian damai dari pihak PKM dan telah puluhan tahun berjuang menentang kaum penceroboh asing.

Kami sekali lagi merayu kerajaan agar mematuhi perjanjian yang ditandatanganinya dan membenarkan Chen Ping kembali ke tanah air untuk menghabiskan masa tuanya.

Apapun yang berlaku, penandatanganan perjanjian damai ini telah amat menguntungkan gerakan demokrasi dan reformasi sosial negara ini. Pihak berkuasa telah kehilangan alasan untuk menindas gerakan demokratik rakyat secara sesuka hati dengan tuduhan “subersif komunis”. Di segi yang lain, ramai pejuang veteran dengan hati yang ikhlas diam-diam berusaha merintis jalan kearah demokrasi dan pembaruan. Manakala sesetengah pejuang veteran yang lain pula menyusun serta menerbitkan bahan-bahan sejarah berkenaan pengalaman perjuangan mereka dahulu, dalam usaha memulihkan semula kenyataan sejarah yang selama ini telah dimanipulasi dan dimonopoli oleh pihak berkuasa. Oleh kerananya, semakin ramai telah mengenali kenyataan sejarah yang sebenar dan menyediakan bahan-bahan rujukan yang amat berguna kepada gerakan demokrasi selanjutnya.

Setelah berlakunya tsunami politik pada 8 Mac tahun 2008, kami dengan amat gembira menyaksikan bahawa situasi politik di negara kita telah mengalami perubahan yang amat besar. Tunjuk perasaan-tunjuk perasaan bersifat massal melawan dasar racism, melawan UMNO yang membolot kuasa, nepotisme, rasuah dan bobrok, menentang modal-modal asing yang membawa masuk bahan-bahan radioaktif yang mencemarkan alam kita, menuntut hak sama rata antara kaum di segi pendidikan, serta menuntut pilihan raya yang bersih dan adil berlaku silih berganti. Kesedaran perjuangan ratusan ribu rakyat berbagai kaum (khususnya anak-anak muda) telah meningkat. Mereka telah menjadi tenaga utama gerakan pembaruan sosial. Rakyat telah menyaksikan kekuatan perpaduan semua kaum dalam perjuangan. Rakyat telah merasakan cahaya kemenangan di masa hadapan.

Demi memenangi PRU ke-13, Najib telah menawarkan berbagai projek yang menyilaukan mata dan menarik hati rakyat, membagi-bagikan wang bahkan mengarahkan macai-macainya membeli undi, dan sebagainya. Bagaimanapun, rakyat berbagai bangsa yang telah tertipu selama 50 tahun lebih ini telah celek mata dan tidak mempercayai lagi tipu muslihat mereka. Melalui undi suci mereka, rakyat memaksa UMNO/BN hanya berkuasa semula dengan mejoriti kecil di parlimen. BN cuma memperolehi 47.8% daripada jumlah seluruh undi. Najib terpaksa mengakui bahawa mereka akan kehilangan sokongan rakyat jika tetap mengabaikan hasrat rakyat dan tidak melakukan apa-apa pembaruan. Akan tetapi, di bawah tekanan golongan konservatif dan kronis, UMNO/BN sudah pasti tidak dapat meninggalkan dasar-dasar racisnya. Projek pembaruan Najib hanya dapat dilaksanakan secara melepaskan batuk ditangga sahaja, tanpa menyentuh kepentingan golongan konservatif. Mereka akan terus mengapi-apikan issu perkauman dan ugama, mensabotaj perpaduan antara kaum, menimbulkan pertentangan sosial. Jalan pembaruan di negara kita sudah pasti tidak mungkin berjalan lancar, tapi berliku-liku dan penuh dengan berbagai dugaan.

Perkembangan masyarakat tidak dapat diubah oleh kemahuan segelintir manusia. Masyarakat berubah dalam pergerakan, rakyat maju dalam perjuangan. Perjuangan massa yang wujud dewasa ini adalah kesinambungan perjuangan-perjuangan di masa lampau. Kita bukan sahaja harus mengimbau dan menghargai sejarah yang telah berlalu, lebih-lebih lagi harus bersungguh-sungguh mengkaji dan menyimpulkan pengalaman-pengalaman positif/negatif, menyelami massa, mempelajari kamahuan rakyat, bersatu dengan rakyat semua kaum, menyokong semua kekuatan pembaruan sosial dan parti politik yang mengutamakan kemahuan rakyat, dan berjuang keras untuk hari depan yang lebih indah, inilah tujuan suci kita memperingati ulang tahun ke-65 “20 Jun” Perang Pembebasan Nasional Anti-British.

Categories

Pengikut