KEPADA AYAHANDA ABDULLAH C.D.: DOA MENGIRINGI PEMERGIAN IBU

oleh: Panji Darman

Salam buat ayahanda Abdullah C.D. serta seluruh keluarga di sana.  anakanda berharap ayahanda tetap berada dalam tenang melepaskan seorang kekasih pejuang yang tiada tolok banding untuk abad 20 ini.  Anakanda di sini begitu sayu dan pilu mengenangkan pemergian ibu Suriani yang dikasihi.  Perasaan sedih dan sayu ini juga dikongsi oleh ramai pemimpin dan kawan-kawan di Malaysia yang pernah mengenali ibu Suriani dan mengikuti sedikit sebanyak kisah-kisah  keperitannya dalam perjuangan kemerdekaan Malaya. 

Anakanda dapat merasakan betapa pilu perasaan ayahanda terhadap perginya kekasih, isteri dan
kawanseperjuangan ayahanda semasa sama-sama berjuang menentang tentera Fasis Jepun, serta selepas itu berlanjutan menentang colonial Inggeris dan peperangan menentang golongan reaksioner.  

Kehilangan ibu suriani buat anakanda serta seluruh kawan-kawan di sini amat dirasakan.  Walaupun anakanda tidak pernah berada di zaman itu khususnya zaman penentangan Fasis Jepun, anakanda dapat membayangkan seorang gadis cantik berusia 17 tahun begitu cekal dan berani melancarkan serangan dan bertindak melawan kekejaman militer Askar Fasis hinggalahmereka mengalah.   

Ibu Suriani pernah dipenghargaan menabur bunga oleh Inggeris dari ruang udara di Bandar Ipoh kerana keberaniannya menunjukkan sikap tanpa kompromi meskipun dia pernah disiksa dengan begitu perit dalam  penjara Jepun.  

Ibu adalah seorang Seri Kandi dan Pejuang Bangsa yang banyak berjasa terhadap nusa dan bangsa.  Ibu adalah seorang Srikandi  Abad 20 yang kami telah nobadkannya sejak kali pertama kami bertemu dengan beliau dengan menghadiahkan sebuah Selendang Srikandi pejuang Abad 20 mewakili Wanita Asia sebenarnya yang tiada tolok banding yang juga diakui oleh tentera British sendiri sebagai seorang yang sangat hebat tatkala menentang Jepun.

Anakanda serta seluruh kawan-kawan di sini amat-amat berharap agar ayahanda terus bersabar dan tenang
di atas kehilangan seorang kekasih dan isteri serta kekasih bumi Malaya yang begitu berjasa.  Sudah semestinya kesedihan ini tidak tertanggung memandangkan ibu dan ayahanda kami lihat sebagai sepasang kekasih dan pejuang bagi sebuah zaman untuk melepaskan generasi kami daripada terus berada di bawah rahang imperialism yang amat kejam. 

Doa kami terus mengiringi roh yang di kasihi ibu untuk mengadap Ilahi.  Beliau pulang ke sisi  Pemelihara sesudah beliau melaksanakan suatu tugas yang diperintahkan oleh Pemelihara kita iaitu bertindak menentang kaum penindas dan membebaskan golongan marhein dari penindasan seperti perlawanan Daud terhadap Jalut dan  Musa terhadap Firaun, dan Muhammad SAW terhadap kekerasan kaum Jahiliah Arab pagan seperti yang  di sebut di dalam Al-Quran. 

Sekian,
Salam kasih sayang yang berpanjangan daripada anakanda.

21. 3. 2013

Categories

Pengikut