DUKA LARA ATAS PENINGGALAN KAWAN SURIANI ABDULLAH


Duka Lara atas Peninggalan 
Kawan Suriani Abdullah

Pemergiannya Laksana Bintang Srikandi Gugur,
 Teladannya kekal abadi



(Oleh Afandi)

Rasa duka lara timbul serta merta pada 21 Mac 2013 ketika mendapat berita sedih peninggalan kawan / komrad Suriani pada jam 5 pagi waktu Malaysia, beliau meninggal setelah bertarung dengan sakit selama 5 tahun di kediamannya Kampung Chulabhorn Patana 12, Sukhirin, Narathiwat, Selatan Thailand. Sungguhpun Suriani Abdullah (alias Eng Ming Ching), 89 tahun, ahli Jawatankuasa Pusat PKM dan pimpinan bekas Rejimen Ke-10 telah meninggal, namun peninggalannya laksana bintang srikandi gugur, teladan luhurnya kekal abadi.

Suriani Abdullah @ Eng Ming Ching, 1947
Eng Ming Ching (alias Suriani Abdullah) lahir pada 1924 di dalam keluarga berpendapatan sederhana, anak yang keempat dengan 3 orang abang dan seorang adik. Beliau dan Chin Peng belajar dalam sekolah sama dan menyertai gerakan Kesatuan Bantuan Garisan Belakang Anti-Musuh pimpinan PKM. Kemudian beliau meninggalkan keluarga untuk mengembangkan gerakan di Ipoh, giat bekerja membantu perang anti-Jepun yang dilancarkan oleh Tentera Route Ke-8 dan Tentera Ke-4 Baru China. Pengertian politiknya meningkat dengan pesat di dalam perjuangan dan diluluskan menjadi ahli PKM, lalu dilantik menyandang Setiausaha Jawatankausa Bandar Ipoh.

Penghujung 1941, Fasis Jepun menceroboh negara kita, PKM mengeluarkan seruan menentang Jepun dan mempertahankan Malaya. Namun tentera penjajah British yang diserang tentera Jepun itu kalah perang dan berundur terus-menerus, akhirnya ratusan ribu tentera British di Singapura menyerah kalah kepada tentera Jepun pada 15 Februari 1942, seluruh Malaya diduduki Fasis Jepun. PKM dengan tegas mebentuk Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya, menanggung tugas berat memimpin perjuangan menentang Jepun. Eng Ming Ching menyertai kerja mendirikan Rejimen Ke-5 Tentera Anti-Jepun di suatu desa di Chemor, dan membuat kerja politik di dalam kompeni di bawah Markas Besar Rejimen, memberi sumbangan bernilai kepada pembangunan dan pengukuhan pasukan. Kemudian beliau ditugaskan ke kawasan Tanjung Tualang dan Kampar selaku Setiausaha Jawatankuasa Kawasan dan memimpin kerja penyusun massa kawasan itu, pertubuhan dan perjuangan massa tempatan menentang Jepun berkembang pesat. Akan tetapi malang tidak berbau pada saat fajar kemenangan mulai menyingsing, di dalam sebuah rumah kampung beliau terperangkap dalam kepungan berlapis-lapis tentera Jepun, walaupun nekad menyerbu tetapi tidak dapat menembusi kepungan dan tertawan oleh musuh. Pada masa teringkuk dalam penjara, Eng Min Ching memperlihatkan sifat jatidiri seorang komunis yang cekal dan tidak tertundukkan, bertabah hati menahan segala penyiksaan zalim fasis Jepun. Meskipun badannya penuh luka cedera, tetapi semangat revolusionernya tetap berkobar-kobar, dan berusaha memberangsang rakan-rakan sepenjara melancarkan perjuangan terhadap musuh. Akhirnya beliau berjaya menyongsong kemenangan perang anti-Jepun dan keluar dari penjara secara mulia.

pejabat PKM di Kuala Lumpur
Pada pertengahan Ogos 1945, Jepun menyerah kalah tanpa syarat kepada Negara-Negara Sekutu, pasukan Tentera Anti-Jepun pelbagai daerah turun dari pergunungan ke bandar-bandar untuk memelihara ketertiban masyarakat dan mendirikan Jawatankuasa Rakyat. PKM mewujudkan Pejabat PKM di semua negeri, Eng Min Ching dilantik sebagai Wakil PKM Perak merangkap Wakil PKM dalam Pentadbiran Tentera (BMA) British. Beliau selaku Wakil PKM melancarkan kerja barisan bersatu, menghubungi tokoh-tokoh pelbagai golongan semua bangsa di Perak, dan memimpin Pasukan Propaganda Pejabat PKM mengadakan persembahan dalam kunjungan ke merata tempat Negeri Perak, membuat publisiti menerangkan dasar dan pendirian PKM kepada rakyat semua bangsa, mendorong mereka bangkit berjuang mempertahankan kepentingan diri dan memperjuangkan demokrasi dan kemerdekaan. Kemudian pejabat PKM dikurangkan kepada dua, iaitu pejabat Kuala Lumpur dan Singapura, beliau mengambil alih Wakil PKM Singapura. Beliau telah memberi sumbangan bernilai kepada perjuangan untuk demokrasi dan kemerdekaan pada masa aman.

