MEMPERINGATI 65 TAHUN 20 JUN




MEMPERINGATI 65 TAHUN 20 JUN
-Ucapan Kawan Indrajaya di majlis memperingati 65 tahun Perang Anti British “20 Jun” yang diadakan pada 22 Jun 2013 di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur-


Kawan-kawan dan saudara-saudari sekalian,




Selamat malam.


Harini, kita berkumpul di sini untuk memperingati ulta ke 65 “20 Jun”. Mengkaji pengalaman dan pengajaran sejarah, mempunyai erti yang amat penting kepada kita.

Pada 16 Ogos tahun 1945, Jepun menyerah kalah tanpa syarat, Perang Anti-Fasis Sedunia tamat dengan kemenangan di pihak rakyat. Tentera fasis Jepun telah berambus dari bumi ini, tapi tentera penjajah British telah kembali, dan mendirikan kerajaan British Military Administration (BMA). Parti Komunis Malaya (PKM) telah membubarkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya pimpinannya yang berkekuatan hampir 10,000 orang. Dengan demikian, revolusi Malaya telah memasuki periode perjuangan damai.

Parti Komunis Malaya aktif mengerahkan dan mengorganais berbagai lapisan yang luas, untuk memperjuangkan hak hidup rakyat, hak demokrasi dan kebebasan serta kemerdekaan nasional. Sejarah membuktikan, kaum kominis Malaya bukan sahaja sanggup bertempur dengan gagah berani di front perjuangan bersenjata, tetapi juga mampu menjadi pelopor di gelanggang perjuangan aman.

Parti Komunis Malaya aktif mendorong pembentukan front persatuan nasional demokratik seluas-luasnya.

PKMM yang ditubuhkan pada bulan Oktober tahun 1945, telah mengemukakan semboyan militan MERDEKA dalam kongres pertamanya.

Pada awal tahun 1947, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah membentuk gabungan yang perkasa dengan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA), yang dinamakan PUTERA-AMCJA.

PUTERA-AMCJA kemudiannya telah mengemukakan PERLEMBAGAAN RAKYAT pada Julai tahun 1947. Dan memimpin hartal besar di seluruh Malaya (termasuk Singapura) pada 20 Oktober tahun yang sama.

Kenyataan membuktikan bahawa kesedaran politik massa rakyat luas di masa itu telah mencecah tahap yang amat tinggi. Pada masa yang sama, Parti Komunis Malaya telah mengenal pasti wujudnya ejen dalam selimut besar di dalam tubuhnya, iaitu Lai Tek, dan segera melakukan pembersihan. Pengaruh dan sabotaj penjajah British terhadap penggubalan dasar Parti Komunis Malaya telah lenyap.

Penjajah British berasa semakin tidak bermaya mengontrol Malaya. Ia berasa serba salah. Bagaimanapun, ia tidak sanggup kehilangan “permata di mahkota” Great Britain yang sungguh indah dan berharga ini.

Maka, pada 18 haribulan Jun tahun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat secara nekad, mengharamkan semua parti dan pertubuhan yang progresif termasuk Parti Komunis Malaya, menangkap semua tokoh patriotik dan progresif berbagai bangsa.

Di bawah keadaan sedemikianlah, kaum komunis serta tokoh-tokoh patriotik/demokratik Malaya berundur ke hutan-hutan belantara, mengangkat senjata, menentang kekerasan kaum reaksioner dengan kekerasan revolusioner, melancarkan perjuangan bersenjata.
 
Kami cintakan perdamaian, kami sememangnya tidak berniat untuk berperang.Data-data rasmi menunjukkan bahawa 6,000 kawan seperjuangan kami telah terkorban dalam perang ini, berkali-kali ganda daripada jumlah kematian pihak lawan. Kemajuan masyarakat memang harus dibayar dengan pengorbanan berbagai bentuk, mungkin termasuk jiwa dan raga. Bersama-sama rakyat Malaya, kami dengan darah dan nyawa kami akhirnya berjaya mengusir kaum penjajah British dan memenangi kemerdekaan Malaya pada tahun 1957. Dengan semangat ulit yang tak kenal tunduk, tabah dan tahan susah-payah, kami telah memberikan sumbangan kami kepada usaha meningkatkan kesedaran rakyat luas dan kemajuan masyarakat.


Categories

Pengikut