KONSEP SOSIALISME TERMAKTUB DALAM AL-QURAN — Mohd Nasir Hashim



Rencana
Konsep sosialisme termaktub dalam Al-Quran — Mohd Nasir Hashim

April 23, 2013 

23 APRIL — Baru-baru ini dan menjelang pengundian pilihan raya, tersiar ucapan Hadi Awang dalam YouTube mengutuk golongan kiri,berfahaman komunis, mengaitkan dengan Parti Lenin, Parti Stalin. Persepsi ini telah mendorong banyak pihak termasuk pihak media yang ingin mendapat feedback dari kami kerana beranggapan serangan ini ditujukan kepada kerusi Kota Damansara yang disandang oleh Dr Nasir Hashim, Pengerusi PSM yang bertanding menggunakan logo PKR.

Kami juga difahamkan kepimpinan PAS malam ini akan membincangkan isu ini. PSM adalah rakan seperjuangan PR dan kami bersama PR dalam pelbagai isu perjuangan rakyat dan ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Isu ini menjadi kecoh hanya apabila PAS Subang meletakkan calon walaupun tanpa restu PAS Selangor dan Pusat semasa hari percalonan. Ini perlu dijelaskan. Selain itu, kami berharap Presiden PAS memperjelaskan samaada serangan beliau ditujukan kepada PSM dan kerusi Kota Damansara. Bagi kami ini sebenarnya bukan persoalan ideologi tetapi hanya perebutan kerusi.

Walaubagaimanapun kami kecewa dengan hujah-hujah Hadi Awang. Kutukan dan cemuhan yang tidak berasas terhadap kami sungguh menyedihkan, bahkan memfitnahkan kami sejajar dengan larangan dalam Al-Quran Surah Al- Baqarah 2: 191,214 “Fitnah lebih kejam daripada pembunuhan”.

Tuduhan ini menghambat dan menyekat hasrat kami memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas seperti yang diarahkan Allah  SWT dalam Al-Quran Surah An-Nisa 4:135 “ Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan”.
Teringat juga tuduhan yang sama dilemparkan kepada kami semasa kempen seluruh negara “Udahlah... BN bersaralah”. BN cemas dan menahan enam rakan-rakan kami di bawah Emergency Ordinance (EO) menjelang Perhimpunan Bersih dan menuduh kami pengasas Bersih, komunis dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, dengan tujuan menakut-nakutkan orang ramai. Semuanya tidak benar dan kami telah mencabar mereka membuktikannya. Akhirnya rakan-rakan kami dibebaskan tanpa dakwaan. Maka dalam keadaan cemas, tuduhan komunis (communist bogey) sentiasa menjadi senjata dan sandaran.     

Kami menghormati Hadi Awang selaku Presiden PAS tetapi berbeza pendapat tentang fahamannya terhadap ideologi khususnya Komunis, Sosialis dan peranan puak kiri. Kami juga mengaku tidak setanding Hadi dan masih memohon hidayat Allah SWT membimbing kami ke jalan yang benar (Ihdinas siratal mustakim). Tetapi kami tidak senang dengan tuduhan yang melulu dan tidak berasas. 

PSM adalah parti sosialis berfahaman sosialis bukan berfahaman komunis dan melanggar ajaran Islam sila tunjuk buktinya. Kami telah berkhidmat selama 5 tahun sebagai wakil rakyat dan isu ini tidak timbul dan sentiasa mendapat kerjasama dari semua pihak. Kami juga telah memperjuangkan hak rakyat berpuluh tahun lamanya di merata-rata tempat, maka tunjuklah kepada kami kegiatan manakah yang berunsur komunis dan anti-Islam. Kalau tidak ada bukti, tuduhan ini berunsur fitnah terhadap kami dan kami berserah saja kepada Allah yang Maha Esa.

Niat kami mudah belaka. Kami ingin memperjuangkan nama-nama Allah iaitu Kebenaran (Al-Haq) dan Keadilan (Al-Adl) dan membebaskan rakyat dari cengkaman penindasan yang memiskinkan rakyat seperti mana yang dikehendaki Allah SWT.

Kami juga pertikai orang-orang yang menyalahgunakan agama demi kepentingan politik dan peribadi, yang mencerut martabat agama yang murni dan universal sepertimana yang dilarang dalam Al-Quran, Baqarah 2:41 “menjual agama dengan harga yang murah”.

Namun sistem kapitalis di negara kita, rata-rata mempersendakan dan meremehkan agama dengan amalan penindasan, keganasan, riba, penipuan, rasuah dan melipatgandakan keuntungan. Sosialis tidak melakukan kesemuanya ini. Kami mempertikaikan sistem yang pincang dan anti-agama ini dan mendedahkan acuan kapitalis yang berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan. Malangnya sosialis dimangsakan. Justeru kita perlukan perubahan dan penyatuan; dan bukanlah perpecahan dan kehancuran.

Sumber ilham sosialis bersandarkan kepada petikan Al Quran  Qasas 28:5; “Dan kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)”. Inilah inti sari sosialisme dan inilah perjuangan kami.

Saya pernah menulis makalah “Perjuangan Kelas Dalam Islam” April 2010 dan disiarkan dalam FMT (Free Malaysia Today) menceritakan tentang kelas yang menindas (Mustakbirun) dan kelas yang tertindas (Mustadafin) dan konsep dialektika dalam Al-Quran.
Ramai tokoh-tokoh sosialis juga menggunakan hubungan dialektika (dialectical relationship) yang mengimbangkan sifat yang bercanggah (jamal-jalal) menuju kesederhanaan (wasatiyyah) dan kesempurnaan (kamal)/penyatuan (tauhid). Konsep ini juga diamalkan oleh Abu Dzarr Al Gifarri (sahabat setia Nabi Muhammad SAW); Abu Said Kharraz; Muhyiddin Al Arabi (pemikir Islam yang tersohor dan pengasas sufisme/ tasawuf); Burhanudin Al Hilmi (seorang sosialis Pengasas Parti Pas); Ali Syariati;  pejuang-pejuang kiri di Iran dan Iraq yang menuntut keadilan dan kemerdekaan.

* Dr Mohd Nasir Hashim adalah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia

dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/konsep-sosialisme-termaktub-dalam-al-quran-mohd-nasir-hashim/

2 ulasan

Pengkajian ideologi di kalangan ulamak Malaysia amat dangkal. Tidaksaperti ulamak2 luar saperti Mutahhari, Behesti Ali Syariati dan lain2 yang banyak mengkaji ideologi dan membahaskannya secara ilmiah dan terbuka..Amat menyedihkan kerana pemikiran kita masih tertutup dan terbelenggu. Saya ahli PAS namun kesal dengan sikap sebahagian pemimpin PAS...

Reply

Pengkajian ideologi di kalangan ulamak Malaysia amat dangkal. Tidaksaperti ulamak2 luar saperti Mutahhari, Behesti Ali Syariati dan lain2 yang banyak mengkaji ideologi dan membahaskannya secara ilmiah dan terbuka..Amat menyedihkan kerana pemikiran kita masih tertutup dan terbelenggu. Saya ahli PAS namun kesal dengan sikap sebahagian pemimpin PAS...

Reply

Categories

Pengikut