bersama Abdullah C.D. di Rejimen Ke-10
20 Jun 1948, Perang Pembebasan Nasional dimulai, Eng Ming Ching berundur ke selatan Johor, kemudian mengikut pasukan selatan Johor beredar ke utara sampai di Pahang dan bertugas di Jabatan Politik Rejimen Ke-6. Tahun 1952, pihak Pusat PKM membuat strategi berpandangan jauh, menetapkan organ Jawatankuasa Pusat dan pasukan utama Rejimen Ke-10 beredar ke kawasan sempadan di utara. Maka Chin Peng melantik Eng Ming Ching sebagai petugas perhubungan pihak Pusat dengan Rejimen Ke-10, bertanggungjawab perhubungan antara Rejimen Ke-10 dengan organisasi pelbagai tempat apabila tiba di sana, supaya memberi jaminan yang pasti dalam masa peredaran. Semenjak itu beliau telah menjalin ikatan yg tidak terlerai dengan Rejimen Ke-10. Pada hujung tahun 1954, Rejimen Ke-10 tiba di kawasan sempadan Malaya-Thailand, lalu membuka kawasan kekuasaan di kampung-kampung Melayu sektor timur kawasan sempadan, berjaya membentuk daerah basis sektor timur yang bersambungan dan sokong menyokong dengan sektor barat. Dalam bertugas bersama Eng Ming Ching telah menjalin hubungan karib dengan Abdullah C. D. akhirnya bersama mendirikan rumah tangga dan bernama Suriani Abdullah, mereka dianugerahkan cahaya mata Karimas pada awal 1956.

Para kawan bekas Rejimen Ke-10 melahirkan kecintaan yang tiada tara pada Ibu Suriani, menganggap beliaulah tempat kawan-kawan, baik lelaki mahupun wanita, baik yang lama mahupun yang baru meluahkan rasa suka duka, sama-sama berkongsi kenikmatan dan sama-sama hadapi kesusahan. Perasaan itu bukan suatu kebetulan tetapi adalah hasil dari gaya teladan revolusioner luhur beliau yang saya saksikan. Awal Januari 1956, saya tiba di pasukan organ Rejimen Ke-10 untuk kerja yang ditugaskan oleh pihak Pusat, kebetulan masa itu Karimas lahir tak berapa lama. Sejak itu hingga pertengahan 1962 diumumkan Pedoman Baru, barulah saya meninggalkan Rejimen Ke-10 dan pergi ke Kawasan Khas bertugas sebagai ahli Jawatankuasa Kawasan Khas. Selama 6 tahun lebih itu Surianilah memimpin saya, maka saya telah menyaksikan gaya teladan revolusioner luhurnya.

Suriani sedang memberikan ucapan di dalam rapat tentera
Setelah menyandang ahli dalam Markas Besar Rejimen Ke-10, beliau meneruskan tugas penting berkomunikasi dengan pihak Pusat, dan menjadi pembantu kanan kepada Abdullah C.D. dan dengan teladan luhurnya untuk mengukuh dan memajukan pasukan. Suriani sering berbual dengan saya tentang pentingnya memahami sejarah, adat resam dan agama Melayu serta sifat dan keperibadian mereka, menghormati pendapat mereka, dan mengikuti garis massa, kesemua itu adalah kunci untuk bersatu-padu dengan kawan/komrad Melayu. Dalam praktiknya Ibu Suriani tetap mengamalkan prinsip itu.

Demi menghadapi situasi redup setelah kebuntuan Perundingan Baling, Abdullah C. D. dan Suriani mengambil keputusan membuka kawasan kekuasaan baru, memindahkan pasukan utama ke kawasan sekitar Kg. Jok yang dekat dengan daerah Betong, memulihkan organisasi massa yang sedia ada dan memupuk lebih banyak anasir cergas massa (kader massa), melalui mereka menghubungi tokoh-tokoh pelbagai golongan di pekan atau bandar, akhirnya berjaya membuka situasi yang baru. Dalam menyampaikan dasar membolehkan ahli keluar dari pasukan, Rejimen Ke-10 menganalisis dasar itu dengan tepat, menerangkan bahawa mereka yang betul-betul sudah hilang keyakinan itu dibenarkan keluar, bagaimanapun selaku pejuang revolusioner mesti ada keyakinan revolusi pasti menang. Oleh itu, dalam Rejimen Ke-10 langsung tiada sesiapa keluar dari pasukan. Tambahan lagi, pendidikan politik dan aktiviti hiburan atau rekreasi dipergiatkan dalam pasukan, selalu menceritakan dan mengupas masalah-masalah semasa dan menun-jukkan pandangan tepat kepada kawan-kawan. Bagi seseorang kawan jika terjadi kesalahan, pendidikan diutamakan dan tindakan disiplin sebagai pelengkap, berbual dari hati ke hati dengannya agar ianya insaf dalam fikiran, mencapai hasil di samping tindakan disiplin ada juga kelegaan hati.

Di segi kehidupan pula meneroka tanah hutan untuk bercucuk tanam, membela ayam dan itik untuk menambahbaik kehidupan kawan-kawan. Bahagian unit penyusun massa yang bertugas di kampung akan balik ke dalam pasukan secara berkala untuk bermesyuarat, memeriksa kerja dan belajar serta membuat rancangan baru, kemudian bertolak ke kampung melaksanakan rancangan itu. Kaedah demikian berjalan berulang-ulang. Oleh yang demikian organisasi massa semakin kukuh, sanggup membekalkan barangan dan makanan lebih dari keperluan.

Dengan syarat-syarat tersebut di atas itu, Rejimen Ke-10 tidak timbul apa yang dikatakan “masa sindrom panas lembap” seperti rejimen lain di mana agak banyak yang keluar pasukan dan membelot setelah tertangkap, dan fikiran tidak bertentuan dan sebagainya. Ini telah meletakkan asas yang bermanfaat, pada pertengahan 1962, asas itu membolehkan Dewan Central Committee Utara Malaya(DCCUM)mengumpulkan pasukan pelbagai Rejimen ke pasukan Rejimen Ke-10 dan menyelenggarakan pelajaran Sekolah Parti Utara Malaya Pertama, mengenalpasti pandangan yang tepat, membetulkan fikiran salah, dan mengumumkan Pedoman Baru untuk tetap aktif meneruskan perjuangan dan memajukannya selangkah demi selangkah. Lepas itu pelbagai pasukan kembali semula ke kawasan masing-masing dan dapat mewujudkan situasi amat baik yang serba baru.

Setelah Pedoman Baru diumumkan, Ibu Suriani berkerjasama dengan Abdullah C.D. terus membangun dan mengembangkan pasukan, membuka kawasan kekuasaan yang baru, dan menyelenggarakan sekolah politik dan tentera. Setelah Musa Ahmad membelot, Rejimen Ke-10 melancarkan pengkritikan keras, mengutuk dan mendedahkan muncung hodoh dan temberang pengkhianat. Rejimen Ke-10 juga menghantar Pasukan Penggempur mara ke selatan, berkoordinasi dengan pasukan persaudaraan melancarkan perjuangan bersenjata dalam negeri. Rejimen Ke-10 juga telah menghancurkan banyak kali serangan besar-besaran bersama pihak lawan, membuktikan bahawa ianya adalah barisan yang tidak terkalahkan.

Dalam masa Abdullah C. D. kena racun dan terlantar di atas katil tidak mampu bertugas itu, Ibu Suriani yang meng-hidap penyakit jua dengan tabah memikul tugas mengurus keseluruhan kerja memimpin dan memantapkan pasukan. Dalam bidang perundingan damai, Rejimen Ke-10 telah mengadakan perundingan peringkat awal secara berasingan dengan pihak Thailand dan pihak Malaysia, merintis jalan bagi menanjak ke perundingan peringkat tinggi. Dan akhirnya perundingan damai antara tiga pihak PKM, Kerajaan Thailand dan Kerajaan Malaysia telah mencapai persetujuan pada prinsipnya dan menandatangani Persetujuan Damai Hadyai pada 2 Disember 1989. Kesemuanya itu terdapat sebahagian sumbangan dari Ibu Suriani.

Suriani bersama Abdullah C.D. selepas perdamaian
Ketika mengunjungi Kampung Perdamaian Sukhirin, didapati Ibu Suriani sangat mengambil berat pembangunan dan kehidupan penghuni kampung, hakikat ketaranya dapat difahami dari kenyataan yang penuh perasaan mendalam para kawan bekas Rejimen Ke-10 seperti berikut: “Sewaktu terlantar di tempat pembaringan, beliau sentiasa bertanya khabar tentang kemajuan kampung dan perkembangannya. Beliau sentiasa mendorong kawan-kawan berusaha meningkatkan pendapatan masing-masing sambil mengambil berat kemajuan kampung agar menjadi sebuah kampung yang maju di rantau ini.”

Ibu Suriani telah meninggal, namun teladannya bagaikan bintang kejora, meskipun telah gugur namun sinar teladan luhur dan jasanya kekal abadi, semangatnya tetap hidup di dalam hati sanubari rakyat.


Categories

Pengikut